Projek Seram : Highway - Gangguan
BAB 4
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 01 Julai 2016
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1388

Bacaan






NAZRIN memandang ke dada langit yang gelita. Tiada satu bintang pun yang kelihatan di atas sana. Hujan masih turun dengan lebat sejak tadi. Langsung tiada tanda-tanda mahu berhenti. Gelap malam terus diselimuti kedinginan hingga ke tulang.

Tarmizi dan Nazrin kembali menyepi. Kedua-duanya mula mendiamkan diri seribu bahasa. Begitulah selalunya mereka. Kadang-kadang perbualan mereka rancak. Ada sahaja topik yang dibicarakan. Tetapi, selalunya mereka hanya melayani perasaan masing-masing. Lebih gemar mengelamun tentang hal-hal sendiri.

Perjalanan yang dituju masih jauh beribu batu. Pemanduan pula tidak boleh diperah laju seperti biasa dek kerana hujan yang turun menggila. Barangkali sang alam sedang meratapi sesuatu. Sesekali terdengar keluhan Nazrin. Waktu itu jugalah Tarmizi akan menoleh, memerhati beberapa ketika sebelum kembali membuang pandang ke hadapan.

Buat ke sekian kalinya Nazrin mengeluh lagi. Kali ini terdengar lebih panjang dan keras. Berkerut dahi Tarmizi memerhatikan gelagat sahabatnya itu. Apa yang tak kena? Bisiknya dalam hati. Dia berfikir sama ada mahu bertanya ataupun tidak.

“Kenapa, Ayin?” soal Tarmizi akhirnya.

Terkebil-kebil dia memerhatikan raut wajah Nazrin dari tepi.

Nazrin menoleh sekilas ke arah Tarmizi sebelum kembali membuang pandang ke arah cermin hadapan. Sesekali matanya melirik ke arah cermin sisi. Menilik-nilik jalan yang baru sahaja ditinggalkan. Tiada beza. Jalan itu masih gelita.

“Kau tak bau apa-apa ke, Miji?” soal Nazrin tiba-tiba.

“Bau apa pulak?”

Tarmizi menggeleng. Dia pantas cuba menghidu-hidu sesuatu. Ditarik nafasnya pendek-pendek dan berkali-kali. Seketika, mukanya berubah merah padam. Laju tangan kanannya menekup hidung yang kembang kempis dek terbaukan sesuatu.

“Bau busuk sangat ni, Ayin. Bau apa pulak ni?” soal Tarmizi.

Terus dia menutup hidung. Tidak sanggup menghidu bau itu yang sudah mencucuk rongga hidungnya.

Nazrin hanya menggeleng tanda tidak tahu. Hendak dikatakan ada mayat di dalam keranda di belakang, mayat sudah lama diturunkan. Nazrin dan Tarmizi saling berpandangan. Perasaan tidak enak mula menyelubungi hati kedua-duanya.

Apa pulak lagi ni yang tak kena, desis hati kecil Nazrin.

“Berhenti tepilah, Ayin. Aku nak pergi tengok belakang,” ujar Tarmizi.

Laju Nazrin menoleh ke arah Tarmizi. Matanya membuntang memerhatikan riak wajah sahabatnya itu. Tarmizi turut memandang sama. Terkebil-kebil menanti riak balas Nazrin yang dilihat teragak-agak.

“Hujan ni,” balas Nazrin perlahan.

Dia kembali menumpukan perhatian ke hadapan jalan.

“Kejap aje aku tengok. Lagipun ada payung ni,” balas Tarmizi.

Dia sudah berpeluh menahan nafas.

“Yalah.”

Nazrin segera memberi isyarat ke kiri lalu memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Tarmizi melompat turun dari van dan membuka payung di tangan. Laju kakinya melangkah ke belakang van. Pintu dikuak lebar. Keadaan di belakang diperhati untuk mencari punca datangnya bau yang kurang menyenangkan itu. Keranda turut diketuk-ketuk beberapa kali. Tarmizi masih berasa tidak puas hati. Diketuk-ketuk lagi keranda itu. Masih sama seperti tadi, berbunyi kuat dan sedikit bergema.

Tarmizi masih tidak puas hati. Perlahan-lahan penutup keranda dibuka sedikit lalu dia mengintai ke dalam. Sah! Memang tiada mayat di dalamnya. Lampu suluh dicapai. Tarmizi menyuluh sekeliling belakang van. Bimbang kalau-kalau ada sampah ataupun benda-benda yang membuatkan timbulnya bau itu. Kosong. Semuanya kosong!

“Tak ada apa-apa pun. Duduk kat belakang pun tak berbau,” ujar Tarmizi sebaik sahaja punggungnya selesa berada di kerusi bersebelahan pemandu.

“Ni pun dah tak berbau jugak,” balas Nazrin perlahan.

Tarmizi kembali menarik nafas pendek-pendek. Benar. Bau itu sudah tiada. Terkebil-kebil matanya memandang ke arah Nazrin yang sudah meneruskan kembali perjalanan mereka yang tergendala. Tidak tahu mahu berkata apa lagi, sudahnya dia turut membuang pandang ke luar tingkap. Memerhati ke segenap ruang yang gelita. Hanya sedikit sahaja cahaya rembulan yang menyinari seluruh alam.

Nazrin kembali menumpukan perhatian pada jalan raya yang lengang. Hanya sesekali sahaja ada kenderaan yang memotongnya. Selebihnya dia hanya memandu berseorangan di atas lebuh raya itu. Tangannya kejap memegang stereng van jenazah sambil sesekali matanya memerhatikan cermin sisi di kiri dan kanan kenderaan.

Tarmizi membetul-betulkan duduk. Sesekali ditarik-tarik tali pinggang keselamatan. Entah mengapa dia menjadi tidak selesa. Sudah berapa kali dia mengeluh.

Nazrin juga sudah beberapa kali menoleh memandang ke arah Tarmizi. Namun, apabila Tarmizi tidak membuka kata, Nazrin kembali memandang ke hadapan. Hendak ditanya, dia sendiri tidak tahu pucuk pangkal penyebabnya.

“Yin, aku rasa macam bau tu datang baliklah,” ujar Tarmizi.

Berkerut dahi Nazrin mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Segera dia menarik nafas pendek-pendek. Cuba menghidu apa benar bau itu datang kembali. Tidak lama, muka Nazrin menjadi merah padam. Perubahan wajah Nazrin tidak dapat dilihat dengan ketara dek kepekatan malam, namun pandangan mata Tarmizi masih mampu mengesan perubahan wajah sahabatnya itu.

“Kau pun bau, kan?” soal Tarmizi.

“Bau jugak, makin kuat ni, Miji,” balas Nazrin.

Bau itu datang kembali. Bau busuk hanyir darah yang meloyakan. Malah bau itu lebih busuk dan menyengat berbanding sebelumnya. Mahu termuntah Tarmizi dan Nazrin sebaik sahaja bau itu memenuhi rongga penafasan mereka. Bau itu terus-terusan menyesakkan dada. Semakin kuat bau itu datang, makin sukar pula dirasakan untuk terus bernafas.

Nazrin segera membuka tingkap selebarnya dan kenderaan dipecut laju. Sudah tidak dihiraukan rintik hujan yang menggila di luar sana. Sekurang-kurangnya, bau itu dapat dihilangkan dek angin malam yang menderu.

Tarmizi juga tidak menghalang tindakan sahabatnya itu. Dia sendiri sudah tidak tahan dengan bau yang menyengat dan meloyakan itu.

“Yin! Nanti ada R&R kita berhentilah. Kita Solat Isyak dulu, baru kita gerak semula,” ujar Tarmizi.

Nazrin sekadar mengangguk tanda mengerti.

HUJAN masih terus-terusan membasahi bumi. Memberikan rasa sejuk dan nyaman buat penghuni sekitarnya. Hampir setengah jam berhenti istirahat, dua pemuda awal 30-an itu kembali memulakan perjalanan mereka.

Bau yang mengganggu tadi juga sudah tiada. Nazrin menarik nafas lega kerana tidak perlu bersusah payah menahan nafas untuk menghindarkan daripada menyedut bau yang menyengat dan meloyakan. Tarmizi juga sudah boleh bernafas seperti biasa.

“Alhamdulillah, tak ada dah bau tu,” ujar Tarmizi perlahan.

“Alhamdulillah,” ucap Nazrin juga.

Sempat juga dia memeriksa keadaan van sebelum memulakan kembali perjalanan mereka. Maklumlah perjalanan yang bakal ditempuhi masih berbaki agak jauh.

Dalam kepekatan malam, tidak banyak kereta yang berselisih. Sesekali sahaja mereka akan bertembung dengan kenderaan yang memandu di arah yang bertentangan. Sesekali juga ada kenderaan lain yang memotong mereka. Itu lumrah di lebuh raya.

“Gelap betul kawasan ni,” ujar Nazrin.

“Kenapa? Takkan takut gelap kut, Ayin,” balas Tarmizi sambil tersengih lebar.

Matanya dikecilkan sambil membuat riak wajah nakal.

Nazrin sekadar tersenyum nipis.

“Tak adalah. Cuma takut nak speedaje. Gelap sangat.”

“Kau nak tahu sesuatu tak, Ayin?” soal Tarmizi tiba-tiba.

Hilang sudah sengihan lebarnya. Lenyap terus riak wajahnya yang nakal. Segalanya bertukar tegang dan serius.

Nazrin mengerling rakannya sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian di hadapan jalan. Suasana yang gelap-gelita memaksa dia untuk memberi tumpuan sepenuhnya ke atas jalan raya. Tidak boleh silap kalau tidak mahu malapetaka melanda mereka.

“Kau jangan nak mengadalah,” ujar Nazrin, tegas.

Dia tahu pasti Tarmizi ingin menyakatnya. Bukan dia tidak kenal perangai sahabatnya itu.

“Nak ke tak?” soal Tarmizi lagi.

Nazrin mengerling rakannya lagi. Dia menilik-nilik riak wajah Tarmizi sekilas sebelum pandangan matanya kembali dihalakan ke hadapan. Riak wajah itu serius, kononnya topik yang bakal diutarakan juga serius. Padahal entah apa-apalah yang hendak disakatnya. Fikir Nazrin sendiri.

“Apa?” soal Nazrin akhirnya.

“Orang kata, kalau kawasan gelap macam ni selalunya banyak hantu berkeliaran,” ujar Tarmizi, separuh berbisik.

“Ah! Sudahlah kau. Aku dah agak dah, mesti benda mengarut ni jugak yang kau nak cakapkan,” rungut Nazrin.

Serius raut wajahnya dengan dahi berkerut. Benarlah apa yang ditebaknya, pasti Tarmizi ingin menyakat.

“Apa pulak mengarutnya, Ayin? Ni bukan aku yang cakap, tapi orang yang cakap,” ujar Tarmizi.

Mukanya masih serius memandang ke arah Nazrin yang jelas sudah tidak senang duduk.

“Yalah! Aku tahulah orang cakap, bukan kau cakap. Tapi, perlu ke kau beritahu aku malam-malam buta begini? Gelap ni, Miji. Hisy, kau ni,” rungut Nazrin, geram dengan sikap rakannya..

“Aik! Takkan dah besar panjang pun masih takut,” ujar Tarmizi sambil tersengih lebar.

Senang hatinya dapat menyakat sahabat baiknya itu.

“Aku ni nak kata takut tu taklah, Miji. Cuma aku segan aje,” balas Nazrin sambil tersengih juga.

Dia tahu perangai Tarmizi. Kenal benar dia dengan sikap Tarmizi yang gemar menyakat. Dia pun tidak kurang kalahnya.

“Aku pun. Segan banyak dengan benda bukan-bukan ni. Silap hari bulan, boleh pengsan dibuatnya,” tokok Tarmizi.

Rancak mereka berbual hinggalah tiba di satu kawasan berbukit. Kiri dan kanan dipenuhi bukit-bukau dan gunung-ganang. Segalanya kelam dan suram. Perbualan yang rancak seakan-akan hilang punca. Semerta keduanya mengunci bicara.

Dari jauh Nazrin sudah ternampak sesuatu di tengah jalan. Kelajuan kenderaan diperlahankan mendadak lalu van jenazah itu diberhentikan betul-betul di kawasan berbukit itu. Tercengang-cengang Tarmizi melihat Nazrin. Mukanya jelas dipenuhi tanda tanya.

“Dah kenapa berhenti pulak ni, Ayin?” soal Tarmizi.

Dia terpinga-pinga. Sesekali dipandang wajah Nazrin yang diam membisu. Sesekali pula diliarkan pandangan matanya ke luar van. Kiri dan kanannya masih sama, dipenuhi bukit-bukau dan gunung-ganang yang tersergam gagah.

“Tu... tu...” balas Nazrin sambil memuncungkan mulut.

Mukanya masih tegak dihalakan ke depan. Langsung dia tidak menoleh walaupun cuma sekilas.

“Apa yang tu?” soal Tarmizi, tidak mengerti.

Tarmizi segera menoleh ke arah yang dilihat Nazrin. Sebaik sahaja memandang, mukanya berubah riak. Nun di depan sana, berdiri satu perempuan berjubah putih di tengah jalan. Perempuan itu kelihatan sedang memandang tajam ke arah mereka. Dengan mata yang menyinar merah menyala, muka yang berkedut-kedut dan pandangan matanya berbaur amarah.

“Dia lagi,” ujar Nazrin perlahan.

Nazrin masih memandang sesusuk tubuh di hadapannya. Mulutnya pula terkumat-kamit membaca beberapa potong ayat-ayat suci lalu disusuli Ayatul Kursi. Tarmizi di sisi juga berkeadaan sama. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa pelindung.

“Pergilah. Kami nak lalu ni!” ujar Nazrin agak kuat.

Perempuan berjubah putih itu masih tidak berganjak. Dia terus-terusan memandang ke arah Nazrin dan Tarmizi. Mukanya tetap beriak garang. Bengis dan menyeramkan. Matanya bersinar-sinar disilau cahaya lampu kenderaan.

Kemudian, perlahan-lahan perempuan itu bergerak ke hulu dan ke hilir. Tingkah lakunya seakan-akan sedang mundar-mandir di antara dua lorong lebuh raya itu. Walaupun perempuan itu kelihatan mundar-mandir, pandangan mukanya tetap menghala ke arah Nazrin dan Tarmizi.

“Nak buat apa ni, Ayin?” soal Tarmizi.

Dahinya sudah mula berpeluh dingin. Bulu roma di tengkuk semerta meremang.

“Syy...”

Nazrin kembali terkumat-kamit membaca beberapa potong ayat suci. Ayatul Kursi turut dibaca dan diulang sebanyak tujuh kali sebelum dihembus lembut ke arah perempuan berjubah putih itu.

“Pergilah. Kami nak lalu jalan ni,” ujar Nazrin lagi.

Kali ini nada suaranya lebih keras dan lantang.

Beberapa saat kemudian, perempuan berjubah putih itu berhenti melangkah. Pandangan matanya masih dihalakan ke arah Nazrin dan Tarmizi yang berada di dalam van jenazah. Pandangan mata itu masih berbaur marah dan dendam. Matanya kekal merah menyala.

Tidak lama, perempuan itu melayang ke udara lalu hilang di balik pekat malam. Buntang mata Nazrin melihatnya, manakala Tarmizi terlopong memandangnya. Sebaik sahaja perempuan berjubah putih itu lenyap daripada pandangan, tanpa berlengah Nazrin terus memecut kenderaan selajunya. Kaki dan tangannya sudah mula menyejuk. Darah di muka terasa mengering. Baru dirasa jantungnya berdegup laju.

“Apa…apa tadi tu?” soal Tarmizi tergagap-gagap.

Keadaan dirinya juga lebih kurang Nazrin. Mukanya berubah pucat lesi. Itulah pertama kali dia melihat makhluk di alam lain melayang betul-betul di depan mata.

“Entah! Tapi aku rasa tu perempuan yang kita nampak sebelum ni. Muka dia serupa,” balas Nazrin.

“Dia tu... bukan manusia,” ujar Tarmizi perlahan sambil cuba menenangkan hati yang galau.

“Tulah kau! Sebut lagi benda bukan-bukan. Kan dia dah datang. Nasiblah dia tak tercongok terus kat jalan tu, kalau tak macam mana kita nak lalu,” balas Nazrin sambil melepaskan keluhan panjang.

“Betullah aku cakap tadi,” ujar Tarmizi tiba-tiba.

“Apa yang betulnya?”

“Betullah kita akan jumpa dia lagi. Hati aku ni yakin yang lepas ni pun kita akan jumpa dia lagi,” jelas Tarmizi tenang.

Ketakutan hati berjaya dibuang setelah mereka agak jauh meninggalkan kawasan berbukit itu.

“Rezeki betullah malam ni, macam-macam pulak dugaannya. Sebelum ni elok aje.”

Nazrin melepaskan keluhan kecil.

“Tak elok mengeluh macam tu. Rezeki malam ni kita anggap aje dugaan ALLAH. Tu tandanya ALLAH sayangkan kita, Dia ingat kitalah ni,” balas Tarmizi.

Dia cuba berfikir secara positif. Kalau dia negatif, Nazrin juga negatif, pastilah tidak elok untuk perjalanan malam mereka.

“Yalah. Aku tahu tu.”



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku