Penanda Kubur Anira
6. Kepastian
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2462

Bacaan






Hujan masih turun dengan lebat. Sekali sekala, kedengaran bunyi guruh menyambar bumi dengan kuat. Angin bertiup kencang. Anira masih lagi berada di belakang rumah Penghulu Shah, terduduk melutut di balik sebuah pokok beringin yang besar. Dollah masih pengsan terbaring di hadapannya, tapi Anira tidak mengambil sebarang langkah untuk menggigit atau membunuh Dollah. Anira masih terpaku, memandang rumah Penghulu Shah tanpa berkelip.

Hatinya tiba-tiba berterusan sedih dan pilu apabila dia terpandang akan Marini tadi, buat pertama kalinya. Anira teringat akan Hartini, anaknya yang telah meninggal dunia itu. Anira menundukkan kepala, teringat akan betapa dia menyayangi Hartini. Teringat akan anaknya itu sudah tiada. Teringat akan wajah Hartini yang dalam kesakitan selepas badannya terbakar.

Tetapi Anira nekad. Dia masih ingin melihat muka Marini dengan jelas sekali lagi. Anira ingin memastikan Marini adalah pengganti Hartini, hadiah untuknya. Lalu Anira perlahan-lahan berdiri, memerhati dengan tajam ke arah rumah Penghulu Shah. Lama kemudian, rumah Penghulu Shah mula gelap gelita. Anira mengatur langkah, mengira ini adalah peluang yang baik untuk masuk ke dalam rumah Penghulu Shah, untuk mendapatkan Marini.

Pantas Anira menghampiri rumah Penghulu Shah. Anira ingin ke bilik tadi; di mana dia lihat Marini. Lalu setibanya di bawah tingkap bilik itu, Anira terus perlahan-lahan menguis dan membuka daun tingkap lalu mengintai-intai ke dalam. Anira dapat melihat seorang gadis sedang enak tidur di atas katil. Gadis itu tidur dengan nyenyak sekali, hinggakan bunyi guruh yang kuat juga tidak menyedarkannya.

Anira perlahan-lahan menarik daun tingkap, untuk dibuka dengan luas bagi memberikan laluan kepada angin ribut di luar meniup kencang ke dalam bilik itu, dan memadamkan lampu pelita yang berada di tepi katil. Tanpa lampu pelita itu, bilik ini menjadi gelap gelita, memudahkan kerja Anira. Perlahan-lahan Anira merangkak masuk ke dalam bilik menerusi tingkap. Dalam kegelapan yang menyelebungi bilik itu, Anira yang sedang merangkak hanya kelihatan seperti sehelai kain putih yang sedang menggelongsor masuk daripada luar tingkap.

Kemudian, perlahan-lahan Anira menghampiri hujung katil. Anira berdiri dan merenung lama ke arah gadis yang sedang tidur enak di atas katil. Kilat sabung menyabung, cahayanya sekejap-sekejap menyinari bilik. Anira perlahan-lahan menghampiri katil. Anira mengambil duduk di tepi katil dan dengan beraninya mula menyentuh gadis yang dilihatnya sedang tidur itu. Anira membelai-belai rambut gadis itu, sebelum menolak rambut yang menutupi muka gadis itu ketepi. Lama ditatap muka gadis yang sedang enak tidur itu. Lama, baru Anira sedar yang gadis ini bukan Marini. Gadis yang sedang enak tidur ini bukan gadis yang dilihatnya tadi.

Anira naik berang. Belum sempat dia berbuat apa-apa, tiba-tiba, dia dikejutkan dengan bunyi Puan Fatimah yang terbatuk-batuk di luar bilik tidur. Anira pantas merangkak naik ke atas gerobok di sebelah katil, untuk menyembunyikan diri.

Seketika selepas terbatuk-batuk di luar pintu bilik, Puan Fatimah membuka pintu. Dilihatnya tingkap bilik Hawa terbuka dengan luas. Puan Fatimah menggeleng-gelengkan kepala. Puan Fatimah terus mendekati katil Hawa, dengan niat untuk memarahi Hawa kerana tidak menutup tingkap sebelum tidur, namun dengan lampu lilin yang ada ditangannya, Puan Fatimah dapat melihat muka Hawa yang sedang tidur dengan nyenyak. Puan Fatimah berasa kasihan pula melihat Hawa yang sedang enak tidur, lalu tidak jadi ingin memarahinya.

“Hawa, Hawa. Buat kerja sikit, tidurnya sahaja lebih. Tingkap bagus, terbuka luas. Angin kencang pun tak sedar?”

Rungut Puan Fatimah seorang diri, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Puan Fatimah menghampiri tingkap, untuk menutupnya. Ketika Puan Fatima membongkok ke hadapan untuk menutup tingkap yang terbuka luas, Anira mengambil kesempatan untuk melekatkan dirinya ke dinding, dan merangkak keluar daripada bilik.

Setelah menutup tingkap bilik Hawa dan memastikan anak gadisnya itu tidur dengan nyenyak, Puan Fatimah melangkah keluar dan menutup pintu perlahan-perlahan.

Tiba-tiba, Puan Fatimah dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita yang secara tiba-tiba berdiri di belakangnya.

“AstaghfirughllahHaladzim, Ya Allah! Rini! Boleh kena sakit jantung, ibu ya. Kenapa kau berdiri senyap-senyap belakang ibu!”

Puan Fatimah mengurut-urut dadanya yang tidak sakit sambil bibirnya mengomel dalam diam. Pasti marah akan Marini. Marini ketawa melihat keletah ibunya yang mudah terkejut.

“Maaf, ibu. Tak sengaja. Ibu buat apa dalam bilik Hawa tadi?”

Puan Fatimah berpura-pura kesedihan, saja mahu bergurau dengan Marini.

“Itu satu lagi, anak bertuah. Kalau tidur, tidur mati. Tingkap bilik terbuka luas, angin masuk pun, dia tak sedar. Kalau pontianak masuk, macam mana?”

Puan Fatimah mengomel panjang, merungut tentang sikap Hawa. Marini menampar lembut tangan ibunya dengan muka yang berkerut.

“Apa ibu ini, mengarut saja.”

Puan Fatimah mengangkat bahu dan tersengih. Marini ketawa.

“Rini, Rahayu macam mana?”

Puan Fatimah teringat akan Rahayu yang masih dalam kesedihan tadi. Tugas untuk memujuk dan menenangkan Rahayu dilepaskan kepada Marini. Marini, sebagai kakak sulung, memang lebih rapat dengan adik-adiknya.

Marini menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum menjawab persoalan Puan Fatimah.

“Sama macam tadi saja, ibu. Ayu masih sedih. Dia marahkan ayah, ayah tak mahu pergi cari Dollah. Sekarang, Saleha dalam bilik dengan dia, mereka berbual-bual.”

Marini menjelaskan keadaan adiknya.

Puan Fatimah mengeluh berat sambil termenung kosong, memerhatikan laluan dapur yang gelap.

“Ayah kamu, penat sangat hari ini. Tadi, dia letak saja kepala atas bantal, terus berdengkur. Ibu pun tak sempat bersembang dengan dia. Kau cakapkan dekat Ayu, jangan risau lah. Hujan pun masih lebat, susah nak cari Dollah. InsyaAllah, tak ada apa akan jadi, Dollah selamat.”

“Amin, harap-haraplah.”

“Kamu nak ke mana?”

Puan Fatimah pula menyoal, aneh Marini masih belum tidur.

“Saya nak siapkan makanan sikit untuk Saleha, ibu. Kesian dia, dari tadi tak makan, tak minum. Risau ibu, saya tengok dia.”

Marini menunjukkan muka risau. Puan Fatimah menggeleng-gelengkan kepala selepas mendengar jawapan Marini.

“Ambillah, Rini. Makanan banyak lagi. Lebihan majlis tadi. Pergi beri dekat Saleha. Kasihan, memang kasihan dengan dia. Sudahlah hamil lapan bulan, suami pula meninggal dunia hari ini.”

Puan Fatimah mengurut-urut dadanya, menahan sebak mengenang nasib Saleha yang baru kematian suami. Puan Fatimah kemudian perlahan-lahan berlalu pergi, menuju ke biliknya untuk berehat.

Rutin harian di rumah Penghulu Shah memang begini. Setiap malam, selepas waktu tidur, semua orang dalam keluarga Penghulu Shah akan bergerak di dalam rumah, dengan berpandukan kepada cahaya lilin. Mereka jarang sekali akan menggunakan lampu pelita. Makanya, kesemua ahli keluarga Penghulu Shah sudah biasa duduk dalam kegelapan. Namun malam ini, suasananya lain macam sekali. Rumah Penghulu Shah lebih gelap daripada biasa. Mungkin kerana hujan lebat tadi.

Marini tersentak ketika memasuki dapur, kerana keadaan dapur yang gelap-gelita. Marini pandang tingkap yang ditutup rapat kerana hujan tadi. Dalam kegelapan ini, Marini memegang kukuh cahaya lilin kecil di tangan kirinya. Cahaya lilin kecil itu hanya mampu menerangi mukanya hingga ke pinggang sahaja. Maka sekelilingnya yang lain pula amat gelap gelita.

Marini tidak membuang masa. Dia terus menuju ke meja makan untuk mengambil lebihan makanan daripada majlis perkahwinannya tadi, ataupun makanan lebihan ketika mesyuarat tergempar tadi. Marini meletakkan lilin kecilnya di atas meja, dan sibuk menyenduk nasi dan lauk ke dalam pinggan, untuk Saleha. Dalam pantas menyenduk nasi dan menghitung lauk untuk diletakkan di dalam pinggan itu, Marini tidak perasan akan samar-samar sebuah lembaga putih sedang berdiri di sudut dapur, tidak jauh daripada Marini.

Lembaga putih yang sedang khusyuk berdiri di sudut dapur itu sudah semestinya Anira. Ya, Anira khusyuk berdiri di situ, dalam gelap, memerhatikan dengan teliti setiap tingkahlaku Marini. Bentuk badannya, wajahnya, rambutnya malah senyumannya juga amat menyerupai Hartini, anak kesayangannya. Setiap penggerakan badan dan senyuman Marini mengingatkan Anira kepada mendiang anaknya itu.

Marini kaku, tiba-tiba.

Nasi dan lauk yang sedang dicedoknya itu dibiarkan di atas meja. Marini kaget, tergamam dan berdiri keras di meja makan. Dia terdengar sebuah nyanyian merdu.

Nyanyian itu datangnya daripada Anira, yang seringkali menyanyikan lagu itu untuk menidurkan Hartini, waktu kecil dahulu. Hartini seringkali takut dengan bunyi guruh yang kuat. Dengan lagu itu, Anira akan menenangkan anaknya.

Nyanyian merdu itu membuatkan Marini memejam matanya rapat dan tidak bergerak. Dia seperti sudah keras berdiri di meja makan itu. Perlahan-lahan, Anira yang sedang berdiri di sudut dapur menghampiri Marini.

Anira menyentuh lembut tangan Marini, dan membelai-belai rambutnya yang panjang. Memori tentang Hartini berlegar-legar di kepalanya. Anira nekad – dia pasti sekali yang Marini adalah pengganti anaknya yang sudah meninggal itu. Anira nekad, Marini miliknya. Marini bisa mengisi kekosongan dan mengubat luka di hatinya.

Marini yang kaget, tidak bergerak daripada meja makan tadi tiba-tiba tersentak mendengar suara lantang adiknya.

“Kak! Kak oh kak... Kak, makanan Kak Leha, mana? Siap?”

Rahayu melangkah perlahan-lahan ke dapur. Anira yang dapat mengesan kehadiran Rahayu, terus mengundurkan dirinya kembali ke sudut dapur yang gelap tadi. Marini yang baru tersedar seperti orang hilang ingatan; menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Rahayu menghampiri Marini yang masih berdiri di meja makan.

Marini memegang dahinya dan memandang Rahayu.

“Eh, kenapa? Eh, eh.... oh.. dah siap. Dah siap, Ayu.”, Marini menghulurkan pinggan kepada Rahayu.

Rahayu kehairanan melihat keletah aneh kakaknya itu.

“Kenapa, kak? Penat?”

Marini menggeleng-gelengkan kepala. Mukanya masih kelihatan kabut, atau lebih kepada buntu, tidak mengerti apa yang baru sahaja terjadi tadi. Belum sempat dia ingin bergerak, melangkah untuk naik ke atas, Rahayu memegang tangannya.

“Kak, hantarkan makanan untuk Kak Leha. Ayu lapar lah. Ayu nak ambil makanan juga.”

Rahayu tersengih-sengih seperti kerang busuk. Sedihnya tadi sudah semakin hilang, dipujuk dek Saleha.

Marini mengangguk perlahan-lahan, dan teragak-agak untuk menjawab permintaan Rahayu.

“Ah... baik. Baik.”

Rahayu mengerut dahi, masih hairan dengan tingkah pelik kakaknya. Marini berlalu pergi, sambil membawa pinggan nasi untuk diberikan kepada Saleha. Rahayu mengambil pinggan dan mula mencedok nasi ke dalam pinggannya, sebelum tiba-tiba, Rahayu terhidu akan bau yang wangi.

Digaru-garu kepalanya yang tidak gatal, kehairanan. Rahayu cuba untuk mencari mana datangnya bau yang harum itu. Namun dengan gelap sebagai batasan, Rahayu tidak menghiraukan bau itu dan kembali mencedok nasi dan lauk ke pinggannya.

Tiba-tiba, ada bunyi benda jatuh, di belakang Rahayu.

Rahayu terus memaling ke belakang. Dan dengan serta merta, bau wangi tadi mencucuk-cucuk kuat hidung Rahayu. Rahayu memerhati sekeliling, dan terpandang akan sebuah gerobok lama di sudut tepi dapur.

“Tak mungkin bau wangi dari gerobok, ya?” omel Rahayu seorang diri.

Dengan ditemani cahaya lilin di tangannya, Rahayu perlahan-lahan berjalan menghampiri gerobok. Semakin dekat dengan gerobok, semakin kuat bau wangi itu mencucuk-cucuk hidung Rahayu. Rahayu kehairanan. Dengan tidak semena-mena, bulu roma di belakang tengkoknya mula berdiri. Rahayu makin hampir dengan gerobok itu, jantungnya mula berdegup kencang.

Rahayu berdiri betul-betul di hadapan pintu gerobok. Rahayu hampir-hampir ingin membuka gerobok itu, sebelum tiba-tiba dia terdengar bunyi cakaran daripada bahagian atas gerobok.

“Kucing?” bisik hati Rahayu.

Rahayu tidak memikirkan sebarang perkara. Perlahan-lahan diangkat lilinnya tinggi ke atas, untuk menyuluh bahagian atas gerobok.

Cahaya lilin menyuluh tepat ke muka Anira, mendedahkan mulutnya yang terbuka luas dan memperlihatkan gigi taringnya.

Rahayu yang terkejut terus menjerit dan jatuh pengsan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku