KISAH SERAM MALAM JUMAAT - SYAITAN - A.DARWISY
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 12 Mei 2016
NANTIKAN VERSI PANJANG BERCETAK TIDAK LAMA LAGI.
Penilaian Purata:
(48 orang telah menilai karya ini)
6457

Bacaan






Alunan surah Al-Quran semakin jahar dan menembus dinding-dinding bilik itu. Keras menusuk gegendang telinga. Dua sahabat sudah saling berpandangan. Entah kenapa, bacaan ayat suci yang sepatutnya menimbulkan rasa ketenangan tidak lagi meninggalkan kesan begitu. Bulu roma masing-masing mulai merinding.

“Kau pergi tengokkan Diah tu, Mira. Aku tak sedap hatilah.”

“Hisy! Aku pulak. Kaulah. Kau kan ustazah. Kau bacalah apa-apa doa, hembus kat muka Diah tu.” usul Mira, hendak mengelak. Memang tidaklah dia mahu masuk ke dalam bilik Diah lagi. Tidak pasal-pasal dia dimarahi. Cukuplah sebelum ini, dia ditolak-tolak Diah sampai belakang kepalanya terhantuk ke dinding. Teman serumahnya itu sejak kebelakangan ini bertambah aneh tingkahnya. Aneh yang tidak tahu bagaimana mereka mahu perincikan sifatnya.

Bahyah berbelah bagi. Sebetulnya sudah tiga malam Jumaat, Diah akan membuatkan mereka berdua yang sama-sama tinggal di dalam rumah itu, seram sejuk. Manakan tidak, menjelang saja tengah malam Diah akan mengaji Al-Quran dengan pintu berkunci. Lantunan suaranya pula dari satu baris ayat ke baris ayat yang lain, semakin melengking. Hingga pada satu tahap, Diah membacanya dalam nada menjerkah. Melayang tartilnya.

“Pergilah Bahyah, lekas.” Paksa Mira.

“Yelah...yelah... Kau pun sekalilah dengan aku.” Bahyah menarik pergelangan tangan Mira supaya rapat dengannya. Dada kedua-duanya berdebar-debar. Lagi dekat hujung jari Bahyah hendak menyentuh tombol pintu, lagi berdegup laju jantung mereka.

“Bismillahirahmanirahim...” bisik Bahyah, mahu meniup semangat dalam diri. Tombol pintu dipulasnya perlahan. Baik-baik saja pintu terbuka, mereka melihat susuk tubuh Diah yang sempurna bertelekung putih, sedang duduk menghadap kiblat membelakangi mereka. Mira sudah tertelan air liur. Dalam kepalanya sudah terbayang gambaran yang bukan-bukan.

Dibuatnya tiba-tiba Diah menoleh dengan muka menakutkan, mahunya dia pengsan rebah di situ juga.

Bahyah berisyarat dengan mata. Menyuruhnya supaya bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan. Mira semakin kecut perut.

“Assalammualaikum, Diah. Diah...maaf aku kacau kau mengaji ni. Diah...” lembut suara Bahyah mencelah. Sebaliknya, Diah seperti tidak terkesan sedikitpun dengan panggilannya. Badan perempuan itu makin kuat bergoyang, membentur ke depan dan ke belakang.

Belakang tengkuk Bahyah mulai mengembang. Meski ayat Al-Quran yang keluar dari mulut Diah tetapi dia merasakan ada aura yang tidak baik menyelubungi mereka bertiga di dalam bilik itu. Bahyah membaca surah Kursi dalam hati. Haul bacaan, dia nekad hendak memegang bahu Diah.

“Diah!” Tegur Bahyah, ampuh nadanya kali ini. Gerakan badan Diah mendadak terberhenti. Mira sudah menyembunyikan mukanya di belakang tubuh Bahyah. Sambil telapak tangan kanannya siap-siap menekup mulut. Bimbang terjerit. Dia pula yang menggeletar tidak pasal-pasal.

Perlahan-lahan arah mata Diah yang tadinya menekuni lembaran ayat-ayat suci, beralih tumpu. Kepalanya berpusing sendeng, menghadap Bahyah dan Mira.

“Astaghfirullahalazim!” lafaz Bahyah, tersentak. Terdorong langkahnya ke belakang beberapa tapak. Sepasang mata bundar Diah, terbeliak mencerun pandang ke arahnya. Bahagian mata putih perempuan itu kelihatan memerah.

“Kau keluar! Keluar!! Aku tengah berperang dengan setan!” Tengking Diah, bengkeng sekali nadanya. Bahyah dan Mira sudah tercegat tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Mereka melihat hujung jari Diah menyebak laju helaian demi helaian Al-Quran yang terletak elok di atas rehal atas kepala sejadahnya.

“Marilah kita keluar, Bahyah... Lain macam aje ni.” Mira menarik-narik hujung baju Bahyah. Perlakuan Diah semakin menakutkan.

Bahyah tidak puas hati. Masakan dia hendak membiarkan Diah begitu saja. Tanpa berlengah, Bahyah bertindak berani dengan merampas Al-Quran dari pegangan teman serumahnya itu. Kitab suci itu ditutup dan dibawa rapat ke dada. Mira terkejut dengan tindakan Bahyah yang tiba-tiba itu.

“Pulangkan kitab aku!!” Diah mengamuk bukan kepalang. Bahyah pantas menjarakkan dirinya daripada Diah.

“Mengucap, Diah! Setiap malam Jumaat, kau jadi pelik macam ni. Kau baca Quran tapi kau biar hati kau dihasut syaitan!” bidas Bahyah, dalam takut ada beraninya.

Serentak itu juga, Diah melolong-lolong. Kedua-dua belah telapak tangannya menutup telinga. Diah mulai meracau. Dia mengetuk-ngetuk kepalanya tanpa henti.

“Apa kita nak buat sekarang ni, Bahyah?” Mira cemas. Diah yang masih dalam sepersalinan telekung, seperti sedang bergelut dengan ketakutannya sendiri. Belum sempat Bahyah memikirkan jalan penyelesaian, depan matanya dia melihat batang tubuh Diah menggelepar di atas lantai. Seperti seekor ayam yang disembelih urat lehernya.

Mulutnya berbuih-buih serupa orang kena sawan.

“Kau jaga Diah, sekejap. Aku nak telefon Ikram!” arah Bahyah, panik. Hendak tidak hendak, Mira terpaksa akur. Bahyah berlari keluar dari bilik itu mahu mengambil telefon bimbitnya. Dalam masa yang sama, Mira lekas meraih tubuh Diah.

“Ya Allah, Diah...kau kenapa ni?” Mata Mira mulai berkaca. Keadaan Diah sekarang ini benar-benar membingungkannya. Air liur semakin banyak menjejeh keluar dari mulut perempuan itu. Mira dapat menangkap gerakan bibir Diah yang seperti sedang menitip sesuatu.

“Kita semua takkan terlepas dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Kau...aku...semua orang.”

Mira sudah terasa tebal kulit kepalanya. Meremang dia mendengar apa yang baru saja keluar dari mulut Diah.

“Diah, kau cakap apa ni? Eh, Diah! Bangun, Diah!”

Diah pengsan tiba-tiba. Mira menjerit-jerit memanggil Bahyah.

***

Ikram meminta nasihat daripada Haji Zil. Imam surau itu sudah dianggap seperti ayahnya sendiri. Ikram tidak punya siapa-siapa lagi untuk dijadikan tempat rujukan selepas orang tuanya meninggal dunia beberapa tahun lepas.

“Semalam, tunang saya meracau lagi. Kemudian, pengsan tak sedarkan diri. Kawan serumah dia hantar ke hospital. Sekarang ni, kena tahan di wad. Doktor kata sawan.” Adu Ikram, lelah dengan ujian yang diterimanya. Lagi dekat mereka hendak bersatu sebagai suami isteri, lagi macam-macam pula dugaan yang menimpa.

“Tunang kamu tu memang ada penyakit sawan ke?” tanya Haji Zil, merenung lembut pemuda baik di hadapannya. Kasihan pula dia melihat Ikram. Patutlah pemuda itu resah gelisah saja sewaktu mendengar tazkirah Subuhnya tadi. Rupa-rupanya ada perkara lain yang merunsingkan fikiran.

Sekarang ini, mereka berdua duduk di tangga surau. Menghirup udara awal pagi.

“Alhamdulilah, takde. Cuma...apa yang saya perasan, lepas kami bertunang...ada aje benda yang tak kena.”

“Tak kena yang macam mana?”

Ikram mengeluh halus. Dia tahu Allah tidak suka orang yang mengeluh. Dia hanya mahu mengadu masalah.

“Dulu, sebelum kami ada hubungan, tunang saya ni jauh dengan Allah. Tapi alhamdulilah, sedikit demi sedikit dia cuba untuk berubah selepas kenal dengan saya. Dari berpakaian tidak menutup aurat, sudah mula bertudung dan menjaga maruahnya sebagai perempuan. Dari suka bergaul dengan yang bukan mahram, kepada menjaga iktilad. Dari suka dengan hiburan, kepada suka dengan majlis ilmu. Tapi...”

Ikram berjeda. Dia teringat semula apa yang diberitahu Bahyah kepadanya sejak tiga minggu lepas. Tentang perangai aneh Diah. Masakan Bahyah hendak berbohong pula. Dia sudah lama mengenali Bahyah. Bahkan mereka satu sekolah mengajar. Mereka ustaz dan ustazah di sebuah sekolah rendah yang sama.

“Setiap kali malam Jumaat, dia mula berkelakuan ganjil. Baca Quran sampai menjerit-jerit. Marah-marah. Katanya mahu berperang dengan setan!”

Haji Zil menghadam cerita Ikram dalam-dalam. Terkejut juga dia mendengarnya. Berperang dengan syaitan?

“Hmm...boleh pak cik datang menziarah tunang kamu?”

“Boleh, imam. Dalam pukul sepuluh macam tu, saya mahu pergi melawatnya. Saya bawa imam sekali.”

“Baiklah, kalau begitu.”

***

Bahyah terkejut apabila mendapati Mira berada di dalam bilik Diah. Sudahlah perempuan itu bertelekung putih. Apa motif Mira diam-diam menyelinap masuk ke bilik perempuan itu?

“Kau buat apa dalam bilik Diah?”

Mira terperanjat. Pucat lesi mukanya apabila disergah pagi-pagi Subuh begitu.

“Err...aku nak pinjam Quran, Diah. Selak punya selak, aku jumpa sesuatu yang peliklah, Bahyah.”

“Pelik?” Mira mengangguk laju. Lalu dibuka lembaran Al-Quran itu dan diunjukkan kepada Bahyah untuk melihat sama.

“Lafaz basmalahnya bukan Bismillahirahmanirahim tapi Bismil abi wal ibni waruuhil qudus.”

“Astaghfirullahalazim.” Meremang bulu roma Bahyah. Hujung jarinya pantas menyebak lembaran yang lain. Kemudian meneliti satu persatu surah di dalam kitab itu. Kekalutan yang jelas terpancar di muka Bahyah membuatkan Mira berderau darahnya.

“Kenapa, Bahyah? Kau buat aku naik takutlah.”

Demi nama bapak, anak dan roh kudus...” gumam Bahyah antara dengar dengan tidak. Mira bertambah-tambah bingung dan keliru.

Dalam pada dua sahabat itu ralit menekuni kitab di hadapan mereka, berdentum kuat pintu bilik Diah tertutup dengan sendiri. Terangkat bahu kedua-duanya. Mereka sudah tidak sedap hati. Seolah-olah ada petanda yang tidak elok. Kelam kabut kedua-duanya meluru ke pintu lalu berusaha membukanya.

“Alamak, apa pasal tak boleh bukak pulak pintu ni Bahyah?”

Dua sahabat itu sudah berpelukan. Tidak ada susuk atau wajah hodoh yang menggerunkan muncul depan mata mereka. Tetapi rasa takut berdepan sesuatu yang tidak nampak, hakikatnya lebih menakutkan! Mira sudah menangis-nangis.

***

Haji Zil mengajak Ikram ke sudut yang lebih privasi. Mereka baru saja keluar dari bilik wad yang menempatkan Diah. Diah masih lemah keadaannya. Pun begitu, dia menyedari kedatangan Haji Zil dan Ikram sekejap tadi. Sempat bertanya khabar dan berbual seadanya sebelum masuknya doktor membuat pemeriksaan berkala.

Sebelum itu, Ikram sempat ke vending machine minuman di luar bangunan wad itu. Dua cawan kertas berisi kopi panas dibelinya dari mesin tersebut. Satu untuk Haji Zil, satu untuk dirinya.

“Kamu ada rasa kurang sihat atau rasa berlainan pada diri kamu akhir-akhir ni, Ikram?” soal Haji Zil tiba-tiba selepas kedua-duanya duduk di sofa yang tersedia letak di luar bilik wad hospital itu. Haji Zil mencicip sedikit kopi panas yang diberikan pemuda itu lalu diletakkan di atas meja berdekatan. Ikram berkerut dahi. Iyalah, yang sakitnya sekarang, Diah tunangnya. Kenapa dirinya pula yang ditanya soalan begitu?

“Alhamdulilah, imam. Sihat walafiat aje ni.” Haji Zil terangguk-angguk sambil tersenyum nipis. Orang tua itu kemudiannya berjeda. Lama. Seperti sedang berfikir dalam.

“Kita ni manusia, kebanyakannya lebih takut pada hantu dan jembalang yang nampak depan mata. Hakikatnya, benda-benda ni semua sekadar mengacau dan mengusik. Sudah fitrah mereka berwajah hodoh, kalau cantik pun menyerupai. Itu yang kita lari tidak cukup tanah kalau terserempak dengan benda ni semua. Tetapi mereka tidak mampu hendak memudaratkan kita. Ada kamu dengar hantu boleh bunuh manusia?”

Ikram lambat-lambat menggeleng. Mukadimah Haji Zil sudah membuatkan bulu romanya mencacak naik tiba-tiba.

“Syaitan yang patut kita bimbangkan bukan pada susuk-susuk gerun yang muncul depan mata tapi syaitan yang menghuni dalam hati dan fikiran kita. Syaitan yang tak memperlihatkan zahirnya tapi membisik dan menghasut timbul tenggelam dalam hati kita. Dalam surah An-Nas, Allah sudah memberi peringatan. Pendek surahnya tapi ada kita ambil iktibar?”

Ikram diam saja. Meski keras dan tegas kandungan penerangan Haji Zil kepadanya, orang tua itu tetap menyampainya dengan lemah lembut. Ikram senang dengan pendekatan Haji Zil. Sebab itulah, dia gemar sekali meminta nasihat dengan imam surau itu kalau ada masalah.

“Pada pengamatan imam, apa yang tak kena dengan tunang saya tu?” Ikram rasa terseksa pula apabila Haji Zil memilih untuk berkias. Barangkali orang tua itu tidak mahu menimbulkan fitnah. Lazimnya orang yang mendalam ilmu agama ini, begitulah sikapnya. Lebih memberi nasihat, menyimpan rahsia kemas-kemas berbanding mendedahkan.

“Kamu berdua tak lama lagi nak jadi laki bini. Syaitan sangat membenci pasangan yang hendak mendirikan masjid ni. Sebab tu orang tua-tua selalu kata, alam pertunangan ni banyak dugaan. Lebih baik dipercepatkan. Selang masa inilah, syaitan akan cuba memusnahkan dengan pelbagai cara.”

Ikram payah hendak menangkap maksud Haji Zil yang begitu berlapik kata-katanya.

“Jadi, apa yang berlaku terhadap tunang saya sejak tiga malam Jumaat lepas berpunca dari...syaitan?” Gentar pula Ikram hendak menyebutnya.

“Kenapa setiap kali malam Jumaat, kita dari dulu asyik dimomok-momokkan dengan malam yang menakutkan? Kononnya hantu dan jembalang, semua keluar. Sebetulnya, tiap saat syaitan itu ada. Tetapi malam Jumaat, kaum kerabat makhluk laknat ini terpaksa bekerja lebih keras, membisik dan menghasut iman yang lemah. Kerana pada malam itulah, kita lebih dekat dengan Allah. Kita baca Kahfi, kita baca Yasin...itulah yang paling dibenci syaitan.”

Ikram mengakui akan wacana bernas orang tua itu. Haji Zil, buah fikirnya tuntas.

“Apa yang boleh aku nasihatkan kepada kamu, segeralah menikahi Diah. Usah bertangguh lagi. Dalam masa yang sama, kamu tu...terus gigit agama kamu dengan gigi geraham. Itu aje jalannya untuk berperang dengan setan. Lepas sah hubungan kamu laki bini, bimbing Diah tu. Tunang kamu tu pilihan Allah. Orang yang dulunya jahil dalam agama dan tiba-tiba disentuh hidayah ni, bukan anak-anak setan yang mengganggu tapi jeneral setan!”

Terangguk-angguk Ikram menerima nasihat daripada Haji Zil. Sekalipun dia masih samar-samar dengan apa yang menimpa Diah. Orang tua itu memang tidak mahu buka mulut.

“Assalammualaikum...” satu suara mencelah tiba-tiba. Terberhenti sembang dua lelaki berkenaan. Bahyah dan Mira menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat.

Haji Zil yang ketika itu sedang memegang cawan kertas, entah bagaimana boleh terlepas dari tangannya. Air kopi panas tertumpah ke lantai. Orang tua itu beristighfar. Hatinya sudah berdetak sesuatu.

***

Mira membawa kitab Al-Quran yang diyakininya palsu. Ditunjukkan kepada Ikram untuk membelek sama. Bahyah memerhati saja dalam diam. Nun jauh di sudut hati kecilnya, dia mencurigai keprihatinan Mira yang berlebih-lebihan.

“Awak tengok ni, Ikram. Ada beberapa surah dalam Quran ni tak wujud. Saya syak Quran palsu. Selama ni, Diah baca Quran yang terpesong kandungannya. Patutlah pelik-pelik aje kelakuannya selama ni.” Mira membuat justifikasi sendiri.

“Awak tahu dari mana Diah beli Quran ni? Bahaya kalau tersebar. Memang kena buat report ni.”

Mira mengangkat bahu. Dia menyebak lembaran belakang kalau-kalau ada dinyatakan maklumat penerbit atau pengilang yang mengeluarkan Al-Quran tersebut. Tetapi malangnya, tiada.

Sedang mereka berdua sibuk menatap helaian demi helaian kitab dalam tangan, jeritan Diah kedengaran kuat dari dalam bilik wad. Tersentak mereka semua.

“Tu suara Diah!”

Mira menarik pergelangan tangan Ikram tanpa sengaja. Berlari mereka meluru ke bilik wad Diah. Bahyah semakin tidak selesa dengan apa yang dilihatnya.

***

Diah tergeleng-geleng. Dia menutup kedua-dua cuping telinganya dengan telapak tangan. Aurat rambutnya kelihatan. Perempuan itu meracau-racau. Dia mengetuk-ngetuk kepalanya. Bisikan dan hasutan yang timbul tenggelam dalam kepalanya benar-benar menyesakkan.

Ikram meminta kebenaran daripada jururawat dan doktor untuk memujuk Diah supaya kembali tenang.

“Tolong keluarkan setan dalam kepala aku ni. Tolonglah!” Diah sudah menangis-nangis. Perempuan itu duduk berpeluk lutut di sudut bilik wad, bergelut dengan ketakutan sendiri.

“Aku tak mahu keluar dari Islam. Aku tak mahu murtad! Tolonglah!” Diah terpekik terlolong. Belakang kepalanya dihentak-hentak ke dinding.

Bahyah sudah mengalirkan airmata. Tidak sanggup melihat sahabatnya menderita begitu. Mira pula mengunci mulut sedari tadi.

“Diah, ingat Allah Diah! Lawan apa yang berbisik dalam kepala tu. Mengucap. Istighfar.” pujuk Ikram dan selangkah demi selangkah, cuba merapati tunang tersayang. Benarlah kata Haji Zil, syaitan yang menginap dalam hati dan fikiran itu lebih berbahaya.

“Tak boleh! Tak boleh! Aku tak kuat! Setan dalam kepala aku suruh aku tolak Muhammad. Tolak Muhammad! Hahaha!”

Diah tiba-tiba ketawa besar. Matanya terbeliak. Bahyah menutup mulutnya dengan telapak tangan. Sumpah, saat itu bulu romanya naik dari hujung kaki hingga ke pundak!

“Ikram, buat sesuatu lekas!”

Diah yang tadinya duduk berpeluk lutut, tidak semena-mena menundukkan kepalanya seperti posisi orang sedang bersujud dalam sembahyang. Semua yang ada dalam bilik wad itu tergamam. Mata Bahyah pantas mengitari ke segenap ruang di dalam bilik tersebut sebelum berhenti pada satu penunjuk arah yang melekat di permukaan siling.

“Ya Allah, Ikram! Dia sujud menyongsang arah kiblat!”

Pada ketika itu juga, cuping telinga masing-masing menangkap bunyi dentuman kuat bertubi-tubi atas lantai. Diah menghempaskan ubun-ubun kepalanya berkali-kali atas lantai hingga darah memercik keluar. Enam kali sujud, enam kali hentakan, enam potong ayat keluar dari Diah melengkapi surah An-Nas sebelum perempuan itu terkulai layu, rebah berperang dengan syaitan.

Ikram, Bahyah, Mira dan semua yang berada di dalam bilik wad itu terpegun. Bulu roma Ikram mencacak tegang!

//BERSAMBUNG//





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku