Penanda Kubur Anira
9. Kepanasan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(14 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6589

Bacaan






Sekitar pukul 10 pagi di Kampung Dangi, Ishak mengambil keputusan untuk melari ke rumah Tok Zamri. Lalu, dengan pantas dia berlari mendapatkan Tok Zamri. Tok Zamri sedang menjemur pakaian basahnya di depan rumah, ketika Ishak termengah-mengah berhenti di perkarangan rumahnya.

Dengan lelah yang masih berbaki, Ishak menyalam Tok Zamri. Tok Zamri masih kehairan melihat Ishak yang dalam kabut, memintanya untuk menenangkan diri. Ishak menarik nafas dalam-dalam.

“Tok, assalamualaikum”.

“Ya, waalaikumusalam, Ishak. Kenapa ini? Kelam kabut pagi-pagi? Perlahan-lahan, cerita perlahan-lahan”.

Tok Zamri menenangkan Ishak, sebelum Ishak membuka cerita tentang hajatnya ke rumah Tok Zamri ini.

“Tok, begini... semalam, masa saya tengah baring nak tidur, saya dengar satu jeritan dekat dapur. Saya pun cepat-cepat pergi dapur. Saya nampak Rahayu. Rahayu terbaring dekat lantai. Makanan atas meja semua berterabur jatuh dekat lantai. Semua pintu, gerobok dapur semua terbuka.”

Tok Zamri mengangguk-angguk, sabar menanti Ishak menceritakan kejadian yang menyebabkannya datang ke sini. Ishak menarik nafas panjang sebelum menyambung ceritanya.

“Tapi, semua tingkap dapur dah dikunci dari dalam, Tok. Masa saya sampai dekat dapur, saya tengok semua tingkap terbuka luas. Tapi bila saya jengan keluar tingkap, gelap. Tak ada apa-apa. Hujan lebat sekali.”

Ishak menggaru-garu kepalanya. Masih buntu ingin menceritakan kepada Tok Zamri tentang peristiwa yang baru sahaja terjadi ini.

“Sekarang ini, Tok... Rahayu demam panas, meracau-racau sepanjang malam. Kami semua tak tahu kenapa jadi macam ini, Tok. Tolong kami, Tok.”

Tok Zamri yang dari tadi khusyuk mendengar keterangan Ishak, menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali.

“Astaghfirullahhalazim. Baiklah. Kamu balik cepat ke rumah bapa mertua kamu, bantu apa yang patut. Saya nak ambil barang-barang saya. Nanti saya panggil Nadim, dan kami akan pergi ke rumah Tok Penghulu, secepat mungkin. Boleh, Ishak?”

Tok Zamri berbicara dengan lembut, menenangkan Ishak. Ishak mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda mengerti.

“Terima kasih, Tok Zamri. Jumpa dekat rumah Tok Penghulu, nanti. Assalamualaikum,” balas Ishak dengan senyuman dan berlalu pergi, pulang ke rumah Penghulu Shah.

Tanpa membuang masa, Tok Zamri terus masuk ke dalam rumahnya dan menukar pakaian. Setelah selesai, barang-barangannya yang ada diatas meja dicapai. Tok Zamri terus keluar daripada rumah dan menuju ke rumah Nadim yang tidak jauh daripada rumahnya.

Nadim dan Tok Zamri adalah kawan rapat, sejak dari muda lagi. Mereka ini antara orang bijak pandai, yang sentiasa membantu mengubati penyakit penduduk kampung. Dari dahulu lagi, mereka berdua seringkali bekerjasama dalam mengubati penduduk-penduduk Kampung Dangi. Semua orang kenal Tok Zamri dan Nadim, malah semua menghormati mereka.

Setelah mendapatkan Nadim dirumahnya, Tok Zamri menggesa Nadim untuk segera ke rumah Penghulu Shah. Selepas Nadim mengambil barangannya juga, mereka berdua pantas berjalan menuju ke rumah Penghulu Shah. Tok Zamri tidak menjawab pertanyaan Nadim tentang situasi ini, tapi hanya meminta Nadim untuk lebih menumpukan perhatian.

Tak lama kemudian, Tok Zamri dan Nadim tiba di rumah Penghulu Shah. Kedatangan mereka disambut Penghulu Shah.

“Assalamualaikum, Tok Penghulu.”

“Waalaikumusalam, naiklah, Tok Zamri, Nadim.”

Tok Zamri dan Nadim melabuhkan punggung di lantai rumah. Penghulu Shah mengarah anak perempuannya menghidangkan air untuk tetamu. Tok Zamri menolak dengan sopan, kenyang katanya. Malah ingin segera memberikan bantuan, daripada ingin menjamu selera. Penghulu Shah berkeras untuk menghidang sekurang-kurangnya air buat tetamu, dan Tok Zamri akur.

“Bagaimana, Rahayu?” Tok Zamri membuka bicara.

Penghulu Shah menundukkan muka, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Rahayu dalam bilik, tidur sekarang. Badan dia panas lagi. Kadang-kadang, dia macam mimpi buruk, Tok. Meracau-racau. Bila kami cuba kejutkan dia, dia tak mahu bangun...”

“Mungkin dia nampak perompak, semalam?”

Nadim inginkan kepastian.

“Mungkin juga, Nadim. Tapi saya hairan, kenapa dia tiba-tiba demam panas. Mengigau-ngigau tengah malam tadi. Meracau-racau. Sekejap-sekejap, dia menangis teresak-esak pula.”

Tok Zamri mengangguk-anggukkan kepala. Nadim meneliti sekeliling rumah, melihat jika ada apa-apa.

“Lepas hujan tadi, saya sudah keliling satu rumah. Cari kalau ada tanda apa-apa. Tapi tak ada, Tok. Bekas tapak kaki atau kesan pecah masuk pun tak ada.”

Tok Zamri dan Nadim memandang satu sama lain. Tok Zamri mengangguk-anggukkan kepalanya, kayak memberi arahan.

“Mari, jangan buang masa. Kita tengok Rahayu.”

Tok Zamri mengajak Penghulu Shah menunjukkan Rahayu yang dikatakan asyik meracau-racau itu.

Dalam masa yang sama, tiba-tiba, Zam, Ahmad dan 5 orang penduduk kampung lelaki muncul di halaman rumah Penghulu Shah. Mereka memanggil-manggil nama Penghulu Shah.

Penghulu Shah keluar ke halaman rumah, berjumpa dengan Zam, Ahmad dan 5 orang penduduk kampung lelaki itu.

“Tok, kami sudah ke rumah Dollah.”

“Macam mana? Ada dia di sana?”, Penghulu Shah kabut inginkan jawapan.

“Dia tak ada, Tok. Pekerja dekat ladang pun kata tak nampak dia pagi tadi.”

“Tak ada?!” Penghulu Shah mula runsing. Dia tunduk sebentar, cuba ingin memikirkan sesuatu.

“Tok, ada dengan saya ini 5 orang. Kami boleh carikan Dollah”, Ahmad mencelah.

Penghulu Shah mengangguk-anggukkan kepala.

“Terima kasih banyak-banyak Ahmad, dan orang kampung semua. Tak apa, masuklah dulu. Dekat dalam ada Tok Zamri, nanti lepas dia rawat Rahayu, kita semua pergi cari Dollah.”

“Boleh, Tok.” sambut mereka serentak.

Penghulu Shah menjemput Zam, Ahmad dan 5 orang kampung naik ke rumah. Mereka mengambil tempat di ruang tamu. Penghulu Shah, Tok Zamri dan Nadim bergerak ke bilik Rahayu.

Di dalam bilik, Rahayu terbaring lemah dengan mukanya yang pucat lesi dan dahinya berpeluh-peluh. Tok Zamri memegang dahi Rahayu untuk merasai kepanasan demamnya. Tok Zamri kemudiannya meminta semangkuk air daripada Marini. Sementara menunggu Marini mengambil semangkuk air itu, Tok Zamri mula membaca surah Al-Fatihah dan ayat Kursi, diikuti oleh Nadim.

Tak lama kemudian, Marini datang dengan semangkuk air, dan memberikannya kepada Tok Zamri. Tok Zamri mula membacakan surah Yasin ke dalam mangkuk air yang dibawa itu.

Dengan perlahan-lahan, Tok Zamri meletakkan sedikit air ke tapak tangannya, dan menyapukannya ke muka Rahayu sebanyak tiga kali. Dengan serta merta Rahayu terjaga. Matanya terkebil-kebil memandang sekeliling, seperti baru bangun dari mimpi yang buruk. Penghulu Shah dan isterinya yang berada di situ kelihatan gembira melihat Rahayu telah sedar, walaupun kelihatan begitu lemah.

“Ibu...”

Rahayu bisik perlahan, meminta kehadiran ibunya.

Puan Fatimah terus duduk di sebelah Rahayu, dan membelai-belai lembut rambutnya.

“Ibu ada sini, sayang. Amin, syukur alhamdulilah awak sudah sedar.”

Rahayu memandang tajam ke arah Tok Zamri dan Nadim, seolah-olah menyoal kenapa mereka di sini. Puan Fatimah menggosok-gosok lembut tangan Rahayu, cuba memberikan keselesaan dan rasa selamat padanya.

“Tok Zamri dengan Pakcik Nadim dekat sini untuk ubatkan Ayu.” terang Puan Fatimah lembut.

Rahayu tidak cakap apa-apa. Dia kelihatan sangat lemah. Tok Zamri kemudiannya terus mengarahkan Rahayu untuk minum sedikit air bacaan Yasin daripada mangkuk tadi. Rahayu perlahan-lahan bangun daripada pembaringan, dengan dibantu oleh ibunya, untuk minum seteguk air dari mangkuk itu.

Namun Rahayu enggan baring kembali. Dia menoleh kearah tingkap biliknya.

Rahayu tiba-tiba tersenyum lebar. Dia menunjuk-nunjuk kearah luar tingkap. Puan Fatimah mula panik.

“Sayang, kenapa?”

Puan Fatimah menggosok-gosok lembut belakang badan Rahayu, cuba untuk menenangkannya.

“Ibu... Ibu, tengok! Ibu tengok! Abang Dollah ada dekat luar sana. Nampak tak? Dia sedang lambai-lambai Ayu, ibu.”

Rahayu ketawa sambil melambai-lambai keluar tingkap, kearah sepohon besar pokok. Penghulu Shah segera berdiri menghampiri tingkap dan menjenguk keluar. Selepas tidak dapat melihat apa-apa, dia menoleh kembali kearah Rahayu dengan muka kehairanan.

“Ayu, apa ini! Mana ada Dollah. Tak ada sesiapa dekat sana.”

“Eh, ayah ini! Dia ada dekat sana, lah! Dia ada betul-betul dekat sebelah pokok besar itu. Lambai-lambai tangan lagi, takkan ayah tak nampak?!”

Rahayu menepis tangan Puan Fatimah dan meninggikan suaranya. Puan Fatimah tersentak dan memandang Tok Zamri.

Ishak dan Nadim juga meluru ke tingkap dan menjengah keluar. Tiada apa-apa diluar. Nadim kebingungan memandang Ishak. Nadim kemudiannya memandang Penghulu Shah dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Tiba-tiba, Rahayu mula menangis. Menangis teresak-esak hingga merunsingkan Penghulu Shah dan Puan Fatimah.

“Dia dekat sana, ayah. Saya nampak dia tadi. Dia dekat sebelah pokok sana...”

Rahayu masih menangis teresak-esak.

“Dia macam nak minta tolong, ayah. Pergilah tolong dia ayah. Tolonglah dia.”

Penghulu Shah yang berang melihat Rahayu mula menangis teresak-esak terus menutup tingkap dengan kasar.

“Astaghfirullahaladzim!!! Mana ada orang di situ Ayu, jangan main-main kan ayah. Dollah takde si situ!!”

Penghulu Shah meninggikan suara. Tok Zamri segera berdiri, mendapatkan Tok Penghulu untuk cuba meredakan kemarahan Penghulu Shah.

“Sabar. Sabar. Mengucap. Biar aku dengan Nadim pergi siasat.”

Penghulu Shah menarik nafas panjang. Puan Fatimah dan Marini sedang memujuk Rahayu yang masih lagi menangis teresak-esak. Ishak menghampiri bapa mertuanya, cuba untuk tidak merunsingkan hati orang tua itu.

Tok Zamri kemudiannya memberikan isyarat pada Nadim untuk mengikutnya. Tok Zamri keluar daripada bilik Rahayu, ke ruang tamu rumah Penghulu Shah. Nadim hanya mengikut Tok Zamri.

Di ruang tamu, Tok Zamri memandang Nadim.

“Nadim, tolong saya panggilkan Ahmad dan semua orang kampung yang ada dekat dewan untuk berkumpul dekat luar rumah sekarang. Tunggu saya sekejap saja, saya nak ambil botol air, nak bacakan Yasin. Nanti saya jumpa semua dekat luar.”

Tok Zamri memberikan arahan dengan tegas. Nadim mengangguk.

Oleh kerana kehairan dengan tingkah Tok Zamri, seperti ada yang tidak kena, Nadim memberanikan diri untuk bertanya.

“Kenapa Tok Zamri, ada tidak kena?”

Lama Tok Zamri diam, menundukkan muka. Nadim mula resah. Tok Zamri merapatkan dirinya ke dan berbisik perlahan

“Saya pun ternampak Dollah berdiri dekat situ.”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku