KARMA
BAB 4
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Mei 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
387

Bacaan






4

SELEPAS membayar tambang teksi, aku mendongak melihat ke arah papan tanda hotel yang sudah aku tempah. Sebaik sahaja aku berada di depan hotel yang betul, aku menghayun langkah menuju ke dalam bangunan lima tingkat itu. Ia terletak di tengah bandar Labuan yang sedang sibuk dan bingit.

Dua orang gadis mungkin seusia aku, sudah sedia untuk menyambut kedatanganku di situ. Dengan senyuman ramah salah seorang daripada mereka menegurku.

“Selamat datang cik!”

Dari tag namanya, gadis itu bernama Laila.

Aku sekadar senyum dan bergerak mendekati kaunter check in. Kemudian aku mula bertanya tentang tempahan yang sudah aku buat atas nama sendiri. Laila menyemak sebentar sebelum disahkan tempahan aku.

“Cik Zara?” soal Laila dengan mengalihkan pandangan ke arahku.

“Kad pengenalan saya,” omel Zara.

Aku serahkan kad itu bagi memudahkan tugasnya dan menjimatkan masa aku di situ. Keletihan sudah mula menggigit tengkuk dan belakangku.

Laila melakukan apa saja yang perlu sebelum membenarkan aku masuk ke dalam bilik. Sebaik sahaja wang bertukar tangan dengan kad putih, aku bergerak ke pintu lif. Di situ aku sendiri. Bilik yang aku tempah berada di Tingkat 3.

Aku tidak berfikir apa-apa ketika di dalam lif. Aku hanya mahu cepat sampai ke dalam bilik dan merehatkan badan sebelum memikirkan apa yang hendak aku lakukan seterusnya. Ketika pintu lif terbuka di tingkat sepatutnya, aku melangkah keluar tanpa bertangguh.

Aku kini berdiri di satu lorong yang terbahagi kepada dua arah. Satu ke kiri dan satu lagi ke kanan. Bilik nombor 1-10 ada di kiri. Lantas aku memilih arah kanan kerana di situ terletaknya bilik nombor 11-20.

Sedang aku baru hendak mencari pintu nombor 15, langkahku menjadi perlahan. Seorang gadis bertudung biru, baju dan seluar jeans ketat serba hitam berdiri di depan pintu bernombor 11. Dari tepi wajahnya, aku pasti dia sedang bersedih. Tapi yang buat aku pelik, kenapa mesti di depan pintu?

Aku memerhatikan dia sepanjang melintasinya. Ternyata bilik nombor 15 berada paling hujung berdepan dengan bilik nombor 16. Aku boleh melihat dengan jelas air mata sedang mengalir di pipi gadis yang mungkin lebih muda dari aku itu. Namun aku gagal melihat wajah penuhnya. Hanya dari tepi.

Keletihan yang makin terasa buat aku jadi malas hendak menegur gadis yang menangis di depan pintu itu. Aku melihat ke arah pintu di depanku. Memastikan nombor 15 tertulis padanya. Selepas pasti, aku menyuakan kad putih yang ada di tangan kananku pada pengesan di sebelah tombol pintu. Lampu merah kecil pada pengesan itu lalu bertukar hijau. Lalu aku gerakkan tombol pintu.

Suara seorang gadis sedang ketawa gedik menarik perhatianku untuk menoleh. Arahnya datang dari gadis bertudung biru itu. Aku tergamam. Gadis yang menangis tadi sudah tidak kelihatan. Yang ada hanya satu pasangan muda yang sedang berjalan sambil berpelukan.

Yang lelaki memandang ke arahku. Sedang yang perempuan tidak. Kemudian mereka memerhatikan aku dengan pandangan curiga. Pantas saja si perempuan melepaskan pelukannya. Dari situ aku tahu mereka bukan pasangan suami isteri. Aku hanya mampu mengeluh melihat perangai mereka.

Pasangan tadi melangkah masuk ke dalam bilik mereka. Apa yang buat aku jadi curiga ialah, mereka masuk ke dalam bilik di mana gadis sebelum ini berdiri dan menangis. Tiba-tiba bulu romaku meremang. Aku kembali menoleh ke depan pintuku. Tapi sebelum sempat aku melangkah masuk, tiba-tiba anak mataku menangkap kelibat gadis bertudung biru berdiri di tempat yang sama.

Pantas aku menoleh. Gadis itu masih menangis di depan pintu yang baru saja dibuka dan ditutup oleh satu pasangan muda. Bulu romaku semakin menegak. Aku jadi tidak sedap hati. Jantungku mulai berdebar. Bagaimana gadis itu boleh hilang dan muncul semula secepat itu?

Aku cepat-cepat melangkah masuk ke dalam bilik dan menutup pintu. Lalu aku kunci pintu bilik secermatnya. Aku berdiri di depan pintu seketika. Memikirkan apa yang baru saja aku lihat tadi. Cuba mencari logik kejadian itu. Namun semakin aku mencuba, tiada jawapan pasti yang terhasil dari fikiranku.

Aku menyerah. Aku menghayun langkah ke katil. Beg pakaian aku letak di atasnya. Kemudian aku berjalan pula ke jendela. Langsirnya dua lapis. Yang tebal warna hijau gelap dan yang nipis warna putih. Aku buka dua-dua. Mahu melihat keadaan di luar. Ternyata tingkap bilikku menghadap jalan raya yang sedang sibuk.

Di situ, aku melihat dari satu sudut ke satu sudut. Bangunan perpustakaan yang terletak mungkin dalam 300 meter dari bangunan hotel, menarik perhatianku. Memaku pandanganku. Bangunan itu dulunya adalah perpustakaan awam. Ibu selalu membawa aku ke situ. Kini, bangunan itu sudah diubah menjadi bangunan Majlis Perbandaran Labuan.

Aku mengeluh sendiri. Terlalu banyak tempat di negeri ini yang akan mengheret aku ke masa silam. Menyeksa perasaanku untuk mengingati insan yang sudah tiada. Mengenang kembali kehidupan yang sudah berubah. Menyaksikan saat gembira yang sudah menjadi sejarah.

Tapi aku sudah bersedia dengan semua itu. Justeru itu, aku nekad kembali. Aku masih tidak tahu apa yang hendak dilakukan di sini. Tapi yang pasti aku harus kembali. Berharap dapat mencari jawapan kepada mimpi-mimpi ngeri yang sudah mengganggu hidupku.

Perpustakaan itu adalah permulaan untuk semua masa silam. Aku pasti selepas ini pasti akan lebih kerap aku melangkah masuk ke alam ingatan. Itulah cabaran aku di sini. Semua sudah sedia untuk aku hadapi dengan harapan semua mimpi ngeriku tertinggal di sini saat aku kembali ke Shah Alam.

Aku menutup langsir jendela. Menjadikan keadaan di dalam bilik terasa seperti di malam hari. Hanya cahaya lampu yang menerangi ruang dalam bilik. Aku kemudian mencapai alat kawalan televisyen. Sebaik menekan punat berwarna merah, kaca televisyen bercahaya.

Berbaring di atas katil yang dilimpahi angin penghawa dingin, aku menukar dari satu siaran ke satu siaran. Hingga akhirnya aku berhenti di satu siaran yang sedang menayangkan filem barat yang aku sendiri tidak tahu tajuk atau sinopsisnya. Hanya filem itu saja yang menghiburkan.

Ketika iklan mengganggu fokus perjalanan filem, aku mencapai telefon bimbit. Tapi aku tidak mahu menutup flight mode. Aku pasti kalau aku berbuat demikian, pasti banyak mesej dan panggilan daripada Hasif tertulis pada skrin telefon sebagai tidak dibaca serta tidak diangkat.

Aku buka gambar-gambar yang ada dalam simpanan telefon. Gambar aku dan ayah. Aku tersenyum sendiri saat ketika wajah ayah yang tampak begitu gembira. Ia diambil beberapa hari sebelum pemergian ayah. Ketika di mana aku berpura gembira demi kesihatan ayah.

PENANTIAN Detektif Ramlee berakhir sebaik dia terlihat kereta yang dipandu Doktor Razak. Dia lantas keluar dari kereta. Berdiri di sebelah keretanya sambil cuba menghabiskan rokoknya. Sebaik sahaja Doktor Razak selesai parkir kereta di sebelah, rokok dia campak di lantai lalu dipijak hingga padam.

“Ada… apa?” Bersuara Doktor Razak sebaik sahaja dia ada di luar keretanya.

“Kita bincang kat dalam pejabat kau aje,” jawab Detektif Ramlee dengan tenang.

Mereka kemudian bergerak ke bangunan ibu pejabat. Sepanjang perjalanan mereka ke pejabat Doktor Razak, tiada sebarang perbualan yang terjadi. Kerana isi perbualan yang bakal dimulakan oleh Detektif Ramlee bukan sesuatu yang boleh didengar oleh orang lain.

“Aku rasa kita boleh bercakap sekarang. Tak ramai orang yang ada kat sini,” ujar Doktor Razak.

Rasa ingin tahu di ruang hati Doktor Razak sudah tidak tertahan.

Detektif Ramlee tersenyum sinis. Namun dia tetap tidak berkata apa. Meneruskan langkah mereka ke pejabat Doktor Razak yang sudah tidak jauh. Membiarkan rakannya itu terus terseksa menahan rasa ingin tahu yang kian rancak menggegar ruang hatinya.

“Okey. Sekarang apa halnya kau panggil aku malam-malam ni?” soal Doktor Razak sambil menutup pintu bilik pejabatnya.

Detektif Ramlee merenung muka Doktor Razak. Entah kenapa dia rasa seperti memerlukan sedikit masa untuk memulakan semua perbincangan. Dia tidak terfikir akan membentangkan topik itu di depan Doktor Razak. Setelah sekian lama mereka tidak pernah bercakap tentangnya.

“Ada keraguan dengan kematian isteri aku,” ujar Detektif Ramlee.

Seperti yang dijangka Detektif Ramlee, riak wajah Doktor Razak tampak terkejut.

Doktor Razak mahu memberikan kata balas. Namun akalnya gagal mencatu ayat yang dia rasakan sesuai. Topik yang dikeluarkan Detektif Ramlee itu pernah menjadi punca pertelagahan mereka. Mujur Ramlee datang meminta maaf beberapa hari selepas mereka bertekak.

“Kau tahu tak siapa yang buat bedah siasat?” tanya Detektif Ramlee lagi.

Detektif Ramlee cuba bertenang. Namun dari riak wajahnya, jelas dia sedang berperang dengan perasaan sedih. Apa saja yang berkaitan dengan isterinya itu pasti akan mengundang kesedihan dalam hidupnya.

“Kejap aku periksa,” jawab Doktor Razak.

Doktor Razak pantas menghidupkan komputernya. Dari situ dia mencari jawapan kepada soalan Detektif Ramlee tadi.

Detektif Ramlee menanti tanpa kata. Dia cuba untuk tidak membiarkan rasa sedih dan kecewa meceroboh masuk ke ruang perasaannya. Sekiranya dia mahu tahu apa yang cuba disampaikan Wak Sujih, dia harus keringkan hatinya. Sedih dan kecewa tidak boleh membasahinya.

“Doktor Kamsiah. Tapi dia bersara dua minggu lepas bedah siasat isteri kau,” ujar Doktor Razak.

Suara Doktor Razak jadi tenggelam di hujung ayatnya. Dia masih sangat berhati-hati bila bercakap tentang isteri Detektif Ramlee.

“Boleh tak kau dapatkan alamat dia?” tanya Detektif Ramlee terkocoh-kocoh.

Detektif Ramlee menelan rengkungnya. Dia berharap turut menelan segala rasa sedih dan kecewa yang masih terasa.

Sekali lagi dengan penuh tekun Doktor Razak mencari maklumat yang dipinta. Walaupun tidak tahu kenapa dan mengapa, dia tetap mahu membantu Detektif Ramlee sebaik mungkin. Dia pasti itu sesuatu yang sangat penting buat kawan karibnya itu.

Doktor Razak kemudian menulis sesuatu pada kertas nota kecil di mejanya. Dia kemudian menghulurkan kertas tersebut itu Detektif Ramlee. Sebaik mungkin dia cuba menahan diri dari bertanya apa maksud semua itu.

“Kau tak nak tanya kenapa?” soal Doktor Ramlee yang tiba-tiba berkata kepadanya.

Doktor Razak tergamam seketika. Dia tidak tahu hendak memberikan reaksi dan kata balas yang macam mana. Sedang Detektif Ramlee sudah tersenyum sinis di depannya.

“Siang tadi seorang lelaki tua datang kepada aku. Dia kata ada sesuatu yang aku perlu tahu pasal kematian isteri aku. Sebagai ganti, dia mahu maklumat kes Nazry. Apa sebenarnya yang dia mahu, aku tak pasti. Tapi bila aku nak balik, dia suruh aku cari siapa yang buat bedah siasat ke atas isteri aku. Katanya ada sesuatu yang aku perlu tahu tentang kematian isteri aku,” keluh Detektif Ramlee di hujung kata.

Sungguh Doktor Razak tidak pernah sangka akan dengar semua itu. Ianya terlalu mengejutkan. Hingga dia tidak tahu hendak berkata apa. Selama ini Detektif Ramlee percaya yang isterinya mati kemalangan akibat tidak cukup rehat dan tidur. Kini seorang lelaki memberitahu sebaliknya.

Dia hanya mampu berharap, apa saja maklumat yang dimaksudkan oleh lelaki itu tidak menghancurkan perasaan Detektif Ramlee lagi. Kawannya itu sudah cukup menderita selepas pemergian isterinya.

“Kau jangan percaya sangat dengan orang tu. Manalah tahu dia nak menipu kau. Atau mungkin dia nak alihkan perhatian kau dari kes Nazry,” ulas Doktor Razak.

Akhirnya Doktor Razak mampu untuk mengatakan sesuatu. Tapi Detektif Ramlee hanya tersenyum.

LELAH di kaki dan belakangku rasanya sudah semakin reda. Masa untuk aku keluar. Perut aku sudah menjerit kelaparan. Dengan gerak yang malas, aku bangun dan turun dari katil. Angin penghawa dingin menambah lagi rasa malasku untuk mencari makanan.

Dari jendela, aku tahu hari masih siang. Tanpa melihat jam, aku cuba meneka waktu. Mungkin dalam pukul 4.00 atau 5.00 petang. Selepas memperkemaskan kembali ikatan rambutku, aku bergerak ke pintu bilik. Perutku masih lagi merengek minta diisi dengan makanan yang kena dengan mahunya lidah.

Sebelum sempat aku membuka pintu, tiba-tiba terasa pula air di dalam badanku minta dibuang. Aku mengeluh sendiri. Tanpa mahu membuang lebih banyak masa, aku melangkah masuk ke dalam tandas. Merealisasikan kehendak air yang memberontak minta dibuang ke dalam mangkuk jamban.

Usai membuang air kecil, aku membasuh mengelap tangan yang basah dengan kain tuala yang tersedia di dalam tandas. Kemudian aku keluar dan menyarung kasut. Lalu aku bergerak ke arah pintu. Kali ini tiada apa yang menghalang aku untuk memusing tombol dan membuka pintu.

Gerak langkahku terhenti ketika mataku menangkap kelibat seorang gadis. Hatiku mulai curiga melihat gadis bertudung biru itu masih berdiri dan menangis di depan. Tapi aku cuba untuk melintas saja. Tidak mahu berhenti bertanyakan apa masalah dia sebenarnya.

Tetapi ketika aku sudah semakin hampir, entah kenapa aku terdorong untuk berhenti dan menegurnya. Sungguh aku tidak mengerti. Tapi itulah yang aku lakukan. Ketika aku baru hendak merasa menyesal, semuanya sudah terjadi.

“Maaf, awak okey ke?” sapa Zara.

Suaraku buat si gadis berhenti menangis. Namun dia masih tidak mengalihkan pandangannya dari muka pintu.

Aku yang berdiri di belakangnya menanti tanpa kata. Seinci pun tubuh gadis itu tidak bergerak. Buat aku rasa malas hendak tunggu dengan lebih lama. Lalu aku mula mengorak langkah pergi.

“Dia tipu saya kak!” omel gadis itu.

Langkah yang baru aku hanyun dua kali pantas terhenti bila mendengar suara gadis itu.

Aku berpusing menolehnya. Dia masih berdiri menghadap pintu. Sumpah aku tidak faham kenapa dia asyik pandang pintu itu.

“Siapa yang tipu awak?” tanya Zara lagi.

“Dia kata cintakan saya sampai mati. Tapi sudahnya dia tinggalkan saya,” ulas gadis itu sepenuh hati.

Gadis itu kembali menangis. Kali ini perlahan-lahan dia berpusing menoleh ke arahku.

Ternyata dia seorang gadis muda yang cantik dan putih. Mungkin usianya sekitar awal 20-an. Dari pakaiannya, aku rasa dia budak kolej atau universiti. Dia menitiskan air mata di depanku kini.

Dari apa yang dia katakan tadi, aku boleh meneka apa yang sudah terjadi kepada dirinya. Ditipu oleh lelaki yang menjanjikan mimpi indah dengan kata-kata manis yang sebenarnya tersirat racun paling berbisa.

“Dia ada kat dalam tu ke?” soal diriku.

Aku teringat kembali satu pasangan muda yang melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.

Perlahan-lahan gadis itu mengangguk. Buat aku panas hati.

“Dah berapa lama awak kat luar ni?” tanya Zara lagi.

Rasa amarah semakin menguasai diriku.

Gadis itu diam. Sepertinya dia tahu aku sedang marahkan lelaki keparat yang dia maksudkan.

Terpengaruh dengan rasa marah, aku pantas bergerak mendekati pintu bernombor 11 itu. Mahu aku ketuk pintu itu sampai lelaki itu keluar dan berdepan dengan gadis yang sudah dia perbodohkan.

“Jangan kak!” pinta gadis itu.

Si gadis pantas memegang tangan kiriku.

Aku tergamam. Tangannya sejuk yang luar biasa. Tiada manusia yang bernafas punya tangan sesejuk itu. Tiba-tiba aku meremang.

“Semuanya sudah terlambat buat saya kak,” tambah gadis itu lagi.

Suara gadis itu kedengaran garau kali ini.

Aku pantas menoleh ke arahnya. Jantungku hampir berhenti degupannya. Wajah gadis itu sudah bertukar menjadi hodoh dan berulat. Seperti mayat yang memburuk. Darah memenuhi pakaiannya di bahagian perut. Tidak lama kemudian, kedengaran tangisan bayi dari arah bawah kaki gadis itu.

Dengan sisa keberanian yang ada, aku menoleh ke bawah. Di situ kelihatan seorang bayi yang masih belum dipotong tali pusatnya memeluk buku lali gadis itu. Sedang darah sudah mengalir di lantai.

Tangan gadis itu masih menggenggam tangan kirinya. Aku cuba melepaskan diri. Namun genggaman tangannya lebih kuat. Cukup juga aku meronta. Namun tidak terlawan akan kudrat gadis yang sudah bertukar menjadi makhluk yang menyeramkan itu.

“Lepaskan aku!!!”

Suaraku menjerit mengejutkan aku sendiri dari tidur. Aku duduk di atas katil dengan televisyen terbiar tanpa ditonton. Nafasku berombak kencang. Peluh sudah membasahi dahi dan sebahagian tubuhku. Aku bermimpi buruk lagi.

DENGAN cermat, Detektif Ramlee memarkirkan keretanya di depan pagar sebuah rumah dua tingkat di Subang Jaya. Dari dalam kereta, dia mengintai keadaan rumah itu. Ada sebuah kereta Proton Saga FLX warna putih di sebalik pagar. Selepas melihat nombor rumah, dia pasti ada di alamat yang betul.

Dengan gerak tenang, Detektif Ramlee melangkah keluar kereta. Selepas mengunci kereta, dia bergerak mendekati pagar rumah yang tertutup rapi. Dia mencari di mana letaknya butang loceng. Namun ia tidak ditemui. Buat Detektif Ramlee mengeluh. Nampaknya dia terpaksa menggunakan cara yang paling kuno.

Selepas tiga kali memberi salam, pintu rumah akhirnya terbuka. Kelihatan seorang gadis awal 20-an menjenguk keluar.

“Saya nak jumpa Doktor Kamsiah,” laung Detektif Ramlee dari luar pagar.

Gadis itu masih berdiri di muka pintu. Enggan berjalan mendekati pagar.

“Ada apa ya?” soal si gadis berambut panjang melepasi bahu itu.

Detektif Ramlee kemudian tunjuk lencana dia. Buat gadis itu kelihatan agak terkejut.

“Saya Detektif Ramlee. Saya ada hal penting nak tanya Doktor Kamsiah,” ujar Detektif Ramlee.

Detektif Ramlee berharap perbuatan dan kata-katanya mampu menjayakan misinya ke situ.

Gadis itu kemudian menutup pintu rumah. Dia juga sudah masuk ke dalam. Di kala Detektif Ramlee baru hendak mengeluh kecewa, tiba-tiba pagar terbuka secara automatik. Ia hanya buka separuh. Sekadar muat untuk Detektif Ramlee melangkah masuk.

Ketika detektif itu sudah berada di dalam kawasan rumah, pagar tertutup di belakang. Dengan langkah tenang, dia bergerak ke pintu rumah. Belum sempat dia mengetuk, gadis itu kelihatan lagi di depan pintu.

“Silakan masuk detektif,” ucap gadis itu seperti takut-takut.

Tidak lama kemudian, turun seorang lagi. Kali ini wanita berusia awal 30-an. Wajahnya lebih kurang gadis yang membukakan pintu tadi. Detektif Ramlee masih berdiri di ruang tamu. Menanti wanita bertudung hitam itu sampai ke ruang tamu.

“Ada apa kalau boleh saya tahu?” jawab wanita itu dengan sopan dan ramah wanita itu kepada Detektif Ramlee.

“Saya perlu bincangkan hal ni dengan Doktor Kamsiah aje,” pinta Detektif Ramlee.

Detektif Ramlee tidak fikir semua orang di dalam rumah itu harus tahu urusannya ke situ. Ia terlalu peribadi buat dirinya.

Wanita itu memandang roman Detektif Ramlee. Wajahnya kini seperti sedang memendam rasa curiga. Detektif Ramlee sedar tentang itu. Dia tidak salahkan wanita dan gadis muda di depannya itu. Mereka sepatutnya mensyaki sesiapa saja yang datang ke rumah mereka dan hanya mahu bercakap dengan salah seorang daripada mereka.

“Ianya berkenaan isteri saya. Arwah isteri saya. Pesakit terakhir Doktor Kamsiah,” luah Detektif Ramlee.

Akhirnya Detektif Ramlee terpaksa memberi sedikit gambaran. Dia harap wanita itu puas hati walau sedikit.

Wanita itu berfikir sejenak. Sedang Detektif Ramlee terpaksa menanti tanpa kata. Tidak lama kemudian, wanita itu berbisik kepada gadis muda yang berdiri di sebelah kirinya. Dengan langkah yang sedikit bergegas, gadis muda itu naik ke tingkat atas.

“Silakan dudukl.” Wanita itu kembali bersuara.

Detektif Ramlee melabuhkan punggung di sofa yang paling dekat dengannya. Di situ dia menanti. Wanita yang menyuruhnya duduk tadi, masih berdiri. Buat Ramlee rasa sedikit tidak selesa.

“Maaf, mak saya tak sihat!” luah Doktor Kamsiah kepada Detektif Ramlee.

Ada kesedihan yang dapat Detektif Ramlee kesan dari nada suara wanita itu.

“Sakit apa?” tanya Detektif Ramlee.

Detektif Ramlee melihat ke arah Doktor Kamsiah itu.

Namun sebelum sempat wanita itu memberikan kata balas, gadis muda itu tadi turun. Dia kemudian berbisik di telinga wanita bertudung hitam. Detektif Ramlee sekadar menjadi pemerhati.

“Mak saya ada di atas. Adik saya akan bawa awak ke bilik dia,” beritahu Doktor Kamsiah.

Pantas Detektif Ramlee bangun dan bergerak mendekati anak tangga. Tapi dia harus melintas di depan wanita itu terlebih dahulu.

“Terima kasih,” ucap Detektif Ramlee kepada doktor wanita itu. Tapi tiada kata balas yang dia terima.

Diiring oleh gadis yang belum tahu namanya, Detektif Ramlee berjalan menuju ke satu pintu yang tidak berkunci. Saat daun pintu ditolak oleh gadis itu, kelihatan ruang dalam bilik tidur milik orang yang dia cari. Namun keadaan Doktor Kamsiah sedikit mengejutkan Detektif Ramlee.

Seorang wanita seusianya sedang terbaring lemah di atas katil. Wajahnya pucat dan tidak bermaya. Senyuman yang cuba dizahirkan kelihatan tidak berseri malah mengundang sedih di hati gadis yang berdiri di sebelah Detektif Ramlee.

“Sarah boleh tinggalkan mak sekejap,” pinta Doktor Kamsiah dan ternyata nada suara doktor itu juga tidak bertenaga lagi.

Walaupun tampak agak keberatan, namun gadis bernama Sarah itu akur. Dia kemudian beredar dari situ. Namun pintu bilik sengaja di biarkan terbuka. Detektif Ramlee masih berdiri. Menanti pemilik bilik mempelawa dia duduk di kerusi berdekatan katil.

“Silakan duduk detektif,” ucap Doktor Kamsiah.

Perlahan-lahan Doktor Kamsiah cuba untuk duduk di katilnya.

Dengan langkah tenang Detektif Ramlee bergerak ke kerusi dan melabuhkan punggung. Dia kini duduk di sisi kanan katil. Sedang Doktor Kamsiah memerhatinya dengan riak penuh bersalah. Buat Detektif Ramlee mula berasa tidak sedap hati.

“Ke… kenapa detektif datang?” soal Doktor Kamsiah.

Dahi Detektif Ramlee berkerut saat mendengar percakapan Doktor Kamsiah yang tergagap itu. Sepertinya dia sedang menahan rasa takut di hatinya.

Detektif Ramlee mengambil sedikit masa untuk mencatu ayat yang dia rasakan sesuai untuk memulakan bicara mereka. Buat riak wajah Doktor Kamsiah semakin jelas memberitahu yang dia sedang menanggung rasa bersalah dan takut di hati.

“Saya datang kerana ingin bertanyakan tentang arwah isteri saya,” jawab Detektif Ramlee

Doktor Kamsiah terbatuk mendengar apa yang baru saja dilafazkan oleh Detektif Ramlee tadi. Dia cuba untuk menenangkan dirinya. Sedang Detektif Ramlee sudah memandangnya curiga. Selang beberapa puluh saat kemudian, Doktor Kamsiah menangis.

Tidak mengerti dengan apa yang sedang ditanggung oleh Doktor Kamsiah, buat Detektif Ramlee tergamam. Wajahnya berkerut seribu. Pandangan mata jelas curiga. Dia menanti saja jawapan atau penjelasan dari Doktor Kamsiah yang masih cuba untuk tenangkan dirinya.

“Siapa yang suruh kamu jumpa saya?” soal Doktor Kamsiah.

Doktor Kamsiah mula bersuara selepas menyeka air matanya.

“Seorang kawan lama,” jawab Detektif Ramlee.

Sememangnya Detektif Ramlee sedang berbohong.

Doktor Kamsiah kelihatan cuba untuk tidak menitiskan air mata lagi. Namun dia gagal. Air jernih itu menitis jua di pipi tuanya. Detektif Ramlee kemudian mencapai tisu yang kebetulan ada di atas meja kecil di sebelah katil. Lalu dihulurnya sekeping tisu kepada Doktor Kamsiah. Wanita itu mengambil tisu itu walau teragak-agak geraknya.

“Kenapa doktor?” soal Detektif Ramlee.

Agak lembut nada suara Detektif Ramlee bersuara.

“Sa… saya terpaksa lakukan semua tu,” ujar Doktor Kamsiah.

Doktor Kamsiah menangis lagi. Tapi kali ini tidak lama.

“Dia suruh saya tukar laporan autopsy arwah isteri awak. Saya… saya cuba membantah tapi dia ugut saya!” hurai Doktor Kamsiah dengan bersungguh-sungguh.

Detektif Ramlee tergamam mendengar semua itu. Jantungnya berdegup kencang. Nafasnya berombak. Hatinya mula berasa tidak kena. Sepertinya ada sesuatu yang amat mengejutkan bakal dia terima dari Doktor Kamsiah.

“Apa yang terjadi kepada isteri saya sebenarnya doktor?” soal Detektif Ramlee lagi.

Wajah Detektif Ramlee jadi makin serius. Suara berketar. Dia takut menerima kenyataan pedih.

Doktor Kamsiah menangis lagi. Kali ini tangisannya sangat pilu. Detektif Ramlee cuba untuk bertenang. Nalurinya sudah mula membuat andaian yang dia harap tidak benar.

“Kemalangan itu bukan punca kematian isteri kamu,” ujar Doktor Kamsiah.

Doktor Kamsiah cuba untuk tidak menangis lagi.

Mata Detektif Ramlee terbelalak. Jantungnya berdebar. Tetapi tetap dia cuba untuk menenangkan dirinya. Dia harus tabah menerima apa saja yang bakal diberitahu oleh Kamsiah.

“Habis apa punca kematiannya?”

Detektif Ramlee menelan liur di hujung kata.

“Jantungnya seperti digenggam hingga pecah,” omel Detektif Ramlee dalam hati.

Detektif Ramlee tersandar pada kerusinya. Dunia terasa seperti berhenti berputar. Telinganya berdengung. Dia Doktor Kamsiah sedang mengatakan sesuatu kepadanya. Namun suara wanita itu tidak didengari. Ditutup oleh bunyi dengung. Hinggalah akhirnya dengung itu hilang sendiri.

“Detektif?” panggil Doktor Kamsiah.

Suara Doktor Kamsiah bergema di lohong telinga Detektif Ramlee.

“Terima kasih kerana beritahu saya perkara sebenar,” ucap Detektif Ramlee.

Detektif Ramlee pantas bangun dan mengorak langkah pergi.

“Detektif!” laung Doktor Kamsiah sekali lagi.

Langkah Detektif Ramlee terhenti. Dia kemudian berpusing menoleh ke arah Doktor Kamsiah yang sedang menitiskan air.

“Maafkan saya. Kerana rasa bersalah, saya berhenti. Saya hanya ada masa sebulan saja lagi untuk hidup. Kanser saya sudah tak dapat disembuhkan. To…tolong ampunkan dosa saya kepada awak dan arwah isteri awak,” ucap Doktor Kamsiah.

Doktor Kamsiah menangis semahunya.

“Kamu tak bersalah apa pun kepada kami doktor. Malah kamu sudah cukup membantu,” ulas Detektif Ramlee seakan member semangat kepada Doktor Kamsiah.

Detektif Ramlee cuba tersenyum ikhlas. Dia harap selepas itu Doktor Kamsiah boleh berhenti menyalahkan dirinya.

Detektif Ramlee kembali memulakan langkah pergi. Namun sekali lagi langkahnya terhenti. Dia menoleh semula ke arah Doktor Kamsiah.

“Boleh saya tanya sesuatu?” pinta Detektif Ramlee.

“Apa saja detektif,” jawab Doktor Kamsiah.

Bersungguh Doktor Kamsiah membalas.

“Adakah Tuan Hassan yang suruh kamu ubah laporan autopsy kamu?”

Doktor Kamsiah kelihatan terkejut. Dia kemudian mengeluh panjang sebelum mengangguk-angguk.

Detektif Ramlee mengetap giginya. Wajahnya kini penuh dendam. Amarah mula membakar hatinya. Walau sehebat mana pun dia cuba bersabar, tetap saja bahang amarah itu terasa.

Sarah hairan melihat wajah serius Detektif Ramlee. Begitu juga dengan wanita yang masih duduk di ruang tamu. Tanpa mempedulikan mereka berdua, detektif itu bergerak pergi. Wanita yang ada di ruang tamu segera membuka pintu pagar. Memberi ruang kepada Detektif Ramlee keluar tanpa mengucapkan apa-apa kepadanya.

“Akak rasa itu bekas teman lelaki mama ke?” tanya Sarah kepada kakaknya.

“Entahlah,” balas kakaknya.

Mereka berdua melihat Detektif Ramlee memandu pergi. Deruman enjin jelas kedengaran dari luar. Memberitahu mereka yang Detektif Ramlee sedang memandu dalam keadaan marah.

“Mungkin dia kecewa bila dapat tahu tentang penyakit mama,” keluh Sarah.

Sarah kelihatan sedih bila menyebut tentang penyakit emaknya itu. Mengingatkan dia berapa lama lagi orang tuanya itu akan hidup bersama mereka berdua selepas ayah mereka pergi tiga tahun yang lalu.

HASIF merengus kasar. Panggilannya tidak berjawab lagi. Sudah berpuluh mesej dikirimkan ke nombor Zara, namun tiada satu pun yang berbalas. Kali terakhir dia menerima berita dari kekasihnya itu dua hari lepas.

“Takkanlah pergi bercuti sampai lupa nak mesej aku?” Hasif membebel sendiri di dalam keretanya.

Dia kemudian mematikan enjin dan bergerak ke luar kereta. Di depannya kelihatan premis Coffee Bean. Dia memilih untuk tenangkan fikiran di situ. Hari sudah semakin petang. Dia tidak boleh fokus dengan kerjanya di pejabat. Sudahnya, dia ke situ di kala masa bekerjanya masih berbaki dua jam.

Belum pun sempat dia memilih tempat duduk, matanya menangkap kelibat seseorang yang dia kenali melalui Zara. Seseorang yang meninggalkan persoalan di fikirannya tanpa jawapan.

“Seorang aje atau tengah tunggu awek?” tanya Hasif selamba.

Sambil tersenyum kecil, Hasif menegur Julianshah yang sedang sibuk dengan telefon bimbitnya.

“Awek dah kena kebas bro. Seoranglah jawabnya,” balas Julianshah dengan selamba.

Dahi Hasif berkerut mendengar jawapan yang keluar dari mulut Julianshah itu. Dia jadi tidak sedap hati.

“Awek kau kena kebas dengan siapa?” balas Hasif tanpa berlapik meminta jawapan.

Julianshah tersenyum sinis sambil menatap mata Hasif. Buat lelaki itu semakin rasa tidak sedap hati.

“Apa kata kau duduk dulu,” pinta Julianshah dengan tenang.

Dengan wajah serius, Hasif duduk di kerusi depan Julianshah.

“Tak nak pesan dulu ke?” tanya Julianshah bersahaja.

“Siapa kebas awek kau?” Suara dan nada Hasif makin serius.

Julianshah mengeluh sambil menggelengkan-geleng.

“Maaf kalau bahasa aku kasar tadi. Tapi kalau kau ada di tempat aku, mesti kau pun akan buat hal yang sama,” ujar Julianshah dengan sikapnya itu tadi.

Kata-kata yang keluar dari mulut Julianshah kali ini buat Hasif makin yakin, siapa bekas kekasih Julianshah itu.

Tapi Hasif tidak mahu berkata apa. Dia menanti kata seterusnya dari Julianshah. Sedang wajahnya semakin serius.

“Sebenarnya… sebelum Zara jumpa kau, kami masih bercinta. Sejak aku jadi editor novel pertamanya, kami dah mula selalu jumpa. Sampailah suatu hari aku melamar dia jadi kekasih aku. Dia setuju. Tapi… lepas novel pertamanya terbit, dia mula menjauhi aku. Selalu bagi alasan setiap kali aku ajak jumpa. Sampailah aku dapat tahu sendiri yang kau dah jadi kekasih baru dia.” Panjang lebar Julianshah berkata-kata.

Hasif tidak terkejut sangat dengan semua itu. Namun, dia mula rasa kecewa di ruang hatinya. Ternyata apa yang dia sangka tadi benar. Zara memang ada kaitan dengan Julianshah.

“Patutlah dia tak nak cakap apa-apa lepas kamu terjumpa kat restoran hari tu,” ujar Hasif.

Julianshah sekadar mengangguk dengan riak tenang. Sedang Hasif kelihatan termenung. Buat Julianshah memerhati dengan muka yang berkerut.

“Kenapa bro? Dia jawab call dan SMS kau ke?” tanya Hasif.

Pantas Hasif menoleh ke arah Julianshah.

“Mungkin dia ada hal penting nak diselesaikan,” jawab Julianshah lagi.

“Atau mungkin dia tengah sibuk nak cari pengganti baru lagi!” keluh Hasif.

Hasif mengetap giginya. Menahan rasa geram di hatinya.

Bro, dia tinggalkan aku, tak bermakna dia perempuan murah bro! Zara bukan jenis yang suka bertukar pasangan,” jawab Julianshah.

Tiba-tiba Julianshah bertukar serius.

“Kau masih boleh cakap macam tu lepas dia tinggalkan kau macam tu aje?” balas Hasif juga dengan nada serius. Menjadikan suasana antara mereka tegang.

“Memang dia tinggalkan aku macam tu aje, tapi tak bermakna dia perempuan jalang bro!” Julianshah tidak mahu kalah.

“Sayang betul kau dengan dia kan?” Hasif tersenyum sinis.

“Kau tak sayang kat dia ke?” tingkah Julianshah.

Hasif terdiam. Senyumannya hilang.

“Apa cerita sebenarnya ni bro?” Nada suara Julianshah mula mengendur.

Satu keluhan berat Hasif lepaskan.

“Dua hari lepas, dia kata nak pergi bercuti dengan kawan-kawan dia kat pulau. Tapi dia tak nak beritahu aku pulau kat mana. Dari situ aku dah syak sesuatu, tapi…bila aku cuba untuk percayakan dia, dua hari panggilan dan mesej aku tak berbalas. Lepas tu, aku dapat tau fasal kamu berdua. Macam mana aku nak percayakan dia bro? Bukan aku tak sayang dia, tapi…” keluh Hasif lagi.

“Aku tak tahu nak cakap apa. Sebab kalau aku jadi kau pun aku meroyan. Tapi nak buat macam mana. Kau tunggu ajelah. Bila dia balik dari percutian tu?” balas Julianshah dengan nada baik.

“Sepatutnya esok dia dah balik.”

Come on bro, takkan tiga hari dah meroyan?” tingkah Julianshah.

Julianshah tersenyum lebar di depan Hasif.

Tidak lama kemudian mereka tergelak bersama. Menghilangkan segala ketegangan antara mereka.

“Tak sangka,” omel Hasif.

Ketawa Hasif masih bersisa. Dia menggelengkan-geleng.

“Tak sangka apa pulak?” sela Julianshah.

“Patutnya sekarang ni kita tengah bertumbuk. Paling koman pun bertekak siapa lagi bagus,” tingkah Hasif.

Hasif masih tersenyum.

“Sudahnya gelak sama-sama.” Kata-kata Julianshah itu buat mereka tergelak lagi.

“Tapi serius aku tak faham kenapa Zara tinggalkan kau. Aku harap kau tak tersinggung dengan soalan aku ni. Sebab aku fikir kau seorang yang baik,” jujur Hasif berkata-kata.

“Mungkin sebab aku ni tak romantik macam kau kut,” balas Julianshah.

Julianshah cuba menahan ketawa.

“Kau tak rajin baca majalah wanita kut,” tambah Julianshah.

Mereka berdua ketawa lagi.

Masing-masing merah muka ketawa. Hinggalah akhirnya mereka mampu untuk menghabiskan ketawa mereka.

Thanks bro,” Hasif bersuara.

“Untuk apa? Aku tak belanja kau minum pun. Ni pun aku baru rancang nak minta kau belanja,” kata-kata Julianshah buat mereka ketawa lagi.

“Dah! Dah! aku tak larat nak gelak lagi dah!” jawab Hasif lagi.

Hasif memegang perutnya.

“Aku pun dah tak larat dah.” Julianshah meningkah.

“Tapi serius bro. Kau dah buat aku lupa dengan rasa tension aku tadi. Mahu aku tak royan kalau dua hari call dan mesej tak dibalas,” kata Hasif.

“Ala biasalah. Perempuan ni ada masa dia perlukan ruang untuk bersendiri. Dia balik nanti, kau janganlah marah-marah dia. Bagi dia bunga ke, coklat ke, entahlah. Kau kan rajin baca majalah wanita,” ulas Julianshah.

Sekali lagi Julianshah berjaya buat mereka berdua ketawa besar tanpa mempedulikan pelanggan lain di situ.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
| SINOPSIS | PROLOG | BAB 1 | BAB 4 | Bab 11 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku