Penanda Kubur Anira
5. Perbincangan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9086

Bacaan






Marini dikejutkan dengan bunyi ketukan di pintu biliknya. Namun Marini tidak menghiraukan bunyi ketukan itu. Sekali lagi Marini menjengah ke luar bilik tingkap dengan lampu pelita, cuba untuk melihat dalam kegelapan yang mula menelan hutan. Marini percaya dia dengar bunyi jeritan tadi dengan jelas. Lalu sekali lagi kepala dijengah ke luar tingkap, bersama-sama dengan lampu pelita tadi untuk cuba mencari punca jeritan yang dia dengari tadi, tapi gagal. Gelap membatasi pencarian Marini.

Pintu bilik sekali lagi diketuk. Kali ini ketukannya lebih kuat dan diketuk beberapa kali. Marini pantas meletakkan lampu pelita di atas meja dan berlalu ingin membuka pintu bilik. Apabila pintu bilik dibuka, ibu Marini tercegat di hadapan dengan muka masam.

“Kenapa lama sangat kamu nak buka pintu, Marini! Ayah kamu sudah balik dari kubur, tolong ibu di luar mari. Tolong hidangkan air, ada mesyuarat tergempar katanya, sekarang!”

Ibu memberi arahan. Marini mengangguk-angguk tanda patuh.

“Ibu...”

Lembut suara Marini, cuba mengambil hati ibunya yang jelas benar tengah kepenatan.

“Ibu, tadi Rini dengar suara. Suara orang menjerit, ibu. Kuat jerit...”

Belum sempat Marini menghabiskan percakapan, ibunya mencelah.

“Siapa pula? Sudah lah, Marini. Pening kepala ibu fikir semua benda. Sepatutnya hari ini hari bahagia kau, Rini. Sekarang lain pula jadinya. Kabut betul. Sudah, cepat tolong ibu!”

Ibunya berlalu pergi meninggalkan Marini yang masih memikirkan tentang jeritan yang didengarinya tadi. Leka dia berdiri di hadapan pintu bilik memikirkan hal ini hingga disergah ibunya yang sudah jauh ke hadapan, menuju ke dapur. Marini yang terkejut, tergesa-gesa berkejar ke dapur.

Selepas pulangnya rombongan pihak lelaki daripada tanah perkuburan yang berhampiran, suasana di dalam rumah Penghulu Shah semakin kecoh. Ramai yang masih berkumpul di rumah Penghulu Shah; mengemas barangan perkahwinan Marini, mengemas barang-barang jenazah, malah ada juga yang prihatin memujuk Saleha, isteri arwah Kamsani. Tidak kurang juga sibuk menenangkan kemarahan bapa Marsidi yang mengamuk-amuk di halaman rumah. Semuanya sibuk dengan kerja dan tugasan masing-masing tanpa menyedari Dollah telah hilang.

Maghrib tiba. Semua penduduk kampung yang masih di rumah Penghulu Shah melakukan solat jemaah bersama-sama. Selepas selesai, Penghulu Shah memanggil semua penduduk lelaki yang ada di rumahnya untuk berkumpul di dewan tetamu, yang terletak bersebelahan dengan rumah Penghulu Shah. Dewan tetamu itu cukup besar untuk menampung seramai 60 orang. Setiap mesyuarat yang ingin dikendalikan akan dilakukan di dewan tetamu rumah Penghulu Shah ini. Selepas semua penduduk lelaki sudah berkumpul di dewan, Penghulu Shah meminta mereka duduk dalam bulatan yang besar. Selepas semuanya duduk dengan selesa, Penghulu Shah memulakan bicara.

“Assalamualaikum, semua. Saya ucapkan ribuan terima kasih dan amat berbesar hati dengan semua pertolongan, yang saudara semua berikan untuk menjayakan majlis perkahwinan anak saya, dan bantu menyempurnakan pengkebumian.”

Penghulu Shah menarik nafas panjang. Lama, sebelum dia menyambung bicaranya semula. Penduduk kampung yang duduk berkumpul khusyuk mendengar bicara Penghulu Shah.

“Walaupun dalam kegembiraan saya untuk perkahwinan anak sulung saya ini, saya berasa sangat sedih, dan aneh dengan kematian dua orang penduduk kampung kita. Mereka dibunuh dengan kejam. Jadi, saya di sini ingin meminta kalian semua, cuba untuk mengingati jika 2 atau 3 hari lepas, ada terjumpa dengan orang asing yang masuk ke dalam kampung kita?”

Masing-masing melihat antara satu sama lain, tanpa bicara apa-apa. Tiada siapa yang perasaan atau melihat sebarang orang tak yang dikenali di dalam kawasan kampung. Tiba-tiba Ahmad mengangkat tangannya.

“Ya, Ahmad. Ada apa-apa yang kamu nampak?”, Penghulu Shah meminta penjelasan Ahmad.

“Bukan, Tok. Saya rasa... mungkin perbuatan harimau? Saya tak nampak siapa-siapa. Maka, mungkin perbuatan harimau, Tok. Bukan perbuatan manusia.”

Penghulu Shah menundukkan mukanya, menghitung sesuatu.

“Mungkin boleh jadi harimau, macam cakap Ahmad. Tapi... lama juga kita tak nampak sebarang harimau dekat kawasan sini, kan? Ada sesiapa yang nampak harimau sebelum ini?”

Ishak menyoal, memanjangkan mesyuarat untuk cuba menyelesaikan misteri pembunuhan kejam Kamsani dan Marsidi. Penduduk kampung menggeleng-geleng kepala, tanda menjawab soalan yang diaju Ishak. Semua kembali diam, menghitung sesuatu atau mungkin saja masih bingung dengan peristiwa yang tiba-tiba saja terjadi ini. Tiba-tiba Nadim bersuara.

“Tok, mungkin penduduk kampung sebelah nampak apa-apa.”

“Kampung Tembun, maksud kamu, Nadim?” Penghulu Shah menginginkan kepastian.

“Ya, Tok. Kampung Tembun. Mana tahu mereka nampak apa-apa.”

Penghulu Shah sekali lagi menundukkan muka, memikirkan sesuatu. Setelah lama mendiamkan diri, dia kembali berbicara.

“Beginilah, ada betulnya kata Nadim. Mungkin penduduk kampung sebelah tahu sesuatu. Kita kena pergi ke sana, bukan saja sebab nak bertanya, kena juga beri amaran dekat mereka. Takut apa-apa terjadi.”

Penduduk kampung yang berkumpul dalam bulatan di dewan itu mengangguk-angguk, tanda bersetuju sambil menanti Penghulu Shah menyambung bicaranya.

“Saya ada banyak urusan kena selesaikan dekat sini. Saya tak sempat nak pergi ke sana. Kalau saya minta tolong 2 orang ke kampung sebelah esok, bersembang dengan Tok Ali, boleh? Siapa boleh tolong saya?”

Semua orang menundukkan muka dan mendiamkan diri. Setelah melihat apa yang terjadi pada Kamsani dan Marsidi, penduduk kampung sudah mula panik, menyebarkan bermacam-macam andaian yang menakutkan. Ingin keluar malam juga harus dipertimbangkan selepas pembunuhan kejam Kamsani dan Marsidi, apatah lagi ingin berjalan jauh keluar daripada Kampung Dangi.

Melihat semua penduduk kampung enggan menawarkan diri untuk ke Kampung Tembun, Ishak akhirnya bersuara untuk menolong.

“Tak apa, bapak. Esok saya boleh pergi ke sana berjumpa dengan Tok Ali.” Selepas bersuara, Ishak menundukkan mukanya, kekok buat pertama kali memanggil Penghulu Shah sebagai ‘bapak’. Penghulu Shah merenung Ishak lama, risau ingin melepaskan menantu sulungnya itu.

“Tak payahlah, Ishak. Kau baru kahwin, tadi. Biar aku dengan Kassim pergi.”

Belum sempat Penghulu Shah membuat keputusan, Rashid terlebih dahulu menawarkan diri untuk mengganti Ishak, ke Kampung Tembun berjumpa dengan Tok Penghulu Ali. Kassim menjeling tajam ke arah Rashid, tanda protes diheret ke dalam tugasan esok. Penghulu Shah mengangguk-anggukan kepala, membenarkan Rashid dan Kassim ke Kampung Tembun esok.

“Terima kasih, Rashid dan Kassim.”

Penghulu Shah sekali lagi menyoal penduduk kampung, dengan nada yang lebih serius.

“Selain daripada orang asing, ada nampak perkara pelik lain? Kejadian aneh lagi pelik.”

Tidak faham dengan soalan yang ditanya oleh Penghulu Shah, Nadim pantas menyoal.

“Apa maksud, Tok? Nampak hantu ke?”

Serta-merta, orang kampung yang duduk bersila dalam bulatan di dewan itu riuh-rendah, kecoh apabila mendengar persoalan Nadim. Suasana mula bingit. Tok Zamri yang dari tadi duduk bersila dan mendiamkan diri tiba-tiba bersuara.

“Mungkin, juga.”

Perlahan suaranya, tapi mampu didengari oleh semua penduduk kampung di situ. Dengan serta-merta, semua yang berkumpul di situ terdiam, seperti memberikan izin kepada Tok Zamri untuk menyambung cerita atau sekurang-kurangnya menjelaskan sesuatu.

“Dari semalam, hati saya tak tenteram. Saya tak lalu makan, tidur pun tak lena.”

“Kenapa, Tok? Tok tak sihat ke?”, Ishak menyampuk.

Lama Tok Zamri diam, sebelum perlahan-lahan menjawab persoalan Ishak.

“Entahlah. Saya pun kurang pasti. Saya tak berani nak cakap apa-apa tanpa bukti dan...”

Tok Zamri tersentak apabila tiba-tiba guruh bunyi dengan kuat sekali, memotong percakapannya.

“Auzubillah minashaitan nirajeem. Saya rasa nak hujan lebat, ini. Tak apalah, tuan-tuan semua. Baliklah dulu, saya risau nanti kalian terperangkap dalam hujan lebat pula. Baliklah sekarang, cepat sampai di rumah dan berehat. Esok malam kita berkumpul dekat sini lagi, ya?”

Dengan guruh dan kilat yang mula mengganas di balik awan, angin mula kencang menampar-nampak tingkap dewan yang terbuka luas. Penghulu Shah yang risau penduduk kampung akan terperangkap dalam hujan terus menamatkan sesi mesyuarat. Kata-kata Tok Zamri tadi dibiarkan tergantung, tidak sempat diulas dengan lebih lanjut.

“Kalau macam itu, kami balik dulu ya, Tok? Esok kita mesyuarat lagi. Assalamualaikum.”

Belum sempat Penghulu Shah membalas, penduduk kampung sudah terlebih dahulu berpusu-pusu untuk keluar. Ingin segera pulang ke rumah, tidak mahu terperangkap dalam hujan lebat.

“Waalaikumsalam.”

Lembut Penghulu Shah balas salam tadi. Dia faham benar dengan penduduk kampung Dangi ini. Mereka bertanggungjawab, malah gemar bergotong-royong. Kalau tidak, masakan semuanya berkumpul di rumah Penghulu Shah hari ini, bergotong-royong untuk perkahwinan Marini dan Ishak. Musibah hari ini juga amat memeranjatkan. Pasti penduduk kampung terlalu letih dan ingin segera pulang ke rumah untuk berehat.

Ishak membontoti ayahnya yang ke halaman rumah, untuk mendapatkan ibunya yang berkumpul dengan penduduk wanita lain di situ. Selepas menyalam kedua ibu bapanya, Ishak meluru keluar daripada rumah Penghulu Shah mengejar sahabat-sahabat baiknya yang telah berjalan laju ke hadapan, meninggalkan kawasan tadi.

“Hoi, tunggu kejap!” laung Ishak kuat.

Rashid, Kassim dan Ahmad yang pantas bergerak memberhentikan langkah dan memusing ke belakang melihat Ishak yang berlari-lari menghampiri. Dalam semput berlari mengejar sahabatnya tadi, Ishak sempat memuntahkan katanya.

“Lajunya jalan. Penat aku kejar.”

“Siapa suruh kau kejar.”

Ahmad membalas. Mereka berempat ketawa berdekah.

“Kassim, Ahmad, Rashid! Maaf, maaf aku tak sempat nak ucap terima kasih dekat kalian, untuk majlis aku.”

“Dah selesai pun, Shak. Kau dah kahwin, pun!”

Rashid ketawa sambil menepuk-nepuk bahu Ishak yang berdiri di hadapannya. Ahmad sedang enak menikmati karipap panas yang diambilnya di dapur rumah Penghulu tadi sebelum keluar tadi.

“Shid, kau betul ke nak pergi kampung Tembun, esok? Kau tak nak aku pergi?”

Ishak risau Rashid akan ke kampung Tembun esok, bukan dirinya.

“Kau baru kahwin kan, Shak. Tak payah lah susahkan kau. Kalau jadi apa-apa dekat kau nanti, siapa nak jaga isteri kau Marini yang cantik itu? Aku tak kacak macam kau, Marini tak mahu sama aku.” Kassim mencelah.

“Berangan lah kau, Kassim.”

Rashid menolak Kassim ke tepi, mengejek angannya untuk mengahwini Marini. Rashid memandang Ishak lama tanpa Ishak perasan. Ishak leka tersenyum-senyum, mungkin sedang berangan tentang Marini, isterinya. Bahu Ishak ditepuk.

“Sudahlah, kau pergi balik. Asyik tersenyum-senyum. Tahulah kau baru kahwin, kan. Sudah, jangan risau. Esok aku pergi dengan Kassim.”

Ishak mengangguk-angguk. Ahmad yang baru habis meratah dua karipap panas menghampiri mereka sambil menjilat-jilat jarinya.

“Pergi masuk bilik kau lah, Ishak hoi. Peluk Marini kuat-kuat. Kalau kau tak nak peluk, sekarang juga aku pergi peluk dia untuk kau.”

Mereka sekali lagi ketawa terbahak-bahak. Ishak menepuk-nepuk belakang Ahmad. Ahmad menggosok-gosok perutnya.

“Sudah lah kau. Jangan sibuk nak mengarut. Eh, apa Tok Zamri cakap tadi...”

Ishak memandang Rashid. Rashid pandang Ahmad. Kassim tersengih-sengih memandang Ishak.

“Kenapa dengan apa yang Tok Zamri cakap? Ishak, kalau orang cakap dia tak lalu makan, tak lena tidur, itu bukan sebab hantu dekat kampung ini. Itu sebab dia sudah jatuh cinta!”

Kassim ketawa.

“Kau buat-buat tanya pula Ishak. Kau dulu jatuh cinta dengan Marini, tak macam itu?”

Ahmad menolak bahu Ishak. Ishak tersenyum. Jatuh cinta?

“Tapi, jatuh cinta dengan siapa? Dengan hantu yang cantik?”

Rashid mencelah, masih inginkan kepastian tentang jatuh cinta dan Tok Zamri.

“Apa pula dengan hantu jelita! Dengan nenek kau!”

Ahmad pantas menjawab memecah kesunyian malam dengan tawa mereka sekali lagi. Berdekah-dekah mereka ketawa sebelum tiba-tiba guruh yang kuat membantutkan tawa mereka. Mereka berempat yang terkejut terus serentak mendongak ke atas memandang awan yang semakin menebal dan gelap. Mereka terus bersalaman untuk pulang dan Ishak berjalan kembali ke rumah Penghulu Shah, rumah barunya. Ishak terus masuk ke dalam bilik untuk berehat selepas seharian melayan tetamu dan menguruskan jenazah.

Tidak lama kemudian, hujan turun dengan lebat sekali, diikuti dengan tiupan angin kencang yang ganas menampar atap rumah dan tingkap atau pintu yang terbuka. Puan Fatimah segera menggesa anak-anak perempuannya menutup tingkap dan pintu yang rakus ditampar angin. Ishak dan Marini di dalam bilik. Penghulu Shah sedang berehat di kerusi malas.

“Timah,” lembut suara Penghulu Shah memanggil isterinya.

“Kenapa, abang?”

Puan Fatimah segera datang menghampiri Penghulu Shah selepas dipanggil.

“Timah, satu cawan lagi kopi boleh?”

Penghulu Shah tersengih-sengih meminta dihidangkan satu lagi cawan kopi. Puan Fatimah menggeleng-gelengkan kepala lalu melangkah laju ke dapur untuk menyiapkan kopi buat suaminya. Puan Fatimah menghampiri tempayan yang berisi air dan membukanya. Terkejut dibuatnya Puan Fatimah, apabila melihat air di dalam tempayan tidak diisi dan kini tinggal sedikit sahaja.

Selepas membuatkan secawan kopi seperti yang diminta oleh suaminya, Puan Fatimah menghampiri Hawa yang sedang duduk sambil membaca buku.

“Hawa, tadi petang ibu suruh kau ambil air dari telaga, kau ambil ke tidak?”

Puan Fatimah meletakkan kopi yang diminta suaminya di atas meja. Matanya masih tertumpu pada Hawa.

“Tadi nak dekat Maghrib ibu, ayah tak benarkan kami pergi. Tapi ayah ada suruh Dollah yang pergi ambil. Dollah tak ambil ke?”

Hawa terpinga-pinga dimarahi ibunya tiba-tiba. Selepas ayahnya tidak membenarkan dia dan Rahayu ke telaga kerana sudah menjelang Maghrib tadi, dia terus masuk ke dalam rumah, melayan tetamu yang hadir tadi. Tidak perasan pula sekiranya Dollah telah mengisi tempayan, atau belum.

“Ambil apanya, kosong saja tempayan.” Puan Fatimah menjuih mulutnya. Penghulu Shah yang mendengar kekecohan yang berlaku di ruang tamu itu segera mendapatkan isteri dan anaknya.

“Kenapa bising-bising, Timah?”

“Abang suruh si Dollah ambil air. Dia tak ambil air pun.”

Puan Fatimah sekali lagi menjuih mulut, tanda meluat.

Penghulu Shah ke dapur, ingin memastikan apa yang dibicarakan oleh isterinya itu adalah benar belaka. Dibuka tempayan dan dilihatnya kuantiti air dalam tempayan. Penghulu Shah kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala dan naik ke ruang tamu.

“Hai, budak Dollah ini. Saya suruh ambil air pun tak boleh harap. Jangan-jangan sudah pulang ke rumah, agaknya.”

Penghulu Shah kembali duduk di kerusi malas dan menghirup kopi yang dibancuh isterinya tadi. Sedap betul kopi yang dibancuh Puan Fatimah, air tangan isteri katanya.

Tiba-tiba, Rahayu muncul di hadapan Penghulu Shah dengan tangisan. Penghulu Shah kaget, terkejut melihat Rahayu menangis teresak-esak.

“Eh, kenapa kau, Rahayu? Kenapa menangis?”

Penghulu Shah risau, mula memegang erat bahu Rahayu dan memandang anaknya, meminta kepastian.

Rahayu menghulurkan padanya sebungkus bungkusan. Penghulu Shah yang masih tidak mengerti mengangkat kening, tanda tidak faham akan apa yang terjadi.

“Apa ini, Ayu?” lembut suara Penghulu Shah memujuk Rahayu.

Tangisan masih tidak henti dari Rahayu. Dalam esakkannya, Rahayu perlahan-lahan menjawab soalan ayahnya.

“Ini barang Dollah, ayah. Sekarang Dollah dekat mana, ayah? Dollah dekat mana?”


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku