Penanda Kubur Anira
8. Kecederaan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9318

Bacaan






Awan tebal yang berarak di atas mereka membuatkan pagi yang muram menjadi lebih gelap. Lorong masuk ke Kampung Dangi yang sunyi sepi masih lagi diselaputi dengan kabus tebal, membuatkan suasana pagi di situ menjadi lebih menyeramkan.

Rashid dan Kassim yang kaku – mendiamkan diri. Bulu roma yang berdiri tegak di tengkuk mereka dapat dirasai. Lutut mereka terasa lemah, sangat lemah dengan tangan yang mula menggeletar kerana ketakutan. Ini pertama kali mereka melihat lembaga seperti Anira.

Anira pula merenung tajam ke arah mereka – dengan diam berdiri betul-betul di hadapan Rashid dan Kassim. Perlahan-lahan Anira membuka mulutnya dan memperlihatkan gigi taringnya.

Rashid yang melihat pernampakan lembaga Anira itu, terus menjerit.

“Ya Allah! Kassim! Hantu! Lari, Kassim! Lari!”

Rashid dan Kassim terus memusingkan badan mereka dan berlari sepantas mungkin masuk kembali ke dalam kampung mereka. Tetapi tiba-tiba mereka berhenti.

Di balik kabus pagi yang tebal dan tinggi itu, dalam samar-samar, mereka melihat Anira sedang berdiri kaku di tengah-tengah laluan.

Mereka kaget – dan terus memandang ke belakang, dan melihat Anira turut berada di tempat dia berdiri tadi, merenung tajam ke arah mereka.

Anira seolah-olah di mana-mana.

Rashid pantas menarik tangan Kassim dan mereka berdua lari lintang pukang masuk ke dalam hutan tebal, yang belum pernah diredah oleh manusia.

Hutan yang diredah masuk penuh dengan semak dan belukar tebal, membuatkan larian Rashid dan Kassim semakin perlahan. Namun mereka masih berlari dengan sekuat hati, tidak ingin ketemu sama Anira lagi. Muka, kaki dan tangan mereka telah cabar-balar dan berdarah kerana terlanggar duri-duri dalam hutan. Mereka masih berlari dan berlari, tanpa arah tujuan.

Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi ngilaian yang kuat. Rashid dan Kassim tersentak dan berhenti. Rashid memandang Kassim. Mereka perlahan-lahan mendongakkan kepala memandang keatas. Tiada apa. Mereka sekali lagi mendongak dan memandang keliling, mencari Anira. Tetapi mereka tak dapat melihat di mana Anira mungkin berada.

“Kassim... kau dengar kan tadi?”

Kassim mengangguk-angguk, masih menggeletar dalam ketakutan.

“Ala, Kassimmmmmm! Mana dia ini?!”

Rashid mula risau apabila tidak dapat mengenalpasti di mana Anira berada. Badannya dipusing berkali-kali untuk mencari Anira.

“Aku, a-aku tak nampak dia lah Rashid, kau nam-nampak tak? A-aku rasa dia dah ba-balik lah.”

Kassim masih dalam ketakutan, menggeletar cuba meyakinkan Rashid bahawa Anira telah tiada.

Rashid tercengang. Mana mungkin, mereka dengar bunyi mengilai tadi. Jangan jangan...

“Aduh, kacau. Kacau. Dia nak balik ke mana, Achim. Kau jangan merepek, takkan balik rumah kau? Achimm... Achimm...”

“Apa?! Kau jangan takutkan aku!”

Kassim memandang kiri kanan.

“Achim, nenek aku cakap dulu, kalau kau dengan bunyi mengilai itu perlahan, maksudnya... dia dekat dengan kita...”

Kassim mengurut-urut dadanya sambil menarik nafas lega.

“Tadi bunyi mengilai dia kuat, Shid. Maksudnya dia jauh lah, kan?”

Kassim senyum lega. Yakin yang Anira telah jauh dari mereka.

Belum sempat Rashid cakap apa-apa, tiba-tiba, mereka terhidu bau wangi; bau wanita cantik tadi, bau wanita yang ada gigi taring itu juga... bau Anira!

Kassim mula gelabah. Mukanya pucat keputihan, dahinya mula basah. Dia memandang Rashid.

“Ra-rashid, ka-kau bau tak-tak apa yang a-aku ba-bau?”

Kassim dalam ketakutan. Rashid tidak henti memandang kiri dan kanan hutan.

“Alaaaaa Kassimmmmm, mana dia ni?!”

Tiba-tiba, kedengaran suara lunak seorang wanita mendayu-dayu, memanggil nama Rashid.

“Raaaaaaaaaashiiiiiddddddddddd...”

Rashid tersentak. Kassim memejamkan matanya dengan rapat sambil menggeleng-gelengkan kepala, mengharapkan perkara ini tidak terjadi. Rashid menoleh ke kiri dan kanan, mencari arah suara itu lagi, namun tak dapat melihat sesiapa. Suara lunak itu tiba-tiba, sekali lagi menyeru nama Rashid, mendayu-dayu.

“Raaaaaaaaaashiiiiiddddddddddd...”

Kassim yang telah berdiri rapat di sisi Rashid, menepuk-nepuk bahunya.

“Eh, Shid! Dia pang-panggil nama kau itu, tan-tandanya dia sa-sayang kau tu. Per-pergilah dekat di-dia.”

Rashid terus menepis tangan Kassim dan meninggikan suara.

Eh, kau jangan nak buat kelakar eh, karang aku....”

Rashid terhenti bercakap apabila sekali lagi mendengar bunyi mengilai itu. Tetapi kali ini, bunyi mengilau itu perlahan sekali.

Rashid dan Kassim memandang antara satu sama lain. Mereka menoleh ke tepi, memandang ke arah bunyi mengilai itu datang. Dan alangkah terkejutnya mereka, melihat Anira berdiri kaku di situ – merenung mereka dengan matanya yang besar terbeliak.

Rashid dan Kassim terus pusing ke belakang dan lari dengan sekuat hati, sambil menjerit ketakutan. Kali ini, semak dan belukar yang tebal tak menjadi penghalang. Mereka redah sahaja, tidak hirau lagi. Yang pasti mereka ingin lari dari Anira. Akan tetapi, mereka tidak sedar mereka berlari menuju ke cerun yang curam.

Rashid dan Kassim yang lari sekuat hati, tiba-tiba jatuh terjunan ke bawah cerun. Kassim sempat memeluk dan berpaut pada sebatang pokok kecil tapi Rashid tidak bernasib baik. Rashid tergolek jatuh ke bawah curam. Kassim hanya mampu melihat Rashid terjatuh, kerana tidak sempat mencapai kawannya itu.

Kassim cuba sedaya upaya menarik dirinya naik ke atas cerun. Selepas dia berjaya naik ke bahagian atas cerun, dia lihat sekeliling, cuba sekali lagi mencari Anira. Tetapi Anira tiada. Kassim menjengah ke bawah cerun, melihat Rashid terbaring kaku di tanah bawah cerun. Kassim cuba menjerit memanggil-manggil nama Rashid, tetapi Rashid tidak bergerak. Kassim lihat sekeliling, cuba mencari bahagian tapak cerun yang memudahkannya untuk turun ke bawah. Tetapi cerun yang tinggi itu amat membahayakan.

Kassim sudah tidak hirau lagi tentang Anira.

“Apa nak jadi, jadilah. Rashid lagi penting”, bisik hatinya.

Kassim kebingungan – berjalan mundar-mandir di kawasan cerun, ketakutan dan kebuntuan cara untuk menolong Rashid. Kassim cuba untuk menjerit meminta tolong juga, tidak tahu mungkinkah akan ada orang yang akan datang menolongnya. Kassim risau, Kassim tidak pasti sama ada Rashid masih hidup atau sudah mati.

Akhirnya Kassim tekad. Dia ingin turun ke bawah cerun yang curam itu, untuk tengok keadaan Rashid. Lalu, Kassim terus mencari bahagian cerun yang ada banyak pokok-pokok kecil dan semak-samun. Digelongsorkan badannya perlahan-lahan ke bawah, setiap kali itu juga dia menggunakan beberapa pokok kecil untuk menahannya daripada terus jatuh ke bawah.

Kassim terus meluru ke arah Rashid yang terbaring. Rashid masih bernafas, melegakan Kassim. Kassim menggoyang-goyangkan badan Rashid dan memanggil-manggil namanya, tapi Rashid tidak sedarkan diri. Kassim mengeluarkan bekas air yang terdapat dalam beg galasnya, menyapu sedikit air ke muka Rashid, sambil menampar-nampar lembut mukanya. Namun, Rashid masih tidak sedarkan diri. Apabila Kassim mengangkat kepala Rashid, baru dia sedar kepala Rashid berdarah.

Kassim memandang badan Rashid, dan terperasan yang buku lali Rashid juga sudah mula membengkak. Entah kerana patah atau terseliuh. Kassim mula serabut, tidak tahu ingin berbuat apa.

Memandangkan Rashid bertubuh besar, Kassim tidak mampu untuk mengangkatnya seorang diri. Lalu, Kassim mengambil keputusan untuk meninggalkan Rashid di situ dan pulang ke Kampung Dangi untuk meminta bantuan daripada orang kampung. Kassim mengoyak sedikit kain lengan bajunya dan mengikatnya di sebatang pokok, tanda kepada mana Rashid berada. Takut sesat nanti. Kassim berdoa, mengharapkan pertolongan Allah untuk melindungi Rashid.

Kassim masih buntu dengan hutan yang tebal ini. Sesak yang dia rasa, membuatkan otaknya beku, tak memberikan sebarang jalan penyelesaian. Kassim menoleh ke kiri dan kanan, namun masih tidak pasti dia berada di mana dan ke mana harus dia pergi. Dia mendongak ke atas dan melihat cerun yang curam tadi. Adalah mustahil untuk Kassim naik ke atas cerun semula.

Kassim kebingungan.

Tetapi, tiba-tiba dari semak samun itu, Kassim ternampak dalam samar kelibat seorang lelaki, tidak berapa jauh dari dirinya.

“Orang ke?”, Kassim musykil.

Tetapi oleh kerana terdesak, Kassim tidak berfikir panjang. Dia terus memekik melambai-lambai tangannya ke arah lelaki tadi, meminta pertolongan.

“Tolong! Tolong! Tuan! Tolong kami! Tolong!”

Lelaki tadi mencari-cari bunyi jeritan, dan menoleh kearah Kassim, lalu melambai-lambaikan tangannya juga. Kassim berasa lega apabila melihat lelaki itu berjalan menuju kearahnya.

Kassim terus sekali lagi melutut di hadapan Rashid dan menggoyang-goyangkan badannya.

“Rashid! Rashid! Bangun! Syukur Alhamdulillah, ada orang nak bantu kita. Bangun! Bangun! Ish, tak nak bangun jugak dia ni...”

Putus asa untuk menggerakkan Rashid, Kassim terus berdiri dan mendapatkan lelaki tadi yang telah berjalan menghampiri dirinya. Tanpa membuang masa, Kassim terus berluru dan meminta bantuan lelaki tersebut.

“Assalamualaikum, saudara. Nama saya Kassim. Kawan saya cedera parah, boleh bantu saya balik ke kampung saya?”

“Boleh. Boleh. Apa salahnya. Mana kawan kamu, Kassim?”

Lelaki tadi tersenyum. Kassim lega.

“Kawan saya dekat sana.”

Kassim berjalan kearah Rashid sambil dibontoti lelaki tadi.

“Nama saudara, siapa?”

Kassim cuba untuk beramah dengan lelaki yang ingin membantunya ini. Kassim melutut di hadapan Rashid, cuba mengangkat kepalanya.

“Nama saya Azman”.

Serta-merta, kepala Kassim dihentak dengan batu, oleh Azman



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku