Penanda Kubur Anira
10. Pencarian
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4989

Bacaan






Ishak mengambil keputusan untuk mengikut Ahmad dan beberapa orang kampung dalam operasi mencari Dollah. Mereka semua berkumpul di hadapan rumah Penghulu Shah, seperti yang diarahkan oleh Nadim. Masing-masing kelihatan kepenatan, namun jelas riak bimbang dan takut dari wajah mereka. Seramai 8 orang pemuda kampung, termasuk Ishak, yang akan mengikut Tok Zamri dan Nadim mencari Dollah.

Selepas Tok Zamri selesai membacakan Yasin pada sebotol air yang kemudian digalasnya, dia memberikan isyarat kepada Penghulu Shah, tanda mereka bersedia untuk pergi mencari Dollah.

Penghulu Shah segera meminta beberapa orang kampung berdiri di perkarangan rumahnya. Dari beranda rumahnya, Penghulu Shah berdiri menghadap penduduk kampung yang berbaris. Dari wajah Penghulu Shah dapat dilihat perasaan tertekan dan penat. Wajah tuanya kelihatan lesu, seakan tidak menerima rehat yang mencukupi. Masakan tidak, selama 20 tahun menjadi seorang penghulu kampung, Penghulu Shah tidak pernah diuji dengan ujian yang seteruk ini. Ini benar-benar luarbiasa.

Sebelum membenarkan operasi mencari Dollah ini dijalankan, Penghulu Shah inginkan sebuah keterangan keatas situasi diberikan, untuk mengelak sebarang salah faham. Hal ini seperti sebuah tabiat bagi dirinya.

“Assalamualaikum, kawan-kawan.”

“Waalaikumusalam, Tok,” semua serentak menjawab.

Penghulu Shah menarik nafas dalam dan melepaskan lelahnya perlahan-lahan.

“Petang semalam, sebelum kita pergi mengkebumikan jenazah, saya ada minta tolong Dollah, untuk ambilkan air di telaga belakang rumah saya. Tapi, sebab kekecohan malam semalam, saya tak perasan yang Dollah tak pulang-pulang. Semua orang tak perasan. Tadi awal pagi, Ishak sudah ke telaga. Dua baldi yang dibawa Dollah semalam masih ada dekat situ. Ishak jerit-jerit, tak ada sahutan. Tapi, saya rasa dia masih di situ. Harap-harap tak ada perkara buruk yang terjadi dekat Dollah. Makanya, mari kita mulakan pencarian kita sekarang, di situ.”

“Mari, Tok!” lantang orang kampung menyahut seruan Penghulu Shah. Beserta dengan Tok Zamri, Nadim dan Ishak, mereka bergerak ke belakang rumah Penghulu Shah, menghampiri kawasan telaga. Setibanya di sana, semua penduduk kampung membuat barisan yang panjang dan perlahan-lahan masuk ke kawasan dalam hutan sambil berteriak memanggil nama Dollah.

Tok Zamri hanya mendiamkan diri. Penduduk kampung lain masih berteriak memanggil nama Dollah sambil mencarinya di balik pokok besar dan semak samun yang tinggi. Tok Zamri ke tepi dan memanggil Ishak dan Nadim untuk mengikutnya. Mereka berjalan perlahan-lahan memasuki kawasan hutan, berhampiran dengan sebuah pokok besar. Di situlah Tok Zamri ternampak Dollah tadi.

Di situ, Tok Zamri menuangkan botol air Yasin yang dibacanya tadi hingga habis, memenuhi tanah. Ishak dan Nadim hanya diam sambil memerhati setiap tingkah Tom Zamri.

Setelah habis menuang sebotol air Yasin itu, Tok Zamri mula menoleh ke kiri dan kanan seolah-olah mencari sesuatu. Tiba-tiba, Tok Zamri berhenti. Lama Tok Zamri renung kawasan di hadapannya. Tidak jauh dari tempat mereka berhenti itu, Tok Zamri ternampak akan Dollah sedang berdiri di sebuah pokok besar, sekali lagi! Tetapi kali ini, Dollah berdiri dengan kedua belah tangannya tegak ke tepi, seperti dalam keadaan sedia untuk berkawad. Dari situ, Tok Zamri dapat melihat leher Dollah kemerahan dengan baju melayunya yang berwarna kuning comot dengan kesan kekotoran dan kemerahan, seolah-olah berlumuran dengan darah. Tok Zamri tersentak.

Tok Zamri terus menoleh ke arah Nadim dan Ishak yang terpinga-pinga melihat Tok Zamri yang kelihatan terkejut. Mereka kehairanan. Barulah Tok Zamri sedar, hanya dia yang nampak Dollah berdiri di situ. Lalu, Tok Zamri terus berpusing melihat Dollah kembali. Dollah masih berdiri di pokok besar itu.

“Tok, kenapa? Apa yang Tok nampak?”

Ishak sibuk inginkan jawapan. Aneh betul tingkah Tok Zamri, mengundang persoalan. Tok Zamri tidak menghiraukan soalan Ishak, lalu terus berjalan dengan laju ke hadapan untuk mendekati Dollah. Semakin lama semakin laju Tok Zamri jalan, tidak menghiraukan lagi semak samun tebal yang harus diredahnya.

Sepanjang berjalan menghampiri Dollah itu, mata Tok Zamri hanya tertumpu padanya. Akan tetapi apabila Tok Zamri semakin hampir di kawasan Dollah berdiri, Dollah mula memalingkan badannya ke kiri, berjalan di balik pokok-pokok besar dan menghilangkan diri. Dollah sudah tidak kelihatan lagi. Tok Zamri bingung. Dia terus berlari dengan laju mengejar bayangan Dollah yang telah tiada, membelah pelbagai pokok-pokok besar di balik hutan. Ishak dan Nadim yang masih tidak tahu menahu tentang apa yang terjadi turut berlari mengikut Tok Zamri.

Tok Zamri kembali ke pokok berdirinya Dollah tadi. Dipusing-pusing sekeliling pokok itu beberapa kali, ingin kepastiaan tiada apa di situ. Sekejap-sekejap, Tok Zamri mendongak ke atas, memerhati dengan tekun ke arah atas pokok besar, seolah-olah mencari sesuatu. Tetap tidak jumpa apa-apa. Ishak dan Nadim masih tercegat di tepi menghadam gelagat aneh Tok Zamri.

Ishak yang benar-benar buntu dan curiga akhirnya meluahkan persoalannya.

“Tok, tolong ceritakan, Tok. Apa yang terjadi sekarang?”

Tok Zamri menarik dan melepaskan nafasnya, panjang. Berat sekali keluhan yang ingin disuarakannya.

“Tadi, saya nampak Dollah; berdiri di sini. Leher dan bajunya semua berlumuran darah. Kamu berdua nampak?”

Ishak tercengang. Nadim menundukkan mukanya.

“Err... saya tak nampak, Tok! Nadim, awak nampak ke?”

Ishak pantas menjawab, dalam debar. Masih tidak pasti dengan apa yang terjadi. Nadim menggeleng-gelengkan kepalanya, tanda menjawab soalan Ishak padanya tadi.

Tok Zamri mengeluh. Dia menoleh ke kiri dan kanan hutan, sekali lagi. Cuba untuk mencari Dollah. Jantungnya berdegup kencang, risau. Tok Zamri berdoa dalam hati agar Allah menemukannya sekali lagi dengan Dollah.

Tiba-tiba, Tok Zamri nampak Dollah berdiri tegak di balik semak samun yang tinggi. Semak samun tinggi itu agak jauh daripada tempat mereka berdiri kini. Tanpa membuang masa, Tok Zamri terus memberikan isyarat kepada Nadim dan Ishak untuk mengikutnya, dan mereka bertiga terus berlari dengan pantas ke arah Dollah berdiri.

Apabila mereka semakin hampir dengan tempat Dollah berdiri, Tok Zamri berhenti tiba-tiba, seperti diberikan isyarat untuk berhenti. Dollah mengangkat tangannya perlahan-lahan, menunjukkan kearah atas pokok di sebelah kirinya. Tok Zamri pantas melihat kearah pokok yang ditunjuk Dollah, namun dia tidak dapat melihat apa-apa.

Tok Zamri buntu. Dia kembali memandang kearah tempat Dollah berdiri tadi, namun Dollah sudah menghilangkan diri. Tok Zamri terus berlari menghampiri tempat Dollah berdiri walaupun Dollah telah tiada.

Nadim yang kurang cergas, ketinggalan di belakang. Setelah tiba di tempat Tok Zamri dan Ishak berhenti tadi, dia terbongkok-bongkok mengah, akibat berlari tadi. Tiba-tiba, dia terpandang sebuah lopak kemerahanan yang besar di tanah. Nadim terus memanggil Ishak.

“Ishak! Kau tengok, darah kan?”

Nadim yang inginkan kepastian terus menyuruh Ishak melihat lopak itu. Ishak menghampiri kawasan lopak yang kemerahan itu, dan dalam kalut mengangguk-angguk pada Nadim, mengiakan yang lopak itu adalah lopak darah.

Ishak terus memanggil Tok Zamri. Tiba-tiba, setitik darah terjatuh ke atas bahu Nadim. Nadim terkesima. Ishak yang tercengang terus mencuit bahu Tok Zamri dan memberi isyarat untuk melihat bahu Nadim. Mereka bertiga serentak mendongakkan kepala dan dibalik daun-daun pokok besar dan tebal, mereka ternampak mayat Dollah; terjuntai di atas dahan besar.

Kepalanya ke bawah, kakinya di atas!


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku