LOVE YOU FOREVER!!
Bab 31
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Mei 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1172

Bacaan






Pukul 11.45 malam, Fakhrul muncul di hadapan rumah. Farah segera membukakan gril dan pintu untuk suami kesayangannya.

“Masuk bang. Sini saya bawakan briefcase awak,” ujarnya dan memberi ruang untuk Fakhrul masuk.

Fakhrul menjadi serba salah dengan keramahan dan kegembiraan Farah.

“Awak, air,” unjuk Farah dengan sebiji gelas berisi air oren.

“Banyak kerja kat opis ya? Lambat balik.”

“Hmm...” Seringkas itu aje jawapan Fakhrul. Sebenarnya dia gusar dan serba salah untuk beritahu sesuatu kepada isterinya. Memandangkan isterinya gembira hari ni Fakhrul berasa tak wajar diberitahunya sekarang. Tapi hati yang lain pun harus dijaga juga. Kini Fakhrul berada dalam keadaan dilema.

“Awak, cuti semester saya dah bermula. Hmm... minggu depan Nat dah nak kahwin. Awak jadi ikut saya, kan,” tanya Farah untuk kepastian.

Fakhrul terkejut. Dia betul-betul sudah lupa yang dia sudah berjanji kepada isterinya untuk ikut sekali. Laa… macam mana aku boleh lupa pulak ni. Kalau aku ikut dia ni, macam mana dengan Amal. Mesti dia merajuk lagi. Adoi perempuan ni kalau bab-bab merajuk memang nombor satu. Aku terpaksa batalkan rancangan aku tapi kesian pulak dia ni, Fakhrul berkata di dalam hati.

Dia serba-salah, serba tak kena. Tak tahu yang mana satu nak dipilih. Sebelah kanan isteri, sebelah kiri pula kekasih. Madu atau racun. Yang mana satu hendak dipilihnya?

Farah pelik melihat kegusaran dan kegelisahan Fakhrul. Minta-minta awak janganlah marah. Pagi tadi awak elok aje dengan saya, janganlah tiba-tiba angin awak berubah. Saya tak sanggup nak gaduh dengan awak lagi. Kalau awak tak ikut pun tak apa. Tapi jangan marah. Saya sayang awak, ucap Farah di dalam hati.

Masing-masing diam seketika.

“Awak ikut tak?” tanya Farah teragak-agak.

“Hmm... aku... hmm… aku tak bolehlah. Aku... aku ada hal minggu depan. Sorry.” Fakhrul bagi alasan.

Farah berasa sungguh kecewa namun dia bersyukur sebab Fakhrul masih lagi berada dalam mood yang baik.

“Oh tak apa,” balas Farah perlahan. Senyuman manis tetap diberikan.

“Kalau kau nak aku hantar, boleh aje. Pukul berapa nak pergi?” tanya Fakhrul.

Sebenarnya dia rasa bersalah sangat sebab dia terpaksa mungkir janji. Nak buat macam mana kalau hati dah tersangkut kat tempat lain. Racun juga dipilihnya.

“Hmm... tak apalah. Saya pergi naik teksi. Saya pergi sehari sebelum majlis dia.”

Fakhrul mengangguk dan menunduk kemudian. Rasa bersalah begitu menghimpit sanubarinya.

“Awak pergilah mandi dulu nanti kita makan sama-sama. Saya panaskan lauk. Hari ni saya masak semua makanan kesukaan awak tau,” kata Farah riang.

Dada Fakhrul seperti mahu pecah dengan kelembutan dan kebaikan Farah. Sekali lagi dia harus melarikan diri. Fakhrul terasa payah untuk memberitahu perkara betul. Lidah terasa kelu.

“Pergilah naik. Saya lapar ni,” rengek Farah manja.

Fakhrul tak berganjak sedikit pun. Punggungnya masih lagi lekat di sofa. Farah geram melihat kebekuan Fakhrul lalu dia menarik lengan Fakhrul dan menyuruh naik ke atas. Mandi. Haruman rambut Farah mengusik jiwa halus Fakhrul. Fakhrul terkedu dengan aksi spontan Farah. Wajah mereka berdua hanya seinci sahaja.

Fakhrul rasa begitu serba salah. Sebenarnya, ada perkara yang dia nak bincangkan dengan Farah. Namun dia sedar, hari ini dia tak mampu meluahkanya.

Farah bingkas melangkah ke dapur dan panaskan semua lauk yang dimasaknya tadi. Hatinya begitu riang sambil menyanyi. Sibuk mengacau kari ikan, tiba-tiba dia terasa ada tangan mendarat atas bahunya.

“Oh mak kau!” jerit Farah sambil mengurut dada.

Wajah Fakhrul dipandang dengan dahi berkerut seribu.

“Maaf! Aku tak berniat nak takutkan kau,” pinta Fakhrul ikhlas.

Selalunya payah Fakhrul nak ucapkan kata maaf tetapi hari ni, semua perkara dia minta maaf dengan senang. Farah pelik.

“Awak nak apa? Ada apa-apa ke awak nak saya tolong?”

“Er… aku… aku sebenarnya…”

Belum sempat Fakhrul menyudahkan kata-katanya Farah sudah menyampuk dulu.

“Laa… ni kenapa tak mandi lagi. Lauk saya dah panaskan. Tinggal kari aje lagi. Awak pergi naik dulu,” katanya lurus bendul.

Fakhrul serba salah sekali lagi.

Adoi kenapalah dia lain macam hari ini. Kau boleh tak buat biasa macam dulu. Tengok kau macam ni buat aku gabra tahu tak. Macam mana ni? Aku tak sanggup nak lukakan hati dia lagi. Terlalu baiknya dia hari ni, getus Fakhrul di dalam hati.

“Awak kenapa ni? Tak sihat ke?” tanya Farah sambil cuba meletakkan tapaknya atas dahi Fakhrul. Sebelum tapak tangan Farah melekat pada dahiFakhrul, Fakhrul terlebih dahulu memegang pergelangan tangan Farah. Farah terkejut. Fakhrul terpaksa.

“Aku nak cakap dengan kau sekejap.” Akhirnya Fakhrul berkata.

“Kita ke depan. Selesa sikit,” ujar Fakhrul dengan langkah yang panjang dan dengan hati yang berdebar-debar.

Setelah suis gas dimatikan, Farah membuntuti langkah suaminya.

“Duduklah.”

Farah melabuhkan punggung di sofa yang bertentangan dengan suaminya. Fakhrul kelihatan gelisah.

“Awak nak cakap apa?”

Serba-salah, gelisah, gemuruh, marah, sedih, kecewa, takut, kalut, semua macam perasaan menghimpit diri Fakhrul. Semua macam perasaan menyeksa jiwa Fakhrul. Lama Fakhrul mengambil masa untuk bercakap. Farah tetap setia menanti.

“Awak okey ke?” tanya Farah mula risau dengan kebisuan dan kebekuan suaminya.

Fakhrul mengangguk. Kemudian lama dia menatap wajah isterinya.

“Sebenarnya aku nak cakap fasal aku dengan… er… dengan Amal.”

Kepala Farah terasa bagaikan dihempap batu besar. Lain yang diharap, lain yang timbul. Farah berasa sungguh kecewa.

“Ada apa?” soal Farah perlahan.

Kepalanya ditundukkan. Tak ada lagi teruja dan rasa gemuruh. Rasa sedih pula bertandang.

“Sebenarnya aku nak minta izin… err…”

Segera Farah mengangkat wajahnya. Fakhrul dilanda rasa pilu melihat wajah sedih Farah. Farah dapat mengagak apa yang bermain dalam benak suaminya dari tadi lagi. Dadanya bergetar dengan kuat.

“Aku nak minta izin untuk kahwin dua.”

Farah tergamam walaupun dia dapat agak permintaan suaminya. Tak sangka perkahwinan mereka akan berakhir begitu cepat. Tak sampai setahun pun. Farah amat kecewa. Mana perginya janjiFakhrul untuk tinggal bersamanya untuk tiga tahun.

“Aku mintak maaf. Amal nak aku kahwin dengan dia secepat mungkin. Tapi aku tak nak lepaskan kau,” ujar Fakhrul sedih.

Dia pohon pengertian Farah. Lama Farah memandang wajah Fakhrul. Dari cara dia memandang Fakhrul pun dapat lihat seribu makna.

“Aku mintak maaf. Aku tak ada pilihan lain lagi. Aku... er… aku tak nak kehilangan kau jugak. Boleh ya?” pintanya lagi.

Farah bangun dan dengan yakinnya dia memberikan keputusannya.

“Saya izinkan,” katanya, tanpa berfikir panjang. Sejurus memberi keputusan, air mata Farah berguguran.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku