SEANDAINYA DIA UNTUKKU
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 02 Mei 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
165

Bacaan






4

Amar memberhentikan kereta Proton Saga berwarna putih miliknya di hadapan pintu pagar sebuah rumah teres. Dia menoleh ke kiri dan memandang ke arah pintu utama rumah yang tertutup rapat. Seminit kemudian, pintu itu terbuka luas. Kelihatan seorang lelaki bertubuh tinggi muncul di muka pintu. Setelah lelaki itu mengunci pintu utama dan pintu pagar rumahnya, dia segera melangkah ke arah kereta milik Amar lalu membuka pintu kereta di sebelah pemandu sebelum masuk ke dalam perut kereta itu.


            “Kenapa ajak abang pi Penang ni? Nak jumpa awek pun nak abang temankan ke?” Soal lelaki itu. Matanya memandang Amar sekilas sebelum memandang ke hadapan.

            “Sabar dulu. Bukan sebab tu la Amar ajak abang Khairul.”Jawab Amar.

            “Habis tu?” Soalnya lagi. Wajahnya kelihatan hairan.

            “Adalah. Rahsia!” Jawab Amar ringkas. Senyuman mula terukir di bibirnya.

            “Kenapa senyum sorang-sorang ni?” Dahinya berkerut tatkala melihat Amar yang tersenyum sendirian.

            “Tak ada apa pun.” Jawab Amar selamba. Khairul memandang ke hadapan dengan penuh tanda tanya. Beberapa saat kemudian, kereta Amar mula meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah teres Khairul.

 

 

 

KERETA Proton Iriz milik Amira meluncur perlahan memasuki perut feri Pulau Pinang. Setelah mematikan enjin keretanya, dia dan Shaza keluar dari perut kereta untuk mengambil angin dan melihat pemandangan pulau. Angin pulau begitu nyaman dan mendamaikan. Masing-masing tersenyum sendirian tika memandang pemandangan pulau yang indah.

             “Assalamualaikum!”Satu suara menyapa.

            “Waalaikumussalam!” Mereka berdua menjawab serentak sambil menoleh ke arah pemilik suara itu. Kedua-duanya tergamam seketika.

            “Hai Amira, apa khabar?” Amira hanya diam. Matanya masih memandang Hanif Izzudin yang berdiri di hadapannya. Jantungnya berdegup kencang secara tiba-tiba. Semakin lama semakin laju.

            “Mira!” Shaza menepuk perlahan bahu Amira. Amira segera menoleh ke arah Shaza sekilas sebelum memandang semula lelaki di hadapannya.

            “Awak tanya apa tadi?” Soal Amira kepada Hanif Izzudin.Shaza menepuk dahinya tatkala mendengar soalan Amira tadi. Hampir meletus ketawanya. Nasib baik sempat ditahannya. Hanif Izzudin sekadar tersenyum sebaik sahaja mendengar soalan Amira.

            “Awak apa khabar?” Soalnya lagi. Matanya tidak lekang memandang Amira yang berhijab. Ayu sangat!

            “Alhamdulillah, sihat!” Jawab Amira, ringkas. Wajahnya mula berona merah saat dia dan Hanif Izzudin saling bertentangan mata. Shaza sekadar memerhati sambil tersenyum.

            “Ehem! Ehem!” Shaza berdehem saat melihat kedua-duanya saling berpandangan selama beberapa saat. Seolah-olah berada di dalam dunia mereka sendiri.

            “Astaghfirullahalazim!” Hanif Izzudin beristighfar perlahan saat tersedar dari lamunan.

            Amira pula menjadi tidak keruan. Jantungnya masih berdegup kencang. Dia kemudiannya menunduk memandang lantai feri.

            “Awak nak pi Georgetown jugak ka?” Soal Shaza sambil memandang Hanif Izzudin.      

           “Ya, Kawan saya pun ikut sekali.” Jawabnya. Matanya memandang Shaza sebentar sebelum beralih ke arah Amira yang masih menunduk.

            “Kawan-kawan awak mana?” Soal Shaza lagi.

            “Ada kat sana.” Dia menuding jari ke arah tiga orang lelaki yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Shaza memerhati ketiga-tiga lelaki itu sekilas sebelum memandang Hanif Izzudin semula.

            “Kamu berdua je?” Soal Hanif pula.

            “Ya, kami dua je.” Jawab Shaza. Dia memandang Amira sebelum menyiku lengan kawan baiknya itu yang sejak tadi diam membisu. Tanya sepatah, jawab sepatah.

Amira terpinga-pinga setelah tersedar dari lamunan. Dia memandang Shaza dengan penuh tanda tanya. Shaza berusaha untuk menahan ketawanya tatkala melihat wajah Amira yang kelihatan gelabah.

            “Amira ok ke?” Soal Hanif Izzudin sambil memandang wajah Amira dengan penuh kehairanan. Dia menyedari sejak tadi, gadis itu sekadar membisu. Tanya sepatah jawab sepatah. Entah apa yang difikirkannya. Adakah kerana aku? Soalnya di dalam hati.

            “Saya ok je!” Jawab Amira ringkas. Namun, apa yang diluahkannya tidak sama dengan apa yang dirasainya dalam hati. Dia memandang ke lantai feri semula.

“Boleh bagi nombor phone kamu berdua? Nanti kalau apa-apa senanglah saya nak call.”Soal Hanif sambil mengeluarkan telefon pintar Samsung dari kocek seluarnya.

Setelah menyimpan nombor telefon Shaza di dalam senarai contact di telefon pintarnya, matanya segera beralih ke arah Amira yang sedang memandangnya, menunggu giliran Amira pula untuk memberikan nombor telefon kepadanya. 

 

            “Hanif!” Satu suara memanggilnya dari belakang. Dia segera menoleh ke arah suara itu. Kelihatan salah seorang rakannya melambai ke arahnya. Dia berpaling semula ke arah Amira dan Shaza sebelum meminta diri.

Setelah memberi salam, dia mula melangkah ke arah rakan-rakannya yang sedang ketawa kecil. Amira menarik nafas perlahan sebaik sahaja Hanif Izzudin melangkah jauh darinya. Sekarang dia sudah tidak gelabah lagi.  

 

 

 

“SIAPA dua orang awek tadi tu?” Soal Zali sebaik sahaja mereka berempat memasuki perut kereta Perodua Myvi berwarna biru gelap milik Hanif.

            “Kawan masa sekolah dulu.” Jawab Hanif ringkas.

            “Awat Zali? Berkenan ke kat salah seorang awek tadi tu?” Sampuk seorang rakan dari belakang. Lelaki yang bernama Zali berpaling ke kerusi penumpang di belakang, memandang rakannya yang bersuara tadi.

            “Taklah, saja tanya!” Balas Zali. Dia memandang kehadapan semula.

            “Ala, kalau berkenan bagitau je kat Hanif tu. Suruh dia kenalkan.” Sampuk lelaki itu lagi sebelum ketawa. Hanif Izzudin sekadar menggeleng. Malas hendak menyampuk perbualan rakan-rakannya itu walaupun namanya juga terlibat.

Zali mula mendiamkan diri. Tidak mahu melayan karenah Zarif. Sampai esok pun tak habis kalau layan sangat si penyibuk tu. Monolognya dalam hati.

 

 

 

TELEFONNYA berbunyi menandakan satu mesej masuk. Dia segera mengambil telefon pintarnya di dalam tas tangannya, lantas melihat satu mesej yang baru masuk. Dia melihat nama pengirim yang tertera di situ. Dahinya berkerut. Amar?

            Assalamualaikum,kak! Ada kat mana sekarang ni?

            Sebaik sahaja melihat mesej itu, Amira segera menekan punat telefonnya. Jari-jemarinya menari tatkala menaip satu mesej kepada Amar.

            Waalaikumussalam, kak ada kat depan bangunan Penang 3D Trick Art Museum. Kenapa tanya? Amar ada katmana ni? Sebaik sahaja selesai menaip, Amira menekan punat send.

            “Siapa yang hantar mesej tu?” Shaza yang memerhati dari tadi bersuara.

            “Amar! Dia tanya, kita kat mana.” Amira memandang Shaza sebentar sebelum melihat semula skrin telefonnya. Sedang menunggu mesej masuk. Aik! Diam pulak? Tadi tanya, sekarang diam? Dahinya mula berkerut.

            “Mira ok ka?” Soal Shaza kehairanan.

            “Aku ok la! Kenapa tanya?”

            “Ok? Aku tengok macam tak ok je? Kat feri tadi lagi la nampak ketara. Sangat gelabah. Ni mesti sebab Hanif Izzudin kan?” Shaza mula tersenyum. Amira hanya diam.

            “Tapi ok la, sekurang-kurangnya Mira dah jumpa dia setelah sekian lama walaupun secara kebetulan. Kan selama ini Mira berharap macam tu. Akhirnya doa Mira dimakbulkan.” Shaza bersuara lagi.

Amira sekadar tersenyum. Ya! Memang itulah doanya selama ini. Berjumpa dengan Hanif Izzudin merupakan harapannya selama ini. Walaupun cuma sebentar. Namun perasaan gelabahnya tidak dapat diusir tatkala berdiri di hadapan lelaki itu. Mereka berdua mula melangkah ke kaunter di hadapan mereka untuk membeli tiket sebelum melangkah masuk ke dalam bangunan Penang 3D Trick Art Museum.

 

 

 

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke dalam bangunan yang memaparkan pelbagai jenis lukisan 3D disetiap dinding muzium itu membuatkan mereka berdua terpesona. Kelihatan beberapa peralatan dan patung terletak berdekatan dengan setiap lukisan bagi memenuhi  tema lukisan-lukisan itu. Shaza dan Amira segera mengeluarkan telefon pintar mereka untuk mengambil gambar bagi setiap lukisan yang terpapar. Mereka juga sempat mengambil gambar masing-masing dengan pelbagai gaya di setiap lukisan 3D yang terpapar.

            Setelah puas mengambil gambar di tingkat bawah dalam muzium itu, mereka beralih pula ke tingkat atas. Setiap anak tangga muzium itu dinaiki mereka. Sebaik tiba di atas, mereka terpaku. Sebuah lukisan 3D beberapa orang jurugambar dan peminat kelihatan seolah-olah sedang mengambil gambar mereka saat melalui karpet merah yang terhampar di laluan itu.    

            “Shaza, aku nak pi kat sana sat!” Ujar Amira sambil menuding jari ke arah sebuah lukisan yang menarik perhatiannya sebelum melangkah ke sana.

            “Ok!” Balas Shaza ringkas. Dia sibuk mengambil gambar pada setiap lukisan yang terpapar di hadapannya melalui telefon pintarnya. Dia kemudiannya merenung kembali pada telefonnya, setiap gambar yang baru diambilnya tadi.

            “Ehem!” Satu suara berdehem mengejutkannya. Dia berpaling ke kanan.

            “Awak? Kenapa awak kat sini?” Soal Shaza. Dia tergamam sebentar tatkala melihat Khairul yang tiba-tiba muncul di hadapannya.

            “Kenapa, tak boleh ke saya mai sini?” Jawab Khairul selamba.

            “Bukan Amar ada dengan awak ka? Dia kata ada kerja nak buat. Kenapa awak ada kat sini pulak?” Soal Shaza kehairanan.

            “Saja je datang sini. Amar pun ada kat sini.” Jawab Khairul.

            “Hah? Saja?” Soalnya lagi. Khairul hanya mengangguk tanpa bicara. Matanya mula beralih ke arah lukisan di hadapannya. Shaza sekadar memerhati gelagat Khairul dengan penuh tanda tanya.    

 

 

 

“AMAR buat apa kat sini?” Soal Amira. Dia terkejut saat melihat adiknya yang tiba-tiba muncul dihadapannya.

“Ikut kak la!”Jawab Amar ringkas. Bibirnya tersenyum saat memandang ke satu arah.

“Ikut kak? La! Tadi kata tak nak ikut. Kata ada kerja nak buat dengan Abang Khairul. Kenapa tiba-tiba ada kat sini? Abang Khairul mana? Tak ikut sekali ke?” Soal Amira bertubi-tubi.

“Tu! Ada kat sana!” Jawab Amar ringkas sambil menuding jari ke satu arah. Amira segera memandang ke arah itu. Bibirnya mula terukir senyuman. Dia memandang Amar semula.

“Oh, baru akak faham! Patutlah berahsia tadi. Tak nak bagitau nak pi mana. Rupanya ini rancangan Amar. Patutlah tanya kak kat mana tadi.” Amira mula mengangguk tanda faham.

 “Mereka berdua tu sepadan kan, kak?” Soal Amar. Matanya tidak lekang dari memandang ke arah Shaza dan Khairul yang berdiri agak jauh dari mereka.  

“Betul! Kak setuju! Mereka memang sepadan.” Amira dan Amar tersenyum tatkala melihat Shaza dan Khairul.  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku