Sayap Kemanusiaan
Genre: Travelog
Kategori: Alternatif
Paparan sejak 30 Jun 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
404

Bacaan






Sayap Kemanusiaan

Sedang duduk di tepian pantai, fikiran menerawang jauh teringatkan masa lalu. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk melibatkan diri dalam bidang kemanusiaan setelah tamat sesi pengajian empat tahun lalu. Ketika itu, desakan hidup membuatkan aku mencuba dan menerima segala peluang pekerjaan yang terbentang di depan mata. Saban hari, aku meronda di sekitar kawasan Bandar Baru Bangi, tempatku membesar dengan motosikal kesayanganku untuk meninjau-ninjau pejabat atau organisasi yang bersesuaian dengan kelulusanku sebagai graduan sains sebelum membuat sedikit kajian mengenai organisasi tersebut. Selain itu, usaha tetap diteruskan dengan mencari iklan pekerjaan di dada akhbar dan carian atas talian.

Kehilangan ayah pada 2004 akibat serangan jantung membuatkan aku rasa bertanggungjawab untuk menambahkan pendapatan keluarga bagi membantu ibu yang membanting tulang mengerah keringat menanggung kami adik-beradik dengan berniaga di warung peninggalan arwah ayah. Dalam doaku, aku hanya menginginkan ibu mengabiskan masanya di rumah supaya dapat mengikuti pengajian ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi bersama rakan-rakan seusianya di surau berdekatan.

Pucuk dicita ulam mendatang. Mei 2012, aku ditawarkan bekerja di sebuah klinik gigi swasta sebagai pembantu tadbir. Walaupun menyimpang daripada apa yang dipelajari waktu zaman universiti, aku terima dengan hati terbuka. Aku meminta izin ibu untuk menerima pekerjaan ini kerana sebelum ini, dari kecil hingga dewasa, memang aku membantu ibu dan arwah ayah berniaga di waktu cuti. Cuma kali ini, aku ingin merasai sendiri cabaran dan nikmat dalam mencari rezeki untuk diberikan pula kepada ibu yang banyak berkorban selama ini. Tugasku mudah, hanya perlu memastikan bil-bil elektrik, air dan sebaginya dibayar dan didokumentasikan dengan rapi.

Wa makaru wa makaraAllah, wallahu khairul makirin,kita merancang, Allah juga merancang, namun sebaik-baik perancang adalah Allah S.W.T. Hari kedua bekerja, aku dipanggil oleh Islamic Relief Malaysia (IRM), sebuah NGO kemanusiaan untuk menghadiri sesi temuduga petang itu juga. Syukur ke hadrat Ilahi, semuanya bagai dipermudahkan, aku diterima bekerja di IRM sebagai Penolong Pegawai Bahagian Perkhidmatan. Kali ini, tugas yang dipikul agak mencabar kerana selain menguruskan bahagian pentadbiran, aku juga diamanahkan untuk membuat kerja-kerja sumber manusia, perolehan, akaun dan juga IT. Alhamdulillah, walaupun aku perlu belajar dari bawah, namun ia pengalaman yang sangat berharga aku perolehi di sini. Sekali lagi, tiada kaitan dengan bidangku. Tetapi aku percaya pada takdir Allah yang menetapkan sesuatu itu berlaku seiring dengan hikmahnya.

Lamunan terhenti. Sedar tak sedar, sudah masuk tahun kelima tahun aku berkhidmat di IRM membantu insan-insan yang memerlukan di dalam dan luar negara. Seperti yang selalu ditekankan oleh Pengarah Negara IRM, Tuan Haji Zairulshahfuddin Zainal Abidin, aku dapat merasakan bahawa berada di IRM bukan semata-mata untuk mencari rezeki, tetapi lebih dari itu dengan bermujahadah mengorbankan masa, wang ringgit, perasaan, malah yang paling memilukan hati, kadangkala terpaksa berjauhan dengan keluarga demi memenuhi tuntutan kerja.

Islamic Relief (IR) merupakan sebuah badan amal antarabangsa yang diasaskan di United Kingdom (UK) pada tahun 1984. IR diiktiraf dengan status perundingan khas sejak tahun 1993 oleh Majlis Ekonomi & Sosial PBB (UNECOSOC). Selama bertahun-tahun, IR telah mengembangkan mandatnya untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bidang termasuk bantuan kecemasan, pembangunan mampan sosial bersepadu dan pengurangan risiko bencana. Sehingga kini, IR telah berkhidmat di lebih 40 buah negara termasuk Malaysia. Manakala IRM pula telah dilancarkan pada tahun 2005 oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, bertujuan untuk meneruskan bantuan kemanusiaan IR di rantau Asia-Pasifik. Kini, IRM berperanan sebagai pejabat pengumpulan dana (bagi projek antarabangsa & tempatan) dan pelaksana projek tempatan.

Daripada bahagian pekhidmatan, aku beralih ke bahagian pengumpulan dana yang menjadi tunjang pejabat IRM. Tugas untuk mecari penderma dan membuat promosi bukanlah satu tugas yang mudah, namun dengan berkat tunjuk ajar serta dorongan daripada pengurus-pengurus dan rakan sepejabat, aku cuba menghasilkan yang terbaik demi kebaikan organisasi dan penerima manfaat yang dibantu. Sejak 2012 hingga kini, pelbagai jenis insan yang aku temui dalam menyampaikan misi bantuan kemanusiaan. Dengan bantuan yang diberikan, ada yang berusaha untuk mengubah nasib keluarga, tetapi tidak kurang juga yang hanya bergantung kepada bantuan dari mana-mana pihak atas pelbagai faktor. Apapun, peluang yang Allah berikan untuk bertemu dengan insan-insan hebat ini dijadikan asbab untuk aku bermuhasabah kembali tentang hidupku. Adakah aku bersyukur dengan segala kurniaan Ilahi atau masih merungut dengan kekurangan yang ada?

Aku bertuah dan bersyukur kerana terpilih untuk menjadi sebahagian dari keluarga besar IR. Saudara-saudaraku berada di serata dunia seperti di Jordan, Bangladesh, Palestin, Lebanon, Sweden, Australia, Indonesia, China, Malawi, Bosnia & Herzegovina dan banyak lagi. Kami melaksanakan visi dan misi yang sama untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan. Tiada apa yang lebih membahagiakan selain daripada melihat senyuman mereka menerima manfaat hasil bantuan kami. Sekiranya diberi peluang, aku ingin terus menjadi sayap dalam dunia kemanusiaan ini sehingga akhir hayatku. Wallahua’lam.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku