Penanda Kubur Anira
1. Ketibaan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3132

Bacaan






Hujan turun dengan lebat sekali, diselangi dengan bunyi guruh yang kuat berdentum. Dalam kepekatan hujan yang turun menyembah bumi, kelihatan Azman berdiri seorang diri di tepi pantai, khusyuk memerhatikan sampannya yang terapung semakin jauh di bawa ke tengah lautan.

Muka Azman kelihatan sangat cengkung, pucat dan dipenuhi jambang yang tidak dicukur. Badannya kurus kering – tulangnya saja yang kelihatan, ibarat jerangkung. Pakaiannya kotor dan koyak rabak. Walaupun baru berusia 28 tahun, Azman kelihatan seperti orang tua yang dalam kesakitan dan tidak lagi berupaya. Digalas sebuah guni besar yang kelihatan berat di belakang badannya, membuatkan Azman terpaksa membongkok.

Hujan masih lebat, turun tanpa henti. Ombak yang tinggi dan angin yang kencang menolak sampan itu jauh ke tengah laut hingga hilang dari pandangan Azman. Setelah memastikan sampan itu sudah hanyut, denganmenggalas guni besar dan terbongkok-bongkok, dia berjalan menyusuri pantai dan menjumpai sebuah laluan kecil untuk memasuki kawasan hutan tebal di belakang pantai. Dengan harapan untuk menjumpai tempat yang sesuai agar dia bisa berteduh dan berehat, Azman perlahan-lahan menyusuri lorong kecil itu. Lebih kurang lima minit perjalanan, hujan yang lebat tadi perlahan-lahan reda. Hanya renyai-renyai sahaja.

Tiba-tiba, Azman jatuh melutut di tanah dan mengerang kesakitan dengan kuat. Badannya menggeletar dan mukanya berkerut-kerut. Tangannya kemas memegang dada, menahan kesakitan yang teramat.

Kedengaran suara wanita yang garau dari arah belakang Azman.

“Azman! Kita dekat mana sekarang?!”

Dengan serta merta, kelihatan sepasang tangan wanita tua yang berkedut, perlahan-lahan muncul daripada guni yang terbuka sedikit, dari belakang Azman. Jarinya kurus dan kukunya panjang kehitaman. Tangan tuanya rakus mencapai dan menarik rambut Azman dengan kuat.

“Kau baik bilang sama aku Azman, kalau tak, aku koyak-koyakkan telinga kau!”, suara wanita garau itu mengugut Azman.

Azman yang masih melutut di tanah menahan kesakitan dengan mukanya yang berkerut-kerut. Air matanya mula mengalir. Azman menjawab persoalan wanita tua itu dengan keadaan seperti orang yang terseksa.

“Aduh! Maafkan... Maafkan saya Anira! Maafkan saya! Kita dah berdekatan dengan kampung Dangi.”

“Kau pasti, Azman? Kau tak bohong aku?”, wanita tua yang dipanggil Azman Anira itu bertanya, seakan mengejek.

“Betul Anira! Betul!” tersedu-sedu Azman menjawab soalan Anira.

“Bagus! Bagus! Kau tahu kan dah empat hari aku tak makan? Sekarang cepat! Dapatkan makanan untuk aku sekarang! Faham tak?”

Anira melepaskan cengkamannya pada rambut Azman, dan perlahan-lahan menarik tangannya masuk kembali ke dalam guni. Hujan yang hanya renyai-renyai tadi sudah mula berhenti. Matahari kembali bersinar. Daripada bahagian atas guni yang sedikit terdedah, dapat dilihat dengan samar-samar wajah seorang wanita – matanya yang besar dan merah menyala jelas kelihatan.

“Assalamualaikum!”

Azman tersentak apabila mendengar suara seorang lelaki memberi salam. Azman mendongak, dan melihat Kamsani, salah satu penghuni kampung Dangi sedang berdiri di hadapannya. Azman kaku.

“Assalamualaikum, Encik. Encik sihat? Boleh saya tolong?”, dengan senyuman mesra, Kamsani menunggu jawapan daripada Azman.

Azman bingkas bangun, mencapai guninya dan serta merta berlari lintang-pukang memasuki kawasan semak samun. Azman berlari dengan pantas sekali, seolah-olah dikejar hantu. Sekejap-sekejap, dia menoleh ke belakang untuk memastikan tiada siapa, malah Kamsani yang mengekorinya.

Setelah jauh dia berlari, Azman berhenti dan terbongkok-bongkok meluah kepenatan. Dalam tercungap-cungap menggapai udara, Azman masih sempat menoleh-noleh ke belakang, khuatir diekori. Dia melihat sekeliling kawasan tersebut untuk memastikan dia tidak diekori oleh Kamsani. Tiba-tiba, kedengaran suara garau Anita dari dalam guni yang digalas Azman, sekali lagi.

“Hoi, bodoh! Mana dia? Kenapa kau tak nampak dia berdiri depan kau tadi, bodoh? Kenapa kau lalai sangat??!!”

Sekali lagi Anira mengeluarkan tangannya yang berkedut dengan kukunya yang kehitaman itu, menarik-narik rambut Azman dengan rakus. Azman mula menangis teresak-esak.

“Maaf. Maafkan saya, Puan Anira. Saya... saya pasti yang dia tak ikut kita lagi, Puan Anira. Betul! Saya dah tengok sekeliling kita. Dia tak ada. Maafkan saya, Puan Anira! Maafkan saya!”

Perlahan-lahan, muncul sebuah kepala seorang wanita tua; Anira – daripada bahagian atas guni yang terbuka. Mukanya bengis, pucat lesi, berkedut dan sangat cengkung, mampu menakutkan sesiapa sahaja yang memandangnya.

Matanya yang merah menyala dan besar itu terbeliak memerhatikan arah di hadapan tempat mereka berdiri. Anira melepaskan cengkaman pada rambut Azman dan menepuk-nepuk mukanya.

“Hoi, Azman! Kau tengok sana! Kau tengok sana! Kau nampak tak?”

Muka Anira yang menakutkan itu tersengih, umpama menemui kebahagian sambil menunjukkan sesuatu kepada Azman. Azman perhati arah yang ditunjuk Anira. Daripada jarak yang tidak sebegitu jauh, terdapat sebuah rumah usang yang kelihatan buruk dan daif; umpama telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni. Azman tersenyum lebar dan mengesat peluhnya. Azman kemudiannya mencapai dan menggalas guni, lalu berjalan dengan pantas ke arah rumah usang itu.

Rumah usang itu buruk sekali. Lantai, tiang, dan kayunya sudah tua; pasti sudah ditinggalkan bertahun-tahun lamanya. Lalang tumbuh tinggi di sekeliling rumah. Apabila Azman membuka pintu hadapan rumah, longgokan daun-daun dan tangkai kering pokok bersepah di atas lantai kayu yang kelihatan mula mereput. Semua tingkap yang terdapat di dalam rumah ditutup rapat, membuatkan keadaan dalam rumah gelap-gelita dengan pengudaraan yang kurang bersih. Hanya sedikit sahaja cahaya yang dapat dilihat menembusi kawasan rumah; menerusi lubang kecil di dinding kayu rumah yang mereput dimakan anai-anai.

Azman perlahan-lahan meletakkan guni di atas lantai, dan terduduk di penjuru dinding, bersandar kepenatan. Anita perlahan-lahan menggunakan tangannya untuk menarik diri keluar daripada guni. Anita tidak lagi boleh berjalan kerana kedua-dua belah kakinya tidak lagi berkemampuan untuk menampung berat badannya. Seperti orang yang lumpuh daripada paras pinggang, dia hanya mampu bergerak dengan bantuan dan penggunaan tangannya, untuk mengheret badannya yang kurus. Kakinya yang sudah lama tidak digunakan itu kelihatan seperti tulang yang hanya dibaluti sedikit kulit; kurus dan kotor.

Anira mengeruk-ngeruk belakang tengkuknya, dimana terletak sebuah paku yang sudah 100 tahun tercucuk disitu. Paku itulah yang mengukuhkan sumpahan Anira. Paku itu juga adalah sumber segala kuasa yang diperolehinya. Sumpahan Anira akan hilang dan dia akan kembali seperti manusia biasa tanpa paku itu.

Perlahan-lahan, Anira menarik badannya menuju ke arah pintu hadapan rumah usang itu. Anira mendongak ke atas beberapa kali, melihat sekeliling rumah yang gelap itu, seolah-olah mencari sesuatu. Apabila dia terpandang Azman yang hampir terlelap kepenatan di penjuru dinding, dengan pantas dia mengheret dirinya ke arah Azman dan menepuk kaki Azman dengan kerasnya.

“Hoi, jahanam! Apa kau tunggu lagi? Bersihkan tempat ini cepat! Dah empat hari aku dalam sampan tu, aku lapar! Carikan aku makanan cepat! Cepat!”

Anira memekik-mekik dengan mukanya yang bengis dan buruk berkedut itu.

Belum sempat Azman menyahut suruhan Anira, tiba-tiba kedengaran bunyi ranting kayu patah daripada kawasan luar rumah. Anira menoleh ke arah Azman dan memberikan isyarat untuk dia diam, sambil berbisik.

“Apa benda tu, Azman? Kau pergi intai cepat dekat lubang kecil, tu!”

Azman merangkak perlahan-lahan ke arah lubang kecil di dinding kayu yang reput itu dan mengintai keluar. Azman lihat Kamsani, orang kampung yang dijumpai mereka tadi sedang perlahan-lahan berjalan menghampiri rumah usang itu. Azman cemas.

Anira yang berang menolak muka Azman ketepi dan mula mengintai dengan sendiri melalui lubang kecil itu. Setelah melihat Kamsani yang semakin menghampiri rumah usang itu, Anira mula tersenyum sinis. Anira membelai lembut kepala Azman sambil berbisik sekali lagi.

“Kau nampak tu, Azman? Makanan aku dah sampai.”

Anira masih tersenyum sinis. Azman kebingungan.

“Aku sembunyi dekat belakang sana nanti. Bila bodoh itu masuk ke dalam, aku akan kejutkan dia. Kerja kau, ketuk kepala dia sampai dia pengsan. Faham?”

Anira memberi arahan dengan bengis. Azman hanya mampu mengangguk. Azman mencapai batang kayu besar yang terdapat di atas lantai kayu rumah usang itu, dan bersembunyi di sudut gelap, bahagian kiri pintu hadapan rumah tersebut. Anira pula dengan pantas mengheret dirinya yang kurus itu ke bahagian kanan pintu hadapan dan bersembunyi.

Kamsani mula menghampiri rumah usang itu, dan melangkahkan kakinya masuk ke dalam rumah. Ketika baru melangkahkan kakinya masuk ke dalam rumah itu, Kamsani terdengar bunyi sebuah ketukan di sebelah kirinya. Tersentak dengan bunyi itu, dia menoleh ke bahagian kiri dan ternampak pada sudut rumah, sebuah bungkusan putih di atas lantai. Dalam kehairanan, Kamsani berjalan perlahan-lahan menghampiri bungkusan putih itu. Dengan serta merta, tiba-tiba, Anira mendongakkan kepalanya dan memekik dengan sekuat hatinya – mengejutkan Kamsani yang nyata terkejut dan tidak menduga sebarang perkara.

“Astaghfirullahaladzim!” Kamsani mengucap dan mula mengundurkan dirinya ke belakang. Namun apa yang tidak Kamsani sedari adalah kehadiran Azman di belakangnya. Kamsani yang mengundurkan diri ke belakang semakin menghampiri Azman; mengakibatkan sebuah pukulan diberikan pada bahagian kepalanya, oleh Azman dengan batang kayu yang dijumpainya di atas lantai rumah usang itu. Kamsani rebah di lantai dan tak sedarkan diri.

Anira yang keseronokan, dengan pantas mengheret tubuhnya naik ke atas badan Kamsani yang baring terlentang di atas lantai. Anira rakus menggigit leher Kamsani. Darah dari nadi utama di leher Kamsani berpancutan keluar tanpa henti. Azman terdiam dan serta merta dalam ketakutan. Akibat ketakutan ini, dia mula mengundurkan dirinya ke belakang dan akhirnya terduduk di sudut rumah usang itu. Dia tersandar sambil memeluk kedua-dua lututnya dan menangis – umpama budak kecil.

Setelah puas meratah dan menghisap darah Kamsani, Anira mendongak dan mengesat kesan darah yang terdapat di bibirnya. Anira kemudiannya merenung Azman dengan bengis.

“Hoi, kau tunggu apa lagi? Cepat! Tugas kau sekarang!”

Dalam keterpaksaan, Azman mula menangis teresak-esak. Anira dengan bengis memerhatikan Azman yang dalam ketakutan. Azman mengeluarkan pisaunya dan teragak-agak menghampiri badan Kamsani yang terkujur di lantai. Perlahan-lahan, Azman membelah dada Kamsani; membuka ruang luas atas belahan dada itu dan membenarkan Anira memasukkan tangannya ke dalam dan meragut jantung Kamsani keluar. Tangan Anira dipenuhi darah, dengan jantung Kamsani kemas dalam genggamannya. Sedikit demi sedikit jantung Kamsani itu dijamah Anira, digigit dan dikunyahnya perlahan. Setelah habis meratah jantung Kamsani itu, Anira rebah dan terbaring di sisi mayat Kamsani dan mengerang kesakitan.

Tiba-tiba, muka Anira mula berubah. Daripada matanya yang bulat besar merah menyala itu, berubah menjadi putih. Kulitnya yang pucat lesi dan kelihatan tidak bermaya itu, berubah menjadi kemerah-merahan; kulit tangan dan kakinya yang tua berkedut itu, mula menjadi tegang. Rambutnya yang kusut-masai dan putih beruban itu mula berubah menjadi ikal mayang dan kehitaman.

Azman yang masih dalam ketakutan, terduduk diam di sudut dinding. Tiba-tiba Azman dikejutkan dengan suara Anira yang mula mengilai dengan kuat. Azman tersentak melihat Anira yang tadinya seperti wanita tua yang lumpuh, kini mampu berdiri dan berjalan. Azman sekali lagi tersentak dengan matanya yang luas terbeliak, apabila melihat Anira bertukar menjadi seorang wanita yang sangat cantik – berdiri di hadapannya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku