LOVE YOU FOREVER!!
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Mei 2016
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1850

Bacaan






“Assalamualaikum.”

“Walaikummusalam. Ni akak nak tanya ni, Farah dah bertolak ke?”

“Erm dah. Pagi tadi lagi. Kenapa?” acuh tak acuh sahaja pertanyaan Kalsom kepada kakaknya.

“Dah nak pukul empat dah tak sampai-sampai lagi budak tu. Farah kenal ke jalan sini Som? Akak risaulah,” luah Puan Sri Najihah rasa gusarnya. Takut juga jika apa-apa berlaku ke atas Farah. Bukan boleh percaya sangat orang zaman sekarang ini.

“Kak Naj tak payahlah risau sangat. Kejap lagi sampai lah tu. Tahulah dia sampai ke sana.”

Jawab Kalson dengan selamba. Kalsom sedikit pun tiada riak sedih mahupun risau apabila bercakap perihal Farah. Kononnya Farah tiada pertalian darah dengannya sahaja. Mukanya dicebikkan apabila kakaknya risau sangat terhadap Farah.

“Kamu ni sikit pun tak risau ke? Bercakap macam Farah tu tak ada kena mengena dengan kamu saje. Betul ke Farah tahu jalan sini, Som? Akak risau sangat ni,” luah Puan Sri Najihah lagi apabila terkesan yang adiknya seorang itu tidak risau langsung terhadap anak sulungnya.

“Akak, boleh tak jangan risau sangat. Si Farah tu bukan 2 tahun tau tapi dah masuk 21 tahun. Tahulah dia macam mana nak cari rumah akak tu. Lagipun Som dah bagi alamat rumah akak dah. Dia tu dah nak masuk 22. Jangan manjakan sangat budak tu. Naik lemak nanti,” terus-terusan Kalsom mencebik. Geram dia dengan sikap kakaknya yang over panik.

Puan Sri Najihah melepaskan nafas berat. Dia tidak tahu berapa lama lagi Kalsom hendak bersikap acuh tidak acuh terhadap anak gadisnya. Kadang-kala dia jatuh kasihan terhadap anak saudaranya itu.

“Berapa lama lagi kamu nak bersikap macam ni Som? Kamu tak kasihan ke dengan anak kamu tu? Dahlah kita rancang senyap-senyap perkahwinan mereka. Akak tak sedap hati lah.”

“Dengan umur dia sekarang tu eloklah dia kahwin kak. Senang hidup Som kalau dia dah kahwin nanti. Tak payah susah-susah nak bela dia lagi. Menyusahkan hidup orang aje buat apa. Sepatutnya dari kecil lagi Som…”

Belum lagi Kalsom menghabiskan kata-katanya Puan Sri Najihah sudah menyampuk.

“Astaghfirullah. Apa yang kamu cakap ni, Som? Mengucap. Takkan Som ingat lagi perkara dulu sampai nak hukum anak kamu yang tidak berdosa ni. Sebagai ibu tak baik kamu cakap macam ini. Farah anugerah Allah. Kamu kena bersyukur. Sejak dulu lagi akak perhatikan sikap berat sebelah kamu terhadap anak-anak kamu ni. Perkara lepas jangan nak diungkit balik sampai nak hukum Farah. Dia tidak tahu apa-apa. Jangan disebabkan perkara lepas, kamu nak sisihkan Farah dengan cara begini. Biar akak yang jaga dia,” marah Puan Sri Najihah adiknya. Darahnya tiba-tiba naik dengan sikap Kalsom yang lepas cakap.

“Som tak akan sesekali lupa peristiwa malang tu kak. Sampai bila-bila,” jawab Kalsom dengan suara yang mula mengendur dan bergetar. Apa yang difikirkannya saat ini tiada siapa pun yang tahu.

“Som, tapikan itu..”

“Dahlah kak. Som tak nak cakap benda tu lagi. Apa-apa nanti Som call akak. Perkahwinan jangan pulak tak berlangsung nanti sudah,” kata Kalsom dan terus meletakkan gagang telefon dengan kasar.

Masa itu suaminya Syed Khalid turun dari tangga. Dia mendekati isterinya apabila sedar wajahnya yang masam kalahkan asam kecut.

“Rasanya kan asam kecut pun tak adalah masam macam ni,” sindir Syed Khalid. Wajah isterinya dipandang kasih.

“Abang jangan nak sindir-sindir orang pulak. Hati Som tengah mendidih ni. Jangan tambahkan kemarahan Som boleh tak?” marah Kalsom suaminya pula.

“Awak ni bila masa saya pernah tengok awak ni tenang. Sentiasa nak marah saja kerja awak. Kawal sikit perasaan marah tu. Dah, sejak semalam abang balik ni tak nampak batang hidung Farah pun. Mana dia?” tanya Syed Khalid apabila sedar yang puteri kesayangannya tiada di rumah sejak malam semalam dia pulang. Hatinya tertanya-tanya juga dengan kehilangan anaknya itu. Isterinya bukan boleh percaya sangat. Asyik nak marahkan anak itu tanpa sebab munasabah.

“Mana lagi. Dia ke rumah Kak Naj?” selamba sahaja Kalsom menjawab pertanyaan suaminya.

What?? Awak benarkan Farah pergi seorang macam tu saja?” terkejut Syed Khalid dibuatnya.

“Habis tu takkan nak hantar rombongan pulak. Dia tu dah besar. Tahulah dia macam mana nak pergi. Abang jangan nak manjakan sangat budak itulah,” cebik Kalsom pula. Risau sangat ni kenapa. Macam lah dia berambus terus. Kalau berambus pun apa salahnya, getus hatinya jahat.

“Awak sedar tak, apa yang awak dah buat ni? Kenapa tergesa-gesa hantar dia ke situ? Tak boleh tunggu abang balik? Apa yang penting sangat ni?” marah Syed Khalid dengan nafasnya turun naik.

“Habis tu takkan nak duduk sini selamanya. Kalau kat situ dia boleh kerja. Tak adalah asyik nak terperap aje dalam rumah. Buat mata dan hati saya ni sakit saja. Menyemak dia kat rumah ni tahu tak,” bentak Kalsom lagi. Dia sedikit pun tidak takut dengan kemarahan dan wajah suaminya yang kian berubah seperti singa kelaparan.

“Senang awak cakap ek. Awak tahu tak KL tu bahaya sangat. Pernah awak fikir kalau apa-apa terjadi kat Farah. Awak tak takut hadapi apa-apa musibah yang menimpa dia nanti. Siapa yang susah kalau jadi apa-apa kat dia kalau bukan kita. Farah anak kita, Som. Selagi dia di sini dia sudah jadi tanggunjawab kita untuk menjaganya. Farah anak awak jugak kan. Kenapa Som prejudis sangat dengan dia? Apa kesalahan dia? Abang tak suka bila Som layan Farah macam anak kutipan. Dia darah daging Som. Sedar sikit. Walau apapun yang terjadi abang takkan biarkan Farah bersusah sendirian. Abang akan bawa balik Farah ke sini. Awak suka atau tidak Farah tetap akan tinggal di sini. Selagi dia belum kahwin Farah tetap di bawah tanggungjawab abang,” ujar Syed Khalid dengan marah. Tegas bunyinya.

“Ermm.. kalau itu yang awak risaukan sangat baik tak payah. Saya dan Kak Naj sudah ambil keputusan untuk kahwinkan si Farah dengan anak Kak Naj. Sebab itu saya suruh dia pergi sana. Majlis pun akan berlangsung di sana jugak. Tak ada apa yang nak dirisaukan.”

“Som kenapa awak suka sangat ambil keputusan sendiri? Kenapa tak tunggu sampai abang balik? Apa yang dah rasuk awak ni? Ada awak tanya pendapat dan keputusan Farah? Mesti tak kan. Kenapa awak selalu belakangkan saya? Farah anak saya jugak. Boleh tak kali ini abang mintak sangat supaya jaga hati Farah. Dia budak mentah lagi. Jangan nak hukum dan seksa dia macam ni sebabkan…”

“Cukup bang!! Som tak nak dengar apa-apa lagi. Keputusan dah pun diambil. Kerja abang nanti, tolong jumpa dengan suami Kak Naj saja. Som tak mintak lebih pun. Nanti cari hakim untuk walikan dia. Yang selebihnya tahulah Som nak uruskan. Daripada abang nak marah tak tentu fasal ni baik abang uruskan persiapan perkahwinan anak abang tu yang akan berlangsung dalam dua bulan ni,” kata Kalsom dalam nada yang tinggi dan terus berlalu ke dapur.

Syed Khalid terduduk di sofa. Wajahnya ditundukkan. Dia kesal. Benar-benar kesal dengan keputusan isterinya kali ini. Sejak dari dulu lagi isterinya tidak pernah nak jaga hati Farah. Farah selalu dilayan sebijik macam anak kutipan. Semua tentang Farah hanya isteri yang uruskan. Disebabkan dia ke Sarawak, kali ini isterinya tergamak ambil keputusan yang drastik dan amat besar ini. Anaknya perlu ditenangkan dahulu. Dia tahu benar yang Farah perlukan dirinya sekarang.

“Farah maafkan ayah, sayang. Ayah tak dapat nak tolong kamu kali ini. Ibu kamu sudah nekad. Jangan risau sayang tak lama lagi ayah akan ke sana untuk pujuk hatimu,” rintih Syed Khalid dengan kesal.

Di rumah, Puan Sri Najihah tidak senang duduk. Sesekali dia mengintai di luar kalau Farah sudah sampai di situ. Risau benar dia dengan kedatangan Farah bersendirian ke rumahnya. Kadang-kala dia tidak faham dengan sikap Kalsom terhadap darah dagingnya sendiri. Mungkin peristiwa lampau yang membuatkan Kalsom bersikap dingin terhadap anaknya. Tetapi sudah bertahun-tahun perkara itu sudah berlalu. Namun dendam Kalsom terhadap Farah bagaikan tiada penghujung. Peristiwa apa yang berlaku ke atas Kalsom akan terungkai tidak lama lagi. Dah masa itu jugak persoalan Farah akan terjawab.

Setelah penat mengintai, Puan Sri Najihah melabuhkan punggungnya di sofa empuk di ruang tamu. Dia mengeluh panjang.

“Puan Sri okey ke?”

“Hah?!”

Mak Nah tersenyum melihat tuannya mengeluh dan kalut semacam. Soalannya diulang balik.

“Puan Sri okey ke? Dari tadi Mak Nah tengok Puan Sri kerap mengintai ke luar dan mengeluh. Ada yang tak kena ke?” soal Mak Nah yang tidak tahu apa-apa. Mak Nah sudah berkhidmat di rumah banglo itu selama 32 tahun. Hubungannya dengan Puan Sri Najihah juga amat rapat dan kerap juga mereka berdua berkongsi masalah bersama-sama. Walaupun hubungannya tidak begitu baik dengan satu-satunya adik Puan Sri Najihah namun dia tetap bekerja di situ kerana rasa terhutang budi dengan keluarga Tan Sri Mahmud dan Puan Sri Najihah.

Ketika dia dan suaminya, Pak Kassim ditimpa malang Tan Sri Mahmud yang membantunya untuk bangkit semula. Melihat suami isteri itu bersusah payah untuk sesuap nasi Puan Sri Najihah mencadangkan kepada suaminya untuk mengupah mereka bekerja di rumah banglo bertingkat tiga itu. Mak Nah yang tidak dikurniakan cahaya mata segera bersetuju dengan cadangan Puan Sri Najihah walaupun rasa segan menghimpit hati dan suaminya. Pak Kassim bekerja sebagai pekebun dan drebar Tan Sri Mahmud. Tempat tinggal mereka dan makanan semuanya disediakan di banglo milik Tan Sri Mahmud.

“Mak Nah, okey ke?” Mak Nah tersedar dari peristiwa silam apabila Puan Sri Najihah menegurnya dengan cara lembut. Walaupun status yang dipegang Puan Sri Najihah tinggi namun perwatakannya amat kontra sekali dengan statusnya. Yalah kadang kala kita boleh nampak orang yang berpangkat tinggi bukan atas namanya sahaja namun hidungnya sekali tinggi. Tetapi memang diakui bukan semua orang begitu.

“Err… Mak Nah okey.

Jawab Mak Nah perlahan dan segan.

“Mak Nah tanya kita last-last Mak Nah sekali ikut berangan ye,” usik Puan Sri Najihah ramah. Lupa dia seketika perihal Farah.

“Cuma Mak Nah teringatkan budi baik Puan Sri dan Tan Sri dulu. Kalau bukan kamu berdua tak tolong dahulu alamatnya kami suami isteri sudah merempat di tengah jalan tu sekarang. Semuanya jasa baik Puan Sri dan Tan Sri lah hidup kami suami isteri terjamin sekarang. Mak Nah tidak pernah lupakan jasa baik kamu berdua. Mak Nak terhutang budi dengan kamu,” luah Mak Nah dengan sebak.

“Mak Nah itukan kisah dulu. Dulu hari Mak Nah, siapa tahu lepas ni hari saya pulak yang susah. Mak Nah tak payahlah fikirkan sangat hal dulu-dulu tu ye,” pujuk Puan Sri Najihah lembut. Sikap itulah yang paling disenangi Mak Nah. Majikannya itu amat lembut dan sopan santun. Puan Sri Najihah mengerling jam dinding. Sedar tidak sedar jarum kecil sudah pun menginjak ke angka lima petang. Wajahnya serta merta tukar sedih dan risau.

“Puan Sri tengah tunggu sesiapa ke? Dari tadi Mak Nah tengok Puan Sri tidak senang duduk saja.” terlontar juga persoalan yang menganggu hatinya dari tadi. Dia juga tidak senang duduk dengan kegelisahan dan kerisauan majikannya itu. Dia turut risau dengan sikap aneh Puan Sri Najihah. Nak katakan anak tunggal mereka nak pulang tidak juga. Lagi beberapa hari sahaja lagi dia akan pulang. Tiket pun sudah ditempah.

‘Siapa yang nak datang ni?”

Bisik hati kecilnya seraya tertanya-tanya gerangan yang nak datang ke banglo milik Tan Sri Mahmud.

“Ni Mak Nah saya tengah tunggu anak sau…”

Belum sempat Puan Sri Najihah menyudahkan ayatnya dia ternampak sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapan rumahnya. Hatinya yang gelisah dan risau serta-merta bertukar ceria dan gembira. Syukurnya dalam hati kerana orang yang ditunggu-tunggu selamat tiba jua ke rumahnya.

Mak Nah juga tumpang sekaki untuk mengintai disebalik tirai.

“Ya Allah, Farah sudah sampai ye. Masuk sayang. Dari tadi lagi mak long tunggu Farah tau. Masuk, masuk,” jemput Puan Sri Najihah sambil memegang lengan Farah dengan mesra.

“Mak long apa khabar?” tanya Farah sedikit gelabah seraya mencium tangan wanita lewat 40-an itu dengan sopan.

“Alhamdulillah sihat sayang. Terlebih sihat ni,” jawab Puan Sri Najihah dengan ketawa besar. Badannya yang sedia berisi itu ditujukan kepada terlebih sihat.

Farah hanya tersenyum mendengar jawapan mak longnya. Rumah banglo itu ditiliknya dengan rasa kagum. Bukan sahaja besar tetapi cantik dengan perhiasan dalaman. Tampak kreatif dan memenuhi cita rasa ala-ala stail Inggeris.

“Kenapa lambat sangat Farah sampai? Sesat ke tadi?” tanya Puan Sri Najihah risau.

“Tak mak long. Farah ambil teksi tadi. Jalan jam sangat. Itu yang lambat nak sampai sini. Err.. pak long mana mak long?”

“Mana lagi kerja lah tu. Sibuk memanjang aje kerja pak long kamu tu. Dengan adanya kamu di sini meriah sikit rumah ni nanti. Tak ada lah mak long sunyi sepanjang hari,” jawabnya dengan mesra. Puan Sri Najihah begitu gembira dengan kedatangan Farah di situ. Sejak Farah kecil lagi wanita itu sudah menganggap Farah seperti anaknya sendiri. Mungkin dia tidak dikurniakan anak perempuan maka dia sudah menganggap anak perempuan adiknya seperi anak perempuannya juga. Cuma kali ini dia tidak dapat mengelak apabila Kalsom mengusulkan untuk kahwinkan anak mereka.

Puan Sri Najihah tahu yang anak terunanya tidak ada teman wanita istimewa ini kerana anak muda itu tidak pernah sekali pun menyentuh hal-hal sebegitu. Farah pula memang dari dulu lagi dia sudah berkenan, jadi dia terus setuju dengan usulan Kalsom tanpa meminta keputusan dan pendapat anak lelaki tunggalnya.

Masa itu muncul Mak Nah dengan menatang sebuah teko berisi air teh o dan dua biji cawan vintage. Mak Nah dengan perlahan-lahan menghidangkan juadah untuk makan petang Puan Sri Najihah dan tetamu mereka. Mak Nah terus menilik wajah Farah.

“Cantik juga budak ni. Buat apa dia datang sini? Nampak macam budak baru lepasan SPM,” bisik hati kecilnya dengan tanda soal.

“Farah, ni mak long kenalkan Mak Nah. Salah satu penghuni rumah banglo ini. Mak Nah inilah orang yang saya tunggu-tunggu dari tadi. Anak saudara saya, Farah. Farah Alwani namanya,” kenalkan Puan Sri Najihah masing-masing.

Farah tunduk dan salam dengan Mak Nah. Mak Nah begitu tersentuh dengan kepribadian dan sopan-santun Farah. Kepala Farah diusapnya dengan penuh kasih.

“Sihat Mak Nah?”

“Sihat macam tu je. Cantik nama Farah persis orangnya jugak,” puji Mak Nah ikhlas. Farah menunduk malu. Puan Sri Najihah meramas lembut bahu Farah.

“Mak long, Farah nak mandi dulu boleh? Badan ni dah rasa berlengas,” pintanya lembut.

“Boleh sayang. Mari mak long tunjukkan bilik Farah,” ajak Puan Sri Najihah mesra. Farah membuntuti langkah mak longnya yang sudah naik tangga.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku