Siri Cerpen Malam Jumaat: Kem Motivasi
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 15 April 2016
Penilaian Purata:
(67 orang telah menilai karya ini)
4917

Bacaan






Kem Bina Diri Lembayung Purnama yang teletak di Hutan Simpan Eurasia itu punya 1000 sejarah hitam yang pasti akan meremangkan bulu roma kalian kalau mendengarkannya. Tetapi cukuplah untuk detik ini, hanya kisah ini dipaparkan antara banyak kisah yang pernah berlaku di sana. Kisah yang pastinya tidak akan lekang di bibir kita yang bercerita. Mungkin juga akan terpahat buat selama-lamanya di benak kalian yang menghayati kisah ini.

Semuanya bermula pada detik 7 September 2013, apabila kem motivasi yang sudah lama ditutup tanpa sebab diketahui dibuka semula untuk beroperasi. Sebuah syarikat yang sudah biasa mengendalikan program-program motviasi diberikan amanah untuk menguruskan kem bina diri tersebut oleh kerajaan. Kalau kalian masih hidup pada zaman itu, nama Nova-Q bukanlah nama yang calang-calang. Ianya diketuai oleh seorang anak muda yang boleh tahan karisma dan kepimpinannya.

Perkenalkan kepada kalian, Farid Wadji pemilik Nova Q yang bakal mengendalikan program pertamanya di Kem Bina Diri Lembayung Purnama. Pada pagi itu, dia baru sahaja sampai ke sana seorang diri, menunggu sahabatnya Syazwan yang dalam perjalanan.

Meski hari itu selepas solat jumaat nanti, pelajar daripada SMK Dato’ Onn, Pulau Eurasia bakal menjadikan kem tersebut sebagai tempat latihan bina jati diri demi menghadapi peperiksaan SPM yang bakal mendatang. Namun, kerja-kerja membaik pulih masih berjalan.

“Tak akan tak habis lagi? Kerajaan cakap kem motivasi ni dah boleh digunakan untuk program aku,” gumam Farid Wadji seorang diri sambil memarkirkan keretanya di pinggir kem tersebut.

Suasana di sekitar Lembayung Purnama memang sejuk. Lagi-lagi pada pagi itu. Lagipun memang kem tersebut di bina dalam sebuah hutan dara yang diwartakan oleh kerajaan. Berhadapan pula dengan batang sungai yang mengalir lembut. Tidaklah kem tersebut dihiasi oleh rasa sunyi sangat. Sekurang-kurangnya bunyi alam seperti aliran sungai itu akan menghalau kebosanannya nanti menunggu semua fasi-fasi yang telah mendaftar untuk program pertama syarikatnya di Lembayung Purnama.

Bunyi orang sedang bertukang itu tidak silap Farid Wadji datang daripada sebuah tandas yang berdekatan dengan dorm pelajar lelaki. Betul-betul berhadapan dengan sungai. Semakin lama Farid Wadji melangkah, semakin kuat bunyi itu. Terkadang dirasanya berirama pula.

Sebaik sahaja dia membuka pintu tandas tersebut, bunyi tersebut terus hilang dan keadaan dalam tandas di belakang dorm pelajar lelaki kosong. Langsung tak ada sebarang jejak atau kesan bahawa pernah berlaku kerja penukangan di situ. Aneh... bunyi apakah yang didengarinya tadi? Tak akanlah... hantu? Farid Wadji pantas menggeleng. Dia tak percayakan semua itu.

Namun tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang membuatkan Farid terus menoleh. Hampir sahaja dia melayangkan penumbuk terhadap orang yang menyentuh bahunya itu. Mujurlah yang sedang berdiri dibelakangnya itu sahabatnya Syazwan yang berdiri sambil berpeluk tubuh sambil ditemani oleh seorang gadis yang lengkap bertudung, memakai baju-T longgar lengan panjang serta berseluar trek panjang.

“Kau dah kenapa Farid? Macam nampak hantu jer?” Seloroh Syazwan ketika melihat wajah Farid sedang bermandi peluh. Farid pula terpaku dengan kemunculan tiba-tiba Syazwan yang ditemani oleh seorang gadis yang tidak dikenalinya.

“Tadi... tak ada apa-apalah. Aku Cuma nak check tandas ni sesuai tak untuk student yang nak masuk nanti,” kata Farid menyembunyikan pengalaman seram yang baru sahaja dialaminya tadi. Dahi Syazwan berkerut sebelum dia kembali tersenyum.

“Perkenalkan... ini tunang aku. Hanis... sorry last minute bagitahu kau. Tapi dia nak join kem kita hari ni sampai ahad nanti. Ada kosong lagi kan?” Hanis sekadar tersenyum tatkala Syazwan memperkenalkannya.

“Ada satu kosong. Hanis boleh ikut kita. Mana budak-budak yang lain yang aku suruh kau cari tu? Dah jumpa?” soal Farid Wadji lagi.

“Ada. Dah sampai pun. Kau ni dah terlebih Jepun datang awal sangat!” Syazwan bergurau lagi. Namun, Farid Wadji tidak mengendahkan sangat gurauan-gurauan lelaki itu memandangkan dia sudah masak sangat dengan perangai loya buruk Syazwan itu.

Farid Wadji kemudian membawa langkah kakinya meninggalkan kawasan tandas di tepi sungai itu lalu melangkah ke arah kawasan perkarangan Kem Bina Diri Lembayung Purnama. Dia melihat beberapa buah kereta sedang terparkir tepat di hadapan kem tersebut. Kelihatan beberapa orang yang dalam lkingkungan usia 18 hingga 21 tahun sedang berdiri menunggu ketibaan Farid sendiri.

“Syazwan... jadi ini ialah fasi-fasi yang aku minta kau carikan itu untuk projek pertama kita kat sini?” soal Farid Wadji yang sekadar dibalas angukan dan senyuman daripada Syazwan. Mata Farid Wadji meneliti setiap satu calon fasilitator yang ada di situ. Seorang lelaki berkulit gelap yang memakai kopiah sedang berdiri sambil memeluk beg galasnya sedang berdiri takut-takut sambil memandang sekelilingnya. Seorang lelaki yang bergaya rambut yang disikat ke belakang, memakai sweater hitam sedang berdiri sambil tersenyum. Matanya kelihatan mencuri pandang dua orang fasilitator perempuan yang sedang berdiri tidak jauh darinya. Seorang menutup aurat dengan memakai tudung menutup paras dada manakala seorang lagi sekadar berambut ekor kuda. Cantik orangnya... patutlah lelaki yang bergaya tadi tidak henti mencuri pandang ke arah mereka.

“Kawan-kawan, perkenalkan lelaki di hadapan anda ini ialah Farid Wadji. Boleh panggil dia abang Farid jer,” ucap Syazwan.

“Assalamualaikum semua. Saya ialah ketua fasilitator anda merangkap pemilik syarikat motivasi yang diberikan amanah oleh kerajaan untuk menguruskan kembali kem yang sudah ditinggalkan orang sejak 5 tahun yang lalu. Tahniah kerana anda semua antara yang bertuah yang boleh menyertai projek ini. Saya tak nak cakap banyak. Saya cuma nak tahu awak semua dari mana dan nama awak. Kita berkenalan sekejap dan lepas tu... kita ada banyak kerja nak diuruskan kat kem ini sebelum nanti lepas solat jumaat, student pertama selepas 5 tahun akan tiba di sini dari SMK Hang Tuah, Eurasia,” ucap Farid Wadji tenang. Suasana bisu menjangkit antara mereka sebelum lelaki yang mata keranjang tadi bersuara tiba-tiba.

“Errr... saya dulu ya memandangkan semua orang diam?”

“Ya, awak dulu,” balas Farid Wadji.

“Ahmad Fikri. Panggil saya Fikri. Dari Universiti Teknologi Mara kampus Eurasia,” balas lelaki itu pendek sambil mengangkat tangannya di udara.

“Saya... nama saya Fazrin. Err saya... saya daripada USM kampus Eurasia...” balas lelaki berkopiah itu. Nada suaranya kelihatan tergagap-gagap.

“Saya Syafira. Boleh panggil Fira. Saya daripada Universiti Tun Dr Mahathir Mohammad. Eurasia jugak,” ucap gadis bertudung itu yang sekadar dibalas anggukan daripada Farid Wadji.

“Saya Huda! Kawan baik Fira. Universiti sama jugak!” kata rakannya yang tidak memakai tudung itu.

“Ada kurang seorang... Syazwan... mana seorang lagi?” soal Farid Wadji selepas selesai mengira jumlah fasilitator yang menghadirkan diri ke programnnya hari itu. Namun belum sempat Syazwan menjawab soalan Farid Wadji, kelihatan dari jauh kelihatan sebuah motorsikal jenis RXZ sedang ditunggang oleh seorang lelaki yang lengkap berpakaian jaket hitam menghampiri mereka.

“Sampai pun dia. Khair Zawawi... daripada Universiti Tun Dr Mahathir jugak,” ucap Syazwan sambil tersenyum di belakang.

“Maaf... maaf. Maaf saya lambat. Sesat cari jalan tadi. Dalam jugak ya kem motivasi ni ya?” ucap Khair Zawawi sambil tertunduk-tunduk seperti orang Jepun. Serentak itu, Farid Wadji menoleh ke belakang dengan wajah yang merah menahan marah.

“Aku suruh kau cari pelajar universiti, bukannya bakal model,” balas Farid Wadji bengang.

***

Selepas sahaja solat jumaat di masjid yang boleh tahan jauhnya dari lokasi kem motivasi itu, pelajar-pelajar dari SMK Hang Tuah akhirnya tiba juga di Kem Motivasi Lembayung Purnama. Kebanyakannya dalam lingkungan 17 tahun dan bakal menghadapi peperiksaan SPM. Datangnya mereka dengan satu tujuan yang sama. Mahu membina jati diri yang cukup utuh untuk menghadapi peperiksaan terpenting dalam hidup mereka. Tetapi tanpa mereka ketahui, detik mereka berpijak ke kem motivasi itu barangkali akan menjadi detik terakhir dalam hidup mereka. Semuanya bakal berubah dalam tidak sampai lebih daripada satu malam. Tidak lama lagi...

“Syazwan... ada 30 orang kan pelajar yang terpilih?” bisik Farid Wadji yang sedang memegang mikrofon. Dia sedang berdiri di dalam sebuah dewan kecil, betul-betul di hadapan pelajar SMK Hang Tuah yang sedang duduk di atas sebuah kerusi plastik. Masing-masing merenung takut ke arah barisan fasilitator yang sedang berdiri di hadapan mereka.

“Ya bro. 30 orang jer,” balas Syazwan.

“Assalamualaikum semua,” ucap Farid Wadji memulakan bicaranya. Salamnya dibalas oleh 30 orang pelajar tersebut namun dalam nada suara yang sangat mendatar sepertinya masing-masing diulit rasa mengantuk yang amat sangat. Farid Wadji menggeleng tidak gemar dengan situasi yang berlaku.

“Lagi sekali. Jawab salam abang dengan kuat dan bersemangat!” balas Farid Wadji.

“Waalaikumussalam!” balas pelajar-pelajar dihadapannya. Kali ini nada suara tidak lagi mendatar. Namun Farid Wadji pantas menggeleng. Dia masih tidak puas hati.

“Tak cukup! Abang nak kuat lagi!”

“Waalaikumussalam!” Kali ini, balasan salam daripada pelajar-pelajar itu sangatlah kuat sehingga seperti mereka mahu merobohkan siling.

“Berikan tepukan paling gemuruh untuk diri kamu. Macam inilah. Abang nak semua bersemangat. Kita ada pengembaraan yang sangat mengasyikkan yang akan menanti kalian semua di Kem Lembayung Purnama. Sebelum apa-apa, abang nak memperkenalkan nama abang. Nama abang ialah Farid Wadji. Panggil abang Farid. Tapi kalau nak panggil abang hensem pun tak ada masalah!” Para pelajar ketawa mendengarkan seloroh daripada Farid Wadji.

Kemudiannya, Farid Wadji pun menerangkan tentang peraturan-peraturan utama yang harus dipatuhi sepanjang berada di kawasan kem itu. Dari segi pemakaian dan barang-barang yang tidak boleh dibawa sehinggalah kepada batas pergaulan. Semuanya diterangkan dengan begitu tegas selaku ketua fasilitator di situ. Kemudian, sampailah masa yang dinantikan oleh para pelajar.. dan kita para pembaca.

“Sebelum abang nak tamatkan ucapan meleret-leret abang ni. Abang Farid nak pesan satu perkara... abang nak kalau boleh, kamu semua tolonglah jaga mulut sepanjang berada di sini. Jangan celupar. Kita semua ialah penghuni pertama kem ini selepas 5 tahun tempat ni ditutup. Jadi, jaga batas kamu dan ingat ALLAH. Abang tak nak nanti ada benda-benda buruk yang berlaku pada kalian semua!” ucap Farid Wadji sebelum dia mengarahkan Syazwan dan Hanis Aleeya untuk membawa pelajar lelaki dan perempuan untuk ke dorm masing-masing.

***

Sepanjang petang itu, para pelajar dibahagikan kepada 5 buah kumpulan. 3 kumpulan laki-laki dan dua kumpulan pula untuk kaum perempuan. Khair Zawawi, Fazrin dan Ahmad Fikri diamanahkan untuk mengetuai tiga buah kumpulan lelaki manakala Fira dan Huda diamanahkan untuk mengetuai dua kumpulan kaum perempuan. Syazwan dan tunangnya Hanis Aleeya pula diamanahkan untuk menguruskan perkara berkaitan dengan makanan dan tempat tinggal para pelajar sepanjang kem motivasi itu berlangsung.

Mereka semua diberi masa selama tiga jam untuk membincangkan tentang persembahan yang bakal dipersembahkan pada malam nanti. Persembahan itu menurut Farid Wadji adalah untuk memupuk semangat kerjasama antara kumpulan dan menguji kreativiti mereka. Namun, siapa tahu bahawa idea yang dilahirkan pada petang itu bakal mengubah segala-galanya.

Huda telah membawa kumpulan yang terdiri daripada 5 orang pelajar perempuannya ke sebuah tempat duduk batu yang sangat dekat dengan aliran sungai yang sedang mengalir di sebelah kem bina diri itu.

“Sebelum akak tanya apa idea korang untuk persembahan malam ni... akak nak tanya korang pernah terlibat dengan mana-mana persembahan kebudayaan sebelum ni ke?” soal Huda.

“Kenapa kak?” soal salah seorang pelajar perempuan dalam kumpulan Huda.

“Lagi senang kerja kita. Kita persembahkan jer persembahan yang korang pernah berlatih dulu. Kalau persembahan terbaik, akak dengar yang abang Farid kamu ada hadiah untuk kumpulan yang terbaik,” balas Huda.

“Kebetulan tiga orang dalam ni pernah menari dalam pertandingan tarian peringkat Eurasia,” ucap salah seorang pelajar dalam kumpulan Huda.

“Tarian apa? Dapat no berapa?” soal Huda ingin tahu.

“Tarian lagu cindai. Siti Nurhaliza!”

“No 1 kak,” jawab pula yang lain.

“Bagus! Ada 5 orang dalam kumpulan akak. Akak nak kamu bertiga yang dah tahu tarian ni ajar dua kawan yang lain yang masih belum pakar boleh?”

***

Kumpulan pertama yang membuat persembahan pada malam itu ialah kumpulan Khair Zawawi. Lelaki yang dipanggil persis model oleh Farid Wadji telah bersama dengan ahli kumpulannya membuat beberapa jenis tepukan berirama, yang semuanya penuh dengan jenaka sehingga membuatkan seluruh perserta kem motivasi pada malam itu ketawa. Farid Wadji seorang sahaja yang memerhati dengan wajah yang mendatar tanpa perasaan. Syazwan dan Hanis yang menjadi juri pada malam itu sekadar tersenyum. Pada malam itu juga, kelihatan beberapa orang guru pengiring yang turut berminat memerhatikan persembahan anak-anak muridnya.

Kemudian, kumpulan Fazrin pula membuat persembahan. Kali ini persembahan yang lebih bersemangat. Kumpulannya membuat bunyi-bunyi alam dengan mulut mereka, menghasilkan suasana yang sangat tenang di sekeliling mereka. Ada yang membunyikan suara air sungai yang mengalir, ada pula suara burung dan ada yang memainkan bunyi cengkerik. Semuanya dalam nada dan irama yang sungguh merdu. Persembahan kumpulan Fazrin mendapat tepukan gemuruh daripada pelajar, Farid Wadji dan juri yang ditugaskan untuk menilai persembahan mereka.

Selepas dua kumpulan lelaki membuat persembahan, maka kumpulan Huda diberikan amanah untuk untuk menjadikan kumpulan pertama yang membuat persembahan pada hari itu. Maka ahli kumpulan Huda yang sudah mengikat pinggang mereka dengan selendang dan kaiun tudung melangkah sambil tangan mereka seledang itu. Tubuh mereka terlentik lalu bergerak dalam pusingan kecil.

“Nyanyi,” gumam Huda sambil memberi arahan kepada ahli kumpulannya.

Maka setiap antara mereka pun menyanyikan lagu cindai sambil memabahagikan mereka rangkap masing-masing. Kaum lelaki matanya tidak berkelip memerhatikan lenggok tarian yang sangat lembut yang dipamerkan. Telinga pula merah menghayati nyanyian merdu tanpa latar muzik yang lahir dari mulut mereka. Selepas beberapa minit pun, persembahan pun tamat. Namun persembahan mereka tidak berakhir dengan bunyi tepukan sebaliknya lirik lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Huda itu tiba-tiba dinyanyikan dalam kegelapan yang bermaharajalela di luar dewan.

Cindailah mana tidak berkias

Jalinnya lalu rentah beribu

Bagailah mana hendak berhias

Cerminku retak seribu

Lagu itu seperti datang dari... hutan tebal yang memang mengelilingi seluruh kawasan kem motivasi itu. Cuma versi yang didendangkan di pinggir hutan itu kedengaran lebih sayu. Nyanyian yang mengiringi kumpulan penari dan penyyanyi tadi membuatkan keadaan di dalam dewan tadi sunyi sepi. Bulu roma masing-masing mula meremang. Namun tiada siapa yang berani bersuara sehinggalah tiba-tiba, entah dari mana, Farid Wadji mendapatkan keberanian. Dia merenung ke arah beberapa orang fasilitator lelaki yang sedang berdiri dengan riak wajah penuh rasa keliru.

“Syazwan... Fazrin... Khair! Ikut aku!” arah Farid Wadji tiba-tiba.

“Kenapa aku pulak tiba-tiba?” soal Khair tidak puas hati namun Farid Wadji tidak peduli akan rungutan lelaki itu sebaliknya dia terus melangkah ke arah dua orang guru lelaki yang sedang berdiri tidak jauh daripada mereka.

“Cikgu Deraman... saya dengan kawan-kawan nak pergi tengok siapa yang nyanyi lagu kat luar sana.. cikgu Deraman nak ikut kami atau...”

“Saya dengan Ibrahim duduk kat sini jer. Tolong tengok-tengokkan budak-budak ni,” ucap Cikgu Deraman pantas lalu dibalas angukkan daripada Farid Wadji.

***

Lagu Cindai itu semakin kuat berdendang apabila Farid Wadji dan fasililator lelaki yang lain mula menghampiri kawasan hutan yang mendampingi kem motivasi tersebut. Lampu suluh sudah dikatifkan di tangan mereka. Yang paling kelihatan takut sekali ialah Fazrin yang tidak habis-habis memegang baju Khair Zawawi membuatkan lelaki itu kelihatan tidak senang.

“Kau dah gila ke Farid? Kenapa tak aje kita duduk kat dalam dewan sana!” bisik Syazwan sambil memegang erat lampu suluh di tangannya.

Hendaklah hendak hendak ku rasa

Puncaknya gunung hendak ditawan

Tidaklah tidak tidak ku daya

Tingginya tidak terlawan

Lagu itu semakin mendayu-dayu padahal kalau lagu sebenar sudah masuk rangkap yang rancak. Farid Wadji sekadar mengikut punca suara perempuan yang menyanyikan lagu itu. Dia seorang sahaj ayang kelihatan luar biasanya berani. Tetapi masalahnya merek asemakin jauh menapak denai yang membawa mereka ke dalam hutan tebal.

“Dah dekat dah... sabar... ikut aku!” ucap Farid Wadji apabila menyedari bahawa rakan-rakannya yang lain sudah semakin ketakutan. Dan akhirnya selepas 5 minit meredah hutan, bunyi nyanyian itu betul-betul berada di atas kepala mereka. Untuk seketika, Farid Wadji saling berbalas renungan dengan rakan-rakannya yang lain sebelum masing-masing mendongak memandang atas mereka.

“ALLAHUAKHBAR....” Fazrin lantas melaungkan azan manakala Khair Zawawi ialah orang pertama yang membuka langkah seribu meninggalkan kawasan itu. Kelihatan seorang wanita yang dalam pakaian bajut-T putih lengan panjang yang berlumuran darah, dan berseluar trek sedang duduk bercangkung sambil air mata merah mengalir bercucuran dari kelopak matanya.

“Jangan... jangan sebut nama tu!” bisik perempuan itu sebelum meloncat tepat di atas tubuh Fazrin. Apa lagi, Fazrin jatuh terlentang dan perempuan yang memakai baju berlumuran darah itu pun tersenyum menyeringai menampakkan gigi hitamnya.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” teriak Fazrin cuba melepaskan dirinya manakala Farid Wadji dan Syazwan tergamam tidak percaya melihat apa yang berlaku. Entah kenapa, kaki mereka terasa seperti baru sahaja

“Terima... terima kasih... sebab sudi bangkitkan.. aku yang dah lama... tidur,” ucap perempuan itu sebelum dia membenamkan wajahnya di atas perut Fazrin. Gigi-gigi hitamnya terus menyambar isi perut Fazrin manakala jeritan Fazrin terus berkumandang di udara. Serentak itu juga, Farid Wadji dan Syazwan yang kaki mereka seperti terkena lumpuh untuk beberapa ketika terus membuka langkah kaki mereka meninggalkan kawasan itu. Fazrin menoleh tidak percaya.

“Tolonglah aku! Korang nak pergi mana?” teriak Fazrin sekuat hatinya.

***

Syafira, Hanis Aleeya dan Huda yang sedang berdiri di luar dewan sambil ditemani oleh Ahmad Fikri kelihatan tidak senang duduk menunggukan rakan-rakan fasililator mereka yang lain. Jeritan Fazrin tadi telah bikin mereka semua keluar serentak. Namun penantian mereka tidak berpanjangan apabila kelihatan Khair Zawawi berlari keluar dari hutan dalam keadaan tercungap-cungap.

“Kenapa? Kenapa weyh?” soal Ahmad Fikri sambil menghampiri Khair yang jatuh terjelopok di atas lantai. Namun, lelaki itu tidak menjawab sebaliknya bahkan Ahmad Fikri yang cuba membantunya untuk berdiri langsung tidak diendahkan. Sebaliknya Khair Zawawi terus berlari mendapatkan dorm untuk fasililator lelaki yang tidak jauh daripada tempatnya berdiri tadi.

“Sepatutnya aku tak turun program ni. Padanlah tempat ni ditutup selama 5 tahun... 5 tahun! Rupa-rupanya ada hantu!” gerutu Khair Zawawi tatkala dia sedang mengisi seluruh baju-bajunya ke dalam beg askarnya. Malam itu juga, dia menyelongkar seluruh almari pakaiannya. Kemudian, dia menggapai helmet mahalnya. Dia mahu cabut dari situ. Tak kiralah nanti dia tak dapat bayaran daripada Nova Q.

Pintu bilik dorm lelaki itu terbuka luas dan kelihatan Ahmad Fikri sedang melangkah sambil diikuti oleh Syafira, Hanis Aleeya dan Huda dari belakang. Khair Zawawi sempat menoleh ke arah rakan-rakannya itu lalu menggeleng. Dia menggapai beg askarnya dan berkira-kira mahu melangkah dari situ namun dia dihalang oleh Ahmad Fikri.

“Cerita kat aku... kenapa kau macam nampak hantu aje?” soal Ahmad Fikri.

“Jangan halang aku! Aku ada hal!” balas Khair Zawawi lalu melangkah keluar daripada dorm itu meninggalkan rakan-rakannya dalam keadaan terpingga-pingga. Dia melangkah ke arah motorsikal RXZnya, menghidupkan motorsikal itu sebelum memecut laju meninggalkan kawasan kem motivasi itu.

Namun, ketika dalam pertengahan perjalanan, enjin motorsikalnya tiba-tiba mati membuatkan sumpah seranah terus terhambur dari mulutnya. Lagi-lagi motornya mati di tengah-tengah jalan yang diapit oleh hutan di kiri dan kanan. Dia terus turun dari motor itu, meletakkan beg askarnya dan memeriksa keadaan motornya.

“Abang...” panggil satu suara dari belakang membuatkan Khair Zawawi ketika jejaka itu sedang menghidupkan motornya. Dia menelan air liurnya. Ada suara seorang perempuan memanggilnya di tengah-tengah hutan? Lagi-lagi pada waktu yang sudah mencecah 11.30 malam seperti itu.

“Abang... boleh tumpangkan saya tak?”

Khair Zawawi masih belum berani memalingkan wajahnya.

“Alaaa bang. Tak jauh pun bang. Nak pergi Kem Bina Diri Lembayung Senja jer,” ucap suara itu lagi. Khair Zawawi menarik nafas panjang, lalu menoleh ke belakang dan... tiada langsung kelibat seorang perempuan pun yang berdiri di belakangnya. Tapi tadi... bagaimana... bagaimana boleh ada... Khair Zawawi menggeleng kepalanya. Mungkin imaginasinya tadi. Dia menoleh kembali ke arah motornya dan... hampir jatuh terjelopok dibuatnya apabila melihat perempuan yang melompat ke atas tubuh Fazrin tadi sedang duduk di atas motornya sambil tersengih menampakkan gigi hitamnya. Mulut gadis itu berlumuran darah dan kelihatan seperti tali perut masih tersisa di celah gigi hitamnya.

“Abang Khai tumpangkan Sha balik ke kem motivasi tu boleh tak?” bisik gadis itu.

Khair Zawawi merangkak cuba menjauhi motornya, sebelum dia bangkit dan membuka langkah seribu. Lariannya deras. Kalau sempat diukur kepantasan itu, Khair Zawawi sendiri yakin yang dia mampu mengatasi rekod dunia yang pernah diciptakan oleh Usain Bolt.

Namun, kejutan sekali lagi menjelma. Entah kenapa, bunyi enjin motornya seperti dihidupkan oleh seseorang membuatkan Khair Zawawi terus menoleh belakang. Apa lagi, dia melihat motornya yang tidak berpenungang itu terus melanggar tubuhnya. Tubuhnya tercampak jauh membuatkan dirinya terlentang di atas jalan raya. Dia cuba bangkit namun tak berdaya. Dirasakan bahawa beberapa tulang kaki dan tubuhnya baru sahaja patah.

“Kau... tak ada beza dengan abang fasi yang pernah buat aku macam ni dulu,” bisik satu suara di sebelah telinga Khair Zawawi. Gadis yang bajunya berlumuran darah itu kelihatan bercangkung disebelah Khair Zawawi.

Motor yang melanggar Khair Zawawi tadi berbunyi lagi. Kedengaran seperti bunyi enjin dipulas tetapi langsung tidak kelihatan manusia di atas motorsikal itu. Air mata sudah mengalir dari kelopak matanya.

“Tolong... tolong jangan... buat aku macam ni. Aku tak tahu apa salah aku!” bisik Khair Zawawi menggunakan sisa tenaga terakhirnya. Namun, gadis tadi menggeleng dan motor tadi terus berderum dan... menggilis tubuh Khair Zawawi yang sedang terlentang di atas jalan raya. Apa lagi, jeritannya berkumandang di udara.

***

Farid Wadji muncul bersama dengan Syazwan dalam baju yang bermandi peluh dari dalam hutan. Kelihatan rakan-rakannya yang lain menghampiri mereka berdua. Hanis Aleeya yang merupakan tunang Syazwan hampir sahaja memeluk tubuh lelaki itu sebelum menyedari batas pergaulan antara mereka.

“Kenapa? Kenapa Khair macam nampak hantu jer tadi?” Ahmad Fikri tidak henti-henti menaburkan soalan.

“Haa Khair! Mana dia pergi?” soal Farid Wadji.

“Dia cabut dengan motor dia! Dia tak nak bagitahu kat kitaorang apa yang jadi!” balas Syafira pula.

“Kita tak sempat nak cabut dari sini. Ada banyak sangat pelajar yang kita kena jaga. Semua, dengar sini. Kita kena masuk dalam dewan sana, dan berkumpul. Pastikan tiada seorang pun yang keluar dari dalam sana!” arah Farid Wadji tiba-tiba.

“Syazwan! Fikri. Boleh ikut aku ke dapur sekarang?”

“Dapur? Kau nak buat apa Farid?” soal Ahmad Fikri.

“Aku nak cari garam. Aku nak taruh kat sekeliling dewan! Datuk aku cakap nak halang benda tu masuk dengan izin ALLAH ialah lingkaran garam!” kata Farid Wadji.

Selepas Ahmad Fikri bersetuju dengan cadangan Farid, maka mereka bertiga pun bergegas ke bahagian dapur yang berdekatan dengan dewan makanan dalam kem motivasi tersebut. Hanya Syazwan yang tahu lokasi garam diletakkan memandangkan dia yang ditugaskan menjaga makan dan minum pelajar-pelajar disitu bersama dengan tunangnya.

“Garam kat mana Syazwan?” soal Farid Wadji tatkala mereka sampai di bahagian dapur. Syazwan terus menyelongkar sebuah laci sebelum datang dengan beberapa paket garam. Dia mencampakkan paket garam itu kepada Farid Wadji dan Ahmad Fikri sebelum mereka terus bergegas ke arah dewan yang menempatkan kira-kira 30 orang pelajar SMK Hang Tuah di dalamnya.

“Kita bertiga buat lingkaran garam keliling dewan ni. Lepas tu kita bertahan dalam dewan sana!” kata Farid Wadji lagi memberi arahan.

Namun, belum sempat Farid Wadji mahu membuka paket garam itu, Ahmad Fikri terus memegang lengan Farid Wadji membuatkan lelaki itu mendongak ke arah mereka.

“Kenapa?” soal Farid Wadji.

“Kau tak bagitahu aku pun apa yang jadi... mana Fazrin?” soal Ahmad Fikri.

“Mati. Kena makan dengan hantu,” jawab Farid Wadji pendek membuatkan riak wajah Ahmad Fikri terus berubah. Tanpa mengendahkan Ahmad Fikri yang tergamam mendengarkan khabar berita itu, Farid Wadji terus membantu Syazwan membuat lingkaran garam di sekeliling dewan itu sebelum mereka disertai oleh Ahmad Fikri.

***

Susana dalam dewan itu sunyi sepi. Dua orang guru pengiring lelaki kelihatan berbisik untuk satu tempoh waktu yang agak lama sebelum mengangguk bersetuju dengan apa yang sedang dilakukan oleh Farid Wadji. Farid Wadji kemudian memberikan beberapa tepukan untuk menarik perhatian semua yang ada dalam dewan itu.

“Macam inilah... biar abang berterus-terang dengan korang. Kat luar sana, ada roh yang penuh dengan hasrat dendam yang tengah memburu kita semua. Abang fasi kamu Fazrin dah mati. Abang Khair kamu abang tak tahu apa jadi,” ucap Farid Wadji membuatkan suasana bisu tadi bertukar hiruk pikuk dengan bunyi bisikan para pelajar yang terperangkap di luar sana.

“Tapi jangan risau! Dengan izin ALLAH, abang dah pagarkan seluruh dewan ini. Kita akan cuba bertahan sampai ke subuh. Masa tu kita akan berambus dari sini dan minta bantuan orang luar!”

Serentak itu, kedengaran bunyi hilaian tawa yang seperti menyelubungi seluruh dewan itu. Serentak itu juga, seorang demi seorang pelajar perempuan di dalam dewan itu terus bertukar seperti dirasuk oleh sesuatu. Mereka turut ketawa mengikuti hilaian tawa itu. Kemudian, sesuatu yang paling tak dijangka berlaku. Huda tiba-tiba dduk bercangkung sambil merenung tajam ke arah Farid Wadji.

“Celaka kau Farid! Sangatlah celaka! Kau lambatkan rancangan aku malam ni! Aku janji aku tak akan sentuh semua pelajar-pelajar dan cikgu dalam dewan tu kalau setiap fasilitator dalam dewan tu serah diri pada aku!” teriak Huda tiba-tiba dengan dahi yang berkerut. Matanya tiba-tiba bertukar menjadi merah.

“Syaitan... apa yang kau mahu daripada kami anak adam? Keluar kau daripada tubuh perempuan tu!” teriak Farid Wadji tiba-tiba.

“Aku... aku akan suruh perempuan ni bunuh diri kalau kau tak buang lingkaran garam yang kau buat keliling ni!” teriak Huda.

“Tak! Tak syaitan! Aku tak akan sesekali padamkan lingkaran ini sehinggalah subuh nanti!” teriak Farid Wadji sekuat hatinya, tidak mahu mengalah.

Kemudian, Huda berdesir aneh sebelum kembali berdiri. Tiba-tiba sahaja gadis itu berlari meluru keluar dari dewan itu lalu melintasi lingkaran garam yang dibuat oleh Farid Wadji.

“Aku nak pergi kejar Huda! Kau orang semua tunggu dalam ni! Jangan sesekali keluar!” Farid Wadji memberi arahan.

“Aku nak ikut kau!” Syafira tiba-tiba bersuara.

Farid Wadji menoleh ke arah Syafira. Tajam.

“Dia kawan aku! Kau expect aku nak tunggu dalam ni macam orang bodoh jer?”

“Kau aje! Yang lain duduk dalam ni!” balas Farid. Syafira mengangguk sambil tersenyum lalu terus berlari bersama Farid mengejar langkah kaki Huda. Mereka kemudian dibawa ke tepi aliran sungai yang sedang mengalir deras pada waktu malam itu. Anehnya, Huda ketika itu sedang menari tarian yang saling tak tumpah seperti tarian pelajar-pelajar yang menari dan menyanyi lagu cindai tadi.

“Huda... kau buat apa situ... bahaya!” ucap Syafira cuba menghampiri Huda dari jauh. Huda sekadar menoleh dan mata merahnya itu merah menyinar dalam kegelapan. Kemudian, Huda kembali menari seperti Farid Wadji dan juga Syafira tidak wujud langsung di matanya.

“Dengar sini Huda... apa-apa pun yang kau akan buat. Ingatlah ALLAH Huda!”

Apabila nama ALLAH terlafaz dari kalimah bibir Farid Wadji, Huda terus menoleh ke arahnya.

“ALLAH kau tak akan mampu selamatkan gadis ini,” bisik suara itu lagi dan kemudian...

“Ya ALLAH! Huda jangan terjun!” teriak Syafira sekuat hatinya.

Bunyi tubuh Huda menghempas air sungai deras kedengaran. Serentak itu juga, kelihatan seperti kesan rasukan yang menguasai gadis itu terus hilang dan dia terus menoleh ke arah Farid Wadji dan Syafira yang sedang berdiri di tepi sungai.

“Ya ALLAH! Tolong aku! Aku tak tahu berenang! Macam mana... macam mana aku boleh ada kat sini!” teriak Huda sekuat hatinya. Farid Wadji terus membuka baju-T yang membaluti tubuhnya lalu berpaling ke arah Syafira.

“Aku nak kau lari sekuat hati kau ke dalam dewan tu balik! Aku akan usahakan sehabis baik untuk selamatkan Huda!” Farid Wadji memberi arahan. Syafira mengangguk. Apa lagi, Farid Wadji terus melompat ke dalam air sungai yang sedang mengalir deras itu. Dia cuba menghampiri Huda yang sedang kelemasan itu. Namun, kudratnya sedang teruji. Dia sedang mengerahkan tenaganya pada tahap maksimum untuk menyelamatkan Huda.

Prapp! Tangannya berjaya menyambar tangan Huda yang sedang terkapai-kapai itu. Lalu menggunakan tenaga yang dia ada, dia berenang ke tepian sambil sebelah tangannya memeluk tubuh Huda. Sampai sahaja ke atas darat, dia cuba untuk melakukan CPR ke atas gadis itu yang tidak sedarkan diri. Percubaan pertamanya tidak berjaya. Kedua juga begitu dan ketika kali ketiga, mata Huda terbuntang luas. Namun untuk kali ini, mata itu tiba-tiba bertukar merah. Tanpa diduga, tangan Huda terus mencapai leher Farid Wadji dan kali ini, Farid Wadji pula sedang terlentang di atas tanah sambil Huda terus berada di atas tubuh Farid Wadji, mencekik leher Farid Wadji. Aneh, tenaga yang dimiliki oleh gadis itu tersangatlah kuat untuk dilawan walaupun untuk lelaki yang setegap Farid Wadji.

“Ingat ALLAH Huda... ingat ALLAH...” bisik Farid Wadji perlahan. Matanya semakin kuyu. Dia merasakan bahawa waktunya sudah semakin tiba. Kalimah syahadah terus terbayang dimindanya. Mulutnya mula terkumat-kamit cuba melafaskan kalimah itu...

Pang! Seseorang muncul sambil memegang sebuah batu. Kelihatan Syafira sedang berdiri sambil termengah-mengah memegang batu di tangannya. Untuk seketika, gadis itu tergamam dengan apa yang berlaku. Farid Wadji terus bangkit sambil mencapai baju-T nya di atas lantai hutan dan menyarungkan ke tubuhnya yang basah lecun. Dia menghamoiri tubuh Huda yang tertiarap di atas tanah dengan darah sedang keluar dari belakang kepalanya.

“Dia.... dia dah tak ada!” ucap Farid Wadji selepas memeriksa nadi gadis itu. Apa lagi, air mata terus mengalir keluar dari kelopak mata Syafira.

“Cepat... kita kena pergi. Kita tak selamat berada di luar sini,” ucap Farid Wadji cuba membantu Syafira melangkah. Namun, gadis itu tidak mengendahkan langsung arahan Farid Wadji. Dia sekadar melutut di tepi jasad Huda yang sudah tidak bernyawa itu lalu memeluk tubuh itu sambil menangis teresak-esak. Serentak itu juga, lagu cindai kembali berkumandang di sekitar mereka.

“Alamak... dia datang balik!” bisik Farid geram. Dari jauh, kelihatan tubuh gadis yang berlumuran darah pada baju-T putihnya itu. Dia sedang melangkah sambil tersenyum menyeringai.

“Fira! Dia dah datang! Cepatlah!” teriak Farid Wadji.

Namun, Syafira seperti tidak mengendahkan kewujudan Farid Wadji.

“Shit! Maafkan aku Fira!” bisik Farid Wadji lagi lalu terus memengsankan Fira disitu. Kemudian, dia sendiri mengendong tubuh Fira dan terus membuka langkah kakinya ke arah dewan yang masih selamat daripada ancaman gadis tadi.

Namun, ketika dia sedang berlari, dia tersadung akar kayu dan tubuhnya jatuh terlentang di atas tanah bersama dengan Syafira yang sudah tidak sedarkan diri. Ketika itu juga, gadis yang berlumuran darah itu betul-betul muncul di atas kepalanya sambil terapung. Bunyi jeritan Syafira kemudiannya berkumandang dan di depan matanya, dia melihat bagaimana isi perut Syafira diratah oleh perempuan itu. Dia cuba untuk bangkit namun seluruh tubuhnya terasa seperti dipaku di atas lantai. Selepas habis tubuih Syafira diratah, perempuan tadi mengalihkan perhatiannya kepada Farid Wadji.

“Giliran kau... cuba berlagak wira ya?” soal gadis itu.

Farid sekali lagi diambang maut. Kalau tadi ketika dia hampir dicekik sehingga mati oleh Huda, kali ini pula angkara mahkluk yang mengganas tanpa sebab yang diketahui itu. Ketika dia memejamkan matanya untuk kali kedua, bunyi tembakan tiba-tiba bergema membuatkan Farid Wadji kembali membuka matanya.

Serentak itu, muncul Syazwan dan Ahmad Fikri sambil cuba membantu Farid Wadji berdiri. Kelihatan seorang lelaki yang berambut panjang pada paras leher sedang berdiri sambil memegang selaras Shot Gun bersama dengan seorang gadis bertudung dalam sweater merah jambu yang cantik sedang mengacukan selaras pistol jenis M1911 ke arah jelmaan gadis berlumuran darah itu.

“Kau tak apa-apa hero?” soal lelaki berambut panjang itu menghulurkan tangannya untuk disambut oleh Farid Wadji.

“Kau... kau siapa?” soal Farid Wadji.

“Badruz Zaman. Panggil aku Bad. Perempuan tu Citra. Kakak aku,” balas Badruz Zaman. Citra Adra sekadar menunjukkan isyarat peace dengan jarinya.

“Akak! Berapa kali Bad nak cakap jangan buat isyarat tu. Tu isyarat illuminati macam dalam buku tu cakap!” ucap Badruz Zaman namun Citra Adra sekadar menggeleng.

“Mengarut Bad. Sejak kau baca buku teori konspirasi tu, makin mengarut akak tengok kau!” ucap Citra Adra sambil melangkah dan memeriksa lokasi tempat jelmaan perempuan tadi berdiri sebelum hilang dimamah peluru Badruz Zaman.

Apakah yang sebenarnya yang terjadi? Baru sahaja sesaat tadi nyawanya bakal melayang, dan baru sahaja berlaku kematian di sekitar kawasan itu. Kemudian muncul dua orang adik-beradik yang entah dari mana datang mereka. Bahkan kematian yang berlaku seperti langsung tidak memberi kesan pada jiwa mereka berdua. Seperti kematian adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam hidup mereka.

“Banshee kak. Kita tengah berdepan dengan Banshee,” gumam Badruz Zaman tiba-tiba sambil dibalas angukan daripada Citra Adra.

“Bau teratai. Memang tak syak lagi memang Banshee,” kata Citra Adra.

Kemudian Badruz merenung ke arah Farid Wadji.

“Kau... aku nak mintak tolong kau boleh tak hero?” soal Badruz Zaman.

Farid Wadji mengangguk.

“Aku perlukan minyak dengan pemetik api. Lepas tu aku perlukan bantuan kau, dengan dua orang kawan lelaki kau tu. Kita akan pergi memburu Banshee,” kata Badru Zaman.

***

Farid Wadji agak teragak-agak memegang laras Shot Gun yang diberikan oleh Badruz Zaman kepadanya. Ahmad Fikri pula ditugaskan untuk membawa beberapa botol minyak manakala Syazwan pula tukung suluh untuk Badruz Zaman dengan Citra Adra melangkah dalam kegelapan. Kelihatan Badruz Zaman membawa sebatang cangkul sekali bersamanya.

“Siapa korang berdua?” soal Farid Wadji tiba-tiba yang membuatkan Badruz Zaman menoleh ke arahnya.

“Aku Bad. Ni Citra kakak aku. Kenapa?” soal Badruz Zaman.

Pang! Kepala Badruz Zaman tiba-tiba diduku oleh Citra Adra.

“Sakitlah kak!”

“Dia tanya siapa. Bukan siapa nama kita!” marah Citra.

“Ohh yang tu. Aku dengan kakak aku ialah pemburu hantu. Kita orang yang melindungi korang semua dari makhluk yang menghuni kegelapan tu semua,” balas Badruz Zaman.

“Pemburu hantu? Errrr...” Sungguh, Farid Wadji hilang kata-kata.

“Rasanya akak dah boleh buka mata akak,” ucap Badruz Zaman lalu dibalas angukan daripada Citra Adra. Serentak itu, pupil mata Citra Adra terus bertukar menjadi serbang putih manakala Farid Wadji, Syazwan dan Ahmad Fikri berundur beberapa tapak ke belakang.

“Sini dik. Sini kuburnya,” ucap Citra Adra lalu membawa mereka semua ke sebuah lubang yang agak besar. Kelihatan di dalam lubang itu, tengkorak manusia yang masih lagi tersarung dek baju-T putih yang sudah koyak-rabak. Di sekitar lubang itu juga, kelihatan tubuh Khair Zawawi dan Fazrin yang kini tidak lagi bernyawa.

“Kesian budak perempuan ni. Dia jadi mangsa makhluk Banshee ni. Banshee ini menyerupai budak ni dan Banshee akan terus hidup di atas dendam budak perempuan ni. Dia mati dibunuh oleh abang dan kakak fasi yang pernah mengadakan program kat sini. Tapi waktu tu, dia hanya dikenali sebagai hilang oleh kita semua. Aku tak tahu kenapa dia dibunuh, tapi dia mati tanpa mendapat pengebumian yang sepatutnya yang membuatkan dia dijadikan mangsa oleh Banshee yang memang menghuni hutan ni,” ucap Badruz Zaman.

“Jadi sebab itu hanya fasi sahaja yang mati?”

“Macam mana kau tahu... semua ni?” soal Syazwan tidak percaya.

“Kadang-kadang, kita orang pemburu hantu ni boleh jadi lagi cekap daripada FBI,” seloroh Badruz Zaman sebelum ketawa sendirian. Kali ini, kepalanya dipukul pula dengan bontot Shot Gun yang dipegang oleh Citra Adra untuk menarik lelaki itu kembali ke mood serius.

“Kita orang siasat. Bila kem ni dibuka semula, kita orang terus gali sebab-sebab kenapa kem ni pernah ditutup dulu. Rupa-rupanya selepas kes kehilangan dia, terdapat banyak kes kematian fasilitator yang berlaku yang cuba diselindungi oleh pihak kerajaan,” jelas Badruz Zaman lagi.

“Sekarang nak buat macam mana?” soal Farid Wadji.

“Aku akan bawak keluar tengkorak dan apa sahaja peninggalan gadis ni. Lepas tu, aku akan bakar kubur ni. Kubur ni ialah sarang si Banshee tadi dan ini satu-satunya cara nak bunuh Banshee!”

“Jadi... kau akan terjun masuk ke dalam kubur tu?” soal Ahmad Fikri dengan wajah jijiknya.

“Dah biasa buat kerja macam ni,” balas Badruz Zaman sebelum dia terjun ke dalam lubang tersebut. Dia kelihatan mengeluarkan sesuatu daripada beg galas yang dibawanya. Kelihatan sebuah plastik yang agak besar dikeluarkan oleh Badruz Zaman. Dia mengutuop sendiri tengkorak-tengkorak di dalam kubur itu lalu dimasukkan ke dalam plastiknya. Namun ketika tangannya mahu sampai ke sisa terakhir peninggalan mayat perempuan tadi. Tiba-0tiba sahaja keadaan berangin dengan kencang membuatkan Badruz Zaman mengeluh berat.

“Aku tak tahulah macam mana Rania boleh tahan handle Banshee ni,” gumam Badruz Zaman lalu mengeluarkan sepucuk pistol jenis M1911 daripada poket seluar jeansnya. Sebelum itu, dia sempat mengambil sisa peninggalan gadis tadi lalu diletakkan ke dalam plastik. Kemudian, dengan bantuan Citra, Badruz Zaman sendiri memanjat naik.

“Fikri... tuang sebanyak mungkin minyak ke dalam lubang kubur tu sementara aku handleBanshee ni,” ucap Badruz Zaman.

“Aku tolong kau Fikri!” Farid Wadji menawarkan dirinya.

“Bagus hero!” puji Badruz Zaman.

Serentak itu juga, angin menjadi semakin deras dan menggila menyukarkan kerja Farid Widji dan Fikri menguruskan kuburan yang mahu dibakar oleh mereka.

“Syazwan! Tolong kita orang suluh sini!” teriak Farid Wadji.

Syazwan menoleh ke arah Badruz Zaman sebelum dibalas angukan daripada lelaki itu. Kemudian, dari kejauhan kelihatan jelmaan gadis berbaju-T yang berlumuran darah sedang terapung bergerak ke arah mereka.

“Kenapa... kenapa kau kacau tempat makan aku!” teriak Banshee itu.

“Sebab sini bukan tempat kau. Bumi ini diamanahkan oleh ALLAH untuk anak Adam!” teriak Badruz Zaman melepaskan beberapa tembakan, namun tersasar apabila dielak oleh Banshee itu.

“Tapi aku lapar! Aku nak makan!” teriak Banshee itu lagi.

“Tapi bukan di sini! Kau telah memberi fitnah pada imej gadis tak bersalah yang kau jelmakan diri kau! Kau hidup atas harapan dia yang belum tertunai. Kau hidup atas dendam orang lain!” tempik Citra Ada pula.

“Aku tak kira! Bila kem ini dibuka atas tempat aku, itu bermakna korang sendiri kejutkan aku dari tidur aku!” teriak Banshee itu sebelum dia menjerit sekuat hatinya, menghasilkan bunyi yang sangat bingit. Badruz Zaman dan Citra Adra terus terlepaskan senjata mereka, menekapkan telinga masing-masing. Begitu juga dengan Farid Wadji, Syazwan dan juga Ahmad Fikri. Pemetik api yang dalam pegangan mereka terus terlepas di atas lantai. Lebih menakutkan, jeritan Banshee yang tidak sampai 30 puluh saat itu cukup untuk membuatkan darah mengalir dari lubang telinga mereka.

“Farid! Lighter tu. Bakar sekarang!” arah Badruz Zaman.

Farid Wadji paling hampir dengan pemetik api cuba bangkit mencapai lighter itu, namun entah bagaimana, Banshee tadi terus meluru ke arahnya dengan jeritan yang lebih kuat dan mulut yang terngaga luas. Untuk kali ketiga, maut betul-betul menyapa dirinya dan... Syazwan menjadikan dirinya perisai melindungi Farid Wadji. Lehernya yang dibaham oleh Banshee tadi bukannya Farid Wadji.

“Sekarang Farid! Abaikan aku...” arah Syazwan dengan senyuman yang terukir di wajahnya.

“Tapi...”

“Kirim salam kat Hanis aku...”

“Baik!” balas Farid Wadji lalu menghidupkan pemetik itu sebelum melepaskannya ke dalam lubang kubur yang terdedah di hadapannya. Lubang kubur itu terus terbakar dan apa lagi, api yang entah muncul dari mana menyambar seluruh tubuh Banshee itu dan tubuh Syazwan terus terkulai layu di atas tanah.

“Akhirnya...” gumam Badruz Zaman sambil terduduk kepenatan. Tubuh Syazwan terus diriba oleh Farid Wadji sambil diperhatikan penuh sayu oleh Ahmad Fikri dan juga Citra Adra.

“Awak hero sekali lagi Farid. Redhalah pemergian dia,” ucap Citra Adra yang sekadar dibalas angukan daripada Farid Wadji.

***

Matahari sudah mula bertenggek di atas sudut langit. Kelihatan Farid Wadji melangkah sambil mengendong tubuh Syazawan yang tidak lagi bernyawa. Hanis Aleeya yang menyedari kemunculan mereka pada pagi itu terus berlari menghampiri mereka. Namun, langkah kaki gadis itu longlai apabila melihat tubuh tunangnya tidak lagi bernyawa. Air mata gadis itu terus tumpah. Selepas beberapa ketika, kelihatan juga kumpulan pelajar SMK Hang Tuah yang turut menyertai kem motivasi itu.

“Syazwan...” ucap Hanis Aleeya yang sedang dipeluk erat oleh Citra Adra.

“Kak... kenapa dengan dia?” soal Hanis Aleeya namun Citra Adra tidak punya kekuatan untuk menuturkan apa-apa perkataan.

“Saya tak tahu siapa dia pada awak, tapi tadi... dia mati sebagai seorang hero,” ucap Badruz Zaman ketika melintasi Hanis Aleeya yang sedang menangis di bahu Citra Adra.

*Nova Q ialah syarikat motivasi yang benar-benar wujud dan dijadikan insiprasi dalam cerita ini. Sila Like: https://www.facebook.com/novaqsc/?ref=ts&fref=ts

*BADRUZ ZAMAN dan CITRA ADRA ialah cameo watak pemburu hantu daripada novel saya DARI ALAM LAIN.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku