Penanda Kubur Anira
11. Pergantungan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3795

Bacaan






Sekujur tubuh kaku itu kelihatan tergantung di atas dahan sebatang pokok yang besar. Sekali-sekala, tubuh kaku itu bergoyang-goyang, ditiup angin kuat. Seekor demi seekor burung gagak mula bertenggek di atas dahan, cuba menanti peluang untuk menjadikan tubuh kaku itu habuan makanan.

Baki penduduk kampung yang mencari Dollah di dalam hutan satu per satu menghampiri pokok besar, di mana mayat Dollah tergantung. Mereka mula berbincang untuk menurunkan mayat Dollah daripada pokok besar itu. Ada yang mula berbisik-bisik, mengutarakan pelbagai andaian. Penduduk kampung menyangka kaki mayat Dollah yang kaku itu telah diikat dengan tali. Tetapi sinaran cahaya matahari yang menyilaukan pandangan mereka membataskan penglihatan.

Yang hanya kelihatan, rambut Dollah yang basah dan mukanya yang merah, berlumuran dengan darah. Setitik demi setitik darah Dollah mula menitik jatuh, daripada hujung rambut panjangnya. Penduduk kampung yang mengikuti pencarian semuanya berkumpul di bawah pokok itu. Mereka terkesima, masih kaget melihat mayat yang berupa sedemikian gerun.

Untuk memastikan punca mayat kaku Dollah boleh tergantung di atas pokok itu, Ishak dan Ahmad mula perlahan-lahan memanjat pokok dan merangkak di atas dahan menghampiri Dollah. Ishak terlihat lopak darah kering dan beberapa cebisan daging berteraburan di atas dahan besar pokok.

“Besar kemungkinan cebisan daging itu daripada mayat Dollah,” bisik hati Ishak.

Oleh sebab risau dahan yang besar itu berkemungkinan rapuh, Ishak dan Ahmad merangkak perlahan-lahan menghampiri mayat Dollah. Ishak yang mendahului di bahagian hadapan cuba menghampiri mayat Dollah sedekat mungkin untuk mencari tali yang mengikati kaki Dollah, tapi tidak berjaya menjumpai sebarang tali. Ishak menghampiri mayat Dollah lagi, untuk melihat dengan lebih dekat. Rupa-rupanya, kaki Dollah tersangkut di celah-celah dahan kecil pokok.

“Ahmad, kau bawa tali?”

Ishak pantas memaling pada Ahmad di belakangnya.

“Ada, dekat bawah. Kau nak ke, Shak?”

Ishak mengangguk-angguk. Ahmad terus perlahan-lahan mengundurkan diri, turun daripada pokok besar itu untuk mendapatkan tali buat Ishak. Penduduk kampung, termasuklah Penghulu Shah kelihatan resah melihat dan menanti perilaku Ishak.

Ahmad mengambil tali yang dibawanya dan memanjat semula pokok besar itu melalui dahan-dahannya untuk menghampiri Ishak. Perlahan-lahan Ahmad merangkak menghampiri Ishak dan memberikan tali yang dipintanya.

Ishak terus mengikat tali yang diberi Ahmad di sekeliling pergelangan kaki Dollah dengan kejap, untuk tidak mudah tercabut. Ishak kemudiannya melilitkan baki tali di sekeliling dahan besar. Kemudian dicampakkan baki tali yang selebihnya ke bawah.

Dari atas pokok besar itu, Ishak memekik meminta bantuan penduduk kampung yang berada di bawah.

“Kalian semua! Nanti bila saya bagi isyarat, tarik tali dengan sekuat hati!”

“Baik!” laung penduduk kampung serentak.

Ishak terus mengeluarkan parang yang terselit di pinggangnya dan memberikan isyarat kepada penduduk kampung untuk bersedia bagi menarik tali yang mengikat kaki mayat Dollah dengan kuat. Ishak memastikan tali itu tegang sebelum menetak dahan-dahan kecil yang terdapat di kaki Dollah dengan parangnya.

Dengan tiga kali tetak, akhirnya dahan-dahan itu patah, dan kaki Dollah terlepas. Penduduk kampung yang memegang tali terus menarik mayat Dollah untuk mencegahnya daripada terjatuh ke bawah. Selepas itu, penduduk kampung perlahan-lahan melepaskan tali untuk menurunkan mayat Dollah ke tanah. Mayat Dollah diturun dan dibaringkan.

“Innalillahiwainnailaihirojiun...”

Ucapan takziah diucapkan selepas mayat Dollah dibaringkan. Penghulu Shah dan Tok Zamri menghampiri mayat kaku Dollah, dan terus bercangkuk di hadapannya untuk melihat dan memeriksa mayat Dollah dengan lebih teliti.

Penghulu Shah menunjukkan sebuah lubang besar yang ternganga di bawah leher mayat Dollah, seolah-olah digigit binatang. Dada mayat pula membengkak dan berlubang. Tulang rusuknya kelihatan seperti ditumbuk hingga patah dan seperti ditarik dengan kuat.

Tok Zamri mengeluarkan sebatang lilin daripada barangannya. Tok Zamri menyalakan batang lilin itu dan menyuluh ke dalam lubang dada mayat Dollah yang terbuka, dengan berhati-hati. Tok Zamri kemudiannya perlahan-lahan menggelengkan kepalanya.

“Jantungnya tak ada...”

Perlahan ungkapan Tok Zamri. Penduduk kampung yang berkumpul di sekeliling mayat mula berbisik-bisik, masing-masing dengan andaian dan huraian mereka yang tersendiri.

Lama Tok Zamri bercangkuk di hadapan mayat Dollah, memikirkan sesuatu seperti menginginkan kepastian, sebelum dia berpaling ke arah Penghulu Shah yang sudah berdiri di sebelahnya.

“Penghulu, mayat Dollah serupa dengan jenazah Sidi dan Kamsani. Waktu saya mandikan jenazah mereka semalam, dada mereka pun berlubang, jantungnya tak ada.”

Penduduk kampung yang memenuhi kawasan sekeliling pokok besar itu semakin riuh berbisik antara satu sama lain sambil memerhati mayat kaku Dollah. Ahmad yang baru turun ke bawah dari atas pokok terus menghampiri tempat pembaringan mayat Dollah yang dikerumuni penduduk kampung.

“Tok, dekat atas pokok, kami jumpa banyak darah dengan cebisan daging. Macam ada binatang yang ratah daging, Tok. Saya rasa, cebisan daging itu pun daging Dollah!”

Penduduk kampung sekali lagi tersentak. Mereka menunggu Ahmad, atau Penghulu Shah bersuara.

Ishak yang semakin menghampiri mencelah.

“Ayah rasa, pekerjaan binatang ke? Tapi kalau binatang, binatang apa yang boleh angkat mayat Dollah sampai ke atas pokok tinggi itu.”

Lama Ishak, Penghulu Shah dan penduduk kampung lain mendiamkan diri, sebelum Ishak kembali menyambung bicaranya.

“Saya rasa ini perbuatan manusia...”

Penghulu Shah kembali bercangkung di hadapan mayat Dollah, dan memicit-micit lembut lengan Dollah.

“Mayat macam masih baru. Saya rasa kemungkinan, Dollah baru saja meninggal. Mungkin subuh tadi.”

Penghulu Shah kembali memeriksa mayat Dollah dengan teliti, perlahan-lahan.

“Dari kaki dengan tangan dia, tak ada parut, tak ada tanda bengkak, tak ada kesan bergelut atau gaduh...”

Penghulu Shah kemudiannya perlahan-lahan mengangkat kepada mayat Dollah dan memusingkan badan mayat sedikit ke arah kiri.

“Tak ada kesan luka atau bengkak dekat belakang kepala, kalau di ketuk orang. Pelik...”

Penghulu Shah mengeluh, dan meletakkan kembali kepala mayat Dollah perlahan-lahan ke tanah.

Tiba-tiba Tok Zamri bersuara.

“Tok, Dollah mungkin dipukau sebelum dibunuh. Mungkin juga, dia ternampak sesuatu yang tak elok, kemudiannya jatuh pengsan. Tok...”

Tok Zamri memberhentikan percakapannya dan memerhati sekeliling hutan dengan misterinya. Penduduk kampung dan Penghulu Shah masih menantikan apa yang ingin dibicarakan Tok Zamri.

“Ini bukan pekerjaan manusia atau binatang. Perbuatan terkutuk macam ini hanya boleh dilakukan satu makhluk sahaja...”

“Makhluk apa, Tok?”

“Iblis.”

Tercengang penduduk kampung, menelan kata-kata yang keluar daripada mulut Tok Zamri. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain, tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Masih terkesima dan memproses kemungkinan atas kebenaran kata-kata Tok Zamri.

Penghulu Shah tidak membuang masa, terus meminta kain untuk segera menutup mayat Dollah.

Mayat Dollah yang sudah tertutup dengan kain putih, dibaringkan di hadapan penduduk kampung. Penghulu Shah berdiri, seakan ingin membicarakan sesuatu.

“Kalian semua, sebelum kita bawa pulang jenazah Dollah untuk dimandi dan dikebumikan, marilah kita sedekahkan Al-Fatihah terlebih dahulu, untuknya.”

Mereka serentak menyedekahkan surah Al-Fatihah pada jenazah Dollah. Penghulu Shah terus membilang bilangan penduduk kampung yang mengikutinya ke situ. Terdapat lapan belas orang, semuanya. Selepas menghitung dengan teliti, Penghulu Shah mula memberikan arahan kepada penduduk kampung.

“Baiklah, untuk semua, ini rancangan kita. Saya, Ishak, Ahmad, Jamal, Aziz dan Zam akan berjalan sebentar di sekeliling hutan ini, untuk mencari sebarang petanda yang boleh membantu kita.”

Penduduk kampung yang mendengar dengan teliti arahan Penghulu Shah mengangguk-anggukkan kepala, tanda mengerti. Penghulu Shah kemudiannya menoleh kearah Tok Zamri.

“Tok Zamri dengan Nadim, tolong bawakan jenazah Dollah balik, dan tolong saya sempurnakannya nanti. Buat sementara waktu, Rahmat dengan Rahim, kalian tolong bantu Tok Zamri.”

Rahmat dan Rahim yang mendengar arahan terus menghampiri dan berdiri di belakang Tok Zamri, bersedia untuk menghulurkan bantuan.

“Pada yang lain, balik ke kampung dan panggil semua penduduk kampung, termasuklah anak-anak kamu, isteri dan saudara mara kamu semua, untuk segera berkumpul di rumah saya. Secepat mungkin, ya? Pergi ke rumah jiran kamu, ke rumah kawan-kawan kamu, sebarkan untuk segera berkumpul. Saya nak semua ada di hadapan rumah saya, secepat mungkin. Nanti lepas jenazah Dollah selamat dikebumikan, saya akan buat pengumuman dan kita akan berbincang. Benda jahanam ini masih di dalam kampung kita. Kita dalam bahaya! Pergi sekarang, semua kawan-kawan. Namun ingat satu perkara, berhati-hati!”

Penduduk kampung yang dengan teliti mendengar arahan Penghulu Shah terus mengangguk-angguk dan berpecah mengikut arahan yang diberikan. Ada penduduk yang berjalan dengan pantas pulang ke rumah, malah ada juga yang lari lintang-pukang. Yang penting, arahan untuk berkumpul di rumah Penghulu Shah harus disebarkan.

Selepas penduduk kampung masing-masing mula pulang mengikut arahan, Penghulu Shah menoleh kearah Ishak.

“Ishak, mana Kassim dan Rashid?”

“Mereka dalam perjalanan ke Kampung Tembun, ayah. Untuk berjumpa dengan Penghulu seperti semalam kita bincangkan.” jawab Ishak tegas. Penghulu Shah mengangguk-anggukkan kepala dan terus memanggil Ahmad untuk mengikuti mereka.

Jamal, Aziz dan Zam yang diminta oleh Penghulu Shah untuk mengikutinya juga berdiri menunggu arahan.

“Kalian – Jamal, Aziz dan Zam! Kamu ke sebelah daerah sana. Cari sebarang petunjuk atau benda-benda aneh yang boleh membantu. Tapi ingat, jangan pergi jauh sangat dan sentiasa jalan bertiga. Jangan terpisah! Kalau jumpa apa-apa, datang balik ke sini. Ya?”

Jamal, Aziz dan Zam mengangguk dan terus berjalan ke daerah sebelah sana, seperti arahan Penghulu Shah.

“Yang lain ikut saya.”

Penghulu Shah memberi arahan terakhir. Dua kumpulan yang terbentuk itu kemudiannya mula berpecah dan terpisah dalam meredah hutan, semak-samun dan belukar yang tinggi dan tebal. Kumpulan Penghulu Shah dan Ishak berjalan menghampiri cerun yang curam untuk meneruskan pencarian, sebelum tiba-tiba Ishak kuat memanggil Penghulu Shah.

“Ayah, tengok sana! Dekat bawah cerun ada bungkusan putih.”

Penghulu Shah segera melihat arah yang ditunjuk Ishak. Jauh di bawah cerun yang curam itu, ada sebuah bungkusan putih. Penghulu Shah mengangguk-anggukkan kepala dan memberikan isyarat kepada Ishak untuk pergi memeriksa.

“Mari kita periksa, Ishak.”

Ishak dan Penghulu Shah segera dengan berhati-hati meneruni cerun yang curam itu, berpaut kukuh pada batang-batang pokok. Setelah sampai ke bawah cerun, Ishak terus menghampiri bungkusan putih itu dan membukanya.

Terdapat sepasang baju kurung wanita, dua selendang putih dan sebilah pisau di dalam bungkusan putih itu. Terdapat cebisan kesan darah di atas mata pisau.

Penghulu Shah yang menghampiri Ishak, terus tersentak. Wajahnya tiba-tiba berubah. Dengan serta merta, dia merabut bungkusan putih itu daripada tangan Ishak dan mengikat kembali bungkusan itu. Penghulu Shah terus menarik tangan Ishak.

“Ishak, mari kita balik sekarang. Marini dalam bahaya.”

Ahmad yang tercengang-cengang, kehairan terus menyoal Penghulu Shah.

“Kenapa, Tok? Ada masalah apa?”

Penghulu Shah menjawab dengan tegas

“Kerana ini baju kepunyaan Marini!”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku