SERAM: KISAH LATIFAH
Bab 1
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 19 Jun 2016
Penilaian Purata:
(23 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2174

Bacaan






Kampung Silak Tua

SEBAIK sahaja motorsikalnya masuk ke halaman rumah, Azim tidak dapat menahan diri daripada tersenyum. Melihatkan siapa yang duduk di atas pangkin di bawah pohon manggis bersama ibunya, dia rasa sangat bahagia. Sudah beberapa bulan wajah itu tidak dilihat.

“Dari pondok ke, bang?”

Sambil turun dari motorsikal, Azim mengangguk. Pertanyaan Bahiyah tidak meninggalkan kesan kerana di hatinya berkocak seribu satu pertanyaan buat adik bongsunya itu.

“Pukul berapa Bahiyah sampai? Cuti semester dah mula ke?”

“Taklah, bang. Cuti study week seminggu. Lepas tu kena balik semula. Tapi nak stay kat asrama pun, boring. Kawan-kawan semua balik. Takkan nak tinggal sorang pulak,” jawab Bahiyah.

“Eloklah macam tu. tapi nanti jangan asyik tengok televisyen pulak. Selepas seminggu satu apa pun tak belajar. Balik sini kosong. Balik sana pun kosong,” bidas Azim.

Bahiyah dan Mak Jiha hanya ketawa.

“Abang naik atas dulu. Balik sekejap aje ni. Nak ambil kitab.”

“Yalah,” balas Bahiyah.

“Tak makan dulu, Azim?” tegur Mak Jiha apabila Azim melangkah ke arah tangga.

Azim garu kepala.

“Tak, mak. Ustaz Hadi tak sihat hari ni. Jadi saya kena jaga budak-budak tu,” jawab Azim. “Insya-ALLAH malam nanti kita makan sama.”

Mak Jiha angguk sahaja.

Selepas beberapa minit, Azim pergi semula ke pondok agama yang dia uruskan bersama Ustaz Hadi. Dia tahu, dengan kepulangan Bahiyah ibunya akan berasa lebih gembira dan ada teman berbual.

“MAK... esok Bahiyah nak ke kampung sebelah.” Bahiyah bersuara sebelum menyuap nasi ke mulut. Asam pedas ikan pari masakan ibunya tengah hari itu buat dia makan bertambah-tambah.

“Ke kampung sebelah? Kampung yang mana satu?” Mak Jiha pandang muka Bahiyah lama-lama.

“Kampung sebelah hilir. Kampung Mati Api.”

“Kampung tu... nak buat apa ke situ?”

“Nak ke rumah kawan Bahiyah. Rosni.”

“Tapi selama ni tak pernah pulak mak dengar pasal kawan Bahiyah tu.”

“Dia juniorBahiyah tapi satu rumah. Baru masuk first semester. Dia pun balik sekali tadi tapi dia turun kat simpang. Nanti kakak dia jemput. Mak tahu ajelah. Bukan ada bas masuk ke kampung tu.”

“Kampung terpencil. Orang pun dah tak ramai duduk situ.”

“Tapi kampung tu tepi laut kan mak?”

Mak Jiha angguk.

“Rosni ajak mandi laut,” tambah Bahiyah.

“Tak payahlah. Situ bukan tempat orang berkelah. Pantainya pun tak boleh diduga.”

“Alah mak... bukan selalu.” Bahiyah tersenyum. Hatinya sudah tetap. Dia mahu ke rumah Rosni, berehat dan mandi-manda sampai petang.

“Ramai yang dah mati lemas kat situ,” balas Mak Jiha sambil menambah kuah asam pedas.

“Rosni kan ada? Tentu dia lebih tahu tempat mana yang selamat.”

“Tempat tu banyak ceritanya. Bahiyah janganlah turun ke laut. Pergi rumah kawan tu aje. Selepas tu balik.”

Mata Bahiyah terkebil-kebil. Hati berperang hebat. Antara kehendak hati dan tegahan ibunya. Dia belum dapat membuat keputusan.

“Nak pergi macam mana esok tu?”

“Pinjam motorsikal abang?”

“Itu kena tanya Abang Azim. Mak rasa macam tak ada harapan aje.”

Bahiyah terdiam. Akal tercari-cari jalan penyelesaian yang lain. Dia hendak pergi juga.

“BOLEHLAH, bang. Pinjam sehari aje,” desak Bahiyah pada sebelah malamnya pula. Selepas mereka bertiga selesai makan malam dan duduk bersantai-santai di ruang tamu.

“Habis tu... abang nak bergerak pakai apa? Dari sini ke pondok tu jauh,” balas Azim yang bersandar pada daun pintu. Permintaan Bahiyah yang tiba-tiba sahaja begitu membuatkan dia tidak bersedia.

“Biar Bahiyah hantar abang ke pondok, lepas tu Bahiyah pergilah.” Mata Bahiyah bersinar-sinar. Dia sudah nampak jalan ke rumah Rosni. Mudah untuk dia pulang bila-bila masa dia mahu sekiranya dia bawa motorsikal sendiri.

“Hah? Tak boleh! Tak boleh! Nanti sakit jantung Ustaz Hadi tu kalau nampak.” Suara Azim meninggi.

Sinar di mata Bahiyah terus malap. Angan-angannya tadi memudar.

“Biar abang aje yang hantar Bahiyah. Petang esok abang jemput.”

“Tak mahulah macam tu...” sampuk Bahiyah. Dia rasa malu dan terkongkong.

“Kenapa pulak tak mahu? Sekurang-kurangnya abang tahu ke mana Bahiyah pergi. Rumah siapa. Dekat mana.”

Bahiyah menggumam lagi. Dia rasa rimas. Rasa dilayan tidak ubah seperti budak kecil yang perlu dijemput dan dihantar.

“Tak payahlah, bang... malu Bahiyah nanti. Macam budak kecil aje.”

“Bahiyah memang budak kecil lagi. Adik abang, sampai bila-bila pun masih budak kecil.”

“Bahiyah dah besarlah. Dekat Kuala Lumpur tu Bahiyah biasa ke mana-mana seorang aje. Tak ada hal pun.”

“Kalau dah terpaksa, abang pun tak dapat buat apa. Tapi selama ada dalam jangkauan abang, abang tetap akan hantar dan jemput Bahiyah,” tegas Azim.

Bahiyah tidak kuasa hendak menjawab lagi tetapi hatinya geram. Mak Jiha tidak masuk campur.

WAKTU sudah hampir pukul 10.00 pagi. Motorsikal yang ditunggang Azim tiba di halaman sebuah rumah batu setingkat bercat kuning air.

“Betul ke ni rumahnya?” Azim bertanya. Rumah itu nampak sepi dari luar. Risau juga kalau-kalau tersalah rumah. Malu.

“Nombor rumah dah betul. Betullah kut?” balas Bahiyah sambil turun dari motorsikal. Dia sendiri baru kali pertama sampai di situ. Agak terkilan kerana Rosni tidak menunggunya di muka pintu.

“Berilah salam. Mungkin mereka kat dapur.” tegur Azim apabila Bahiyah masih terintai-intai.

Suruhan itu segera dipatuhi Bahiyah. Dia melaungkan salam dan semena-mena pintu hadapan rumah terbuka. Muncul seraut wajah manis di muka pintu.

“Sampai pun rumah Ros.”

Bahiyah ketawa menyambut pelukan Rosni. Mereka riuh bercerita tanpa mempedulikan Azim.

“Sorry lambat. Tunggu abang akak balik dari pondok.”

Azim terpaksa berdehem beberapa kali. Bahiyah kalau sudah jumpa kawan, semuanya lupa.

“Sorry... ini abang akak. Abang Azim.” Bahiyah perkenalkan Rosni kepada Azim.

Rosni hanya tersenyum.

“Abang balik dululah.”

“Eh! Masuklah dulu, bang. Minum air,” pelawa Rosni tergesa-gesa.

“Tak apalah. Abang nak pergi ke tempat lain. Pukul lima nanti abang jemput.” Azim pandang Bahiyah. Dia harap Bahiyah ingat.

“Laa... nak balik jugak ke petang ni?” Rosni mencelah sambil memandang tajam muka Bahiyah.

Bahiyah angguk.

“Tidurlah sini,” desak Rosni. “Ros tinggal dengan mak dan kakak aje. bukan ada orang lain.”

Bahiyah pandang Azim dengan harapan.

“Boleh, bang?”

Azim segera menggeleng. Sebelum dia meninggalkan pekarangan rumah Rosni dia melemparkan pandangan ke arah rumah sekali lagi.

Dia terpandang seorang gadis bertudung litup sedang mengintainya dari tingkap dapur.

“INI mak Ros. Ini kakak Ros, Kak Ain. Kami bertiga aje kat rumah ni.” Rosni riuh rendah memperkenalkan ahli keluarganya kepada Bahiyah. “Ada seorang lagi abang Ros. tapi dia study kat Australia. tahun depan baru habis.”

Bahiyah tersengih. Lega hatinya apabila ibu dan kakak Rosni menyambut kedatangannya ke situ dengan baik dan ramah. Dia tidak rasa kekok. Tambahan lagi kesemuanya perempuan.

“Duduklah, Bahiyah. Kak Ain nak masak dulu,” kata kakak Rosni.

“Biar saya tolong.” Bahiyah terus berdiri semula. Tidak seronok pula kalau hanya duduk di situ.

“Tak payahlah. Bukan susah sangat. Ros bawalah Bahiyah jalan-jalan kat pantai. Tapi ingat... jangan dekat ke tanjung tu.”

Sebaik sahaja mendapat lampu hijau, dengan cepat Rosni menyambar lengan Bahiyah. Sambil bergandingan mereka turun semula ke tanah lalu menuju ke sebelah kanan rumah.

Di situ ada jalan kecil menghala jauh ke laut.

“KITA nak ke laut?” tanya Bahiyah. Hatinya waswas. Cerita ibunya malam tadi membuatkan dia gementar.

“Jomlah. Sekejap lagi.. hari lagi panas. Nak pijak pasir pun tak larat.”

Bahiyah tidak membantah. Lagipun jarak pantai ke rumah Rosni tidaklah jauh sangat. Selepas melalui tiga buah rumah, mereka pun sampai ke persisiran pantai yang memutih.

“Best kalau rumah tepi laut ni kan? Tenang aje.” kata Bahiyah sambil menyepak air laut yang berlari mencumbui tapak kaki yang tidak beralas. Dia tersenyum sendiri.

“Biasa aje. Akak tahu tak? Dulu kampung ni kampung nelayan. Tapi sekarang semua tu dah tak ada. Pantai ni pun tak ramai orang datang.” Rosni melemparkan pandangan matanya jauh ke laut. Bagai tercalit kekesalan di situ.

“Akak dengar ramai orang lemas kat sini. Betul ke?”

“Akak pun tahu pasal tu?”

Bahiyah angguk.

“Memang betul. Tapi sekarang dah kurang sebab dah tak ramai yang berani mandi kat sini. Kalau ada yang singgah pun, hanya berjalan-jalan di tepi pantai macam kita.”

“Kenapa Kak Ain tak benarkan kita ke tanjung?”

Bahiyah pandang ke hadapan. Tidak jauh di hadapan mereka ada bukit yang mengunjur ke laut sekaligus mematikan persisiaran pantai setakat itu. Dia percaya itulah tanjung yang dimaksudkan. Cantik tempatnya tetapi seperti ada rahsia yang tersembunyi. Sekali pandang, cantik. Dua kali pandang, menyeramkan.

Semena-mena lengan Bahiyah direntap.

“Kita pusing. Jangan dekat ke situ,” Rosni tarik lengan Bahiyah. Kini mereka berpatah balik.

Dengan teragak-agak Bahiyah mengikut.

“Tapi kenapa tak boleh pergi situ? Cantik kalau ambil gambar dekat situ kan?” kata Bahiyah. Masih belum faham.

“Jangan...,” kata Rosni. “Tempat tu keras. Dah ramai orang kena tegur dekat situ. Orang kampung ni memang tahu tapi orang luar selalu terkena.”

“Siapa yang tegur?”

Rosni berhenti melangkah.

“Tanjung tu tak ada masalah, kak. Tapi apa yang di atas bukit itulah puncanya.”

“Di atas bukit?” Bahiyah mendongak sedikit. Yang dilihat hanya pokok-pokok besar yang membentuk hutan malar hijau. Dia tidak melihat apa-apa yang pelik.

“Di atas bukit tu, kak... ada sebuah kem askar sejak perang dunia kedua. Kem itu tersorok dan terbiar.”

“Ya ke?” Bahiyah berdebar-debar.

“Tempat ni dulu tapak pertahanan askar British. Sebelum perang dunia kedua lagi, mereka dah mula bina kem di atas tu. Kalau tak silap sebelum tahun1930 lagi. Orang kampung inilah yang dikerah untuk membinanya.

Tapi selepas Jepun datang, askar British lari ke tempat lain. Kem itu dijadikan tempat tahanan dan siksaan. Pada waktu tu orang kampung; ramai yang mati dibunuh termasuklah datuk Ros. Selepas Jepun pergi, askar British balik semula tapi tak lama. Tempat itu terbiar sampai sekarang. Sejak itulah tempat itu dikatakan keras.”

“Begitu...” Bahiyah membalas. Barulah dia faham.

“Ada orang kampung cakap, ada jalan naik ke atas tu. Tapi Ros tak pernahlah naik, mak Ros tak kasi. Ada yang cakap juga, pernah melihat askar Jepun berlari-lari di pantai ni pada waktu malam sebelum hilang menghala di tanjung tu.”

Bahiyah mula berasa seram sejuk. Dia kurang senang dengan kisah-kisah sebegitu.

“Tapi ada satu cerita yang Ros tak pernah lupa... kisah Latifah.”

“Kisah Latifah?”

Rosni angguk.

“Tak apalah, kak. Nanti-nantilah Ros cerita. Karang kita syok-syok cerita, dia datang tumpang sekaki pulak. Marilah kita balik dulu.” Rosni tarik lengan Bahiyah lalu mempercepatkan langkah.

Spontan Bahiyah menurut. Dia sendiri rasa tidak sedap hati sejak berpatah balik dari tanjung. Terasa-rasa bagai ada yang mengikut.

Pohon beringin... daunnya rendang

Akar berjalur... cecah ke bumi

Hatiku ingin... hidup gemilang

Nasib malang... suratan diri

“Kak? Kenapa berhenti?” tegur Rosni apabila disedarinya Bahiyah tiada di belakang. Dia berpatah balik.

“Kak?” Lengan Bahiyah digoncang-goncang.

Bahiyah bagaikan baru tersedar. Dia menoleh ke arah tanjung. Dia tidak melihat apa-apa atau sesiapa. Nyanyian yang didengari tadi juga hilang begitu sahaja.

“Tak ada apa,” balasnya sebelum mengikut Rosni pulang. namun nyanyian tadi masih terngiang-ngiang di telinga cuma kali ini lebih mendayu-dayu.

Pohon beringin... daunnya rendang

Akar berjalur... cecah ke bumi

Hatiku ingin... hidup gemilang

Nasib malang... suratan diri

diikuti bunyi seorang gadis menangis teresak-esak.

“MAK ROS mana?” tanya Bahiyah apabila di meja makan hanya ada mereka bertiga. Ibu Ros, Mak Siti tidak kelihatan.

“Mak ke rumah bilal. Petang ni giliran baca Yaasin kat sana. Mak pergi cepat tolong apa yang patut,” jawab Rosni sambil ligat tangannya mencedukkan nasi ke pinggan Bahiyah. Tengah hari itu mereka berlaukkan ikan tilapia bakar cicah air asam.

Bahiyah angguk sepintas lalu sebelum mula menyuap. Begitu juga Rosni. Ainuha masih di dapur.

“Ros,” panggil Bahiyah.

Rosni angkat muka.

“Ceritalah pasal Latifah tu...”

Dengan spontan Rosni tersedak.

“Nak takut apa... siang-siang ni ha,” pujuk Bahiyah. Hatinya meronta-ronta hendak tahu.

“Cerita ni dah lama jadi buah mulut orang kampung ni. Tapi... Ros tak pernah pulak terjumpa. Mungkin betul. Mungkin hanya cerita yang direka-reka untuk takutkan budak-budak. Akak tahu ajelah, di sini kan kampung? Terpencil pulak. Susah kalau ada sesiapa hilang.”

“Kenapa Ros cakap macam tu.”

“Dulu... setiap kali musim air pasang besar, adalah orang hilang.”

“Sekarang?”

“Kurang sikit atau dah tak dengar,” jawab Rosni.

“Apa bezanya? Kan laut tu hari-hari pasang surut?”

“Sebab dah tak ramai anak gadis yang tinggal di kampung ni. Sasaran dia hanya anak gadis,” cerita Ros penuh yakin.

“Kenapa dia cari anak gadis?’

Rosni angkat bahu.

“Cerita orang... bila musim air pasang besar; Latifah akan merayau-rayau dalam kampung mencari seorang gadis.”

“Selepas tu?” Bahiyah berhenti mengunyah. Cerita Rosni seakan-akan lebih sedap berbanding ikan tilapia bakar.

“Gadis itu hilang.”

“Tak jumpa lagi ke?”

Rosni menggeleng.

“Salah seorang yang telah hilang ialah mak saudara Ros. Masa tu umur dia belum sampai dua puluh tahun. Kata mak Ros... tiba-tiba aje dia hilang dari rumah. Waktu tu senja. Puas orang kampung cari tapi tak jumpa. Ada orang yang pandai tengok cakap... dia dah dibawa ke alam lain. Dihijab. Tak siapa nampak dia di mana.”

“Selepas tu?”

“Ada beberapa kejadian lain.”

“Pasti ke semua tu hilang sebab Latifah? Mungkin hilang sebab lain.”

“Entahlah, kak. Tapi kisah tu memang digeruni kat kampung ni. Pada waktu-waktu macam ni, tak ada siapa berani ke pantai pada waktu senja dan malam. Semua perempuan tinggal di rumah. Pintu dan tingkap dikunci sebaik aje masuk maghrib.”

“Siapa Latifah ni ya? Kenapa dipanggil Latifah?” tanya Bahiyah. Penuh minat.

“Ros pun tak tahu di mana mulanya, kak. Tapi pernah sampai ke telinga Ros... Latifah ni dulu anak gadis di kampung ni. Dia dibawa lari oleh askar Jepun ke atas bukit sana. Apa kisah selanjutnya... Ros tak tahu. Tapi orang kampung yang pernah jumpa kata... dia sendiri yang beritahu namanya, Latifah. Cantik orangnya. Kalau berjalan sentiasa berpayung kertas bunga-bunga. Latifah juga suka menyanyi.”

“Menyanyi?” Bahiyah tergamam.

“Orang kata pada waktu-waktu tertentu... Latifah akan menyanyi. Sesiapa terdengar, akan terpesona.”

Bahiyah terdiam.

PUKUL lima petang. Bahiyah ternanti-nanti Azim menjemputnya tetapi belum nampak bayang. Mahu ditelefon, abangnya tidak memiliki telefon bimbit. Abangnya tidak mahu memiliki gajet itu dan dia sudah penat berhujah. Akhirnya dia menelefon rumah.

“Abang Azim dah pergi dah tadi. Mungkin dia singgah ke mana-mana tu,” jawab Mak Jiha.

Tidak ada apa yang mampu dilakukan Bahiyah selain duduk menanti ketibaan abangnya. Sedang leka melihat persekitaran rumah Rosni melalui celah-celah tingkap ram kaca; telinganya disapa bunyi yang dibawa angin.

Pohon beringin... daunnya rendang

Akar berjalur... cecah ke bumi

Hatiku ingin... hidup gemilang

Nasib malang... suratan diri

Berdiri bulu roma Bahiyah. Tubuhnya rasa meremang hingga tengkuk terasa berat. Tetapi dia masih tidak berganjak.

Suara itu cukup merdu didengar, mendayu dan memukau. Dia tambah ingin mendengar dan melihat siapa yang menyanyikan lagu itu. Apabila dia ralit menjenguk, dia terpandang seorang gadis duduk di atas buaian yang dipasang bawah pokok asam.

Tetapi gadis itu membelakangkan dia.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku