KARMA
PROLOG
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Mei 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
366

Bacaan






SUNGGUH girang hilai ketawanya pada malam itu. Ibarat dunia sungguh indah buat dirinya. Kuasa membelinya kini semakin meningkat ke aras yang lebih tinggi seraya menjadikan kekayaan hidupnya makin kukuh. Selepas beberapa minit bercakap dengan Mazlan, hilai ketawa besarnya mula kedengaran. Hatinya berasa begitu lapang dan senang sekali.

Kata-kata motivasi serta semangat, dan perkongsian ilmu perniagaan, adalah kerja Nazry. Bermula dari sebuah kelas yang hanya dihadiri lima orang peserta, kini dia baru saja selesai mengendalikan sebuah seminar yang mempunyai jumlah peserta seramai 4,500 orang. Hanya dua bulan untuk dia mengecapi sejumlah pesertanya itu.

Kejayaannya itu menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan pesaingnya. Tiada seorang pun di antara mereka yang percaya rezeki itu berpihak kepada Nazry. Tetapi tidak pula seorang dari mereka yang berjaya membuktikan teori mereka itu benar. Pernah juga mereka cuba untuk mengintai ruang-ruang sekecil zarah untuk membuktikan ada unsur penipuan. Tapi sia-sia sahaja.

Tiada cara istimewa yang diamalkan oleh Nazry dalam mempromosikan seminarnya. Bahkan, seakan-akan sama sepertimana dilakukan oleh para pesaingnya. Iklankan di website, facebook, instagram, dan papan iklan di bahu jalan. Itu medium dia gunakan.

Hasilnya bilangan manusia yang mendaftar selepas melihat iklannya itu sungguh luar biasa. Dia dianggap gagal dua bulan lepas. Seminar membina perniagaan yang dia anjurkan menjadi bahan jenaka di kalangan manusia yang sama bidang dengan dirinya. Malah ada antara mereka yang membawa hinaan itu ke satu tahap yang lebih melampau. Menyebarkan jenaka dengan tajuk ‘Seminar Lima Bersahabat’ melalui laman facebook.

“Kan aku dah cakap dengan kau. Kali ni mesti berjaya punya!” Nazry ketawa besar yang masih belum ada tanda surutnya.

“Serius saya tak sangka sambutan kali ni sampai macam tu sekali boss. Program bulan depan dah ada 5,200 orang daftar. Nasib baik kita hadkan jumlah penyertaan. Kalau tak, boleh cecah 100,000 orang,” ujar Mazlan merangkap pembantu peribadi Nazry yang turut ketawa di talian.

“Bulan November nanti kita buka untuk 10,000 peserta pula. Lepas tu, kita semua pergi bercuti keliling dunia!” Agak nyaring suara Nazry bersorak.

“Tak ada hal. Asalkan bos belanja,” sahut Nazry.

“Dah aku yang ajak. Mestilah aku yang belanja!” Nazry ketawa lagi. Puas betul rasa hatinya. Seperti dia baru saja menumbuk muka orang yang paling dia benci dalam hidupnya.

Tiba-tiba ada satu panggilan masuk. Nazry pantas menghentikan perbualannya dengan Mazlan. Dia melihat ke arah skrin telefon bimbitnya yang dilekat pada tempat khas di sebelah kanan stering keretanya. Tanpa menyentuh telefon itu dia mampu bercakap dengan bebas melalui sistem bluetooth yang ada pada kereta BMW 2 Series Convertible miliknya.

“Helo,” berkerut dahi Nazry.

Dia tidak pernah menerima pemanggil tanpa nama. Ini kerana nombor telefon bimbitnya sangat peribadi. Tidak pernah di kongsikan kepada sesiapa selain Mazlan.

“Kau belum bayar upah yang sudah kau janjikan.” Suara seorang lelaki yang agak garau kedengaran di talian. Dalam diam, Nazry kenal suara itu.

“Janji? Aku janji apa kat kau?” Tanpa rasa bersalah, Nazry ketawa di hujung kata.

“Upah yang kau janjikan!”

Nazry boleh bayangkan wajah pemanggil itu sedang menahan rasa marah selepas mendengar tawanya. Tapi dia tidak peduli semua itu.

“Apa kata kau telefon aku bulan depan aje!” Nazri berseloroh sambil ketawa sendirian. Lantas, dia mematikan talian sambil menggeleng-gelengkan.

Dia seakan-akan sudah menjangka panggilan dari lelaki itu. Cuma dia tidak tahu bila. Tapi dia sudah tidak peduli dengan apa yang dimahukan oleh suara di sebalik talian itu. Dia bercadang hendak menukar nombor telefonnya esok. Agar dia tidak mendengar suara itu lagi.

Malam sudah semakin lewat. Lengangnya Lebuh Raya KESAS, mendorong Nazry mengintai waktu pada dashboard kereta. Waktu menunjukkan sudah pukul 2.17 pagi. Dia menggeleng-geleng sendirian dan mengeluh agak berat. Hadir rasa menyesal di hatinya kerana terlajak melayan bakal pelabur dalam perniagaannya.

Bau asap curut dan wangian dari gadis-gadis gedik yang menemani mereka di bilik VIP pusat karaoke di bandar Klang, masih tersisa pada bajunya. Kalau tidak memikirkan jumlah pelaburan yang besar, dua lelaki tua yang bernafsu muda itu tidak dapat berseronok dalam hidupnya. Meskipun dia terpaksa memandu pulang ke Kuala Lumpur lewat malam begitu, dia sanggup.

“Dah tua baru nak kaya. Bila dah kaya, baru nak terhegeh cari perempuan muda,” ucap Nazry sambil ketawa lagi. Fikirannya teringat kembali dengan aksi dua pelabur tua itu, dengan empat gadis bergetah yang diupah melayani mereka.

Seketika kemudian, Nazry memandu tanpa kata. Membiarkan corong telinganya dibelai oleh lagu-lagu yang dia gemari. Di saat dia terlihat iklan Iphone 6 pada papan iklan di bahu lebuh raya, tiba-tiba pemanggil tidak bernama itu kembali di fikirannya.

“Nak suruh aku bayar upah konon! Aku dapat semua ni atas usaha aku sendirilah!” Sekali lagi Nazry bercakap sendirian.

Dia malas hendak mengingati kembali masa dia berjumpa dengan lelaki yang dia maksudkan itu. Baginya semua itu tidak penting lagi dalam hidupnya. Kini dia sudah kaya dan berkuasa serta dihormati dan disanjungi oleh beribu manusia. Mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi mendengar apa saja yang keluar dari mulutnya. Sedangkan dia tahu dan tuhan juga tahu, semua itu hanyalah dusta.

Dia tidak punya ilmu yang hebat dalam perniagaan. Membangunkan perniagaan dari kecil hingga menjadi besar, bukan kemahirannya. Tetapi sejak dua bulan lepas, sesiapa saja yang mendengar kata-kata yang dia lafazkan, pasti akan percaya dan berasa kagum. Apa saja penipuan yang keluar dari mulutnya, adalah kebenaran yang mengagumkan buat semua peserta seminarnya.

Dari seminar percuma, dia hulurkan pula seminar berbayar dengan jaminan ilmu yang lebih mendalam dan berguna. Tidak cukup dengan itu, dia tawarkan lagi khidmat nasihat secara peribadi yang berharga puluhan ribu hanya untuk lima bulan. Semua peserta seminar percuma akan beranjak ke peringkat seterusnya mengikut kemampuan kewangan mereka. Kalau tidak mampu sekalipun, ada yang sanggup berhutang kerana begitu yakin akan menjadi kaya selepas belajar dengan pakar yang bernama Nazry.

“Orang nak kaya, kita bagi caranya. Berkesan atau tak, terserah pada mereka. Kalau berkesan, kita promote bagi peserta lain lagi percaya dengan cara kita. Tapi kalau tak berkesan, beritahu saja yang mereka kurang usaha atau ada buat silap di mana-mana. Semuanya akan jadi lancar kalau kau pandai cakap dan bijak bermain psikologi dengan mereka semua. Lagi satu kau kena rajin baca buku pakar motivasi lain. Salin balik cara mereka. Lepas tu pandailah kau sembang depan semua peserta.” Itulah antara nasihat yang pernah dia ucapkan di depan Mazlan.

Selepas menempuh perjalan yang agak panjang dan membosankan, Nazry tiba di pintu masuk ke kawasan Kondominium Seri Syurga. Rumah barunya sejak dua minggu lepas. Lengkap dengan set perabot serba baru. Tempat di mana dia mula belajar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rutin menunya, iaitu mi segera.

Dia memarkirkan keretanya di kotak yang sudah tertulis nombor plat miliknya. Dengan langkah tenang dia keluar dari kereta. Mengeluh berat akibat menahan rasa letih. Tapi semuanya masih terasa berbaloi. Kerana dua pelaburan besar bakal menambah modalnya untuk menjana lebih banyak duit.

Ketika dia berjalan menuju ke pintu lif, seperti ada langkah kedua yang kedengaran dari arah belakang. Seraya itu, dia mempercepatkan hayunan langkahnya. Ada sedikit debaran di hatinya apabila memikirkan kes rompakan di tempat parkir.

Kawasan pintu lif hanya beberapa puluh meter di hadapannya. Nazry masih melangkah dengan kadar segera. Adakalanya tampak seperti dia sedang bergegas kekalutan. Risau di hatinya masih amat terasa. Bermacam-macam andaian perkara buruk yang berlegar-legar di fikirannya.

Tetapi, dia bertukar fikiran bila telinganya menangkap bunyi seperti perempuan mengilai. Sayup-sayup bergema di lohong telinganya. Membuatkan dia menelan rengkung. Tekaknya terasa kering. Jantungnya mula berdegup kencang. Gambaran perompak menghilang dari layar fikiran. Diganti dengan imej makhluk yang mengerikan. Seperti yang pernah dia lihat di filem seram.

Entah dari mana dia mendapat keberanian, Nazry menoleh ke belakang. Langkahnya terhenti seketika. Namun tiada sesiapa atau apa-apa di situ. Dia kembali mengatur langkah ke kearah pintu lif. Cepat-cepat dia menekan butang naik sebaik sampai ke situ.

Telinga masih mampu mendengar perempuan mengilai. Walaupun bunyinya sayup-sayup, tapi tetap jelas kedengaran. Rasa takut dan seram berasak-asak menerobos ruang perasaannya. Ritma jantungnya bukan lagi pada kadar normal. Adakalanya dia mampu mendengar degupan itu.

Dia dapat merasakan ada susuk tubuh sedang bergerak mendekati belakangnya. Buat dia semakin berasa takut. Tapi cuba dia tenangkan hatinya. Berusaha untuk buat dirinya percaya yang semua itu hanya mainan perasaan di kala bersendirian di tempat yang sepi.

Pintu lif akhirnya terbuka. Seperti yang dijangka, tiada sesiapa di dalam. Dengan langkah yang agak bergegas, Nazry melangkah masuk. Sekali lagi dia terpaksa mengharungi perjalanan ke pintu rumah, sendirian. Memikirkan itu semua, rasa takut di hatinya tetap terasa.

Keadaan begitu sunyi di dalam lif. Alunan menaik terasa di seluruh tubuhnya. Satu per satu nombor pada skrin kecil di sebelah kanan pintu lif, bertukar. Hanya ada lima tingkat sahaja lagi sebelum pintu lif terbuka di destinasi pilihan Nazry.

“Awak cari saya ke?” Mengejut suara perempuan kedengaran dari arah belakangnya!

Nazry tergamam. Dari pintu lif yang diperbuat daripada cermin, dia mampu melihat jelas susuk tubuh berdiri di sisi kiri belakangnya! Rambut makhluk itu panjang hingga ke lantai. Matanya merah menyala. Kulit mukanya mirip mayat yang sudah reput berbulan lamanya.

“Kenapa awak tak cakap apa-apa? Awak takut dengan rupa saya ke?” Suara perempuan itu kedengaran sinis.

Perlahan-lahan makhluk yang memakai baju labuh putih bertompok-tompok tanah itu tersenyum lebar. Bibirnya bergerak perlahan-lahan hingga merapati telinga! Memperlihatkan giginya yang tajam seperti ikan jerung. Lidahnya terjelir keluar hingga ke perutnya.

Nazry terlalu takut hingga gagal mengawal gerak tubuhnya. Dia seperti roh yang berada di dalam patung keras. Mampu melihat, boleh mendengar, dan dapat menghidu bau busuk makhluk ngeri itu, tetapi dia tidak boleh bergerak walau seinci. Dirinya seakan-akan terkunci.

“Bayaran untuk upah kau!” Makhluk bersuara perempuan itu menjerit nyaring.

Tangan makhluk itu menembusi belakang Nazry seperti hologram. Tidak lama kemudian mata Nazry terbelalak. Mulutnya terbuka sedikit dan darah merah mengalir laju keluar dari celah bibirnya.

Sebaik sahaja makhluk itu menarik keluar tangan kanannya, ia menghilang. Manakala Nazry pula rebah dan terbaring kaku di lantai lif. Matanya masih terbelalak. Mulutnya tetap mengalir darah. Tapi nafasnya sudah berhenti berhembus.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
| SINOPSIS | PROLOG | BAB 1 | BAB 4 | Bab 11 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku