TUNANG TAK GUNA
Bab 1
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Mei 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1491

Bacaan






BUNYI siren membingit. Mujur cuma seketika. Waktu kerja di kilang elektronik itu berakhir. Pekerja syif petang pula akan mengambil alih. Suasana yang tadi tenang mula hingar dengan suara keriuhan. Semuanya sibuk nak balik cepat!

Shila terkial-kial mahu membubuh sebiji cip lagi di atas papan elektronik. Sebelum pulang, aku mesti siapkan! Dilihat kawan-kawannya sudah beredar. Dia masih gigih mahu menyiapkan kerja. Tapi makin dia cuba, makin susah pula cip tersebut masuk ke lubang yang sepatutnya. Berkerut-kerut mukanya berusaha.

Cip ni pun kecik sangat! Tweezer ni pulak macam nak tak nak je mengepit. Susah betul nak kepit cip ni!

“Eii... dah kenapa susah sangat nak ambil ni?” Shila merungut. Geram pulak dia. Tertunduk rapat dia ke papan elektronik itu.

“Woi, Shila!”

Shila tersentak! Spontan tangannya terlanggar bekas cip di atas meja. Prang!

“Mak kau, kambing kau! Mak kau kambing terloncat-loncat!” Shila terlatah.

Melihat cip-cip yang berterabur di atas lantai, matanya membulat. Mulut terlopong. “Hah?!” Menggelabah dia bingkas dari kerusi mahu mengutipnya. Namun akibat kelam-kabut dan kalut, kakinya tersepak tiang meja. Berdebuk dia jatuh tertiarap.

“Warghh...” Shila macam nak menangis. Dadanya terasa sakit. Dia terdengar suara orang ketawa. Dia mendongak.

“Yang menggelabah sangat ni dah kenapa?” Ezzat masih ketawa. Dialah yang sergah Shila tadi. Dihampiri Shila yang sedang bangun sambil menepis-nepis tapak tangan dan baju uniformnya.

Shila memonyok.

“Rajin sangat!” Ezzat menyekeh kepala Shila yang bertudung. Acah-acah marah.

“Sakitlah!” rungut Shila.

“Elehh...” cebik Ezzat. Bukan kuat pun dia sekeh. Dia mencangkung mengutip cip-cip yang berterabur itu.

“Dah tahu orang cepat kalut, sergah-sergah pulak.” Walau memonyok, Shila turut mengutip cip-cip itu. Banyak gila kot!

“Dah waktu balik, balik jelah...” Ezzat menunjal pula kepala Shila. “Degil!”

“Biarlah!” Shila mendengus. Dibetulkan tudung bawalnya yang terasa herot.

“Cepat kutip!”

Makin panjang muncung Shila.

Berubah riak wajah Ezzat. Tak jadi dia nak berlagak serius. “Alohh... abang gurau pun tak boleh.”

“Gurau ‘hek’ abang!” Dipukul bahu Ezzat dengan perasaan geram.

“Adeh!” Ezzat pura-pura rasa sakit, padahal tak rasa apa-apa pun.

“Orang nak cepat, dia datang kacau pulak. Yani dah tunggu Shila nak balik tu!”

“Yalah, yalah... abang tolong kutip.” Ezzat ketawa. “Bila nak berubah perangai kalut tu? Sikit-sikit menggelabah. Sikit-sikit melatah.”

Shila mencebik sambil menjeling Ezzat.

“Amboi... jelingan maut. Tadi tergolek dog. Bertepek!” usik Ezzat sambil menunjuk cara Shila jatuh tertiarap. Mengekeh dia ketawa.

Shila tetap memuncung. Langsung tak ketawa dengan jenaka Ezzat yang hambar baginya.

Makin seronok Ezzat ketawa sambil tangan mengutip cip-cip di lantai itu.

“Tempat kerja abang kan kat luar sana. Sibuk je datang tempat Shila!”

“Alololoo... janganlah marah. Okey, okey... abang tolong kutip sampai siap ya?” pujuk Ezzat sambil senyum.

Tak jadi Shila nak marah apabila lihat senyuman Ezzat yang berlesung pipit di pipi kiri dan kanan itu. Dia membantu Ezzat mengutip semua cip itu secepat mungkin. Tak pasal-pasal bertambah kerjanya hari ini.


“MANA si Shila ni?” Liyani memanjangkan leher mencari kelibat sahabatnya itu.

Tiada di mana-mana.

“Eh, kau orang nampak Shila tak?” Liyani bertanya pada rakan-rakan yang sedang mengambil barang di loker masing-masing.

“Entah,” balas salah seorang daripada mereka.

Yang lain-lain turut mengangkat bahu.

Baru saja Liyani mahu melangkah, tiba-tiba muncul Shila. Kalut Shila menghampiri Liyani. Riak mukanya menggelabah tak tentu arah.

“Kau pergi mana? Van dah tunggu tu! Karang kena tinggal pulak.”

Menggelabah Shila membuka lokernya dengan tangan terkial-kial memasukkan kunci.

“Apasal?” Liyani bertanya lagi. Tak puas hati Shila tak menjawab soalannya.

Kalut Shila mengeluarkan begnya dari dalam loker setelah berjaya dibuka. “Abang Ezzat datang sergah aku tadi. Habis berterabur cip. Kutip benda alah tulah yang sampai lambat ni.”

Liyani melepaskan nafas panjang. “Tunang kau tu pun satu! Dah tahu kau ni jenis cepat menggelabah, huru-hara dengan perangai kalut... nak mengusik lagi buat apa?”

Rakan-rakan yang berada di sekitar loker mentertawakan Shila.

“Perempuan macam tu pun ada orang nak,” bisik Faizah kepada kawan-kawannya. Dia bukannya orang lain, rakan sekampung Shila dan Liyani juga.

“Bukannya cantik pun. Menggelabah je lebih.” Kawan Faizah pula berbisik.

“Dah kahwin nanti tak tahulah macam mana dengan Ezzat. Kucar-kacirlah hidup dia,” sampuk seorang lagi dengan nada perlahan.

“Kan? Malang nasib Ezzat.” Faizah mengapi-apikan.

Shila dapat menangkap kata-kata pedih tu.

“Tapi Shila ni baik. Tak pernah mengata orang. Mulut tak macam mulut puaka! Ada orang tu... mulut dahlah macam puaka, perangai pun puaka jugak!” Liyani menyelar dengan suara yang agak kuat. Geram betul kalau ada orang mengata sahabatnya. Mengata depan-depan pulak tu!

“Eh, Shila... kau kahwin hujung minggu ni kan?” Seorang daripada mereka tiba-tiba bertanya. Buat-buat ramah. Tak nak disindir Liyani lagi sebenarnya.

“Ha’ahlah!” sahut salah seorang yang berbisik tadi bagaikan baru teringat. “Kau tak ambil cuti kahwin ke, Shila?” Dipandang Shila konon-konon teruja.

Liyani menyaksikan aksi kawan-kawan Faizah itu dengan riak meluat. Propa!

“Hari ni baru hari Selasa. Nikah hari Sabtu,” celah Faizah. “Takkan Shila nak ambil cuti awal-awal. Kan, Shila kan?” Dia buat-buat baik hati pada Shila.

Shila mengangguk. “Cuti...” Dia tergagap-gagap nak menjawab. “Cuti hari Khamis ni.”

“Cepatlah, Shila! Van dah tunggu tu!” Liyani geram. Si Shila ni dah keluarkan beg, tapi masih tercegat berdiri kat situ. Biarkan diri dikutuk pulak tu! Faizah dengan kawan-kawan pencacai dia tu propa je lebih. Mengutuk tak kira depan atau belakang.

Shila berwajah kalut semula. “Okey, okey...”

Semasa dia mahu menutup pintu loker, dia terpandang sebungkus coklat. Lupa pulak aku nak makan coklat ni. Kalau simpan dalam loker, mesti cair.

Lalu, dia keluarkan bungkusan coklat tersebut. Diserahkan kepada kawan Faizah yang paling dekat dengannya. Yang mengatanya tadi. “Nah... ambillah.” Dia menghulur dengan senyuman.

Kawan Faizah itu terpinga-pinga. Namun, tangannya mengambil jua bungkusan tersebut.

Faizah menyenggol lengan kawannya dengan riak marah kerana mengambil pemberian Shila itu.

“Cepatlah, Shila!” desak Liyani. Ya ALLAH... sempat lagi si Shila ni bagi coklat kat orang.

“Okey!” Kelam-kabut Shila menutup pintu loker yang agak tinggi separas kepalanya. Bap!

Pintu loker itu terhentak kepalanya sendiri. Menyeringai mukanya menahan pedih. Semua yang berada di situ menghambur ketawa. Faizah yang paling kuat ketawa. Sengaja dia kuatkan suaranya.

Liyani menggeleng. Tak tahu macam mana lagi cara nak mengubah perangai kalut Shila.

Shila menggosok-gosok kepalanya sambil menyeringai sakit.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku