LOVE YOU FOREVER!!
Bab 28
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Mei 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
764

Bacaan






Pagi tadi Fakhrul mendapat panggilan daripada uminya. Suruh dia pulang ke rumah. Fakhrul terpaksa batalkan semua temujanji yang telah ditetapkan pada hari ini. Sampai sahaja di rumah orang tuanya, dia sedar wajah kedua-dua orang tuanya tidak ceria dan muram semacam. Wajah Tan Sri Mahmud begitu berang manakala wajah Puan Sri Najihah, Pak Kassim dan Mak Nah nampak riak sedih dan sebak. Apabila Fakhrul sampai Pak Kassim dan Mak Nah terus masuk ke dapur.

“Umi sihat?” tanya Fakhrul sambil menyalami tangan Puan Sri Najihah. Kemudian dia bersalaman dengan Tan Sri Mahmud pula.

“Duduk Rul. Abah ada benda nak bincang dengan kamu,” arah Tan Sri Mahmud dengan suara yang terkawal.

Ikutkan hati yang sedang bergelegak, mahu aje anaknya itu diajar cukup-cukup. Tapi sebagai ketua keluarga dan orang yang lebih tua, dia seharusnya lebihkan bersabar dan mengatasi masalah dengan tenang. Masalah takkan selesai jika guna cara kasar.

“Ada apa, abah? Umi?”

Hati Fakhrul mula rasa tidak enak. Dia boleh rasa yang sesuatu bakal berlaku.

“Farah macam mana? Sihat?”

“Sihat. Dia dah masuk universiti dah pun.”

Tan Sri Mahmud mengangguk. Kemudian dia berjalan ke arah sliding door di ruang tamu.

“Macam mana dengan rumah tangga kamu?”

Fakhrul pelik dengan soalan-soalan pelik abahnya hari ini.

“Kenapa abah tanya?”

“Kenapa? Salahkah kalau abah nak tahu keadaan rumah tangga anak abah sendiri? Tak sudi nak jawab?” sindir Tan Sri Mahmud.

Puan Sri Najihah hanya menjadi pendengar. Mungkin belum sampai masanya lagi untuk mengulas apa-apa.

“Mintak maaf, bah. Rul bukan bermaksud begitu. Rul pelik dengan pertanyaan abah. Ada apa-apa yang terjadi ke?”

Akhirnya Fakhrul berani juga untuk bertanya begitu. Siapa tahu abahnya bermimpi seperti perkara buruk berlaku pada rumah tangganya.

“Kalau kamu pelik dengan soalan abah, abah lagi pelik tengok perangai kamu yang tak senonoh tu. Abah beribu-ribu kali pelik tengok kamu berpelukan dengan perempuan yang tak semenggah begitu di depan khalayak ramai.”

“Siapa perempuan yang kamu peluk sakan semalam Rul?” herdik Tan Sri Mahmud. Hatinya tidak boleh sabar lagi.

Fakhrul terkejut. Dadanya terasa hendak pecah. Tak percaya apa yang didengarinya. Perasaan takut juga sudah mula menjalar dalam dirinya.

“Abah tanya kau ni! Siapa perempuan yang tak senonoh tu?” herdiknya sekali lagi apabila anak tunggalnya itu tidak memberikan sebarang respon.

“Rul tak faham,” Fakhrul terus berdalih.

Tan Sri Mahmud tersenyum sinis.

“Tak faham? Ke atau buat-buat tak faham?”

Fakhrul tunduk memandang lantai. Puan Sri Najihah kini beralih tempat duduk. Dia duduk di sebelah Fakhrul sambil memegang tangan kasar Fakhrul dengan lembut.

“Cakap Rul. Siapa yang Rul peluk semalam? Abah kamu dah nampak, kebetulan abah dan Pak Kassim dalam perjalanan ke syarikat. Siapa tu Rul? Kenapa Rul buat macam ni? Kamu tak sayang umi dan abah ke?” tanya Puan Sri Najihah dengan sebak. Air matanya sudah mengalir laju.

Fakhrul tetap kunci mulut dan berdiam diri. Tak berani bertentang mata dengan ibu bapanya. Dia tahu dia sudah kecewakan mereka namun, dia tak tahu bagaimana nak jelaskan tentang perasaannya terhadap Amalina kepada mereka berdua. Amat sukar sekali!

“Kenapa kau diam ni? Jawab!” ujar Tan Sri Mahmud sambil berjalan ke arah anaknya.

“Umi, abah, maafkan Rul,” ujar Fakhrul meminta maaf setelah lama berdiam diri.

“Sebenarnya dia kekasih Rul.”

“Kurang ajar!”

Tapak tangan Tan Sri Mahmud menyentuh pipi Fakhrul yang putih buat pertama kali. Puan Sri Najihah sudah pula menggeleng dan menangis semahu-mahunya.

“Ya ALLAH apa yang kau dah buat ni Rul? Apa yang kau dah buat ni?” raung Puan Sri Najihah berkali-kali.

“Rul mintak maaf umi, abah. Sebenarnya kami dah lama berkenalan dan bercinta. Masa Rul kat overseas lagi kami dah berkenalan,” ujarnya lagi.

“Habis tu kenapa kau setuju kahwin dengan Farah? Kenapa tak pernah beritahu kami hal ni?”

“Memang Rul nak beritahu tapi masa tu umi dah tetapkan perkahwinan Rul. Farah pun dah setuju nak kahwin dengan Rul. Rul tak ada pilihan masa tu,” hujah Fakhrul mempertahankan diri.

Dengan perempuan macam tu kau jatuh cinta. Apa dah tak ada perempuan lain ke?

Fakhrul tidak terus menjawab. Dia buntu seketika.

“Hah! Kenapa diam? Dah jadi bisu tiba-tiba?” jerkah Tan Sri Mahmud sarkastik.

“Abah, memang Rul cadang nak kahwin dengan dia tapi masa tu umi dah rancang perkahwinan Rul dengan Farah. Rul betul-betul tak ada pilihan. Rul sayangkan dia, bah,” dengan jelas Fakhrul.

Kali ini dia mampu memandang mata ayahnya dengan berani.

“Kau sayang dengan perempuan yang tak senonoh macam tu? Tak semenggah. Farah jauh lebih baik daripada perempuan yang kau kata sayang tu. Kenapa kau jadi buta hati Rul? Terikut-ikut dengan cara barat. Kau ingat, kami setuju ke dengan perempuan macam tu nak jadikan menantu. Apa dah jadi dengan kau ni, Rul?”

Tan Sri Mahmud terus marah-marah. Matanya masih lagi merah menyala.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku