TUNANG TAK GUNA
Bab 10
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Mei 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1202

Bacaan






SEBUAH bas ekspres baru saja memasuki lembah Kuala Lumpur dari selatan tanah air. Sepanjang perjalanan bas meluncur lancar. Hanya apabila tiba di kotaraya metropolitan itu, trafik mula sedikit perlahan. Bas bergerak sehinggalah tiba di Pudu Sentral. Apabila bas berhenti di laluannya, semua penumpang berpusu-pusu mahu turun.

Hanya seorang lelaki yang kaku di tempat duduknya. Lenanya begitu dalam sehingga tak sedar bas telah tiba di destinasi.

Seorang demi seorang membolos keluar dari bas. Ketika melintasi lelaki yang lena berpeluk tubuh itu, mereka hanya memerhati. Kini bas sudah kosong tiada sesiapa. Lelaki itu masih hanyut dengan mimpi. Suasana sunyi sepi.

Seketika pemandu yang tadi melayan penumpang mengeluarkan beg di bawah bas, naik semula mahu memeriksa keadaan. Terlihat seorang lelaki masih belum turun. Nyenyak betul tidur! Lelaki itu dihampiri, lalu menggoyang-goyang kasar bahunya.

“Bangun! Bangun! Dah sampai ni, woi. Bangun!”

Ezzat membuka mata apabila terasa seluruh badannya bergoyang. Terpisat-pisat dia sambil menguap dan menggeliat.

“Dah sampai ni. Kau tak nak turun ke?” Pemandu bas itu menyergah lagi.

Ezzat memandang ke luar tingkap setelah menggosok-gosok matanya.

“Apalah... Tidur mampus sampai tak sedar.” Pemandu bas itu kemudian membebel-bebel sambil meninjau ke setiap kerusi. Sampah yang ada dikutip.

Ezzat mencapai beg sandang yang diletak di bawah kakinya. Teragak-agak dia nak turun. Dipandang pemandu bas yang tak menghiraukannya. “Bang...”

Pemandu bas itu menoleh acuh tak acuh.

“Kat mana sekarang ni, bang?”

“Kat mana lagi... kat KL. Turun jelah! Banyak bunyi pulak. Aku nak bersihkan bas ni.”

Melihat pemandu bas yang dilihat seperti buat-buat sibuk itu, Ezzat bingkas bangun sambil menyandang beg yang dibawa. Di turun dari bas sambil fikiran masih bercelaru. Di hadapan pintu bas dia termenung. Mata melilau ke sana ke sini. Wajahnya kosong.


SUASANA di dalam rumah itu bagaikan sayu. Sepi sesepi sepinya. Di ruang tamu itu Zakiah dan Karim duduk bermenung. Wajah masing-masing muram. Zakiah sesekala menyeka mata dengan hujung lengan baju kurungnya. Sungguh dia tak bermaya ketika ini. Bagaikan mahu demam rasanya. Peristiwa yang menimpa mereka sekeluarga terlalu berat nak ditanggung.

Rozana yang baru muncul di situ, kaku berdiri memerhatikan ayah dan emaknya. Terlepas keluhan berat. Dia menghampiri Zakiah, lalu duduk di sebelah. Tangan Zakiah diusap-usap bagaikan memujuk.

Linangan air mata Zakiah semakin bergenangan. Dia menyeka lagi matanya. “Entah ke manalah adik kau pergi, Ana.” Nadanya teresak.

Rozana memaut lengan Zakiah. Dia hanya mampu mengeluh.

“Ayah kau dah merata cari. Rumah Ezzat pun ayah kau pergi. Langsung tak jumpa. Susah hati mak, Ana.”

Rozana faham perasaan emaknya ketika ini. Siapa yang tak risau? Shila tu sedang berjiwa kacau. Fikiran pun mesti tengah bercelaru.

“Satu kampung dah ayah cari.” Karim menyampuk dengan suara lemah. “Dengan semua orang ayah tanya. Malu ayah bila ada yang sindir-sindir.” Keluhan kedengaran.

Zakiah dan Rozana menunduk beriak wajah kesal. Orang kampung ni kadang-kadang melampau juga. Tahu mengata je! Langsung tak faham perasaan orang lain.

“Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam.” Rozana bingkas bangun menjengah ke pintu. Dia kenal suara itu. “Masuklah, Yani.”

Liyani mendaki tangga masuk ke dalam rumah. Dilihat Karim dan Zakiah berwajah gundah. Tahulah dia yang Shila masih belum pulang lagi.

“Kau tolong carikan Shila, Yani.” Dengan isyarat tangan, Rozana mempelawa Liyani duduk bersama.

Liyani duduk menghadap Zakiah. “Sebelum dia hilang, dia ada cakap apa-apa tak, Mak Cik Kiah?”

Tergeleng Zakiah lemah. Matanya bergenang semula. “Semalaman dia tak keluar bilik, Yani. Menangis je dia. Ya ALLAH...”

Sebak dada Liyani mendengar suara sayu Zakiah.

“Ajak makan, tak nak. Suruh keluar bilik tak nak. Apa pun dia tak nak, Yani. Memerap dalam bilik je dia. Menangis tak henti-henti,” sambung Zakiah lagi sambil mengeluh. “Pagi tadi mak cik panggil dia ajak sarapan. Senyap je bilik dia tu. Bila mak cik masuk, tengok dia dah tak ada.”

“Bila mak cik kau bagitahu Shila hilang, pak cik terus tak senang duduk. Satu kampung pak cik cari. Sampai ke Simpang cari dia,” celah Karim hiba. Apatah lagi dia dah rasa penat seharian ke hulu ke hilir mencari Shila. “Pak cik dah buat report. Tak tahulah apa cerita.”

“Ni dah petang. Bila maghrib, dah malam... macam mana nak cari dia? Mak cik risau, Yani. Takut-takut kalau dia lari dari rumah pergi entah ke mana-mana.” Zakiah teresak semula. “Kenapalah Ezzat tergamak buat Shila macam ni? Dahlah Shila tu tak macam orang lain. Kalut tak tentu arah. Sampai hati Ezzat. Apa dosa Shila kat dia?” Berderai air matanya.

Karim yang duduk di sebelah Zakiah mengusap-usap belakang isterinya itu. Hatinya dihurung sebak. Dibiarkan Zakiah menangis sepuas hati.

Rozana tunduk menahan perasaan. Matanya yang bergenangan diseka dengan hujung jari. Memang terasa berat dugaan yang menimpa mereka sekeluarga.

Simpati Liyani melihat wajah Zakiah, Karim dan Rozana. Akalnya ligat berfikir ke mana nak mencari Shila. Sepanjang dia hidup dengan Shila, tak pernah dia tengok Shila menangis begini. Murung dan menyendiri macam ni. Ezzat memang kejam! Tak ada hati perut!

“Kau tolong cari Shila eh, Yani? Kak Ana nak balik Kedah ni, ikut suami Kak Ana. Esok kerja. Tolong eh?” Rozana mengharap. Dia sebenarnya tak sedap hati nak tinggal emak dengan ayahnya macam ni. Tapi dah terpaksa.

Liyani mengangguk. “Nanti Yani minta tolong member-member lain carikan Shila.” Dia bersetuju saja walau benak otaknya memikirkan nak cari Shila kat mana.

“Jumpa ke, tak jumpa ke... bagitahu Kak Ana cepat-cepat, Yani. Kalau tak jumpa, Kak Ana minta cuti lagi balik ke sini.” Risau sungguh Rozana kalau jadi apa-apa pada Shila. “Kak Ana doa sangat-sangat. Minta-minta Shila dibukakan hati balik rumah semula. Kak Ana sedih tengok mak ayah Kak Ana menangis macam ni.” Gugur air matanya.

Liyani mengangguk lagi. Menerawang fikirannya memikirkan arah untuk mencari Shila. Buntu.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku