PROJEK SERAM - CERMIN: 3 PERMINTAAN
BAB 2
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 23 April 2016
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
786

Bacaan






“NIgambarnya, tok.”

Sekeping gambar diserahkan kepada lelaki tua yang digelar bomoh itu. Wanita cantik di depan matanya itu direnung tajam.

“Apa yang kamu mahu aku lakukan pada wanita ini?”

Segaris senyuman terukir di bibir. Cukuplah selama ini dia berpura-pura. Dia perlu menunjukkan taringnya. Perasaan cemburu telah lama membuak dalam hati.

“Saya nak muka perempuan ni nampak hodoh di pandangan orang ramai, tok.”

“Ha...ha...ha... itu kerja mudah bagi aku.”

Gambar itu dilayangkan pada asap kemenyan. Mulutnya terkumat-kamit membaca mantera. Dia mencapai patung berbentuk jerami. Patung itu dijampi dengan manteranya. Kemudian, gambar itu dipakukan pada patung itu.

“Satu lagi, tok. Saya nak lelaki dalam gambar ni jatuh cinta dengan saya.”

Sekeping lagi gambar dihulurkan kepada lelaki tua itu.

“Bagaimana dengan upahnya?” Lelaki tua itu tersengih mempamerkan giginya yang berkarat.

“Tok tak usah bimbang. Saya akan berikan upah yang lumayan untuk tok.”

Sampul putih yang berisi sejumlah wang bertukar tangan. Lelaki tua itu ketawa sebaik sahaja menerima upahnya.

“Ha...ha...ha... aku akan bereskan kedua-duanya malam ini juga.”

Itu kerja mudah baginya. Lelaki tua itu menjalankan upacaranya. Mantera dibacakan semula.

SOFEA Jane berbaring di atas tilam sambil memegang cermin antik itu. Dia berasa tidak puas menatap wajahnya di dalam cermin itu. Dia sudah jatuh sayang pada cermin antic pemberian Damian.

Puan Diana hanya menggeleng melihat gelagat anak sulungnya itu. Badan sudah besar, tetapi masih bersikap keanak-anakan. Damian pun satu, macam tiada hadiah lain yang ingin diberikan kepada Sofea Jane.

“Dari tadi asyik dengan cermin ni,” ujar Puan Diana sambil merampas cermin dari tangan anak perempuannya. Cantik ukiran bunga pada cermin antik itu. Puan Diana menatap sekilas permukaan cermin. Ada sepasang mata merenung tajam ke arahnya. Serta-merta cermin itu terlepas dari tangan.

“Mama!” jerit Sofea Jane lantas memungut cermin itu.

Mujur cerminnya itu tidak retak. Puan Diana memeluk tubuh. Dia tidak sedap hati dengan cermin antik itu.

“Sofea, buang cermin tu.”

“Mama, cermin ni hadiah daripada Damian. Sofea takkan buang cermin ni.”

Puan Diana segera merampas cermin antik itu dari tangan Sofea Jane. Dia membawa cermin antik itu keluar dari bilik anaknya.

“Majid!” laung Puan Diana, memanggil pemandunya.

“Saya, puan,” sahut Majid sambil tergesa-gesa mendekati majikannya itu.

“Buang cermin ni jauh-jauh,” arah Puan Diana.

“Baik, puan,” ujar Majid sambil mengambil cermin itu dari tangan Puan Diana.

“Mama!” jerit Sofea Jane sambil cuba merampas kembali cermin itu tetapi dihalang Puan Diana.

“Cermin tu tak elok,” ujar Puan Diana.

“Sofea takkan maafkan mama!”

Sofea Jane mengetap bibir lalu masuk ke dalam bilik. Pintu bilik dihempaskan dengan kuat tanda protes. Puan Diana melepaskan keluhan berat.

“Mama, kenapa dengan Kak Sofea tu?” soal Sarah Aleeya, keluar dari bilik setelah mendengar kekecohan di luar.

“Tak ada apa-apa. Dah, kamu pergi tidur.” Sarah Aleeya mencebik.

Sofea Jane menghempaskan tubuh di atas tilam. Pelik. Kenapa mamanya berubah laku sekelip mata? Dia tidak nampak apa yang pelik pada cermin itu. Sofea Jane memusingkan tubuhnya ke kiri. Dia tersentak. Cermin yang sepatutnya dibuang oleh Majid itu berada di sebelahnya.

Sofea Jane bingkas bangun. Dia mengusap-usap cermin itu. Bibirnya mengukir senyuman. Dia tidak akan biarkan cermin itu dirampas mamanya untuk kali kedua. Sofea Jane perlu menyimpan cermin itu di tempat yang lebih selamat agar tidak dijumpai mamanya.


SOFEA Jane melangkah keluar dari vila tanpa bertegursapa dengan mamanya. Sarapan juga tidak dijamah seperti kebiasaan. Puan Diana tidak mengendahkan rajuk Sofea Jane.

Sarah Aleeya juga membisu di meja makan. Tijah dan suaminya, Majid saling berpandangan. Sunyi pula pagi itu tanpa keriuhan suara Sofea Jane dan Sarah Aleeya. Biasanya, kedua-dua beradik itu saling usik-mengusik. Ada saja modal Sarah Aleeya menyakat kakak sulungnya itu.

“Mama, Leeya gerak dululah.”

“Makan dulu sarapan tu sampai habis,” arah Puan Diana sambil mengerling anak bongsunya itu. Sarah Aleeya duduk semula. Angin mamanya nampak tidak baik pagi ini. Sama seperti kakaknya.


SOFEA Jane memarkir kereta. Dia ada photo shootuntuk sebuah majalah jam 11.00 pagi nanti. Dia sengaja keluar awal untuk keluar bersarapan bersama Damian. Damian ingin menjemput di rumah, tetapi Sofea Jane menegah. Ada ketikanya dia tidak mahu dirinya dimanjakan sangat. Damian melambaikan tangan ke arah Sofea Jane sebaik sahaja melihat kekasihnya itu muncul di muka pintu kafe.

“Selamat pagi, sayang.”

“Pagi.”

Air muka Sofea Jane nampak monyok pada pagi itu. Adalah yang tidak kena tu.

“You gaduh lagi dengan mama you ke?” tebak Damian.

“Pandai you teka.”

“Tengok muka you pun I dah dapat agak. You dengan mama you tu kan tak sebulu,” ujar Damian sambil menghirup perlahan minumannya.

“Mama I memang suka cari fasal,” ujar Sofea Jane, tidak bercerita tentang cermin itu.

“Kali ni apa puncanya?”

“Benda kecil aje. I laparlah. I nak ordermakan dulu,” ujar Sofea Jane, bingkas bangun.

Antara sifat Sofea Jane yang disenangi Damian, gadis itu tidak cerewet tentang lokasi tempat makan mereka. Asalkan sedap, bersih dan halal. Gerai tepi jalan pun Sofea Jane tidak malu untuk duduk makan bersama.

Gadis jelita yang nampak angkuh itu ada sikap merendah diri tanpa orang lain sedari. Sofea Jane menatang dulang berisi nasi lemak dan teh panas. Rata-rata mata pelanggan di gerai itu memandang ke arahnya.

“Terjojol biji mata lelaki-lelaki tu tengok you,” ujar Damian, tersengih.

“Mereka tak pernah tengok perempuan seksi macam I makan nasi lemak agaknya.”

“Kalau I pun, mata akan terjojol macam mereka jugak tengok you.”

“I cucuk mata you dengan garpu ni.”

Mata garpu sudah dihalakan ke arah Damian.

“Buta mata I nanti.”

Sofea Jane tersenyum.

“Tahu pun takut,” ujar Sofea Jane sambil menyuap nasi lemak ke dalam mulut.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku