Penanda Kubur Anira
7. Perjalanan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(18 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4429

Bacaan






Keesokan harinya – pada subuh hari, kesejukan luar biasa mencekam kulit. Embun pagi menitis-nitis membasahi daun. Suasana di sekitar Kampung Dangi sunyi sekali, sepi tanpa sebarang bunyi dan kelibat penduduk. Cuaca yang kelihatan mendung sahaja, menggelapkan lagi suasana pagi di Kampung Dangi. Muram. Laluan utama untuk memasuki dan keluar dari Kampung Dangi pula diselaputi dengan kabus yang tebal, menyeramkan pandangan.

Selepas solat subuh di rumah, Rashid bersiap-siap untuk ke rumah Kassim yang tidak jauh daripada rumahnya. Pertemuan mereka diatur di situ, semalam. Seperti yang dijanjikan semalam juga di rumah Penghulu Shah, mereka berdua akan ke Kampung Tembun untuk berjumpa dengan Penghulu Ali di sana. Hajat kedatangan mereka ke Kampung Tembun itu adalah untuk bertanyakan perihal tentang perkara aneh yang mungkin berlaku di sana, atau melihat sesiapa yang mencurigakan.

Rashid pula tidak sabar untuk melihat anak-anak dara di Kampung Tembun, ingin cari jodoh, niatnya. Sambil berjalan ke rumah Kassim, Rashid mula mengangan-angan untuk menjumpai ramai anak dara yang cantik di sana. Kali terakhir Rashid ke sana, kira-kira dua bulan lepas, menguruskan hal kampung dengan Ishak dan Kassim. Waktu itulah Rashid ternampak ramai anak-anak dara, bahkan wanita cantik yang ramai di Kampung Tembun itu! Hal ini yang menambahkan semangat Rashid untuk ke sana. Buat Rashid, peluangnya untuk mencari jodoh di Kampung Dangi amatlah kurang. Lalu adalah baiknya dia mempunyai rencana baru.

Setelah sampai di rumah Kassim, Rashid mengambil tempat di tangga hadapan sambil berangan-angan dapat mengahwini anak dara cantik dari Kampung Tembun. Rashid leka dengan angannya hingga tidak sedar Kassim sedang berjalan kearahnya. Kassim yang melihat Rashid sedap berangan terus menyergahnya daripada belakang dan mengejutkan Rashid.

“Hoi, kurang ajar kau, Achim! Terkejut tahu? Kalau sakit jantung macam mana!” jerit Rashid.

Rashid masih mengomel seorang diri, membebel perkara tidak berkaitan dengan peristiwa tadi. Kassim yang melihat perangai Rashid ketawa terbahak-bahak. Lucu benar telatah Rashid ini baginya.

Setelah habis ketawa, Kassim menghulur sekeping roti kepada Rashid.

“Mari.”

Kassim memberi isyarat. Mereka terus serentak jalan berdua perlahan-lahan ke Kampung Tembun. Kampung Tembun terletak di bahagian utara, tidak berapa jauh dari Kampung Dangi. Perjalanan mungkin sepanjang 1 kilometer daripada Kampung Dangi.

Untuk menghiburkan hati mereka sepanjang perjalanan itu, Rashid dan Kassim asyik bergurau dan berbual dengan rancak tentang pelbagai perkara. Sambil mengunyah roti yang dijadikan bekalan, mereka membelah kesunyian jalan keluar daripada Kampung Dangi, yang penuh dengan kabus, dengan tenang. Rashid dan Kassim sememangnya masih bujang dan tidak mempunyai kekasih hati lagi, maka antara topik hangat yang seringkali dibual oleh mereka adalah mengenai ‘anak dara’.

Setelah lama mendiamkan diri, sibuk mengunyah bekalan yang dibawa, Rashid membelah kesunyian dengan suara garaunya.

“Eh, Kassim! Macam mana pandangan kau, kau rasa anak penghulu Kampung Tembun secantik Marini tak?” tanya Rashid semangat. Kassim sahaja yang pernah melihat anak penghulu Kampung Tembun itu, tempoh hari. Rashid tak berkesempatan untuk melihat anak dara itu kerana sibuk menyelesaikan hal lain. Melepas peluangnya!

Kassim tersenyum sinis mendengar soalan kawannya itu. Dengan riak teruja, Kassim menjawab persoalan Rashid.

“MasyaAllah, anak dara penghulu Kampung Tembun... cantik betul!”

“Cantik betul ke, Achim?”

Rashid tidak sabar untuk mendengar penjelasan Kassim lagi. Dia ingin membayangkan kecantikan anak gadis penghulu Kampung Tembun. Mungkin lebih cantik daripada Marini!

“Cantik lah, aku cakap. Cantik macam bidadari. Muka cantik. Kulit dia pula, putih sungguh... macam susu lembu! Rambut hitam, ikal mayang. Bibir dia merah, macam buah saga. Badan dia besar macam gajah...”

Rashid tercengang. Angannya tadi memperlihatkan seorang gadis yang sungguh jelita, tapi tiba-tiba Kassim kata badannya sebesar gajah...

Rashid yang berang terus menyampuk.

“Ish, apa kau ni! Tadi cakap cantik sangat macam bidadari. Kenapa badan macam gajah pula?” tanya Rashid dalam hampa.

Kassim ketawa lama sebelum memujuk Rashid kembali.

“Janganlah marah, Shid. Betul semua betul aku cakap. Muka dia memang cantik sungguh. Cuma...badan dia sajalah yang kurang cantik.”

Rashid hampa. Kassim menyambung kembali percakapannya selepas melihat Rashid pura-pura kecewa.

“Tapi...”

“Tapi apa, Achim?”

Rashid kembali riang, ingin mendengar sogokan harapan yang ingin disumbat Kassim.

“Tapi, aku rasa sesuailah dengan kau. Tengoklah badan kau yang macam ikan paus itu!”, jawab Kassim selamba dan terus ketawa terbahak-bahak. Rashid mencebik.

Tiba-tiba, Kassim terhenti dari tawanya dan menunjukkan sesuatu di hadapan pada Rashid.

“Shid... kau tengok depan! Kau tengok depan! Ada anak dara jalan depan kita, lah. Amboi, cantiknya dia!”

Rashid terus membutangkan mata melihat hadapan. Di dalam kabus yang masih menebal itu, dalam samar-samar, kelihatan seorang wanita cantik memakai baju kebaya serba putih berjalan perlahan-lahan kearah Kassim dan Rashid. Wanita itu menundukkan mukanya dengan kedua belah tangannya kerapkali memegang kain selendang yang di atas kepalanya, agar tidak jatuh.

Rashid memperlahankan langkahnya untuk memerhatikan wanita di hadapannya itu.

“Eh, betul lah. Cantiknya. Apa dia buat jalan seorang diri pagi-pagi ini, Achim?”

Rashid memuji kecantikan wanita itu, tapi masih dalam kehairanan memikirkan kemana wanita itu ingin pergi.

“Ke kampung kita, mungkin”, sedap hati Rashid.

“Entahlah. Jangan-jangan, hantu apa?”, jawab Kassim dan terus dia ketawa.

Rashid turut ketawa dan kemudian menepuk keras tengkuk Kassim.

“Hoi, jangan merepek! Pagi-pagi ada hantu ke? Mana ada!”

Kassim sekali lagi ketawa.

“Mana tahu, aku cakap saja.”

“Tapi kan, Achim.. kalau betul lah dia hantu, bolehlah kau kahwin dengan dia. Sebab muka kau pun macam hantu,” kena Rashid balik pada Kassim.

Rashid ketawa terbahak-bahak.

“Oh, pandai kenakan aku balik!”

Kassim memijak kaki Rashid. Rashid cuba mengelak tapi gagal. Wanita yang sedang berjalan itu semakin menghampiri.

Rashid dan Kassim serta merta berhenti, ingin melihat wanita itu melepasi mereka. Apabila wanita itu semakin hampir dengan mereka, dia mendongakkan mukanya dan memberikan lirikan senyuman yang manis kepada Rashid. Rashid terus membalas senyumannya.

“Adoiiiii, cantiknya! Assalamualaikum Cik adik manis, nak ke mana? Tak takut ke jalan seorang diri? Abang boleh temankan”, miang Rashid, mengurat wanita tersebut ketika dia semakin menghampiri.

Kassim kemudiannya menyambung miang Rashid.

“Nama apa, adik sayang? Dari mana hendak ke mana?”

Mereka berdua menanti jawapan daripada wanita cantik itu, tapi wanita itu hanya mendiamkan diri. Sambil berjalan perlahan-lahan menghampiri Rashid dan Kassim, dia hanya melemparkan senyuman yang manis dan menjeling manja pada Rashid. Semasa wanita itu berjalan di antara Kassim dan Rashid, lenggok punggungnya sengaja diperlahankan, membuatkan Rashid dan Kassim menoleh ke belakang untuk mengamati dengan lebih nikmat akan lenggang punggungnya itu.

Mereka girang melihat lenggok punggung wanita itu sebelum Kassim menghidu sesuatu.

“Amboi, wangi sungguh! Wangian apa yang dia pakai ini?”

Kassim memandang Rashid. Rashid masih membutangkan matanya dengan mulutnya sedikit terbuka – berangan.

“Eh, Rashid. Tadi aku perasan dia jeling manja tengok kau. Aku rasa dia suka kau, lah!”

Rashid mengangguk-angguk, seronok, tersenyum lebar.

“Kassim, kau tengok.... bentuk badan dia. Sungguh menawan, hati tertawan. Oh, Kassim. Kalau dia jadi isteri aku, aku tak mahu keluar rumah langsung. Nama kau pun aku rasa aku lupa.”

Mereka berdua terbahak-bahak ketawa.

Mereka berdua menoleh ke hadapan untuk meneruskan perjalanan, tapi tiba-tiba kembali tercegat. Terkejut melihat seorang lagi wanita berpakaian serba putih juga, sedang berjalan ke arah mereka. Wanita itu juga menundukkan mukanya ketika berjalan, dengan ketinggian dan bentuk badan yang seiras dengan wanita pertama tadi.

Rashid dan Kassim tergamam. Mereka tidak menggerakkan badan. Kassim perlahan-lahan menarik baju Rashid dan berbisik,

“Eh, Rashid! Kau tengok kan perempuan depan itu? Muka macam seiras perempuan tadi, saja. Baju dengan selendang pun sama. Adik kembar apa?”

Rashid mengangguk berkali-kali, menyedapkan hati.

“Betul lah mungkin. Tapi ini macam perempuan tadi. Lain macam lah, Achim.”

Mereka serentak memandang ke belakang selepas Rashid menghabiskan kata, untuk melihat wanita yang baru sahaja lalu tadi. Wanita itu sudah tidak lagi kelihatan. Mereka menoleh ke hadapan, dan tiba-tiba – kaku.

Wanita yang tadinya sedang berjalan menghampiri mereka kini telah mengangkat kepalanya dan memperlihatkan rupa wanita yang saling tidak tumpah sama dengan wanita pertama tadi.

Rashid dan Kassim terdiam dan masih mendiamkan diri apabila wanita itu perlahan-lahan berjalan di antara mereka. Ketika melepasi mereka, wanita itu melirik manja dan memberikan senyuman yang manis kepada Kassim. Kassim kaget. Bau wangi dan lenggok punggung wanita itu sangat seiras dengan wanita pertama tadi. Kepala mereka mengikut rentak jalan wanita itu, hingga wanita itu berjalan melepasi mereka.

Kali ini, Kassim dan Rashid tidak berani untuk bergurau atau mengusik wanita itu. Mereka berdiri kaku, mengeraskan diri dan hanya diam memerhati wanita itu berjalan. Wajah mereka yang tadinya gembira, kini bertukar menjadi keliru dan dalam ketakutan. Jantung mereka berdegup kencang, dalam memerhati langkah wanita itu berjalan, meninggalkan mereka yang masih berdiri.

Kassim mengurut-urut janggutnya. Rashid mula berpeluh, dahinya mula basah, walaupun dalam kesejukan pagi. Setelah mereka menghantar pandangan melihat wanita kedua itu berjalan jauh membelah kabus, Kassim memandang Rashid.

“Aku rasa tak ada apa-apa pun. Kau jangan fikir bukan-bukan.”

Rashid hanya mengangguk-angguk dan menelan air liur, masih tercengang dan kehairanan, namun tidak mampu berkata apa-apa.

Mereka kembali menoleh ke hadapan untuk meneruskan perjalanan.

Namun, alangkah terkejutnya mereka apabila menoleh dan ternampak seorang wanita yang sama seperti tadi, kini sedang berdiri di hadapan mereka, merenung dengan tajam seakan ingin membaham mereka


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku