Penanda Kubur Anira
3. Kematian
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2477

Bacaan






Rashid merengus, cuba menahan marah namun jelas benar ingin memarahi adiknya itu. Rashid kenal sangat adiknya, malah sahabat karibnya yang lain juga tahu benar dengan perangai Zam yang gemar bergurau dan membuat kekacauan ini. Tapi, masakan Zam mahu buat kekacauan dan ingin bergurau di majlis perkahwinan sahabat baiknya. Ini bukan tempat untuk bergurau. Apatah lagi ini majlis Tok Penghulu Kampung. Rashid menarik tangan Zam dan memaksanya untuk duduk di kerusi. Rashid ambil tempat di sebelah Zam. Dia merapatkan mukanya ke muka Zam, dan perlahan-lahan berbisik dalam nada tegas.

“Zam, ini majlis Tok Penghulu, tau. Tolong hormat mereka. Kau jangan nak bergurau dekat sini. Abang bilang ayah dengan mak, mahu?”

Zam yang ternyata masih dalam ketakutan menggeletar, cuba menjawab amaran abangnya.

“Betul. Betul. Zam tak bohong. Ini bukan gurauan, ya, Zam jumpa mayat dalam sungai dekat hujung sana. Mayat yang kami jumpa itu, berlumuran darah! Kepala tak ada! Sumpah, abang!”

Rashid merenung Zam, lama. Inginkan kepastian atau hanya ingin meletakkan kepercayaan kepada adiknya ini.

“Kalau abang tak percaya, mari, ikut Zam. Kita pergi sana, Zam tunjukkan!” Zam cuba meyakinkan Rashid dan sahabat-sahabatnya. Ahmad dan Kassim tercengang, masih belum sempat menghadam berita yang baru didengari dan kini harus memproses sebuah hakikat bahawasanya terdapat mayat tidak berkepala di kampung mereka. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain dalam keadaan terpinga-pinga, cuba meyakinkan diri masing-masing tentang berita tergempar itu.

Ahmad tiba-tiba bersuara, memecahkan situasi bisu tadi.

“Kalau betul apa yang Zam cakap ini, macam mana?”

Zam, Rashid, dan Kassim saling berpandangan.

“Aku rasa kita patut beritahu Tok Penghulu, sekarang!”

Ahmad terus bangun dengan niat untuk memberitahu berita ini kepada Tok Penghulu. Namun belum sempat Ahmad gerak, tangannya ditarik kasar oleh Kassim, membuatkannya terduduk semula di kerusi. Perlahan-lahan Kassim membisikkan sesuatu kepada Ahmad.

“Mad, majlis perkahwinan Ishak ni. Aku risaulah. Kau tengok, Tok Penghulu sibuk dengan tetamu.”

Mereka berempat serentak memandang ke arah pintu gerbang perkahwinan, melihat Tok Penghulu Shah yang masih sibuk menyambut dan melayan kunjungan tetamu yang tak berhenti-henti. Suasana meriah, namun mereka berempat membisukan diri, membiarkan logik akal berfungsi.

“Kita janganlah peningkan kepala orang tua tu. Betul tak? Aku rasa kalau kita berempat sahaja yang pergi tempat itu dulu. Selidik sedikit.”

Rashid setuju dengan cadangan Kassim. Zam sudah tidak lagi ketakutan, lebih kepada ingin membuktikan perkara yang sebenar kepada abang dan sahabatnya. Kassim tiba-tiba berdiri dan menoleh kearah Zam.

“Eh, Zam! Tadi kau cakap kau dengan Sidi. Mana Sidi?”

Zam menoleh ke belakang, cuba mencari Sidi. Kassim, Ahmad dan Rashid juga sibuk menoleh, menghitung tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan Ishak, mencari Sidi.

“Eh, mana Sidi? Tadi Sidi ada dengan Zam. Aduh, mana pula dia pergi?”, Zam menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, reaksi atas serabut memikirkan ke mana pula kawannya itu pergi.

“Apa jadi tadi? Cuba kau ingat balik, bila kau nampak Sidi, kali terakhir tadi?”

Kassim lagak bijak, menggunakan akal menangkis persoalan.

“Tadi... Zam rasa mungkin Zam tertinggal dia tadi, dekat belakang. Sebab Zam terus lari lintang-pukang lepas nampak mayat tu. Entah-entah, dia masih dekat kawasan mayat tadi.”

“Mungkin juga.”

“Macam mana sekarang, abang?”

Zam memandang Rashid. Rashid memandang Ahmad, dan Ahmad memandang Kassim. Riak wajah mereka menunjukkan satu jawapan.

“Tak mengapa, Zam. Rashid, Kassim! Mari kita pergi?”

Dengan serentak mereka berdiri dan dalam serta merta pantas bergerak. Zam menunjukkan laluan hutan yang harus mereka lalui untuk sampai ke kawasan mayat yang diberitahunya itu. Mereka pantas berjalan merentasi hutan untuk segera sampai. Zam agak ketinggalan di belakang ketika berjalan dengan mereka kerana terlalu risau memikirkan tentang Sidi yang tiba-tiba ‘hilang’. Mana mungkin Sidi boleh hilang? Di mana mereka terpisah? Dalam diam Zam menghitung ribuan persoalan dalam mindanya. Zam kira mereka berdua terpisah ketika mereka lari lintang-pukang untuk balik memberitahu orang kampung tentang mayat yang mereka temui. Oleh kerana terlalu khuatir, sambil berjalan itu Zam memekik-mekik memanggil nama Sidi, dan asyik menoleh ke kiri dan kanan hutan.

Rashid yang sedar adiknya ketinggalan di belakang mula memperlahankan kelajuan dan melaungkan nama Zam, memintanya untuk berjalan dengan lebih pantas. Zam terkejut mendengar laungan itu dan terus mendekati abang dan rakan-rakannya. Rashid menggeleng-gelengkan kepala, tanda marah. Zam dibiarkan berjalan di hadapannya.

Tiba-tiba dicuit lengan adiknya itu.

“Eh, Zam. Masa kau lari tadi, kau tak nampak Sidi dekat belakang kau ke?” persoalan yang bermain di dalam mindanya dimuntahkan kepada Zam.

“Tak tahu lah, abang. Kelam-kabut tadi. Waktu dekat sungai, Sidi memang dengan Zam. Lepas kami ternampak mayat itu, kami terperanjat betul. Zam yang ajak Sidi beritahu Tok Penghulu cepat. Risau. Lepas itu, kami terus lari. Zam ingat dia ada dekat belakang Zam. Mana pula dia pergi sekarang?”

Zam khuatir lagi. Risau tambah aneh, tidak mengetahui ke mana rakannya yang tadi ada di sisi, kini tiba-tiba hilang.

Kassim yang berjalan di sebelah Zam terdengar perbualan mereka adik beradik, lalu mencelah.

“Tak apa, lah Zam. Mungkin Sidi sudah balik rumah, pun. Jangan-jangan dia tengah tidur. Bukan kita semua tak tahu dengan perangai si Sidi tu, kan? Pemalas!”

Ada benar kata Kassim itu. Mungkin Sidi sudah pulang ke rumah. Tapi bila? Patutkah kita biarkan saja hal kehilangannya? Benak Zam masih memproseskan pelbagai persoalan.

Rashid sekali lagi mencuit tangan adiknya.

“Eh, Zam! Kamu berdua buat apa dekat tepi sungai tu? Kenapa tak pergi majlis Tok Penghulu?”

Belum sempat Zam menjawab persoalan abangnya itu, Ahmad menyampuk.

“Nak pergi tangkap ikan, lah! Kan? Tak payah lah Zam. Sedap betul lauk gulai ayam Kak Limah dekat kenduri tadi. Lagi sedap daripada ikan yang kau tangkap, lah!”

Kassim melihat Ahmad dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kau ni kerja makan saja pandai, kan? Cuba suruh masak. Mesti hancur. Cuba kau...”

Tiba-tiba bunyi guruh yang kuat beserta dengan kilat yang sabung-menyabung menyentak dan memotong kata-kata Kassim. Angin kencang – menampar pokok-pokok sekeliling dalam hutan. Langit yang tadinya cerah serta merta bertukar menjadi gelap. Ahmad, Kassim, dan Rashid terhenti di tengah-tengah hutan yang mula gelap itu, menoleh ke kiri dan kanan – ibarat bingung dan khuatir melihat sekeliling.

Zam yang terdahulu di hadapan tersentak mendapati dirinya keseorangan, membuatkannya menoleh ke belakang memanggil mereka yang jauh ketinggalan.

“Abang! Cepatlah jalan. Tunggu apa lagi? Hari macam nak hujan, ni.”

Rashid terus mengangguk-angguk mendengar suruhan Zam. Dia terus menarik lengan baju Kassim lalu berjalan dengan pantas membontoti Zam. Ahmad masih tertinggal di belakang.

Ahmad tersentak apabila menyedari dirinya tertinggal jauh ke belakang. Rashid dan Kassim juga sudah jauh ke hadapan. Ahmad ingin pantas bergerak. Tapi dia rasa dia ternampak sesuatu. Sesuatu dari sudut matanya – putih, berambut panjang. Berdiri tidak jauh daripada mereka. Tiba-tiba, bulu roma Ahmad berdiri.

Ahmad segera menutup dan menggosok-gosok matanya, mula tidak percaya dengan kelibat yang kemungkinan dilihatnya itu. Cuba inginkan kepastian. Apabila Ahmad memberanikan diri untuk membuka matanya semula, kelibat atau lembaga yang dilihatnya tadi tidak lagi kelihatan. Ahmad menggeleng-gelengkan kepalanya dan tersenyum sendiri.

“Astaghfirullahaladzim, khayalan. Khayalan aku, agaknya.” bisik hatinya. Dia tercari-cari Kassim, Rashid dan Zam. Mereka sudah jauh di hadapan. Lantas dalam lintang-pukang dia lari cuba mengejar mereka.

Perjalanan mereka merentas hutan untuk tiba di sungai itu memakan masa selama setengah jam. Dan dalam masa setengah jam itu, di sepanjang perjalanan, mereka berempat diam membisu. Yang hanya kedengaran adalah bunyi daun pokok kering yang laju dipukul angin kencang. Petanda hujan yang bakal turun mempercepatkan langkah mereka.

Setelah sampai di tebing sungai itu, Zam terus menunjukkan arah mayat yang dijumpainya tadi. Melopong Rashid, Kassim dan Ahmad memerhatikan di celahan batu di tebing tersebut ada – susuk tubuh seorang lelaki. Mayatnya sudah kembang dan membengkak di dalam air dan tidak berkepala.

“Astaghfirullahaladzim! Mayat siapa, ni?” Ahmad beristigfar selepas melihat mayat tersebut daripada atas tebing.

Kassim terlebih dahulu pantas menuruni tebing, menghampiri mayat tersebut. Rashid masih terlopong.

“Kenapa tercegat dekat situ? Cepatlah turun tengok mayat siapa ni!”

Kassim memberi arahan, meminta rakan-rakannya turun menghampiri mayat. Rashid, Ahmad dan Zam terus turun ke bawah tebing sungai menghampiri mayat dengan lebih dekat untuk mengenalpasti siapa. Bahagian dada mayat itu berlubang dan berlumuran dengan darah kering yang mendatangkan bau busuk.

Rashid yang loya bingkas mengubah kedudukannya, memaling daripada mayat. Kassim berdiri di hujung tebing memerhati arus dan aliran sungai, berkira untuk mencari arah mayat ini dihanyutkan. Ahmad mengambil sebatang kayu berhampiran dan mula menguis tangan mayat. Lama Ahmad kuis-kuis tangan mayat sebelum segera memanggil kawannya yang lain untuk menghampiri mayat.

“Kenapa Ahmad?”

Kassim menyoal.

“Kau tengok ini.”

Ahmad menunjukkan tangkal yang terdapat di pergelangan tangan mayat.

“Aku pernah tengok tangkal ni”.

“Kau jangan main-main, Mad.”

Rashid bersifat skeptikal, tidak mahu mempercayai kata-kata Ahmad.

“Betul. Aku pernah tengok tangkal ni. Hmmmm... macam tangkal... Kamsani!”

Kassim, Rashid dan Zam tersentak dan terkejut apabila mendengar nama Kamsani.

“Ya Allah! Mayat Kamsani ke, ni?”

“Betul ke Kamsani?”

Zam mula panik.

“Sabar. Sabar. Nanti dulu. Tadi dekat majlis Tok Penghulu, ada sesiapa nampak Kamsani?”

Rashid cuba menenangkan keadaan yang mula tegang selepas Ahmad mengatakan mayat itu mungkin mayat Kamsani.

“Aku tak perasan Kamsani tadi dekat majlis Tok Penghulu”

Kassim pantas menjawab.

“Aku nampak Saleha. Tapi Saleha seorang saja tadi. Tapi Saleha pun nampak macam sedih.”

Ahmad pula menambah.

Keadaan mayat yang sudah membengkak, ditambah dengan tanpa kepala, menyukarkan mereka untuk mengenalpasti siapakah mayat ini. Mungkinkah penduduk kampung ini? Tiba-tiba, guruh dan kilat sekali lagi menyentak mereka yang sedang duduk berhampiran dengan tebing sungai. Rashid mendongak kepalanya dan dapat melihat petir memanah kawasan tidak jauh daripada tebing sungai itu.

“Macam mana? Nak hujan, ni.”

Ahmad menyoal. Tanpa membuang masa, Rashid terus membuat keputusan.

“Macam inilah, hujan dah nak turun. Kita tak boleh tunggu sini lama-lama. Maka, macam inilah. Aku dengan Zam tunggu dekat sini, jaga mayat ini. Ahmad, kau dengan Kassim balik ke kenduri dan beritahu penghulu dengan cepat. Boleh?”

Ahmad dan Kassim mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. Keputusan sudah diambil, hal ini harus diberitahu dengan segera kepada Tok Penghulu.

Tiba-tiba, Zam terpekik memanggil Rashid, Ahmad dan Kassim.

“Abang! Abang! Mari sini cepat!”

Mereka bertiga terkejut dan segera memandang Zam yang tidak jauh daripada tempat mereka berdiri, sedang menunjuk-nunjukkan sesuatu ke arah celah-celahan batu. Mereka segera menghampir Zam. Zam terduduk di tanah dan mula menangis. Badannya menggeletar dan mukanya pucat. Tangannya asyik menunjukkan ke arah celah-celahan batu yang terdapat di hadapannya.

Rashid, Kassim dan Ahmad segera memandang kearah telunjuk Zam, dan terpaku apabila melihat kepala Kamsani dan mayat Sidi terselit di dalam celahan batu itu.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku