Penanda Kubur Anira
4. Pengkebumian
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2675

Bacaan






Majlis perkahwinan Marini dan Ishak sudah selesai. Suasana petang di rumah Penghulu Shah riuh rendah dengan kunjungan penduduk kampung. Di bahagian halaman rumah, orang ramai bergotong-royong mengemas perkakas dan majlis perkahwinan Marini.Di bahagian dapur, sekumpulan wanita sedang mengemas hidangan dan pinggan mangkuk yang digunakan tadi. Manakala ramai lagi penduduk kampung berkumpul di hadapan dan di dalam rumah, untuk menunggu ketibaan jenazah Kamsani dan Sidi. Oleh sebab tempat memandikan jenazah di surau sedang diperbaiki, maka semua jenazah harus disempurnakan di rumah Penghulu Shah, buat sementara waktu.

Saleha menangis teresak-esak di dalam rumah, masih tidak dapat menerima hakikat tentang berita kematian Kamsani. Selagi dia tidak tengok sendiri dengan matanya akan mayat Kamsani, Saleha enggan mahu percaya tentang berita kematian ini. Mayat-mayat tiba di perkarangan rumah Penghulu Shah tidak lama kemudian. Penduduk kampung yang tadinya memenuhi ruang rumah Penghulu Shah bergegas keluar untuk menyambut jenazah Kamsani dan Sidi. Mayat Kamsani dan Sidi disambut dan persediaan untuk memandikan jenazah dilakukan oleh penduduk kampung itu sendiri.

Saleha yang menginginkan kepastian segera menghampiri mayat yang diletakkan di ruang tepi sebelum dimandikan. Selepas mengenalpasti mayat suaminya yang keputusan kepala, Saleha terduduk dan meraung kesedihan. Beberapa orang wanita yang memenuhi ruang hadapan di rumah Penghulu Shah mencuba menenangkan Saleha

Dalam masa yang sama, Anira sedang berdiri di bawah pokok nipah yang rendang, berhampiran dengan rumah Penghulu Shah. Segala kekecohan yang berlaku di rumah Penghulu Shah diperhatikan dengan khusyuk oleh Anira, sambil tersenyum lebar. Penduduk kampung yang masing-masing sibuk bergotong-royong mengemas majlis perkahwinan dan menguruskan jenazah Kamsani dan Sidi tidak perasan diperhatikan oleh Anira.

Anira kelihatan begitu ayu dengan baju kebaya dan sarungnya yang serba putih. Kulit putihnya gebu, berseri-seri dilihat dengan bibirnya yang merekah kemerahan. Rambutnya yang hitam dan panjang hingga paras bahu itu dibiarkan lepas dan ditutup sedikit dengan selendang sutera putih.

Anira masih khusyuk memerhatikan setiap gerak-geri dan perbuatan penduduk kampung yang berada di rumah Penghulu Shah. Perkara ini merupakan rutin buat Anira, setiap kali dia tiba di perkampungan baru. Dia ingin memastikan mangsanya di antara penduduk kampung Dangi. Yang lemah akan lebih mudah ditewaskan terlebih dahulu. Dan daripada situ, akan Anira rancang sasarannya daripada yang pertama hingga yang terakhir.

Memandangkan ramai penduduk kampung yang tadinya sibuk bergotong-royong di luar rumah sudah masuk ke dalam untuk menyolatkan jenazah, maka Anira mula mengubah posisinya untuk melihat penduduk kampung di rumah Penghulu Shah, dibalik semak-samun di sekeliling rumah. Matanya tidak lekang daripada memerhatikan rumah Penghulu Shah.

Tiba-tiba, Anira dikejutkan dengan bacaan Surah Yassin yang kuat. Anira berdesir, rimas dan kepanasan, seperti seekor kucing yang sedang marah. Dengan segera, Anira mengundur ke belakang beberapa langkah dengan cepat, untuk mengelak daripada mendengar bunyi bacaan Surah Yassin itu lagi. Anira menarik nafas lega selepas bacaan itu mula kurang kedengaran.

Tidak lama kemudian, bacaan Yassin tadi mula berhenti, dan penduduk kampung mula keluar daripada rumah Penghulu Shah, seorang demi seorang. Anira dengan pantas menyembunyikan dirinya di balik sebuah pokok yang besar, di belakang rumah Penghulu Shah. Daripada kedudukannya kini, Anira dapat menyaksikan dengan jelas penduduk kampung yang mula berkumpul di hadapan rumah Penghulu Shah.

Jenazah Kamsani dan Marsidi yang telah dimandi dan dikafankan dengan sempurna di bawa keluar dan diletakkan di hadapan rumah, satu persatu, bersebelahan antara satu sama lain.

Penghulu Shah berdiri di hadapan jenazah dan menghadap penduduk kampung yang khusyuk ingin mendengar kata-katanya. Penghulu Shah menarik nafasnya perlahan-lahan sebelum berbicara.

“Assalamualaikum, semua penduduk kampung Dangi. Maghrib pun sudah tiba. Memandangkan kemungkinan jenazah Allahyarham Muhammad Kamsani Bin Bintang dan Marsidi BinMaafot sudah berada lama di tebing sungai itu, adalah baiknya jika kita kebumikan jenazah mereka secepat mungkin. Tentang perkara lain, InsyaAllah, jangan khuatir. Kami akan sedaya upaya mencari dalang di sebalik peristiwa ini. Kita akan cari siapa yang bertanggungjawab. Diharapkan kematian Kamsani dan Marsidi tidak disia-siakan.”

Bicara Penghulu Shah terhenti sejenak. Dengan menggunakan hujung kain baju pergelangan tangannya, Penghulu Shah mengesat air mata. Sebak mula memenuhi suasana di perkarangan rumah.

“Jikalau Allahyarham Kamsani dan Marsidi ada berbuat sebarang kesalahan kepada kalian, maafklahmereka. Jikalau mereka mempunyai hutang dengan kalian, halalkanlah buat mereka, supaya perhitungan mereka di akhirat kelak tidak akan susah.”

Semua penduduk kampung diam dan menundukkan muka. Penghulu Shah memberi peluang kepada penduduk kampung untuk membicarakan sesuatu atau menunggu sebarang jawapan daripada penduduk kampung. Selepas beberapa ketika, Penghulu Shah menyoal,

“Ada sesiapa ingin mengatakan sesuatu?”

Suasana kembali sunyi tanpa suara Penghulu Shah. Dari dalam rumah, kedengaran bunyi tangisan Saleha, isteri Kamsani dan Rafeah, ibu tunggal Marsidi. Saleha ditenangkan oleh penduduk kampung beberapa kali. Penghulu Shah hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya, tidak mampu membicarakan apa-apa lagi tentang peristiwa sedih yang melanda kampungnya secara tiba-tiba ini. Setelah lama menyepi, Penghulu Shah memecah kesunyian dengan permintaan untuk menyedekahkan Surah Al-Fatihah.

“Marilah kita sama-sama menyedekahkan Surah Al-Fatihah kepada mereka berdua.”

Penduduk kampung dengan serentak membaca Surah Al-Fatihah, dan ianya tiba-tiba mengakibatkan kesakitan kepada Anira yang duduk di balik pohon besar, berhampiran dengan rumah Penghulu Shah. Anira segera menutup telinganya, enggan mendengar bacaan yang dibaca. Mukanya berkerut-kerut cuba menahan sakit di kepala. Sejurus selepas penduduk kampung menghabiskan bacaan, Anira pantas merengus kemarahan.

“Bodoh! Kurang ajar! Tunggu kau semua. Nanti sampai masanya, aku bunuh kamu semua!”

Penduduk kampung mempercepatkan pergerakan dan persediaan untuk mengusung kedua-dua mayat ke tapak pengebumian kerana hari kian malam. Selepas persediaan selesai, beberapa orang lelaki mengangkat keranda Kamsani dan Marsidi dan mula berjalan dengan pantas ke kubur. Sementara kaum lelaki dalam perjalanan ke tanah perkuburan, kaum wanita pula berkumpul di dalam rumah Penghulu Shah.

Sebelum mengikut rombongan penduduk kampung yang membawa jenazah Kamsani dan Marsidi ke tanah perkuburan, Penghulu Shah sempat memanggil Jamal dan Dollah.

“Jamal, Dollah. Saya memerlukan bantuan kalian. Saya minta kalian berdua tinggal di sini. Tolong tengok-tengokkan rumah sampai kami pulang, ya? InsyaAllah, kami akan pulang sebelum Maghrib. Nanti balik kita bincangkan tentang masalah ini. Boleh?”

“Boleh, Tok!”

Penghulu Shah menepuk-nepuk bahu Jamal dan Dollah kemas, mengharapkan kedua-dua orang jejaka ini akan menjaga rumahnya dan penduduk kampung. Penghulu Shah menoleh kearah rumahnya, dan melihat anaknya, Rahayu dan Hawa ingin keluar dengan membawa dua bakul baldi. Penghulu Shah segera menghampiri mereka dan mula menyoal.

“Rahayu! Hawa! Kamu berdua nak ke mana?”

Tanpa rasa bersalah, Rahayu terus menjawab persoalan ayahnya itu.

“Mahu ambul air di perigi, ayah. Air di dapur nak habis.”

“Astaghfirullahaladzim, nak Maghrib sudah, Rahayu, Hawa. Sekarang bahaya lagi. Kamu tahu kan apa yang terjadi dekat Kamsani dan Sidi?”

Penghulu Shah mula khuatir ingin membenarkan anak perempuannya keluar seorang diri selepas melihat jenazah Kamsani dan Sidi mati tanpa diketahui puncanya. Rahayu dan Hawa mengangguk dan menundukkan muka. Penghulu Shah menoleh ke belakang dan memanggil Dollah menghampirinya.

“Dollah, tolong Rahayu ambilkan air di perigi. Jamal, kau pula tolong jagakan rumah, ya? Saya nak pergi sekarang. Orang kampung mesti sudah jalan jauh, tu.”

“Baik, Tok.”

Dollah dan Jamal patuh dengan arahan Penghulu Shah. Penghulu Shah kemudian menoleh kearah anak perempuannya.

“Rahayu, Hawa, pergi naik atas. Tolong mak awak kemas rumah.” Arahan yang jelas diberikan oleh Penghulu Shah.

Belum sempat Rahayu membuka bicara, ayahnya terlebih dahulu berpaling dan berjalan dengan pantas mengejar rombongan jenazah tadi.

Selepas Penghulu Shah hilang dari pandangan, Dollah perlahan-lahan menghampiri Rahayu dengan senyuman lebar di bibirnya. Dollah malu-malu mengambil baldi dari tangan Rahayu. Rahayu membalas senyuman Dollah dengan senyuman mesra, tetapi dikejutkan dengan cubitan Hawa di tangannya, mengakibatkan mukanya berkerut ketika sedang membalas senyuman Dollah.

Hari menginjak ke senja dan semakin gelap. Anira yang berada di balik pokok besar di belakang rumah Penghulu Shah masih memerhatikan setiap tingkahlaku penduduk di rumah Penghulu Shah dan dapat melihat kelibat Dollah yang berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Anira memandang sekeliling, mencari telaga yang ingin dituju Dollah. Setelah nampak akan telaga yang tidak jauh daripadanya itu, Anira perlahan-lahan bergerak ke sebuah pokok beringin yang berhampiran dengan telaga.

Dollah bersiul-siul sambil perlahan-lahan berjalan ke telaga untuk mengambil air buat Rahayu. Ketika tiba di telaga tersebut, tiba-tiba Dollah terhidu sebuah bau yang amat wangi. Hidungnya bergerak-gerak, cuba untuk mencari punca wangian tersebut. Dalam menghidu bau yang wangi itu, Dollah ternampak sebuah jambangan bunga yang terletak tidak jauh daripada telaga. Dollah ingin menghampiri jambangan bunga tersebut, dengan niat untuk memetik dan menghadiahkan bunga yang wangi itu kepada Rahayu.

Semakin Dollah hampiri jambangan bunga tersebut, semakin kuat wangiannya menyucuk-nyucuk hidung Dollah.

“Harumnya bunga ini. Mesti Rahayu suka nanti”, bisiknya dalam hati sebelum membongkok untuk memetik bunga yang wangi itu.

“Petik bunga untuk saya?”

Dollah terperanjat mendengar soalan yang tiba-tiba itu. Didongak kepalanya ke atas dan Dollah ternampak seorang wanita sedang bersandar di sebelah pokok beringin dan sedang melihat kearahnya. Wanita itu kelihatan sungguh anggun dengan berpakaian serba putih, malah turut berselendang putih. Akan tetapi, Dollah tahu bahawasanya wanita itu bukanlah wanita biasa. Lalu perlahan-lahan dia merangka rancangan untuk melarikan diri dengan cepat kerana ketakutan.

“Ma..maafkan saya. Sa...saya minta di...diri.”

Dollah yang dalam ketakutan terketar-ketar melontarkan permintaan untuk mengundur diri. Dollah segera bangun berdiri dan memalingkan badannya, untuk sedia melarikan diri ke arah telaga. Akan tetapi, Dollah terhenti apabila melihat Anira dengan pantasnya berdiri di tepi telaga, menunggunya. Dollah berpaling pula ke kiri, ingin menghala ke rumah Penghulu Shah.

Namun belum sempat Dollah ingin melarikan diri, Anira tiba-tiba menjelma daripada belakang sebuah pokok di hadapan Dollah dan mengahadangnya dari berlari. Wanita itu terbeliakkan matanya dan menghampiri Dollah.

Dengan tangannya diangkat seumpama ingin mencengkam, wanita itu mula berdesir dengan kuat dan gigi taringnya jelas kelihatan. Dollah yang dalam ketakutan menjerit sekuat-kuat hatinya.

Jeritan Dollah mengejutkan Marini yang berada di dalam bilik Hawa. Bilik Hawa terletak di penghujung atau belakang rumah Penghulu Shah, dengan tingkap biliknya pula menghadap kearah telaga. Marini yang sedang berehat setelah penat dengan majlis perkahwinannya tadi, tengah menjahit baju adiknya apabila tiba-tiba terdengar akan jeritan yang kuat datang daripada arah telaga itu. Marini yang musykil segera mendapatkan pelita dan menghampiri tingkap.

Marini perlahan-lahan membuka tingkap dan cuba memerhati persekitaran di luar. Namun, malam yang mula gelap menyukarkan Marini untuk melihat apa yang terjadi di balik hutan dan semak-samun di belakang rumahnya itu.

Anira sedang mengangkat Dollah untuk dibawa pulang ke pondoknya ketika tiba-tiba dia terpandang wajah Marini yang sedang menjengah di tingkap bilik. Marini yang memegang lampu pelita memperlihatkan dengan jelas wajahnya.

Anira tergamam setelah melihat wajah Marini dengan cara tidak sengaja itu. Badan Dollah yang sedang diangkatnya dijatuhkan ke tanah. Anira kemudiannya dengan pantas bergerak ke hadapan menghampiri rumah Penghulu Shah untuk melihat wajah Marini dengan lebih dekat.

Setelah melihat wajah Marini dengan lebih dekat, Anira kaget.

Wajah Marini amat iras dengan wajah anak perempuanya, Hartini, yang telah meninggal dunia kira-kira 100 tahun yang lalu


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku