Penanda Kubur Anira
12. Kesedihan
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 April 2016
...Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira... hingga akhir hayat!!...
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5294

Bacaan






Selepas Penghulu Shah dan Tok Zamri keluar dari rumah untuk pergi mencari Dollah di dalam hutan, Rahayu di dalam bilik masih lagi dengan badan yang panas, tidak surut-surut. Puan Fatimah, Marini dan Hawa sentiasa berada di dalam bilik Rahayu, khuatir dengan keadaannya dan ingin mengawasinya. Ubat yang telah diberikan kepada Rahayu tidak menunjukkan kesan, masih tidak berjaya meredakan demam Rahayu yang masih tinggi. Walaupun Rahayu kerap kali mengadu dia kesejukan, namun Marini tetap mendemahkan kain basah di atas kepala dan leher Rahayu, untuk mengurangkan kepanasan badan adiknya itu.

Puan Fatimah kelihatan resah, risau melihat keadaan Rahayu. Marini risau melihat ibunya yang dalam kebimbangan, dengan raut mukanya yang sudah berusia asyik berkerut. Walaupun Rahayu masih lemah, dia kerapkali cuba untuk bangun dan duduk. Rahayu asyik melihat ke arah tingkap, ingin mencari kelibat Dollah yang “dilihatnya” tadi sebelum kemudiannya hilang dari pandangan. Oh Dollah, yang dicintainya...

Selepas tidak dapat mencari kelibat Dollah, Rahayu mula resah – tidak duduk diam di atas katil.

“Kak, mana Dollah? Dollah sudah balik ke?”

Berkali-kali Rahayu soal kakaknya. Belum sempat Marini menjawab persoalan adiknya itu, Rahayu menoleh ke arah Puan Fatimah pula, menagihkan jawapan pada soalan yang sama.

“Ibu, Dollah dekat luar lagi ke? Ibu, Ayu nak jumpa Dollah boleh?”

Puan Fatimah mengeluh dan perlahan-lahan membelai lembut rambut Rahayu.

“Sabarlah sayang, sekejap lagi Dollah balik. Ibu rasa dia dengan Tok Zamri, sekarang.”

Rahayu mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda mengerti dengan jawapan Puan Fatimah, yang menyejukkan hatinya.

“Ayu berdoa dengan Allah. InsyaAllah, Dollah akan balik dengan selamat.”

Lembut lagi suara Puan Fatimah menenangkan anak daranya yang dilamun cinta dengan Dollah, jejaka kampung ini. Walaupun riak Puan Fatimah umpama yakin dengan segala jawapan yang diberikannya kepada Rahayu, akan tetapi hatinya masih ragu-ragu, tidak tahu dengan apa yang akan terjadi seterusnya.

Rahayu lembut memegang tangan ibunya.

“Ibu, Ayu asyik mimpi buruk. Ayu takut. Ayu mimpi abang Dollah dikejar syaitan. Ayu mimpi... Ayu mimpi Dollah dah mati!”

Marini terus menyampuk dengan suara yang tegas, berang adiknya mula berbicara bukan-bukan.

“Apa kau merepek, adik! Jangan cakap bukan-bukan!”

Marini terdiam daripada ingin terus memarahi adiknya, apabila melihat Rahayu tiba-tiba mula menangis. Air mata perlahan-perlahan mengalir dengan banyak dibalik pipi gebunya itu.

Puan Fatimah bergelinangan air mata, sayu melihat keadaan Rahayu. Dia terus memeluk Rahayu dengan rapat dan berbisik perlahan ke telinga Rahayu.

“Rehatlah, Ayu. Tenangkan fikiran awak. Janganlah cerita atau fikir benda bukan-bukan, ya sayang? Nanti bila Ayu sudah sihat, Ayu ceritakan semua dekat kami. Sekarang, Ayu rehat dulu, ya?”

Rahayu membalas pelukan Puan Fatimah, benar-benar memerlukan kekuatan ibunya untuk menenangkan hati dan fikirannya yang serabut. Puan Fatimah menguatkan pelukan. Dia kemudiannya mencium dahi Rahayu. Rahayu mengesat air matanya yang berbaki. Perlahan-lahan, Puan Fatimah melepaskan pelukannya, membelai-belai kepala Rahayu dan membaringkannya ke tilam. Rahayu yang kini berbaring perlahan-lahan menarik nafas dalam, dan memejamkan matanya rapat.

Saleha tercegat berdiri dengan diam di hadapan pintu bilik Rahayu dan memerhati tingkah Puan Fatimah, Rahayu dan Marini dengan perasaan sebak. Jiwanya tertekan dengan kesedihan. Kamsani sudah meninggal dunia. Kini Saleha seorang diri, sebatang kara di Kampung Dangi ini. Dia mula merindui Kamsani.

Dua tahun lalu selepas bernikah dengan Kamsani, Saleha mengikut suaminya itu tinggal di Kampung Dangi. Sebelum ini Saleha tinggal dengan ibu bapanya di Kampung Ara. Kini selepas Kamsani meninggal dunia, Saleha tidak punya sebarang saudara mara yang tinggal di Kampung Dangi, untuk membantunya. Setelah lama berfikir tentang perkara ini, Saleha mengambil keputusan untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Ara. Lebih kurang setengah hari perjalanan daripada Kampung Dangi.

Saleha mengumpul semangat untuk memberitahu perihal perkara ini pada Puan Fatimah.

“Puan Fatimah...”

Lemah suara Saleha memanggil Puan Fatimah, perlahan. Puan Fatimah segera menoleh ke arah suara Saleha. Terkejut dengan kehadiran Saleha yang sedang berdiri di situ, Puan Fatimah segera meminta Saleha untuk duduk.

“Eh, Leha! Berapa lama kau berdiri di situ. Duduk! Duduk! Jangan berdiri lama-lama. Kau lupa ke kau sedang sarat mengandung. Ya Allah...”

Kabut Puan Fatimah meminta Saleha mengambil duduk, risau dengan kandungannya yang semakin sarat. Saleha terus melabuhkan tubuhnya di hujung katil Rahayu, berhadapan dengan Puan Fatimah. Saleha menundukkan mukanya.

“Puan... saya sudah buat keputusan. Saya nak balik ke rumah ibu bapa saya, dekat Kampung Ara. Saya mahu lahirkan anak saya dekat sana.”

Lancar Saleha mengutarakan fikirannya. Puan Fatimah terus menggeleng-gelengkan kepala, tanda tidak bersetuju dengan fikiran Saleha.

“Eh, kenapa Saleha? Kau sudah sarat sekarang. Bahaya jalan jauh-jauh. Lebih-lebih lagi dengan keadaan kampung kita yang huru-hara ini. Bahayalah, Leha. Tinggalkan di sini. Biar kami saja jaga kau.”

Marini mengiyakan kata-kata ibunya. Terkejut juga Marini tadi mendengar permintaan Saleha untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Ara.

“Betul lah, Leha. Kau tinggal saja sini. Biar aku jaga kau. Kau tidur dalam bilik Hawa, sampai nanti kau lahirkan anak, nanti. Duduklah sini, Leha. Aku teringin juga nak dukung bayi!”

Marini tersengih, memujuk Saleha untuk tinggal sahaja di rumah ini. Saleha menundukkan mukanya lagi. Fikirannya masih kusut. Jika dia tinggal di kampung ini, segala perkara akan mengingatkannya kepada Kamsani. Saleha sukar untuk menerima hakikat. Tambahan pula, dia amat merindui ibu bapanya. Terus berlinangan air di mata Saleha. Saleha kusut.

“Maafkan saya, Puan, Rini. Saya rindu sangat dengan ayah dan ibu. Dan kalau boleh, saya tak mahu susahkan keluarga puan. Saya banyak terhutang budi, terima kasih sangat-sangat Puan Fatimah, sebab banyak bantu saya. Saya tak akan lupakan jasa Puan...”

Saleha tidak meneruskan ucapannya, namun hanya mengesat-esat air matanya. Lama dia kumpul semangat untuk kembali bercakap.

“Lagipun, saya rasa saya lagi tenang dengan ibu bapa saya. Saya harap Puan Fatimah faham.”

Puan Fatimah mengeluh, sebelum kemudiannya mengangguk, tanda setuju. Dia terus berdiri dan menghampiri Saleha. Puan Fatimah mengambil tempat di sebelah Saleha dan memegang erat tangannya.

“Baiklah, Leha. Kalau itu yang kau mahu. Tapi kau tak boleh balik seorang diri. Mesti ada lelaki temankan kamu, lindungi kamu, sampai kamu sampai ke rumah.”

Kepala Saleha yang masih ditunduk, diangkat Puan Fatimah perlahan. Puan Fatimah ingin memandang muka Saleha dengan teliti.

“Leha, pandang sini. InsyaAllah, Leha. Kamu akan selamat sampai dekat rumah, dan selamat lahirkan anak kamu.”

“Amin...” Marini di belakang ibunya tersenyum memandang Saleha.

Saleha hanya mengangguk dan mengukir senyum halus.

“Terima kasih, Puan.”

Puan Fatimah berdiri dan menoleh kearah Marini.

“Marini, kamu tengok-tengokkan Ayu. Ibu nak kemas bilik sekejap. Hawa, mari tolong ibu!”

Puan Fatimah memberi arahan. Hawa menurut kata dan terus membontoti ibunya keluar daripada bilik Rahayu.

Kini tinggal Marini dan Saleha menemani Rahayu di dalam bilik. Saleha masih tunduk kesedihan, merisaukan Marini. Marini terus duduk di sini Saleha dan memegang lembut bahu rakannya itu.

“Sabarlah, Leha. Semua dugaan Allah. Aku pasti ada hikmahnya.”

Saleha tidak membalas sebarang ungkapan. Marini makin risau, ingin benar menghiburkan walau seketika hati rakannya itu.

“Eh, Leha! Lupa aku nak tanya kau. Kalau anak kau nanti lelaki, kau nak namakan apa?” soal Marini, untuk menggembirakan hati Saleha.

Dan ternyata, Saleha terus ceria mendengar soalan Marini, seolah-olah tumpuan kini pada anak yang bakal dilahirkannya ini, bukan hanya pada kesedihan yang menyelebunginya.

“Entahlah, Rini. Banyak pula nama dalam fikiran aku sekarang. Tak tahu mana nak pilih. Tapi... kalau anak perempuan, aku nak namakan dia Azlina.” jawab Saleha dengan senyuman manis terukir di bibirnya.

Marini terus gembira melihat muka Saleha yang bertambah ceria.

“Eh, pandai juga kau pilih nama, ya! Bagus nama Azlina. Eh, Leha... kau tunggu sekejap! Dalam bilik aku ada senarai nama-nama untuk baik. Kau tunggu sekejap, ya. Aku pergi ambil!”

Marini teringat akan buku senarai nama bayi yang ada dalam biliknya, dan terus ingin mengambilnya untuk diberikan kepada Saleha. Saleha tersenyum lebar dan tidak sabar ingin membaca buku tersebut, sambil berkali-kali mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakannya itu. Marini terus bangun dan berlalu pergi ke arah biliknya.

Marini terkejut melihat Puan Fatimah sedang membentang cadar di atas katil, ketika dia membuka pintu biliknya untuk mengambil buku yang ingin diberikan kepada Saleha. Marini terus masuk ke dalam bilik, menutup pintu dan menghampiri ibunya yang sedang mengemas katilnya itu.

“Eh, ibu sudah habis kemas bilik Hawa ke? Cepatnya.”

Puan Fatimah sambung mengemas katil Marini sambil mengukur senyuman. Marini yang kurang selesa melihat ibunya bersusah-payah mengemas katilnya terus memegang tangan Puan Fatimah, memintanya berhenti.

“Ibu, letak saja semua dekat situ. Saya kemas nanti bilik ini”.

“Tak apa, Rini. Biar saja ibu kemas. Tenang sikit kepala ibu.”

Puan Fatimah masih tegas ingin mengemas katil dan bilik Marini. Riak Puan Fatimah yang tidak lagi kelihatan kerisauan, menggembirakan hati Marini. Marini membantu Puan Fatimah menyusun bantal dan buku di sebelah katilnya, sambil Marini sibuk mencari buku senarai nama yang ingin diberikan kepada Saleha.

Selepas selesai menyusun bantal di atas katil, Puan Fatimah mengambil tempat di atas katil dan memanggil Marini untuk duduk di sebelahnya. Marini mengambil tempat di sebelah Puan Fatimah, seperti permintaannya. Puan Fatimah kemudiannya membelai-belai lembut rambut Marini. Marini senang diperlakukan sedemikian.

“Hari ini, Rini nak makan makanankegemaran Rini, tak?”

Marini semangat berpaling memandang wajah ibunya, dengan ceria.

“Ayam masak merah?”

Puan Fatimah mengangguk-angguk sambil tersenyum.

“Nanti ibu masakkan.”

Marini tersenyum riang, seronok mengetahui Puan Fatimah akan memasak makanan kegemarannya.

Puan Fatimah kemudian memegang tangan Marini erat, sambil memandang telus muka anaknya itu.

“Rini ada rancangan untuk bercahaya mata?” serius nada persoalannya.

Marini tertunduk sebelum menjawab soalan ibunya itu.

“Ada, ibu. Tapi saya dengan Ishak belum sempat berbincang pun tentang hal ini. Dengan apa yang terjadi sejak dua hari lepas ibu, susah nak bawa berbincang hal ini. Ibu tak sabar nak ada cucu, ya?” gurau Marini sambil mentertawakan ibunya.

Puan Fatimah tersenyum lebar dan merenung muka Marini, lama.

“Teringin juga ibu nak timang cucu, secepat mungkin. Tapi...”

“Tapi apa ibu?”

Marini lihat muka ibunya mula resah.

“Tapi, apa pendapat kamu, dengan benda-benda aneh yang jadi dekat kampung... selamat ke kamu nak besarkan anak kamu dekat sini?”

Marini mengerut dahi, pelik dengan soalan ibunya itu. Marini menghitung kata untuk menjawab soalan Puan Fatimah.

“Entahlah, ibu. Tak ada apa, mungkin. Saya rasa ini semua sebab binatang buas saja. Satu hari nanti, pasti tertangkap juga. Kan, ibu? Tapi ibu... ibu rasa binatang apa yang buat semua ini?”

Puan Fatimah tidak menjawab malah tidak menghiraukan soalan Marini. Puan Fatimah sekali lagi bersemangat untuk menyoal sesuatu pada Marini.

“Rini... Rini ada rancang tak untuk pindah dari kampung ini? Mungkin mulakan hidup baru dekat tempat lain?”

Marini terus menggeleng, yakin dengan pendiriannya. Marini kemudiannya merebahkan kepala ke bahu Puan Fatimah dengan manja sambil tersenyum.

“Ibu, tak mungkinlah Marini pindah. Ini tempat Rini lahir. Ini tempat Rini membesar. Rini rasa dekat tempat ini jugalah Rini mahu besarkan anak-anak Rini, nanti. Lagipun, ini kampung Rini, inilah kediaman Rini.”

Dengan riak yakin, Marini balas soalan awal ibunya tadi.

Puan Fatimah masih ingin menanyakan sesuatu.

“Tapi... kalau ibu ajak kamu ke satu tempat – tempat yang indah, aman damai lagi. Kamu nak ikut, Marini?”

Marini terus memandang Puan Fatimah. Bahu Puan Fatimah dipegang erat.

“Mestilah, ibu. Kalau boleh saya nak pergi ke sana dengan Ishak sekali. Boleh, ibu?”

Puan Fatimah tersenyum. Marini kemudian memalingkan mukanya ke hadapan, merenung lantai kayu.

“Ibu, wanginya. Wangian apa ibu pakai ini?” soal Marini apabila tiba-tiba dia terhidu bau yang sangat wangi.

Tiba-tiba, Marini tersentak apabila pintu biliknya diketuk kuat. Dia bingkas bangun dan membuka pintu.

Ternganga mulutnya apabila melihat Puan Fatimah berdiri di depan pintu biliknya itu. Marini pantas memalingkan kepalanya ke belakang, namun tiada sesiapa yang kini duduk di atas katilnya


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku