KARMA
BAB 1
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Mei 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
486

Bacaan






DENGAN langkah sedikit terburu-buru, Detektif Ramlee melangkah masuk ke dalam bilik bedah forensik. Segala macam aroma bahan kimia menusuk lubang hidungnya ketika membuka pintu itu. Dengan cermat, dia menutup daun pintu di belakangnya.

Di meja bedah, kelihatan sekujur mayat yang masih terbelah di bahagian dadanya. Memperlihatkan segala isi di dalam tubuh itu. Jantung, paru-paru, limpa dan usus perut kelihatan merah. Tapi panorama itu mungkin memualkan sebahagian manusia, namun tidak memberikan kesan sedikit pun pada Detektif Ramlee.

Seorang doktor lelaki yang memakai tag nama ‘Doktor Razak’ sedang berdiri di sebelah mayat itu. Hidung dan mulutnya bertutup. Dengan langkah tenang, Detektif Ramlee berjalan ke sebelah kanan tubuh tidak bernyawa itu. Doktor lelaki itu memandang Detektif Ramlee. Manakala Detektif Ramlee pula memandang bahagian dalam mayat itu. Dahinya pantas berkerut seribu sebaik sahaja melihat jantung mayat itu.

“Biar betul!” Terpancul ayat itu dari mulut Detektif Ramlee.

Doktor Razak membuka kain biru yang menutup mulut dan hidungnya. Memperlihatkan wajahnya yang sudah dimamah usia. Rambut botak tengah dengan misai dan jambang yang sudah memutih.

Berbeza dengan Detektif Ramlee. Berambut pendek serta menyimpan misai dan jambang tetapi masih nampak hitam walaupun ada sedikit uban. Sekali pandang wajah Detektif Ramlee mirip dengan wajah Gregory House dalam drama bersiri House.

“Aku harap aku salah. Dari pemeriksaan aku, punca kematiannya dia adalah jantung. Tiada kecederaan lain di dalam atau di luar. Tapi… jantungnya seperti digenggam hingga pecah oleh satu tangan yang kukunya tajam,” jelas Doktor Razak.

Dahinya berkerut. Itu kali pertama dia melihat kejadian seperti itu. Sesuatu yang di luar logik ilmu perubatan.

Detektif Ramlee menggaru-garu pipi kanannya. Kemudian, dia melepas keluhan yang agak berat. Akal logiknya gagal menjana maklumat yang mampu menerangkan kejadian itu. Jantung mayat itu jelas remuk teruk. Seperti daging yang digenggam sekuat hati. Kelihatan lima lubang pada jantung itu seperti kesan kuku yang tajam.

“Takkan tak ada luka langsung?” Detektif Ramlee akhirnya bersuara.

“Aku dah periksa tiga kali. Memang badan dia clean. Aku sendiri bingung. Benda ni memang mustahil!” ujar Doktor Razak memandang roman Detektif Ramlee yang masih merenung jantung yang dimaksudkan.

“Yang lain dah tahu pasal ni?” tanya Detektif Ramlee menoleh ke arah Razak.

Doktor Razak menggeleng-geleng. Dia teragak-agak untuk kongsikan hal itu dengan Detektif Ramlee terlebih dahulu. Kerana dia pasti, orang lain tidak akan percaya dengan hasil pemeriksaan yang telah dibuat. Mesti perkataan mengarut atau mustahil akan diucapkan apabila melihat hasil pemeriksaan itu.

“Kau dah tengok rakaman CCTV lif tu?,” soal Detektif Ramlee.

“Kenapa dengan rakaman tu?” tanya Doktor Razak pula.

“Dia masuk lif, tiba-tiba… jatuh dan mati. Mulutnya mengalir darah,” ujar Detektif Ramlee dengan nada serius.

Doktor Razak jelas terkejut dengan maklumat yang diberikan. Satu lagi kes tentang mayat misteri. Suasana jadi sunyi seketika. Detektif Ramlee memerlukan masa untuk berfikir. Lain pula dengan Doktor Razak yang sudah mati akal memikirkan kejadian itu.

“Setakat ni apa maklumat yang kau dapat?” Doktor Razak ingin tahu seperti kes-kes sebelumnya.

Dia sudah ambil tahu perjalanan kes yang disiasat oleh rakan karibnya itu. Mereka berkawan baik sejak sembilan tahun yang lalu.

“Mangsa bernama Nazry. Mati di dalam lif. Punca kematiannya agak tragis. Jantungnya digenggam oleh kuku panjang dan tajam. Tapi tempat kejadian sama clean dengan badan dia. Cuba kau bagi pendapat, macam mana aku nak siasat kes ni?”

Sekali lagi Detektif Ramlee menggaru-garu pipi kanannya. Itu sudah menjadi tabiat setiap kali dia bingung atau memikirkan sesuatu yang rumit.

Doktor Razak mengangkat-angkat bahu. Mengeluh. Akalnya tidak boleh memikirkan apa-apa lagi. Kes kali ini amat mustahil jika difikirkan dengan logik akal. Tapi walaupun dia seorang doktor, dia percaya dengan kewujudan perkara-perkara mistik. Ini kerana dia adalah penggemar novel dan filem yang berbentuk seram atau mistik. Tetapi dia pasti Detektif Ramlee tidak begitu. Detektif itu selalu berlandaskan logik akal.

“Aku rasa ini bukan kerja manusia,” ujar Detektif Ramlee.

Dia tidak pasti sama ada dia terlepas cakap atau memang dia mahu berkongsi pendapat dengan Detektif Ramlee.

Detektif Ramlee merenung wajahnya. Tidak lama kemudian detektif itu tersenyum sendirian. Seperti apa yang dijangka oleh Doktor Razak.

“Jangan mengarutlah. Siapa pun yang membunuh dia, memang hebat. Dia boleh timbulkan keraguan sampai tahap kau akan fikir yang ini bukan kerja manusia.” Senyuman Detektif Ramlee membuatkan Doktor Razak sedikit rasa terhina.

Tapi doktor itu tidak kisah. Malah dia sudah agak ayat sebegitu akan keluar dari mulut Detektif Ramlee.

“Cuba periksa mayat ni. Apa-apa hal beritahu aku,” arah Detektif Ramlee sambil melangkah keluar ke arah pintu. Tiada apa lagi maklumat buatnya di situ. Siasatan harus diteruskan. Petunjuk baru mesti dia cari.

“Detektif Ramlee!” Suara Doktor Razak membuatkan langkah Detektif Ramlee terhenti.

“Apa dia?” sahut Detektif Ramlee dengan berpaling muka.

“Semalam Selangor kalah.”

Ramlee tersenyum lebar. Pertaruhan antara mereka semalam kembali di ingatan.

“Jam 7.00 petang, kau tak ada kat warung janda tu, aku balik!” Detektif Ramlee buka pintu dan beredar dari situ.

“Aku nak pakai baju apa ya malam nanti?” Doktor Razak bercakap sendirian.

Detektif Ramlee berjalan sambil berfikir. Dari mana dia hendak memulakan siasatan? Petunjuk yang ada setakat ini langsung tidak boleh dipakai. Sedikit pun tidak membantu. Malah, semuanya semakin pelik dan mengelirukan. Mungkin mengambil masa yang lama. Masa akan terus bergerak pantas. Sedang pembunuh sebenar masih bebas di luar sana.

Mesti ada cara dia boleh menyelesaikan semua tu! Kakinya dihayun keluar dari bangunan ibu pejabat.

Zaman sekarang ni, tiada yang mustahil. Masih Detektif Ramlee meyakinkan dirinya.

Kata-kata Doktor Razak tadi sebenarnya sedikit mempengaruhi dirinya. Dia bukan tidak percaya langsung dengan kejadian mistik dan misteri. Tapi sepanjang dia menjadi detektif, logik adalah perkara yang membantu dia mencari dan menangkap penjenayah.

Tetapi kali ini, dia berdepan dengan satu situasi yang tidak dapat dia jelaskan dengan teori logik. Namun begitu, dia tetap percaya dan yakin dengan kebolehannya. Pembunuh sebenar mesti ada cara yang luar biasa hingga mampu menyebabkan kematian Nazry. Cuma sekarang ini dia harus cepat mencari idea untuk mendapatkan petunjuk yang lebih berguna.

KALAU skrin komputer riba Acer warna hitam aku ini boleh berkata-kata, pasti sudah lama aku dimakinya. Dari tadi aku asyik tenung skrin laptop itu. Rasa susah pula aku mahu buat keputusan. Aku membuka laman Google Mail . Alamat penerima juga sudah aku tulis. Cuma isi emel saja yang masih aku biar kosong.

Kenapa dia ikut aku enam hari ini? Itu adalah akar kepada pokok persoalan yang wujud di otak aku berkaitan Julianshah. Mula-mula aku rasa macam hendak biarkan saja. Tapi sejak semalam, aku jadi semak dan bengang diikut dan diintai seperti itu. Mungkin beginilah rasanya jadi artis terkenal Hollywood. Patutlah ada yang sampai tumbuk jurugambar.

Watak Julianshah ini wujud dalam kisah hidup aku selepas aku menghantar manuskrip penuh novel pertamaku. Dia seorang editor yang bertanggungjawab untuk edit manuskripku itu. Dari situ, kami mula berbalas emel. Dia beritahu aku ada beberapa perkara yang perlu dibetulkan, dicantikkan, atau diubah dalam manuskrip itu.

Aku lebih berminat berurusan dengan Julianshah mengenai manuskripku melalui Google Mail. Pernah juga kami berjumpa sekali tapi itu pun kerana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Aku dikehendaki turut sama memeriahkan pesta buku itu sambil beramah mesra dan bertemu mata dengan pembaca. Ketika di pesta buku itu, Julianshah menghampiriku.

“Zara, saya Julianshah, editor novel awak,” ujar Julianshah membuka bicara.

Lantas, dia menunjukkan novelku yang kedua. Aku terkejut tatkala aku hanya melihatnya dari akaun milik Facebook sahaja.

“Tak sangka jumpa awak kat sini. Anyway terima kasih sebab tolong edit novel pertama saya tu,” balas Zara.

Julianshah mengangguk dan tersenyum. Seakan-akan malu pada awalnya.

“Harap muka saja macam Bront Palarae, tapi nampak malu,” omel Zara.

Tapi bagus juga dia pemalu. Kerana membuatkan aku jadi lebih yakin untuk berlagak ramah berhadapan dengannya. Cuba bayangkan kalau dia jenis yang berlagak handsomedan banyak soal. Memang sumpah aku malas hendak layan.

Pertemuan kami berakhir selepas dia ucap terima kasih dan berlalu pergi. Sejak dari hari itu, kami tidak pernah bertentang mata lagi. Sesekali dia like status aku di Facebook. Ada kalanya aku like status dia juga. Tapi tidak sekerap dia. Hampir semua benda yang aku post di Facebookku pasti akan dia like.

Tapi enam hari lepas, kami bertemu lagi. Namun, kali ini dengan cara yang tidak berapa sopan dan ramah. Dia cuba mengekori aku ke mana sahaja aku pergi. Mungkin kalau sehari dua, aku masih boleh terima lagi. Tapi ini sudah sampai enam hari, persoalan demi persoalan negatif mula hadir di kotak fikiranku.

Jadi mahu atau tidak, aku terpaksa memikirkan cara untuk berjumpa dengannya. Aku membatu di depan komputer riba. Berkira-kira memikirkan ayat yang sesuai untuk die-melkan kepada Julianshah. Aku berharap dia akan memberikan penjelasan sewajarnya mengenai tindak tanduknya itu.

- Assalamualaikum Julianshah. Saya pasti awak masih ingat dengan saya. Saya sedar tingkah laku perbuatan awak mengekori saya selama ini. Saya tahu awak mengekori saya dan disebabkan itu saya perlukan penjelasan akan hal itu. Saya mahu jumpa awak di Jasman Bistro, jam 4.00 petang. Saya harap awak boleh jadi lelaki sejati apaila berdepan dengan saya!-

Akhirnya aku selesai juga menulis e-mel buat Julianshah. Tapi aku ambil masa beberapa saat sebelum menekan butang hantar. Cuba membaca kemabli emel yang aku tulis itu. Entah kenapa macam berdebar pula aku dibuatnya. Mungkin sebab aku terlalu ingin tahu tujuan dan motif dia mengekoriku.

Selepas iu, aku logout Laman Google Mail. Aku kembali kepada aplikasi Microsoft Word. Terpampang helaian maya dengan tajuk ‘BAB 4’. Aku masih biarkan kosong. Ini kerana, aku tiada idea hendak bercerita babak yang bagaimana.

Betul kata ibu dulu, kalau kita buat perkara yang kita tidak suka, mungkin hasilnya juga teruk. Sejak kegagalan dua buah novel aku sebelum ini, semangatku semakin luntur. Hatiku semakin nipis kerana tidak dapat menerima kekecewaan. Tapi kerana sokongan Hasif – sebenarnya kerana kasihankan dia – aku paksa diri untuk menulis.

Dahulu, aku akan merangka draf untuk setiap bab, sekarang aku menulis seperti orang buta yang berjalan tanpa tongkat. Aku hanya mengingati sinopsis manuskrip yang lengkap hanya diingatan. Selepas itu, aku hanya menulis mengikut kemahuanku sahaja. Kalau kebetulan ada idea, maka lancarlah jari-jemari aku menulis dan menaip. Kalau tidak, aku lupakan kerja menulis dan fokus pada kerja aku di depan mesin duit Aeon Big.

Dulu hidupku berasa lain kalau dalam sehari aku tidak menulis, sekarang ia perkara biasa. Malah aku tidak rasa apa-apa. Sampaikan dalam masa tiga minggu baru tiga bab baru habis aku tulis. Bukti betapa semangatku sudah patah. Segala nasihat dan dorongan Hasif ibarat gam biasa yang cuba mencantumkan besi yang sudah patah.

Melihat helaian maya yang kosong itu, aku dengan sendirinya mengeluh. Tiada gunanya aku memaksa diri lagi. Justeru itu, aku buka laman Facebook. Membaca dan like beberapa status yang menarik hati.

JULIANSHAH tergamam di depan skrin Macbook Pro 13” miliknya.

Dia baru saja selesai membaca e-mel yang dihantar oleh Zara. Dia pasti Zara mahukan penjelasan selepas apa yang berlaku semalam. Tapi Julianshah belum bersedia. Dia mahu simpan rahsia masih terlalu daripada Zara.

Akan tetapi, memikirkan tentang permintaan Zara itu, membuatkan Julianshah bergaru kepala. Cuma rambutnya ketika itu saja umpama singa jantan. Kembang dan menggerbang. Dia baru bangun dari tilam empuknya. Belum sempat pergi ke tandas. Dirinya masih merengek tidak mahu dibasahkan.

Tidak berbaju dan hanya berseluar pendek lusuh, melengkapkan lagi penampilan Julianshah yang begitu serabai. Jambangnya yang kian menebal, diusapnya. Itu cara dia mencari ilham untuk menangani masalah dalam hidupnya.

Bila dia sedar perbuatan mengusap jambang tidak memberi sebarang kesan yang diharapkan, dia beralih pula kepada cuping telinga. Ditarik-tarik dan dijentik-jentik sepuas mungkin. Bila mendapat hasilnya, kelakuannya itu dihentikan.

Ternyata kali ini dia berjaya mendapat ilham untuk membuat keputusan. Dia yakin. Lalu segala jari-jemarinya mula menari-nari pada keyboard. Atau mungkin lebih tepat lagi jari-jarinya sibuk menekan huruf-huruf pada keyboard.

Ketika jari telunjuk kanannya usai menekan butang hantar melalui touchpad, dia tersenyum sendiri. Riak wajahnya tampak begitu yakin. Sekali lagi dia jambangnya diusap.

Bila hatinya sudah merasa puas, Julianshah bangun dan mencapai tuala. Kulit tubuhnya kini sudah bersedia untuk berdepan dengan air yang sejuk. Langkahan yakin dia menuju ke tandas yang ada di dalam bilik tidurnya.

KEADAAN Jasman Bistro tidak meriah seperti hari bekerja. Meja banyak yang terbiar kosong. Aku sampai ke situ lima minit sebelum waktu merangkak ke angka empat. Sebelum memilih meja dan kerusi, aku memerhati sekeliling. Mencari kelibat Julianshah. Mana tahu dia tiba lebih awal dari aku. Atau mungkin dia mengekori aku sejak dari rumah.

Tapi ternyata sangkaanku meleset. Dia masih tidak kelihatan. Mendorong aku memilih kerusi dan meja yang agak jauh dari semua pelanggan yang ada di situ. Aku mengambil keputusan itu kerana aku memerlukan sedikit privasi untuk perbualan hangat yang bakal terjadi antara kami berdua.

Aku membuang pandangan ke televisyen yang tergantung. Ada kalanya buat aku menyumpah sendiri. Sakit tengkuk aku mahu tengok filem Cable Guy lakonan Jim Carey. Sudahlah mamat sengal itu pelakon kegemaranku.

Terasa sengal-sengal pada tekuk ini, memaksa aku melupakan filem itu. Risau pula tekakku terteleng-teleng macam kanak-kanak tengok televisyen. Ini gara-gara meja aku dekat sangat dengan televisyen. Kalau jauh sedikit, tidak perlulah aku hendak menyeksa tengkuk untuk terteleng-teleng.

Jam tangan aku sudah menunjukkan waktu ketika itu sudah pukul 4.07 petang. Lama sudah aku menunggu. Dasar orang tidak tepati masa. Manusia seperti ini tidak menghormati perasaan orang lain. Lambat kalau berjanji! Walau tidak semua manusia begitu sebagaimana aku, tetapi majoritinya begitu.

Sedang hatiku rancak menyumpah seranah Julianshah, tiba-tiba kedengaran deruman enjin motorsikal berkuasa besar mengaum seperti seekor singa yang lapar. Bunyi deruman motorsikal itu membuatkan aku tidak selesa. Memekakkan telinga sahaja.

Aku berpaling kepada pemilik motorsikal berkuasa besar itu. Sebaik turun dari motorsikal, seorang lelaki menanggalkan helmet lalu melilau-lilau ke arah restoran. Aku amati dengan serius muka lelaki itu. Ternyata gambar di facebook dan perjumpaan di pesta buku sebelum ini dapat aku cam wajah Julianshah.

Dia membetulkan rambut dan pakaiannya sambil memerhatikan cermin sisi motorsikalnya. Bersama helmet itu dia melilau mencari aku. Aku memandang dia dengan riak serius. Dari jauh dia dapat menangkap kedudukan aku di restoran itu. Besar kecil saja aku tengok dia berjalan ke mejaku. Dia pula buat muka cuak.

“Maafkan saya, saya terlambat,” ujar Julianshah dengan senyuman terhadap aku.

Lantas, dengan tertib dia duduk di kerusi depan aku.

Aku cuba menahan diri dari mengikut amarah di hati. Sebab kalau hendak diikutkan hati, mahu saja aku sound dia di depan khalayak pengunjung restoran. Aku paling pantang dengan orang yang tidak menepati masa!

“Sabar… sabar,” luah perasaanku sambil menggosok-gosok dada

“Tak apa. Aku dah terbiasa dengan orang yang tak menepati masa,” dengan bersahaja menjawab sambil mengukir senyuman ramah.

Julianshah tunduk melihat meja.

Tidak lama kemudian datang pelayan mengambil pesanan. Aku sekadar memesan minuman. Begitu juga dengan Julianshah. Selepas itu dia kembali dia dan pandangan matanya tidak pernah lekat ke arahku.

“Awak masih bekerja sebagai editor lagi?” Aku cuba untuk tidak terus menyerangnya.

“Selepas novel awak, saya berhenti,” balas Julianshah tapi, tidak berani melihat ke arahku. Nampak jelas riak muka orang bersalah.

“Kenapa berhenti lepas novel saya? Sebab novel tu tak laku ke?” Aku tidak dapat menahan diri dari menyindirnya.

“Tidak! Novel tu bukan tak laku. Tiada kerjasama antara syarikat penerbitan dan penulis-penulis lain termasuk awak untuk mempromosikan novel dengan betul dan bersungguh!” Bersungguh benar dia menjawab kali ini.

“Apa yang buat kau yakin sangat dengan novel aku tu? Bukti dah jelas. Ia memang tak laku. Aku tahulah kau editornya. Sebenarnya kau kenalah terima hakikat. Takkanlah kerana novel aku tu kau terus give up. Sepatutnya aku yang give up,” Luah aku lagi.

Satu senyuman sinis aku hadirkan.

Namun sebenarnya ada satu sudut dihatiku yang disapa kecewa. Babak kegagalan dua novelku kembali tertayang di layar ingatan. Sepantas yang mungkin aku cuba menolak ke tepi dan kembali fokus kepada tujuan utama perjumpaan ini.

“Awak tak sepatutnya berhenti menulis,” kata-kata Julianshah itu membuatkan aku terdiam seketika.

Kebetulan pelayan datang bersama air minuman yang kami pesan tadi. Aku ucap terima kasih sebaik minuman dihidang di atas meja. Begitu juga dengan Julianshah walau dia tidak tersenyum. Masih mempamerkan riak bersalah di depan aku.

Kami mengambil masa seketika untuk meneguk air masing-masing. Aku tahu Julianshah sedang menanti soalan daripada aku. Tapi aku tidak mahu terburu-buru. Meskipun hatiku sudah mulai memberontak inginkan jawapan.

“Jadi sekarang awak kerja apa?”

Aku memulakan kembali perbualan.

“Buat masa ni, saya bekerja dengan ayah saya,” jujur nada suaranya membalas.

Aku diam seketika. Memerhatikan roman Julianshah yang penuh dengan rasa bersalah. membuatkan aku tertanya sendiri. Apa sebenarnya yang sedang bermain di dalam fikirannya. Kenapa dia begitu nekad mengekori dan mengintai aku selama beberapa hari lamanya.

“Beginilah. Sebenarnya saya tak suka cakap kasar dengan orang. Tapi awak tahu kenapa saya cakap kasar tadi kan? Maafkan saya.” Entah kenapa aku masih ada rasa simpati untuk dia.

Julianshah mengangguk lemah. Riak bersalah di wajahnya masih belum surut.

“Maafkan saya. Tapi saya bukan buat semua tu saja-saja. Saya tak ada niat jahat. Saya…” kata Julianshah berhenti di situ. Tampak dia keberatan hendak meneruskan kata.

“Boleh saya tahu apa sebabnya? Saya rasa saya ada hak nak tahu kan?” Aku berkata pada nada tenang.

Untuk pertama kalinya, Julianshah menatap mataku. Lama renungannya. Membuatkan aku jadi sedikit kekok. Sayu Pandangan matanya. Semacam ada kesedihan dan kerisauan di sebalik pandangannya itu.

“Maafkan saya. Kalau saya beritahu awak, saya pasti awak takkan percaya,” jawab Julianshah dengan mukanya tertunduk.

Aku mengerut muka. Risau pun ada. Tidak mengerti apa yang susah sangat dia hendak beritahu sebab dia ekori dan intai hidup aku?

“Awak tahu kan saya tak nak buang masa. Rasanya ini pertama kali kita berjumpa empat mata. Selama ni kita berhubung melalui emel saja. Itu pun bercakap tentang hal manuskrip saya. Tapi saya nak awak faham yang saya perlukan jawapan yang pasti sekarang juga!”

Aku cuba untuk bercakap dengan nada tegas.

Julianshah menelan rengkungnya. Dia kemudian mengetap giginya. Memperlihatkan bentuk rahangnya. Mimik rahangnya menampakkan iras-iras dengan aktor Bront Palarae. Tetapi sayang… aku tidak minat Bront Palarae. Aku hanya kenal aktor itu di dalam televisyen saja.

“Baiklah. Saya harap awak tak marah atau tampar saya kalau saya beritahu,” Julianshah mengeluh panjang dan berat.

Trust me!” Aku membalas dalam nada yakin.

“Saya ikut dan intai awak selama ni sebab… saya nak selamatkan awak,” ujar Julianshah dengan muka yang serius.

Aku cuba sembunyikan rasa terkejut di hatiku. Cuba kekal kelihatan tenang dan bersahaja.

“Dari siapa?” tingkahku pendek.

“Seminggu yang lalu, saya bermimpi buruk tentang awak,” ujar Julianshah.

Aku tidak berkata apa-apa. Menanti dia meneruskan penjelasannya.

“Awak kena percaya dengan saya! Mimpi buruk saya akan jadi kenyataan. Cumanya saya tak tahu bila,” Julianshah bersungguh cuba meyakinkan aku.

Aku sudah mula rasa ada yang tidak kena dengan mentalnya. Mungkin itu rasakan ketika ini.

“Jadi awak intai saya selama ni sebab awak mimpi buruk tentang saya?” Serius aku sudah mula marah dengan dia ini.

Julianshah mengangguk-angguk. Nampak sangat dia tidak faham yang aku tidak akan percaya dengan apa yang sudah diberitahu tadi.

“Boleh awak jelaskan tentang mimpi buruk awak itu kepada saya?” Entah kenapa aku masih mahu penjelasan darinya.

“Saya mimpi awak dengan Hasif…” ujar Julianshah.

“Hasif?” Zara terkejut apabila nama buah hatinya disebut-sebut Julianshah.

“Saya mimpi dia… tikam awak dari belakang.” Julianshah bersuara lagi.

Aku pantas bangun dari kerusi. Kenyataan yang baru saja dilafazkan Julianshah itu buat aku menyesal berjumpa dengannya. Aku keluarkan dan campak lima ringgit ke atas meja. Pelanggan lain yang tengah menonton drama kami berdua, sudah tidak aku peduli.

“Lepas ni kalau awaak ikut saya lagi. Nahas awak!” laung Zara dengan nyaring.

Aku tahu lelaki yang tinggi dan sasa macam Julianshah rasa ugutan aku itu comel. Tapi serius, kalau dia ikut aku juga, aku akan buat apa saja untuk menghalangnya! Hatta terpaksa membuat laporan polis sekalipun!

“Sakinah! Tunang saya tu meninggal pada 17 September 2013. Seminggu lepas saya bermimpi dia dilanggar kereta!” ulas Julianshah.

Aku sudah tidak mahu meneruskan perbualan tidak masuk akal ini. Kepalaku berserabut serta jiwaku meracau. Sepantas kilat, aku keluar dari kedai mamak itu. Membiarkan beberapa pasang mata memerhati akan perlakuanku itu.

Tapi malangnya, kawasan perumahan aku lebih kurang enam minit dari situ. Aku pula tiada kereta atau motorsikal. Maka berjalan pantaslah aku pulang ke rumah.

Tidak lama kemudian kedengaran enjin motorsikal dari arah belakangku. Semakin lama semakin dekat. Hingga akhirnya motorsikal itu menahan jalanku. Aku mahu berjalan ke kiri bahu jalan, tetapi ada longkang besar pula.

“Kau nak apa lagi!” Kali ini suara aku meninggi seperti latihan vokal pula.

“Awak baca ni kalau awak tak percaya!” Julianshah hulur sekeping keratan surat khabar.

Aku pandang keratan itu untuk beberapa saat. Sambil pandanganku melilau mencari perkara utama. Aku membiarkan tangan kiri Julianshah terhulur kaku. Ikut hati mahu saja aku biarkan dia begitu untuk sejam dua, biar sakit tangan dia.

Tapi mujur aku masih punya hati dan perasaan. Aku ambil keratan yang dia hulur itu. Bila aku baca isi berita yang gambarnya sebuah kereta kancil remuk teruk dilanggar sebuah lori, mataku terbeliak.

Di dalam isi berita kemalangan maut itu, ada menyatakan nama mangsa sebagai Sakinah Binti Ali. Lebih mengejutkan gadis malang itu adalah tunang kepada seorang lelaki bernama Julianshah. Paling mengejutkan, gambar Julianshah turut terpampang dalam keratan itu. Tajuk berita itu…’Impian pengantin yang tidak kesampaian’.

Belum sempat aku berkata-kata, Julianshah memecut pergi. Meninggalkan aku tergamam sendiri. Jantung aku berdebar. Tekak aku rasa kering walau sudah beberapa kali aku menelan liur. Telingaku berdesing. Rasa malu perlahan-lahan memeluk perasaanku. Sedang rasa terkejut turut sama hadir di ruang hatiku.

Perjalanan pulang aku rasakan begitu panjang. Dua jaga di pangsapuriku mula tersenyum-senyum ke arahku namun, aku tdiak pedulikan. Sebelum ini pun aku tidak pernah peduli. Bukan senyuman yang biasa tetapi sebuah senyuman yang cuba untuk memikatku.

Aku terus menuju ke arah lif.

Di dalam lif, aku berdiri sendirian. Fikiranku makin bercelaru. Julianshah sudah menunjukkan bukti. Tapi cerita mimpinya itu sungguh tidak logik akal untuk aku percaya.

“Mungkin satu kebetulan!” separuh hatiku memberitahu.

“Macam mana kalau mimpi dia tu betul?” sisi lain aku pula bersuara.

Kau biar betul? Hasif tu la satu-satunya manusia yang baik dengan kau. Kisah pasal impian kau. Sokong kau selama ni! Separuh hatiku yang pertama tadi membalas.

Tapi tak mustahil juga dia ada niat tersembunyi. Kau sendiri pernah tertanya kenapa dia lakukan semua itu? Selama setahun kau jadi awek dia, berapa banyak info yang kau tahu pasal dia? Rumah dan keluarga dia pun kau tak kenal kan? Separuh yang kedua ini mula meyakinkan aku.

“Tak! Tak mungkin! Tak mungkin dia nak buat begitu kat aku!” Aku berbisik sendiri.

Tiba-tiba pintu lif terbuka di tingkat 5. Tapi tiada sesiapa yang melangkah masuk. Aku sempat menjenguk ke luar. Tiada sesiapa pun yang kelihatan. Aras itu sepi dan sunyi.

Pintu lif tertutup semula. Aku masih sendiri. Menanti lif sampai ke tingkat 8. Tidak semena-mena bulu romaku menegak. Rasa seram singgah menjengah hatiku. Kemudian berlalu pergi.

Tidak lama kemudian pintu lif terbuka lagi. Kali ini di tingkat 7. Sekali lagi, tiada sesiapa yang melangkah masuk. Namun ketika aku menjenguk ke luar, sumpah aku dapat rasakan macam angin dingin melintas di sebelah kiriku.

Pantas aku pandang ke kiri. Tapi pastinya tiada sesiapa di situ. Dalam kusut fikiran aku, boleh pula semua benda pelik ini terjadi. Makin kusut kepala aku dibuatnya.

Aku tekan punat tutup. Lif mula naik ke atas. Tingkat satu tingkat saja lagi. Aku mahu cepat sampai ke rumah. Mungkin aku mahu baring dan tenangkan fikiran. Keratan akhbar yang Julianshah berikan sudah aku simpan dalam poket seluar jeans.

Sebaik pintu lif terbuka luas di tingkat 8, aku melangkah keluar. Tiba-tiba bulu romaku meremang lagi. Buat aku pelik sendiri. Siang hari pun meremang? Biasa malam-malam saja orang meremang jalan seorang diri macam aku.

Malas aku hendak layan hal meremang ini. Dengan langkahan sedikit pantas, aku berjalan menuju ke pintu rumah sewaku yang berada ketiga hujung. Semua pintu rumah yang lain tertutup rapat. Begitulah keadaannya hampir setiap hari di waktu orang belum pulang dari bekerja.

Rata-rata yang tinggal di situ adalah pekerja kilang yang sudah berkeluarga. Warga asing amat jarang aku lihat di situ. Mungkin hanya sekerat dua. Sebabnya berdekatan dengan kawasan Seri Kayan, ada sebuah lagi rumah pangsa yang tingginya 15 tingkat. Dengar cerita di situ ramai warga asing berkampung.

“Zara….” sayu-sayu namaku dipanggilan.

Terkejut telinga aku menangkap terdengar satu suara halus dari arah belakang. Aku pasti suara itu seorang perempuan.

Aku pantas berpaling. Tiada apa atau sesiapa yang kelihatan. Hanya aku sendiri di situ. Bulu romaku menegak lagi. Cepat-cepat aku berjalan ke pintu rumah dan membuka kuncinya.

DETEKTIF Ramlee bersandar pada kerusi pejabatnya. Dia baru selesai akan perihal tentang Nazry dengan lebih mendalam. Hampir segala maklumat tentang lelaki mati dalam keadaan yang sangat misteri itu sungguh menarik minatnya. Mungkin kes kali ini bakal menjadi yang paling susah sepanjang kerjayanya.

Meja pejabatnya penuh dengan kertas laporan. Gambar Nazry penuh terpampang di dinding ketika dia masih hidup dan keadaan ketika kematiannya. Detektif Ramlee merenung gambargamabar Nazry pada papan dindingnya itu. Segala maklumat yang terlintas di fikirannya ada di situ. Semuanya dalam bentuk kata kunci yang hanya dia saja yang boleh huraikan.

Sudah bermacam teori yang dia hasilkan. Namun semuanya terbiar putus. Langsung tidak berkait dengan jalur kes kematian Nazry. Begitu banyak kes-kes perubatan yang cuba dia hubungkan dengan kes tersebut. Tapi juga tidak sesuai.

“Aku rasa bukan kerja manusia ni,” tiba-tiba ayat yang diungkapkan oleh Doktor Razak bergema di ruang ingatannya.

Secebis demi secebis hatinya terdorong untuk percaya dengan teori doktor itu. Tapi masih terlalu sedikit untuk buat dia percaya sepenuhnya. Cepat-cepat dia rasa cebisan hati itu dengan perkataan logik.

Kau bukan tak pernah berdepan dengan hal pelik dalam kes-kes sebelum ni. Sebahagian hatinya bersuara.

Tapi tak sepelik kes ni. Namun ada satu bahagian kecil lain hatinya menyahut.

Satu rengusan kasar terhembus di lubang hidung Detektif Ramlee. Dia kemudian bangun dan berdiri berhadapan papan yang tercucuk paku kecil. Disebalik paku itu, ada gambar Nazry yang masih hidup, dan juga gambar mayatnya di tempat kejadian serta di bilik bedah siasat. Beberapa keping kertas nota dengan kata kunci juga ada di situ.

Detektif Ramlee memerhatikan satu per satu apa yang ada pada papan itu. Sudah kali ke berapa pun tak tahu. Sudahnya hanya keluhan terhembus. Dia masih menemui jalan buntu. Pipi kanannya yang berjambang agak lebat digaru beberapa kali.

Tiba-tiba pintu pejabatnya diketuk dari luar.

Lantas Detektif Ramlee menyuruh masuk ke dalam biliknya. Tidak lama kemudian daun pintu dikuak pada kadar sederhana pantas. Kelihatan seorang pegawai polis muda dengan tag nama Razif, melangkah masuk dan memberikan tabik hormat. Detektif Ramlee membalasnya ala kadar.

“Ada apa?” soal Detektif Ramlee.

Dari cara Razif melihat gambar Nazry membuatkan Detektif Ramlee sedar yang pegawai itu kenal dengan mangsa. Tanpa berlengah dia ajukan persoalan.

“Kau kenal dia ke?” Tanya Detektif Ramlee.

“Kenal, detektif,” jawab Razif.

“Kenal yang macam mana?” Detektif Ramlee memandang roman Razif yang kini tampak teragak-agak.

“Da… dari seminar perniagaan detektif,” ujar Razif.

Detektif Ramlee tersenyum mendengar jawapan Razif itu. Walau sedikit terkejut, tapi dia faham. Tidak semua orang benar-benar mahu jadi polis seperti dirinya.

“Kau nak buka business apa?” soal Detektif Ramlee

Pendek soalan Detektif Ramlee tapi cukup buat Razif jadi kekok.

“Cetak design baju detektif,” jawab Razif. Mahu tidak mahu, dia terpaksa memberikan jawapan.

“Bagus. Business tu boleh pergi jauh kalau kau buat sungguh-sungguh,” jawab Detektif Ramlee angguk kepala tiga kali.

“Bagus ke seminar dia?” Satu lagi pertanyaan diajukan kepada Razif.

“Dia antara yang terbaik sekarang ni detektif. Ramai yang ikut seminar dia,” secara spontan Razif memberikan jawapan.

“Tapi ramai juga yang dengki dengan dia. Sebab dalam masa dua bulan dia dah jadi terkenal. Seminar dia pun sampai beribu-ribu orang ikut walaupun yuran mahal. Termasuklah saya.” Malu sendiri Razif.

Dia pasti Ramlee beranggapan dia sebenarnya pergi ke seminar Nazry hanya kerana ikutkan orang. Tapi itulah lumrah dalam bidang Nazry. Yang ramai pengikut akan mendapat lebih ramai lagi. Jumlah peserta yang ramai di setiap seminar adalah testimoni paling ampuh.

Tiba-tiba Ramlee tegakkan badannya. Akalnya baru saja terfikirkan sesuatu. Satu maklumat kecil yang mungkin mampu membawa dia kepada maklumat yang lebih besar.

“Antara semua orang yang dengki dengan dia tu, kau tau tak yang mana paling benci dia?” soal Ramlee.

Razif tidak ambil masa lama untuk menjawab soalan tersebut.

“Ismail Marshad. Atau lebih dikenali sebagai Doktor Perniagaan. Sebelum ni dia la yang terbaik. Tapi lepas tu Nazry cantas hampir semua pengikutnya.”

Bang! Satu lagi maklumat yang menguatkan keyakinannya. Hala tuju baru sudah terbuka untuk Ramlee teruskan siasatan. Dia kemudian bergerak keluar dari pejabat.

Bodoh betul aku boleh tak nampak kaitan tu semua! Ramlee memaki dirinya sendiri.

“Er…Detektif!” Suara Razif tidak dipedulikan oleh Ramlee. Langkah detektif itu tidak tertangguh walau sesaat.

“Aku baru nak bagitau kenapa aku datang jumpa dia. Eh!? Aku nak cakap apa tadi? Ah! Lupa pulak,” Razif berjalan sambil menggaru kepalanya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
| SINOPSIS | PROLOG | BAB 1 | BAB 4 | Bab 11 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku