PROJEK SERAM - CERMIN: 3 PERMINTAAN
BAB 3
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 23 April 2016
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1796

Bacaan






SOFEAJane mengibas-ngibas muka dengan tangan. Cuaca agak panas. Mukanya sudah sedikit kemerahmerahan. Salah seorang jurufoto menghulurkan sebotol air mineral kepadanya.

Thanks,” ucap Sofea Jane, pendek.

Lydia sedang duduk bersolek di atas kerusi set. DilihatLydia sedang menyapu krim pelembap di muka. Tidak pernah dia melihat jenama krim itu. Sofea Jane tertarik. Tambahan pula kulit Lydia halus dan berseri.

Sofea Jane merapati Lydia setelah melihat jurusolek Lydia beredar.

“You pakai krim apa tu?” soal Sofea Jane dengan penuh berminat.

“Krim ni? Oh, ni krim pelembap biasa aje. Pelembapni dibuat oleh keturunan moyang I, kemudian diturunkanpada keluarga I.”

“Boleh I cuba?”

“Kalau you minat, I boleh berikan satu pada you,” ujar Lydia sambil membuka beg tangan. Dia menghulurkan satu lagi krim pelembap yang serupa kepada Sofea Jane.

Thanks,Lydia”

Most welcome,” jawab Lydia, tersenyum.

“Lydia, giliran you dah sampai!” laung juru foto yang bertugas.

Lydia bangun dan menghampiri lokasi untuk gambarnya diambil. Sofea Jane melabuhkan punggung sambil membuka penutup krim itu. Dia menyapukan krim itu pada pipinya. Sejuk. Sofea Jane tersenyum. Noreen hanya memerhati dengan pandangan meluat. Semua orang asyik memberikan perhatian kepada Sofea Jane. Wanita itu dilayan bagaikan puteri raja.

“Lebih baik you ceburi bidang lain aje, Noreen. You tak nak cuba berlakon?” Suara Haley, salah seorang jurusolek di Agensi Model Elle.

“I tak minat dengan pentas lakonan,” ujar Noreen sambil menguis-nguis anak rambut di dahi.

“You tak nak cuba jadi duta produk kecantikan?”

“Hmm... mereka hanya pandang kejelitaan Sofea, bukannya I,” keluh Noreen.

“Yalah, Sofea tu bukan aje jelita tapi berbakat. You trylah berbaik dengan dia. Tak rugi pun. Nampak aje gedik, tapi dia okey,” ujar Haley sambil menyimpan alat-alat soleknya.

“Hisy, tak kuasa I!”

Noreen menyilangkan tangan. Dia tidak akan boleh berkawan baik dengan Sofea Jane. Pertama kali mereka bersua muka, Noreen sudah menganggap Sofea Jane sebagai seterunya.

“Ikut suka youlah. Jangan you bawa masalah sudah,” ujar Haley, sudah menyandang beg soleknya.

Aku nak sangat tengok wajah dia jadi hodoh. Waktu tu aku akan rampas segala-galanya daripada kau termasuklah Damian, bisik hati kecil Noreen.


SOFEA...” Sofea Jane menoleh kiri dan kanan. Tiada sesiapa pun. Dia seperti terdengar ada suara memanggilnya. Sofea menyapu solekan pada wajah sambil memandang ke arah

cermin tandas.

Cemberut sedikit riak mukanya apabila mengesan seketul jerawat tubuh berselindung di dahinya. Sofea Jane cukup menjaga kulitnya.

“Sofea...” Sofea Jane menoleh ke belakang. Dia mengebam bibir.

“Siapa?”

Sofea Jane menolak satu per satu pintu tandas itu.

“Jangan main-mainkan I. I tak suka!” Gerutu Sofea Jane, geram.

Tiada sesiapa di dalam tandas itu melainkan dia seorang. Sofea Jane segera mengemas alat soleknya masuk ke dalam beg tangan. Dia memandang semula ke arah cermin. Sofea Jane menjerit sebaik sahaja melihat wajah hodoh di depan cermin itu.

Damian segera meluru masuk ke dalam tandas wanita sebaik sahaja mendengar jeritan kekasihnya. Sofea menekup muka dengan tangan.

“Kenapa ni, sayang?”

“Hantu. Ada hantu dalam cermin tu!” jerit Sofea Jane, ketakutan. Dia masih tidak berani untuk membuka mata.

“Mana ada hantu?”

“Dalam cermin tu.”

“Tak adalah, sayang.”

Sofea Jane menurunkan kedua-dua belah tangan. Tidak ada lagi wajah menyeramkan yang dilihatnya tadi di dalam cermin itu.

“I tak tipu you,” ujar Sofea Jane sambil mencengkam lengan Damian.

“Ilusi you aje tu.”

Damian memeluk bahu Sofea Jane.

“You kena banyak rehat. Kebelakangan ni I tengok you lesu. Kuat sangat kerja.” Sofea Jane mengangguk perlahan.

“I hantar you balik. Malam ni cancel dinner.”

“Okey.” Suara Sofea Jane lemah.

Damian memapah tubuh Sofea Jane dan melangkah seiringan keluar dari tandas. Tidak lama kemudian, wajah hodoh tiba-tiba muncul semula di dalam cermin dengan senyuman di bibir.


MUKANYAterasa panas membahang. Sofea Jane tidak mampu melelapkan mata. Kulit muka seperti gatal-gatal. Pada masa yang sama di tempat lain, seorang lelaki terus membaca mantera pada anak patung yang berada di tangannya. Kemudian, dia mencucuk-cucuk wajah anak

patung itu dengan jarum.

Sofea Jane meraba-raba wajahnya yang sakit bagaikan dicucuk beribu-ribu jarum. Tangannya menggeletar apabila melihat kesan darah pada kedua-dua belah tangannya itu. Bergegas dia bangun dan menghadap wajahnya pada cermin. Sofea Jane menjerit di depan cermin. Jeritannya

itu menyebabkan mama dan adiknya terjaga daripada tidur.

“Argh!”

“Sofea! Kenapa?”

Pintu biliknya bertalu-talu diketuk oleh Puan Diana. Pintu bilik itu berkunci dari dalam.

Tiada jawapan. Suara Sofea Jane masih kedengaran terjerit-jerit di dalam.

“Sofea!” panggil Puan Diana lagi.

Tiada jawapan.

“Leeya, panggilkan Majid, lekas!” arah Puan Diana sambil memandang anak bongsunya itu.

Pantas Sarah Aleeya menuruni anak tangga. Beberapa minit kemudian, Majid muncul bersama Sarah Aleeya.

“Majid, kamu tendang pintu tu.”

“Tapi puan...”

“Aku kata tendang! Tendang aje!” arah Puan Diana, cemas.

“Baik, puan.”

Pintu itu ditendang sekuat-kuatnya oleh Majid. Pintu terbuka. Puan Diana dan Sarah Aleeya menerpa masuk. Sofea Jane kelihatan sedang berbungkus di dalam selimut.

“Sofea...” panggil Puan Diana. Sofea Jane mengeraskan diri. Puan Diana mengetap bibir. Dia menarik kasar selimut yang menyelubungi tubuh anaknya itu. Sofea Jane segera menekup muka dengan tangan.

“Jangan tengok muka Sofea!” ujar Sofea Jane, melenting.

“Sofea, apa yang berlaku?”

“Muka Sofea dah hodoh, mama!”

“Apa yang kamu merepek ni?” soal Puan Diana sambil merentap jari-jemari yang menekup muka anaknya itu. Tiada cacat-cela pada wajah jelita Sofea Jane.

“Mama tak nampak pun wajah Sofea hodoh.”

“Sofea tak tipu, mama. Sofea nampak wajah Sofea hodoh kat depan cermin. Ada banyak darah kat muka Sofea!”

“Sudah! Kamu jangan nak merepek malam-malam macam ni!” marah Puan Diana, kemudian melangkah keluar dari bilik anaknya itu.

Sofea Jane bingkas bangun menghadap semula cermin solek. Dia meraba-raba wajahnya. Wajahnya masih jelita. Sarah Aleeya merapati kakaknya itu.

“Kak Sofea mimpi aje tu.”

Sofea Jane menghela nafas panjang. Mungkin benar dia bermimpi. Sofea Jane duduk di birai katil. Dia mengeluarkan cermin kesayangan dari bawah bantal.

“Cantiknya,” puji Sarah Aleeya, terus saja melabuhkan punggung di sisi kakaknya.

“Ni hadiah birthday Kak Sofea. Abang Damian yang bagi tau.”

“Untunglah Kak Sofea ada boyfriendyang sayang akak macam Abang Damian tu. Dahlah anak orang kaya, handsomepulak tu.” Sofea Jane tersenyum.

“Kak Sofea tak kisah langsung dia anak orang kaya ke tak sebab Kak Sofea pun ada duit sendiri. Kak Sofea suka dia sebab dia seorang yang caringdan romantik,” ujar Sofea Jane, tidak memandang pada kekayaan milik Damian.

“Kak Sofea dengan Abang Damian memang sepadan sangat. Okeylah, Leeya nak tidur,” ujar Sarah Aleeya sambil menguap kecil.

“Leeya, jangan beritahu pada mama fasal cermin ni, ya,” pinta Sofea Jane sambil menarik lengan adik. Sarah Aleeya mengangguk. Pintu bilik Sofea Jane ditutup kembali. Sofea Jane menatap semula wajahnya pada cermin.

“Kalau boleh, aku nak kejelitaan aku kekal tak dimamah usia,” ujar Sofea Jane.

Dia mula bercakap-cakap dengan cermin antik itu.

“Alangkah bagusnya kalau cermin ni bernyawa dan ada kuasa yang boleh tunaikan permintaan aku.”

Sofea Jane meletakkan semula cermin itu di bawah bantal. Dia berbaring sambil memejamkan rapat matanya.

“Sofea...”

Telinganya menangkap suara memanggil namanya. Sofea Jane terjaga semula. Jendela di biliknya terbuka. Angin menerpa masuk. Sofea Jane bingkas bangun menutup jendela. Bagaimana jendela biliknya boleh terbuka? Sofea Jane menarik semula selimutnya. Matanya kembali terpejam.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku