Andartu Confessions
Genre: Umum
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 02 Julai 2016
Hana dikelilingi oleh ramai rakan perempuan yang belum berkahwin walaupun usia sudah melebihi 30 tahun. Dia berpendapat perempuan-perempuan ini kuat memilih, sehingga satu hari dia sendiri membongkar kisah di sebalik kehidupan mereka yang tidak disangka-sangka. (Spin-off kisah #AlifHana dalam Aku Terima Cintanya.)
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)
26514

Bacaan






"Gosip! Gosip!"

Hana yang baru selesai menyemak buku latihan anak-anak murid, terus menoleh. Shira terkedek-kedek datang merapat.

"GPK yang baru tu... bujang lagi, kau!"

Terlopong Hana, Wany, dan Nikmah yang mendengar.

"Serius? Umur dia berapa... dah dekat 50, kan?"

Wany menggeleng-geleng. "47, 48 kalau tak salah aku. Ish... emak aku umur macam itu dulu anak dah tujuh!"

Sahut Nikmah, "Yalah, emak aku umur 49 dah timang cucu."

"Pelik aku," kata Hana, "dah nak taraf nenek, tapi masih tak kahwin. Muka boleh tahan. Bergaya. Memilihlah tu!"

Tiba-tiba dehem garau kedengaran dari belakang. Cepat-cepat cikgu muda berempat itu bersurai.

"Bulan puasa, syaitan tak bertugas. Pun ada pesta mengumpat."

Cikgu Huzer melintas di belakang kerusi Hana dan menyambung, "Kita ni, walaupun dah kahwin, belum tentu lebih baik daripada orang bujang."

Hana mencebik. "Yalah, PU Huzer. Kalau tak suka, jangan dengar."

Tersengih Cikgu Huzer.

"Saya terdengar, lalu tertegur. Kalau saya tak tegur, saya terpalit sama."

"Whatever!"

◊◊◊

Alif sedang menyunting foto-foto sebuah majlis berbuka puasa sewaktu Hana masuk ke rumah dengan wajah mencuka. Dia menghempas tubuh ke sofa. Alif hanya memandang sekilas, lalu meneruskan kerja.

"Abang tahu, GPK baru sekolah kami tu rupanya tak kahwin lagi. Eh... umur dah dekat 50. Tak kahwinlah agaknya, bukan tak kahwin lagi."

Alif menjongket kening kanan.

"Itukah sebabnya awak masam muka ni?"

"Tak adalah... si Huzer tadi. Boleh pula ceramahkan kami, acah-acah ustaz. Padahal dia bukannya baik sangat pun!"

Alif tergelak kecil. "Random betul awak petang ni."

Hana bersandar berpeluk tubuh. Wajahnya berkerut-kerut. Dia kemudian memusingkan badan menghadap Alif yang masih tekun memandang skrin laptop.

"Abang, syukur sangat kita dah kahwin. Saya rasa pelik betul tengok orang yang umur dah lanjut, dah 40-an, tapi masih tak kahwin-kahwin. Lagi-lagilah perempuan. Mereka tak ada perasaan ke? Memilih sangat kot? Tak pun, anti lelaki. Eh, tak fahamlah saya."

Bebel Hana lagi, "Kalau emaklah, mahu hari-hari dileternya suruh kahwin. Kita dulu, umur tak cecah 30 pun emak dah bising. Ini dah dekat 50!"

Alif menutup laptop dan memandang isterinya.

"Kita tak tahu, kita tak berada dalam situasi mereka. Cakap lebih-lebih, buruk sangka pula. Jatuh fitnah nanti."

Hana memuncung. "Abang pun dah macam pencetus ummah. Hish!"

Ketawa Alif lalu menyambung, "Bukankah awak dulu selalu habiskan kuih terakhir dalam pinggan?"

Hana menjelir. Ketawa Alif makin kuat. Dia kemudian menggenggam tangan Hana.

"Kita syukur apa yang kita ada. Kita doakan yang terbaik buat orang yang tak ada."

◊◊◊

Usai tarawih malam itu, Hana duduk di hadapan televisyen sendirian. Alif sudah masuk tidur. Hana merenung televisyen sambil berfikir.

'Apa sebab ada perempuan tak nak kahwin? Lepas tu marah pula kalau orang tanya.'

'Tak sunyi ke? Aku kalau abang tak ada sehari pun, dah rasa sunyi macam nak gila.'

'Tak takut ke mati seorang diri kalau tak kahwin? Suami tak ada. Anak tak ada. Hish!'

Tangan mencapai handfon, lalu Hana membuka Facebook. Dia menaip status.

"Apa sebab ada perempuan yang tak kahwin-kahwin walaupun usia dah lanjut? Saya tanya betul-betul ni, sebab sangat musykil. Mungkin ada puncanya yang saya tak terfikirkan. Boleh kongsi cerita? Kalau segan, PM tepi. #jangankecamsaya"

Satu like. Dua like. Sebelas like. Masuk komen.

Erna Nazir: Saya umur 35. Bukan tak nak kahwin. Tapi sibuk sangat kerja, tak perasan umur dah meningkat. Ada ke yang sudi? Hihi.

Shania Ali: Kakak saya frust dengan lelaki Melayu. Umur dah 42. Sekarang dia travel keliling dunia, nak cari jodoh orang luar katanya. Doakan dia.

Tukang Karut: Memilihlah tu. Macamlah muka cantik sangat.

Nurhana Aisyah: Tukang Karut kahwin tak memilih ke? Main sebat saja tepi jalan?

Halle Zulqarnain: Same here with Erna Nazir. Tapi okey saja, sebab dah biasa hidup sendiri. So, it's not a big deal. Even my mom doesn't force me. I don't think I need a man in my life anymore.

Tukang Karut: Amboi, boleh tahan mulut kau Nurhana Aisyah.

Emi Amin: Lelaki baik dah sold out.

Syeikhul FB: Kepada yang masih belum kahwin, eloklah cepat. Rugi orang tak kahwin ni, Nabi tak mengaku umat! Bertaubatlah!

Nurhana Aisyah: Tukang Karut #deleteyouraccount

Jenna Jamil: Umur dah macam ini, laki orang saja yang nak pada aku. Aku okey, masalahnya bini mereka yang tak okey. Ha ha ha.

Firhad Saari: Saya masih solo. Tak kisah perempuan umur berapa asalkan beriman. PM.

Halle Zulqarnain: Syeikhul FB dalil please?

Khairunisa Umar: Jenna Jamil kira okey lagi laki orang. Saya, asyik adik-adik yang datang. Kalau beza setahun dua tak apa lagi. Ini sampai lapan, sembilan tahun. Tak mahulah anak ikan!

Nurhana Aisyah: Khairunisa Umar okey apa? Noona sarang. (Cinta kakak - trend Korea). Kih kih kih.

Erna Nazir: Hai Firhad Saari. ^_^

Tudung Bawal Online: Mak ayah dah tak ada. Perlu besarkan adik-adik dulu. Baru boleh fikir kahwin.

Zara Rahmad: Bab ini sebenarnya... perempuan yang dekat nak cecah usia 30 akan rasa kalut nak bersuami. Tapi lepas saja umur 30, dia dah malas nak fikir dah. Kalau ada, ada. Kalau tak ada, takkan nak marah Tuhan pula.

Syeikhul FB: Khairunisa Umar sedangkan Nabi Muhammad dengan Khadijah pun jarak umur 15 tahun. Kahwin sajalah apabila ada lelaki baik yang hendakkan kamu. Inilah perempuan moden zaman sekarang. Ego! Terlampau memilih sampai mengetepikan suruhan Allah. Astaghfirullah!

Khairunisa Umar: Err....

Nurhana Aisyah: Allahu....

Fitriyah Yusuf: Semua yang akak berkenan, emak akak tak berkenan. Syurga di bawah tapak kaki ibu oi....

Lisa Takoyaki: Sama, Fitriyah Yusuf. Emak saya letak syarat, macam tak nak beri kahwin selama-lamanya pun ada. Huhu!

Syeikhul FB: Solat orang yang dah berkahwin lebih baik daripada solat orang bujang. Awas bagi orang yang menolak untuk berkahwin!

Huzer Ahmad: Syeikhul FB itu hadith sangat daif dan ada yang palsu. Tak semua orang yang dah berkahwin hatinya lebih tenang dan khusyuk semasa solat berbanding orang yang belum kahwin. Hati-hati, jangan sampai terfitnah Nabi. Wallahu alam.

Ain Zaharah: Zara Rahmad agreed! Kita bukan tak usaha. Tapi dah usaha, sampai hari nak bernikah pun masih tak jadi juga, nak buat macam mana?

Delila Junaid: Let's pray for them, dear.

Hana baca satu per satu komen yang ditulis. Rancak. Sehinggalah PM mula masuk, dia terpempan.

---

PM #1: Anak Solehah

Assalamualaikum Hana.

Kakak dah umur 39, dan masih belum kahwin. Kakak sendiri yang pilih jalan ini.

Ibu kakak dah lama meninggal. Sekarang ayah kakak tak sihat dan perlu ulang alik ke hospital untuk rawatan.

Adik beradik cuma kakak dan adik lelaki seorang. Adik dah kahwin, ada empat anak, alhamdulillah.

Memanglah orang kata, patutnya anak lelaki yang jaga ibu bapa. Tapi, kasihan juga kepada adik ipar kakak kalau adik kakak terpaksa jaga ayah. Anak mereka dah ramai, tambah satu tanggungan lagi. Jadi, kakak ambil keputusan untuk jaga ayah selagi dia masih ada.

Doakan kakak tabah ya. Hana pun jaga diri.

---

PM #2: Tunangku Lari Tidak Berani

Salam.

Lima tahun lepas, kami dah rancang nak kahwin. Tapi ujian Talasemia saya gagal. Saya disahkan menghidap Talasemia Major. Lalu dia tinggalkan saya.

Adakah lelaki yang nak kahwin dengan perempuan berpenyakit? I wonder... hmm....

Syukur juga, Tuhan tak kahwinkan saya dengan dia. Baru Talasemia dia dah lari. Kalau HIV, lagi lintang-pukang dia cabut agaknya. Apalah punya lelaki? Haha....

---

PM #3: Balu Sebelum Nikah

Salam.

Dah tujuh tahun, akhirnya saya mampu juga nak bercerita kepada orang lain.

Bukan tak nak kahwin, Hana. Saya dulu pernah bertunang. Tiga tahun. Lama, kan?

Fuad lelaki baik, Hana. Lembut, sopan, pandai ambil hati orang tua. Dialah yang banyak buka hati saya untuk berubah. Daripada gadis sosial, saya mula tutup aurat. Dia didik saya supaya tak tinggal solat dan puasa. Alhamdulillah, syukur sangat saya kenal dia.

Hubungan kami jarak jauh. Saya di Malaysia, dia kerja di Australia. Jadi kami jarang jumpa. Tapi dia lelaki yang sangat setia.

Kami rancang nak kahwin sebelum masuk tahun keempat, sebaik dia selesai kerja di sana. Tapi, dia pergi dulu....

Fuad meninggal dunia, kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke airport untuk terbang pulang ke Malaysia. Back for good.

Memang dia 'back for good' sungguh, Hana. Jenazah dia saja yang tiba untuk saya.

Setahun lebih saya berkurung dalam rumah. Tak daya menerima takdir. Emak ayah saya hantar berubat macam-macam. Tapi saya masih kemurungan teruk. Sehinggalah mereka bawa saya menunaikan umrah. Baru saya sedar itu semua qada dan qadar Allah. Baru saya mampu kembali hidup seperti orang lain.

Sampai sekarang, Fuad masih dalam hati saya. Saya tak menolak jodoh dengan orang lain, tapi saya fikir alangkah kasihannya suami saya kalau hanya jasad saya berada di sisinya. Sedangkan hati dan fikiran saya kepada lelaki lain. Jadi, saya perlu lelaki yang sanggup menerima keadaan saya seadanya, dan bersungguh-sungguh berusaha mengubati rindu saya kepada arwah Fuad.

Itulah kisah saya. Doakan yang terbaik untuk saya, Hana.

---

PM #4: Hamba Berdosa

Salam, Hana.

Kita tak pernah jumpa berdepan, tapi saya follow Hana dah lebih setahun di FB.

Soalan Hana tentang kenapa ada perempuan lanjut usia tak berkahwin?

Saya salah seorang daripadanya. Umur saya sekarang 48.

Kenapa saya masih tak kahwin?

Sebab... saya pernah terlanjur sekali. Dengan kekasih saya. Tapi alhamdulillah saya tak mengandung.

Kemudian, ibu bapa saya dapat tahu. Mereka halau kekasih saya. Entahlah... bukankah sepatutnya mereka kahwinkan saja kami? 

Sampai sekarang saya tak tahu di mana dia berada. Entah dah kahwin, entah belum. Entah di Malaysia, entah di luar negara. Entah hidup, entah mati.

Saya rasa sangat berdosa, dan rasa tak layak untuk jadi isteri kepada sesiapapun. Jadi, saya tutup hati rapat-rapat daripada lelaki. Isunya bukan tentang lelaki manalah yang sanggup ambil saya sebagai isteri, tetapi lebih kepada saya sendiri yang tak sanggup nak menyerahkan diri yang kotor ini kepada mana-mana lelaki.

Saya pun tak harap kekasih saya datang semula. Cuma saya doakan dia juga dah bertaubat.

Selalu orang main redah saja tanya, "Kau bila nak kahwin? Kau kenapa tak nak kahwin?" Memang saya balas dengan senyum, tapi remuknya hati menerima soalan-soalan dan tuduhan semacam itu, hanya Allah yang tahu.

Semoga menjawab persoalan Hana.

Jaga diri, semoga Hana dan Alif bahagia sampai ke syurga. Mohon doakan taubat saya diterima. Amin.

---

PM #5: Hanya Untuk Bonda

Assalamualaikum Hana.

Bukan semua orang ceritanya sama. Bukan semua perempuan lanjut usia tak kahwin sebab ego, memilih, ataupun anti lelaki.

Saya dibesarkan oleh emak yang tabah, walaupun saban hari kena belasah dek suami sendiri.

Ayah saya kaki judi. Kadang-kadang balik mabuk. Emak cuma ambil upah jahit baju, tapi hari-hari kena rompak dengan suami sendiri. Tak dapat, teruk emak kena pukul. Sampai bukan setakat lebam, tapi patah riuk. Dalam sebulan sampai dua tiga kali berulang ke hospital.

Akhirnya, masa saya Tingkatan 4, saya bawa emak lari. Sampai ke hari ini. Dengarnya, ayah saya dah masuk penjara. Bunuh orang sebab kalah judi.

Emak saya cantik, tapi sekarang dia trauma pada lelaki. Dia boleh menggeletar ketakutan walaupun lelaki itu hanya bertanya khabar. Tak sanggup rasanya saya nak bawa lelaki jumpa emak, dan beritahu itu bakal suami saya. Tak sanggup.

Orang boleh kata perempuan seperti saya beri alasan macam-macam untuk tidak berkahwin, sehinggalah sesuatu berlaku kepada mereka dan mereka sendiri akan tahu apa rasanya dituduh memberi 'alasan.'

Biarlah saya tak kahwin, demi hati emak tenang. Saya terima takdir ini dengan reda.

---

Hana menekup wajah. Nafas ditarik dalam-dalam, dan dihembus perlahan.

"Astaghfirullah al azim. Astaghfirullah al azim."

◊◊◊

Jam 3.30 pagi. Hana bangun dan membersihkan diri. Sejadah dibentang. Takbir diangkat, sehingga rakaat terakhir dia sujud. Lama.

Usai salam, dia menyelak sedikit telekung. Meraup wajah yang basah.

"Awak bangun tahajud tak ajak abang pun."

Hana terkejut. Dia menoleh. Alif tersenyum lalu duduk di sisi.

Serta-merta air mata Hana gugur lagi.

"Hana ni... banyak sangat dosa, abang. Banyak sangat buruk sangka pada orang. Tak pernah fikirkan perasaan orang lain. Hanya rasa diri sendiri saja yang penting, bertuah, dan betul."

Alif duduk berlutut menghadap isterinya. Dia mengesat air mata Hana dengan tangan. Wajah hiba sang isteri direnung.

Sambil tersedu-sedu, Hana berkata lagi, "Dulu, setiap kali balik kampung beraya, saya perli-perli Kak Rahah, anak Mak Long yang tak kahwin walaupun umur dah lebih 40. Tapi dia diam saja, tak pernah balas apa-apa."

Hana memejamkan mata.

"Sampai dia meninggal dunia dua tahun lepas, dia tak pernah masam muka kepada saya. Sedihnya, abang. Dia orang baik. Waktu pengkebumian, ramai sangat orang datang ziarah. Berdosanya saya kepada Kak Rahah... yang sampai sekarang saya masih tak tahu apa sebab dia tak kahwin."

Tubuh Hana didakap erat. Alif mengusap-usap kepala isterinya, lalu berkata, "Kita sentiasa buat silap, dan Tuhan sentiasa beri peluang untuk kita sedar. Dia pilih hari ini, malam ini untuk awak. Akhir Ramadan. Istimewa."

Reda sedikit tangisan Hana, Alif mencapai handfon. Dia mengunjukkan sesuatu.

Hana membaca artikel yang terpapar. Dia mengetap bibir, menahan air mata yang bersisa. Wajah Alif dipandang, lalu dikucup tangan suami yang sering jadi penenang.

◊◊◊

Status Facebook Nurhana Aisyah.

"Alhamdulillah, daripada perbincangan di status semalam, saya dapat belajar sesuatu yang sungguh mahal.

Ulama Turki, Badiuzzaman Said Nursi, adalah salah seorang ulama besar dalam sejarah Islam yang tidak berkahwin. Bukan kerana tidak mahu, tetapi keadaan tidak mengizinkan beliau berjodoh dengan sesiapapun sehingga ke akhir hayat.

Daripada Said Nursi dan tafsir Risalah an-Nur yang beliau tuliskan, saya mempelajari bahawa keadaan seseorang manusia itu adalah ditetapkan sepertimana yang Allah suka. Jodoh, hidup, dan mati adalah perkara ghaib yang hanya mampu dikawal oleh Dia, mengikut kemahuan Dia.

Ada orang yang Allah temukan jodoh, kerana Dia suka orang itu dalam keadaan berkahwin. Ada pula orang yang Allah biarkan tidak berkahwin, kerana Dia suka orang itu dalam keadaan bujang. Begitu juga orang yang dikurniakan anak dengan yang tidak, dan sebagainya.

Ini menjawab persoalan mengapa ada orang berusaha untuk berkahwin, tetapi tidak jadi kahwin. Dan ada pula yang tidak merancang untuk berkahwin, tup tup bertemu jodoh pula.

Justeru, tidaklah berhak bagi kita sebagai manusia yang tidak mengetahui perkara-perkara ghaib, bertanyakan soalan-soalan peribadi 'cepu emas' kepada seseorang walaupun dengan niat untuk berbasa-basi. Apatah lagi apabila kita tidak tahu menahu latar sejarah hidup mereka. Boleh jadi di sebalik senyum yang dilemparkan, hatinya tersinggung. Kita pula jadi penyimbah cuka kepada luka mereka.

Terima kasih kepada tuan suami, Alif Farhan Zaidi yang berkongsi pengisian ini. 

Doakan cahaya mata kami nanti lahir dalam keadaan sihat, ceria, dan membesar menjadi anak yang baik serta menyenangkan semua orang. Amin."




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku