Penanda Kubur Anira
2. Perkahwinan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2638

Bacaan






20 Februari 1923 – esok hari; merupakan hari yang teristimewa buat Ishak. Hari di mana dia akan di-ijabkabulkan dengan kekasihnya sejak kecil, Marini. Oh Marini, anak penghulu Kampung Dangi. Wanita paling cantik di Kampung Dangi itu. Ishak juga apa kurangnya, antara jejaka muda yang terkacak di dalam kampung. Maka cocoklah mereka berdua, sepadan sekali. Bagai pinang di belah dua.

Hari yang dinanti-nantikan kini tiba. Senyuman tidak lekang daripada bibir Ishak, masih memikirkan betapa indahnya mengahwini kekasih hatinya. Sebelum bergerak ke majlis yang diadakan di rumah keluarga Marini, segala rombongan daripada pihak lelaki bersiap sedia di rumah Ishak. Ahmad, Rashid dan Kassim antara yang memenuhi dan memeriahkan suasana yang sememangnya gamat di rumah Ishak. Sebagai sahabat karib sejak kecil lagi, mereka sememangnya diketahui amat rapat; sentiasa bermain, belajar agama malah bekerja di ladang bersama-sama. Hari ini mereka bertiga sedang menolong sahabat karib mereka, Ishak untuk bersiap sedia untuk ke majlis perkahwinannya. Usikan dan tawa tak lekang antara mereka. Ahmad, Rashid dan Kassim tidak henti-henti menyakat Ishak dan “angannya” untuk mengahwini Marini.

“Kau segak betul, Shak. Untunglah Marini dapat kahwin dengan kau, kan?” kata Ahmad sambil menepuk-nepuk bahu kawannya itu.

Ahmad kagum betul dengan percintaan Ishak dan Marini. Apatah lagi dengan keindahan yang dikurniakan kepada kedua-dua mempelai, menyemarakkan lagi sanjungan yang akan diungkap kepada Ishak dan Marini. Ishak yang mendengar pujian Ahmad mula malu dan tersipu-sipu mengukir senyuman sambil membalas pujian Ahmad.

“Apa Marini yang untung dapat aku. Aku yang sebenarnya beruntung sangat dapat dia! Wanita secantik Marini ingin berkahwin dengan aku...”

Rashid yang dari tadi hanya mendengar perbualan Ahmad dan Ishak mencelah dengan angkuhnya sambil ketawa terbahak-bahak.

“Ya, kau memang beruntung dapat si Marini tu. Tapi itupun sebab aku yang undur diri, beri laluan dekat kau. Kalau tak, akulah yang duduk atas pelamin sebelah Marini hari ini!”

Rashid sekali lagi terbahak-bahak ketawa mengusik Ishak sambil menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu, tanda bergurau.

“Rashid, sudah sudahlah berangan. Kau jangan berangan nak dapat Marini. Kalau kau yang duduk sebelah Marini hari ini, itu bukan lagi ‘bagai pinang di belah dua’, tau? Tapi kau tahu apa? ‘Bagai pinang diletup dua’.”

Mereka berempat ketawa terbahak-bahak mendengar ungkapan Kassim itu. Dalam hilai ketawa yang mengiringi dan memenuhi suasana perkahwinan itu, tiba-tiba bapa Ishak melaungkan sesuatu daripada luar.

“Ishak! Sudah siap belum? Kau bersolek lama benar, kalah pengantin perempuan. Cepat, Ishak! Rombongan kompang tunggu di luar!”

Selepas mendengar laungan itu, mereka berempat sepantas kilat bersiap sedia, mengemas solekan dan dandanan yang dilakukan dan segera keluar daripada bilik menghampiri rombongan kompang yang sedang menanti. Ibu Ishak memberikan jelingan marah, protes atas kelewatan Ishak bersiap. Ishak tersenyum dan mengejitkan matanya buat ibu, memujuk hati perempuannya yang kabut.

Selepas bersedia untuk ke rumah Marini, di mana akan berlangsungnya majlis perkahwinan ini, rombongan keluarga Ishak perlahan-lahan melangkah ke sana. Dengan iringan bunyi kompang, mereka melalui lorong kecil ke rumah Marini. Setibanya di majlis perkahwinan itu, tumpuan mula diberikan kepada Ishak, sebagai pengantin lelaki. Ishak tidak mempedulikan tumpuan orang lain, sebaliknya matanya hanya tertumpu kepada Marini yang cantik berdandan untuk majlis perkahwinan mereka. Kedua-dua mempelai diarak ke pelamin dan diraikan oleh seluruh penduduk kampung. Ishak di atas pelamin tanpa henti mengukir senyuman, terlalu terpana dengan keindahan dan kecantikan Marini. Baju pengantin yang berwarna merah menaikkan seri Marini yang memiliki kulit gebu. Mereka berdua diraikan dengan meriah sekali dan segala perkara berjalan dengan lancar.

Ayah Marini – Penghulu Shah, penghulu bagi kampung Dangi dan isterinya, Puan Fatimah sedang sibuk menyambut kedatangan pihak tetamu yang datang tanpa henti di gerbang pintu masuk buat majlis perkahwinan ini. Tetamu yang hadir terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak, penduduk kampung Dangi dan pelbagai sahabat handai yang ingin berkongsi detik bahagia buat Ishak dan Marini ini. Penghulu Shah dengan cepat menyambut kedatangan sahabat baiknya, Tok Zamri selepas melihat Tok Zamri menjejakkan kakinya ke majlis perkahwinan ini. Salam Penghulu Shah disambut mesra oleh Tok Zamri.

“Tahniah, tok. Alhamdulillah, majlisnya meriah. Harapkan semuanya lancar. Berseri-seri kedua-dua mempelai atas pelamin, ya!”

Penghulu Shah ketawa. Tok Zamri turut ketawa dan menepuk-nepuk bahu Penghulu Shah.

“Terima kasih banyak, Tok. Alhamdulillah, moga majlis ini berjalan lancar. Eh, pergilah makan cepat, Tok! Nanti habis pula lauk rendang kegemaran Tok nanti. Habis nanti merajuk pula.”

Mereka berdua ketawa sekali lagi. Tok Zamri menggeleng-gelengkan kepalanya sambil ketawa dan berjalan masuk ke dalam majlis untuk menikmati hidangan yang disediakan.

Sementara itu, tidak jauh daripada majlis perkahwinan Ishak dan Marini, di sebalik sebatang pokok besar, kelihatan Saleha sedang sembunyi-sembunyi menangis. Walaupun Saleha cuba menenangkan diri dan pemikirannya yang runsing, namun Saleha masih gagal dan mula menangis teresak-esak. Pelbagai persoalan bermain di benaknya.

“Mana abang Kamsani? Kenapa tidak pulang lagi?”, bisik hatinya.

Persoalan yang bermain di fikiran Saleha sekali lagi memberatkan kewarasannya. Hatinya inginkan jawapan, namun Saleha khuatir ianya akan mengganggu orang lain, terutamanya Penghulu Kampung.

“Hari ini majlis di rumah Tok Penghulu. Nanti aku mengganggu majlis pula. Ya Allah, runsingnya. Mana pergi abang Kamsani?”

Kerana terlalu memikirkan isu ketidakpulangan suaminya itu, kepalanya mula pening. Saleha menarik nafas sepanjang-panjangnya, cuba untuk menenangkan dirinya agar tidak membahayakan kesihatan dirinya, malah juga kandungan yang dibawanya kini. Selepas mula bertenang dan mengesat saki-baki air matanya dengan hujung kain tudung, Saleha bangun perlahan-lahan menuju ke majlis perkahwinan Ishak dan Marini.

Kedatangan Saleha disambut mesra oleh Puan Fatimah. Saleha cuba sedaya upaya untuk menahan sebaknya dan menyalam Puan Fatimah. Namun rupa Saleha yang sembab, kesan akibat menangis ditegur oleh Puan Fatimah selepas mereka bersalaman. Puan Fatimah kelihatan khuatir.

“Leha, kau kenapa? Kenapa kau menangis?”

Saleha seboleh-bolehnya menangkis persoalan Puan Fatimah.

“Tak ada apalah, Puan.”, kata Saleha sambil menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali.

“Cantik sekali majlis ini, puan. Meriah.”

Saleha cuba menarik nafasnya perlahan-lahan untuk bertenang dan menukar topik perbualan bagi melepaskan diri daripada dibaca oleh Puan Fatimah. Puan Fatimah yang mampu mengesan sesuatu daripada raut wajah Saleha, tahu ada sesuatu yang merunsingkan hati wanita ini. Dalam penuh simpati, Puan Fatimah sekali lagi cuba untuk mengorek rahsia kerunsingan hati Saleha.

“Janganlah begini, Leha. Kalau kau ada masalah, ceritalah. Beritahu kami. InsyaAllah, mungkin kami boleh bantu.”

Belum sempat Saleha membalas pujukan Puan Fatimah, Puan Fatimah terlebih dahulu sedar akan ketidakhadiran Kamsani, suaminya dan mula mempersoalkan ketidakhadiran Kamsani itu.

“Mana Kamsani, Leha? Kenapa kau datang seorang diri?”

Tika itu, air mata Saleha berjujuran turun ibarat hujan yang turun membasahi Bumi. Saleha tidak lagi berkemampuan untuk menahan kepedihan dan kerisauan hatinya. Tangisan Saleha mengejutkan Puan Fatimah, namun Puan Fatimah bijak mengawal keadaan, dengan memeluk Saleha dan membelainya lembut, memujuknya untuk berhenti menangis dan menceritakan perkara yang telah berlaku. Lama Saleha menangis sebelum mula membicarakan perihal Kamsani.

“Saya...saya tak tahu, Puan. Tengahari semalam, abang Kamsani kata dia ingin ke pantai, untuk baiki jalanya yang pecah. Tapi sejak semalam dia tak pulang ke rumah. Sejak semalam sampai hari ini. Saya tak tahu ke mana dia pergi, Puan. Bimbang saya. Saya runsing, saya tak tidur semalam tunggu dia.”

Puan Fatimah yang masih memeluk Saleha terkejut mendengar perkhabaran daripada mulut Saleha itu.

“Astaghfirullahaladzim! Leha, kenapa kau tak beritahu kami awal-awal?”

“Risau, Puan. Khuatir mengganggu majlis perkahwinan Marini. Kalau boleh saya memang tak mahu menyusahkan keluarga Puan. Saya fikir Kamsani akan balik pagi nanti. Tapi sekarang dia tak balik juga.”

Sekali lagi Saleha jatuh dalam kolam kesedihan, mencurahkan saki-baki air matanya atas kehilangan Kamsani. Saleha ternyata tidak lagi mampu menyembunyikan kesedihan dan kerunsingan yang melanda dirinya. Penghulu Shah yang berdiri berhampiran dengan Puan Fatimah dan Saleha dalam kehairanan apabila melihat Saleha mula menangis.

“Saleha, kenapa kau menangis? Kau ada masalah besar ke?”

Puan Fatimah yang memahami kerunsingan hati Saleha menjawab persoalan suaminya buat pihak Saleha, kerna dia percaya Saleha pasti tidak akan kuat lagi untuk menceritakan sekali lagi perihal kehilangan Kamsani tanpa menghujani mereka dengan tangisan.

“Kamsani ke laut semalam, abang. Tapi sampai hari ini tak pulang-pulang. Mungkin dia dalam kesusahan, abang?”

“Ya Allah!” Penghulu Shah terkejut. Kepalanya digeleng-gelengkan dan mukanya kelihatan bimbang. Perlahan-lahan, Penghulu Shah memerhati dan memujuk Saleha yang masih dalam kesedihan.

“Saleha, sabar ya. Nanti saya kumpulkan beberapa orang kampung untuk cari Kamsani. Bersabar ya, Saleha. InsyaAllah, Kamsani selamat.”

Puan Fatimah yang berdiri di sebelah Saleha turut cuba memujuk dan menenangkan Saleha.

“Pergilah duduk, Leha. Tenangkan fikiran kau. Usah khuatir, nanti penduduk kampung carikan Kamsani. Kau fikirkan kandungan kau juga, Leha. Tak bagus bersedih-sedihan ini. Pergi duduk, tenangkan diri. Ya, Saleha?”

Saleha mengangguk lemah sambil mengesat saki-baki air matanya. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah kerusi yang kosong dan duduk. Saleha tidak mempedulikan suasana meriah yang memenuhi majlis perkahwinan ini. Makanan yang dihidangkan di atas meja juga tidak dipandangnya, apatah lagi untuk dijamah.

Di satu sudut majlis itu, kelihatan Ahmad, Kassim dan Rashid sedang duduk berkumpul dan enak bersembang, dilatari majlis yang semakin meriah.

“Amboi, sedap betul lah lauk ayam Cik Limah, hari ini. Tengok sekarang, dah berapa kali aku tambah-tambah makan.”

Ahmad becok memuji kesedapan masakan kenduri yang dihidangkan sambil dalam puas hati, menggosok-gosok perutnya dan memandang ke arah Kassim.

“Sudahlah kau, Ahmad. Dasar pelahap. Semua benda aku tengok kau makan. Sepuluh bulan ke kau tak makan, Mad? Kau tengok perut kau, macam apa? Macam perempuan mengandung lapan bulan!”

Mereka ketawa berdekah-dekah, berjaya mengusik Ahmad. Ahmad melemparkan kertas yang telah digulung-gulung menjadi seperti bola ke arah Kassim, tanda protes. Perhatiannya dialihkan kepada Rashid, untuk mengenakan sahabat karibnya ini pula, yang sedang asyik mengelamun, merenung kearah pelamin pasangan pengantin.

“Hoi, Rashid! Kau berangan apa? Sudah-sudahlah, yang pergi jangan dikenang, orang kata. Kau pilih satu anak dara yang kau suka, ada dalam majlis ini. Aku pinangkan untuk kau nanti.”

Sekali lagi mereka ketawa berdekah-dekah, berjaya mengusik Rashid pula. Rashid tidak menghiraukan gelak tawa kawan-kawannya, sebaliknya terus-terusan menerung ke arah pelamin pasangan pengantin. Tiba-tiba, Rashid bangun dan mengangkatkan tangannya sambil mula bersajak.

“Oh Marini, aku cinta padamu seikhlas hati, dari hari ini sampai ke mati, cintaku... Oh, Marini...”

Tiba-tiba, Rashid tersentak apabila bahunya ditepuk dengan kuat daripada belakang, oleh adiknya, Zam. Muka Zam kelihatan pucat lesi, dengan nafas yang tercungap-cungap dan baju yang basah lecun dek peluh.

“Kenapa dengan kau, Zam? Kenapa termengah-mengah macam kena kejar anjing? Kau dari mana?” marah Rashid yang kehairanan melihat tingkah Zam yang masih tercungap-cungap dan dalam seperti di dalam ketakutan, tanpa berniat untuk menjelaskan perkara sebenar kepadanya.

Selepas dimarahi oleh abangnya, Zam cuba untuk menenangkan dirinya dengan menarik nafas panjang sebelum berbicara.

“Abang...”

Percakapan Zam terhenti seketika.

Rashid masih kehairanan, menantikan adiknya menghabiskan bicara.

“Kenapa dengan kau, Zam?”

Ahmad pula mencelah, dengan jumlah kehairan yang sama seperti Rashid.

“Saya... saya dengan Sidi tadi terjumpa... terjumpa mayat!”

Ahmad dan Rashid tersentak.

“Dekat mana?”

Dalam kabut, Zam menjawab persoalan pantas Ahmad.

“Dekat tepi sungai. Hujung sana. Kami... kami terjumpa mayat. Mayat tak ada kepala!”


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku