MENANTU - DEBAR ISNIN THRILLERTHRILL
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 25 Julai 2016
Penilaian Purata:
(25 orang telah menilai karya ini)
5433

Bacaan






MENANTU

...suatu hari di hari raya

Karya IZZA ARIPIN

Batang rokok disepit pada celah bibir sambil kedua-dua belah tangan memusing stering. Kenapa macet sangat ni? Ada rumah terbuka di depan sanakah? Dia berdengus. Puas memulas stering, tayar kereta kembali lurus ke depan. Maka tangan kanan pantas mengepit rokok yang tinggal separuh. Asap dihembus keluar dari hidung dan mulut. Pergerakan kenderaan mula sedikit lancar. Dari jauh dia ternampak seorang polis trafik sedang mengawal lalu lintas.

Dia mengangkat tangan tanda terima kasih kepada pegawai polis itu yang membukakan jalan kepadanya untuk memasuki lorong sempit. Seorang polis berseragam biru gelap mengalihkan penghadang jalan sebaik sahaja ternampak keretanya. Orang banyak berpusu-pusu menjengah-jengah di sebalik penghadang jalan dan tali kuning yang direntang.

Oh... bukan rumah terbuka. Tetapi rakyat Malaysia yang terlebih prihatin sengaja memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Masing-masing sibuk mahu tahu kejadian yang berlaku di situ. Bukannya dapat tengok pun. Buang masa sahaja mereka menunggu dan terjengah-jengah.

Kereta diberhentikan di bawah pokok kelapa. Sewaktu keluar dari kenderaan, dia mendongak ke atas hendak melihat kalau-kalau ada pelepah nyiur tua atau kepala tua. Bimbang kalau jatuh terkena pula pada cermin kereta. Hendak meletakkan kereta di tempat lain, memang tiada ruang. Halaman yang separuh luas itu telah dipenuhi kereta peronda dan ambulans.

Izz Qhuzairy menebarkan pandangannya ke kawasan sekeliling. Jika tanpa kehadiran kereta peronda dan ambulans, pasti rumah ini sangat aman dan damai. Separuh lamannya ditutupi batu-batu putih dan separuh lagi dengan rumput karpet. Pohon nyiur barbaris di sekeliling laman yang berbentuk seakan-akan empat segi. Rumah kampung yang dibuat daripada kayu berwarna coklat gelap itu beratapkan bumbung zink. Lampu kelip-kelip yang tidak bernyala digantung mengelilingi rumah. Manakala pelita minyak tanah yang dipasang pada batang buluh disusun di sekeliling laman. Pasti suasana malam rumah ini meriah.

Malangnya kemeriahan itu sirna dengan kehadiran kenderaan berlampu biru merah di bumbung dan bersiren. Entah apa yang telah berlaku di rumah ini pada pagi hari pertama bulan Syawal?

Kelihatan dua orang pegawai polis wanita sedang mengiringi seorang wanita turun dari rumah. Baju kurung yang dipakainya terkesan tompokan darah di sana sini. Tangan wanita itu digari dan disuruh masuk ke dalam van berwarna biru gelap.

“Tuan!” Sarjan Mat yang terlihat keretanya tadi segera menegur.

“Kisah apa pula pagi raya ni, Jen?” Izz Qhuzairy membuang puntung rokok ke tanah. Dia berjalan beriringan dengan Sarjan Mat untuk masuk ke dalam rumah kampung yang cantik binaannya.

“Suatu hari di hari raya...” Wajah Sarjan Mat sugul. Kata-kata yang dituturkannya tadi yang sepatutnya bernada ceria berbunyi kesal. “Suspek utama... Mohaini Sidin, 32 tahun. Menurut keterangan jiran, suspek sudah berkahwin dengan mangsa lebih kurang lima tahun. Dikurniakan tiga orang anak. Ini rumah keluarga suaminya.” Sarjan Mat memulakan laporan.

Izz Qhuzairy tekun mendengar sambil memanjat anak tangga kayu dan masuk ke dalam rumah. Terus bibirnya beristighfar. Suatu hari di hari raya...

“Hamdan bin Joned, suami mangsa. Berumur 38 tahun. Bekerja sebagai pengurus di Kuala Lumpur.” Sarjan Mat terus bersuara.

Izz Qhuzairy menelan air liurnya melihat keadaan mangsa yang mengerikan. Hamdan terduduk di atas kerusi rotan, tersandar dengan kepala terdongak ke atas. Matanya terbeliak dengan mulutnya dipenuhi berpuluh puntung rokok. Sudah tentu sebelum kematiannya, kesemua puntung itu sedang bernyala berdasarkan keadaan bibir yang melecur. Kulit di sekeliling mulut dan hidung juga ada kesan terbakar. Pada perut mangsa, sebilah spanar masih terbenam. Darah pekat sudah kering pada pakaian dan seluarnya. Izz Qhuzairy tidak pasti sama ada Hamdan diseksa dahulu dengan batang rokok atau dia ditikam dahulu. Pakar forensik akan menentukan nanti.

Melihat akan kengerian mayat Hamdan, Izz Qhuzairy bersumpah tidak mahu merokok lagi. Baunya sungguh memualkan secara tiba-tiba. Dia terasa ingin muntah.

Tidak jauh dari Hamdan, terkujur kaku di atas lantai, dua warga tua lelaki dan wanita. Kedua-duanya cedera di perut dan kepala. Kecederaan di perut kelihatan seperti ditikam dengan senjata tajam. Manakala kecederaan di kepala pula seperti diketuk dengan benda tumpul. Namun kedua-dua senjata tidak kelihatan ada berdekatan dengan mangsa. Menurut Sarjan Mat, kedua-dua mangsa ialah Haji Joned Abu dan Hajah Meriam Abdullah, ibu dan bapa kepada Hamdan.

Keadaan hingar seketika dengan suara kanak-kanak menangis dan berteriak. Perhatian Izz Qhuzairy dan Sarjan ditarik ke arah bahagian dalam rumah. Kelihatan tujuh orang kanak-kanak antara umur tiga hingga 12 tahun sedang dibawa keluar oleh sekumpulan polis wanita. Wajah mereka ditutup dengan kain. Sudah pasti mahu mengelakkan mereka terlihat mayat-mayat yang masih terbujur di ruang tamu.

“Anak-anak dan anak saudara mangsa. Kesemua mereka diikat dan dikurung di bilik belakang. Tak cedera,” lapor Sarjan Mat dengan nada yang lega. Tidak ada apa-apa yang lebih menyayat hati melainkan melihat kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan mengerikan. Sudah banyak kali dia menjadi saksi akan kekejaman manusia yang berhati syaitan. Hatta binatang pun lebih berhati perut.

“Ini saja ke mangsa?” Izz Qhuzairy melepaskan pandnagan ke segenap ruang tamu yang berhias indah. Langsir baharu. Karpet baharu. Kuih raya masih penuh di dalam balang raya yang cantik. Semuanya indah kecuali tiga penghuni yang sudah tidak lagi bernyawa. Suatu hari di hari raya....

“Ada. Di dalam bilik dan di dapur.” Sarjan Mat berjalan mendahului Izz Qhuzairy.

Sepeninggalan mereka, pasukan forensik menyambung tugas mereka membungkus mayat untuk dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Sebentar tadi sebelum ketibaan Izz Qhuzairy, mereka telahpun mengambil gambar tempat kejadian dan mengumpulkan bukti.

Di dalam bilik tidur, Izz Qhuzairy dihidangkan dengan satu permandangan yang lebih sadistik. Mangsa seorang perempuan. Kedua-dua belah tangan diikat dengan selendang pada kepala katil. Kakinya turut diikat dalam keadaan terkangkang. Mangsa disula menggunakan batang penyapu! Modus operandi yang hampir sama dengan kejadian ngeri di negara jiran tidak lama dahulu.

“Siapa mangsa ni pula?” Izz Qhuzairy keluar dari situ. Tidak sanggup menonton kengerian yang terlalu sadis.

“Rozilah Daud. Biras mangsa iaitu kakak ipar Hamdan.”

“Suaminya?”

“Sebentar, tuan. Kita kita dapur dahulu. Mangsa juga merupakan adik ipar suspek. Nurulizan. Belum berkahwin dan masih belajar di sebuah IPTS.” Sarjan Mat menunjukkan mangsa keempat.

Mulut mangsa berlumuran darah bercampur cecair putih berbusa. Bau sabun basuh kuat menusuk hidung. Terdapat beberapa botol besar 10 liter bersepah di sana sini. Isi botol berkenaan sudah dikeluarkan. Izz Qhuzairy bertinggung untuk melihat mangsa dengan lebih dekat.

“Mangsa diberi minum air sabun?” Teringat dia akan cerita datuknya mengenai askar Jepun yang menyeksa tawanan perang dengan memberikan mereka minum air sabun hingga perut penuh. Kemudian askar-askar itu meletakkan papan di atas perut tawanan dan mereka bermain jongkang jongket sehingga tawanan mati akibat perut pecah. Sungguh kejam! Dan hari itu, dia pula berpeluang menyaksikan kejadian hampir sama.

“Air sabun bercampur racun rumpai.” Sarjan Mat menambah maklumat.

“Abang mangsa?” Tidak mahu berlama-lama di situ, Izz Qhuzairy segera berdiri dan memerhati ke sekeliling dapur. Pinggan mangkuk penuh di atas sinki. Lemang, ketupat dan rendang masih di atas meja terdedah dihurung lalat.

“Di luar, tuan.” Sekali lagi Sarjan Mat menjadi jurupandu arah. Dia membawa Izz Qhuzairy ke belakang rumah. Pemandangan di situ punya takrif kengerian berbeza. Tiga jasad saling bertimpa hampir rentung dibakar. Kesemuanya lelaki.

“Abidin Joned, suami Rozilah. Fairuz dan Kahar, kedua-duanya adik Abidin. Berusia dalam lingkungan 20-an.” Sarjan Mat membaca nota yang dicatatkannya tadi.

Izz Qhuzairy segera meninggalkan kawasan itu. Bau mayat terbakar begitu meloyakan. Walaupun sudah biasa menyaksikan kekejaman manusia, setiap satu insiden itu mencatat perasaan yang berbeza-beza. Pada hari itu, hari raya pertama, Izz Qhuzairy diserang pelbagai perasaan. Bagaimana seorang wanita boleh melakukan kekejaman ini sendirian? Betapa tergamaknya dia mencabut nyawa keluarganya sendiri. Lebih sadis lagi, kejadian dilakukan pada hari pertama bulan Syawal. Apakah motif suspek yang bernama Mohaini Sidin itu? Suatu hari di hari raya...

Izz Qhuzairy menarik kerusi di hadapan meja. Di sebelah sana, Mohaini Sidin sedang duduk dengan kepala tertunduk memandang ke bawah. Kedua-dua tangannya masih bergari. Pakaiannya sudah bertukar kepada seragam penjara. Baju yang tidak patut digayakan hari raya kedua.

“Boleh puan ceritakan apa yang berlaku semalam?” Izz Qhuzairy memulakan soal siasat. Petang semalam mereka cuba untuk mendapatkan keterangan suspek. Tetapi suspek pengsan beberapa minit selepas membuat pengakuan. Pemeriksaan doktor mendapati mangsa telah menelan ubat tidur. Mujur dosnya rendah. Suspek terpaksa direhatkan semalaman. Dan pagi itu, Izz Qhuzairy akan berusaha untuk mendapatkan penjelasan kejadian ngeri pembunuhan lapan orang sekeluarga.

Sejak petang semalam, kisah ini telah mendapat liputan media secara besar-besaran. Kejadian ini dikatakan sebagai peristiwa paling kejam berlaku pada bulan Syawal. Tidak sepatutnya berlaku pada saat umat mahu meraikan kemenangan melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan. Seolah-olahnya Mohaini telah melakukan killing spree bagi menyambut kepulangan sahabat bertanduk dan berekor tajam yang selama ini terkurung. Begitulah antara isi kandungan laporan media yang amat suka mensensasikan sesuatu berita tanpa memikirkan keluarga mangsa yang sedang bersedih atas kehilangan yang sangat mengejutkan ini.

“Semalam puan mengaku di hadapan kami yang kesemua pembunuhan tu puan yang lakukan. Dan puan lakukannya sendirian tanpa bantuan sesiapa. Betul?” Walaupun Mohaini sudah mengaku melakukan jenayah tersebut, sebab kejadian itu berlaku perlu juga direkodkan.

“Betul.” Mohaini menjawab sepatah. Kepalanya masih tunduk memandang ke bawah.

“Kenapa puan lakukannya?” Izz Qhuzairy terus ke soalan seterusnya. Agak mengejutkan kerana Mohaini langsung tidak menafikan perbuatannya. Adakah dia masih waras?

“Saya tercabar...dicabar.” Mohaini mengangkat kepala menentang wajah Izz Qhuzairy. Renungan matanya tajam sarat dengan keazaman yang bukan sedikit. Keazaman inilah yang telah mendorong dia melakukan kekejaman semalam.

“Oleh apa dan siapa?” Begitu tenang Izz Qhuzairy menyoal. Dia tidak perlu memprovok Mohaini kerana wanita itu kelihatan rela bekerjasama.

“Dua tiga hari lepas, saya dapat mesej WhatsApp daripada kawan-kawan. Mesej dalam group sekolah.” Mohaini mula bercerita.

“Apa mesejnya?” Dahi Izz Qhuzairy berkerut. Mesej apakah yang dapat melahirkan dorongan kuat kepada wanita ini untuk melakukan pembunuhan kejam?

“Tuan boleh tengok kat telefon saya.” Mohaini enggan melanjutkan penjelasannya. Jika Izz Qhuzairy ingin tahu, dia harus baca sendiri. Baru dia akan faham perasaannya.

Lantas Izz Qhuzairy memandang ke arah cermin, memberikan isyarat supaya mereka di situ bertindak sewajarnya. Tidak lama selepas itu, pintu bilik soal siasat dibuka dari luar. Seorang pegawai polis menyerahkan sebuah telefon bimbit yang tersimpan di dalam beg bukti lutsinar kepada Izz Qhuzairy. Sebaik sahaja telefon bertukar tangan, Izz Qhuzairy segera membuka aplikasi WhatsApp.

“Boleh bukakan mesej tu untuk saya?” Telefon disorong ke depan Mohaini.

Laju sahaja Mohaini menekan skrin sebelum telefon disorong semula kepada Izz Qhuzairy. Buat seketika, Izz Qhuzairy tekun membaca mesej yang panjang berjela. Mesej itu berbunyi begini:

“Sesiapa yang pulang beraya je rumah mentua, beringatlah. Ini pesanan daripada ibu mentua kepada menantu jika balik beraya:

1. Mak mentua bukan orang gaji yang kena sediakan juadah untuk korang anak-beranak

2. Mak mentua bukan orang gaji yang kena kemas tempat tidur korang anak-beranak

3. Rumah mak mentua bukan taman permainan... jadi kawal anak-anak masing-masing

4. Mak mentua bukan isteri perdana menteri yang ada simpanan berjuta untuk taja makanan raya kepada korang anak-beranak

5. Mak mentua bukan ada kedai dobi layan diri untuk basuh segala cadar yang ditinggalkan lepas raya nanti

6. Rumah mak mentua bukan parlimen di mana ipar duai dan biras nak kecil hati sesama sendiri

7. Rumah mak mentua bukan hotel. Walaupun korang dah bagi duit raya, suruh juga bini masing-masing ringan-ringankan diri untuk tolong kerja dapur

8. Jagalah aurat di rumah mak mentua. Ipar duai bukan mahram

Yang ikhlas,

MAK MENTUA”

Izz Qhuzairy selesai membaca mesej itu. Dia mengangkat kepala memandang Mohaini yang kembali menundukkan kepala menekur lantai. “Puan rasa tercabar dengan mesej ni?” Secara peribadi, Izz Qhuzairy merasakan mesej itu bernada sinis dan tidak patut diviralkan. Namun untuk menjadikannya sebagai sebab pembunuhan itu berlaku, memang tidak masuk akal.

Mohaini mengangkat kepala memandang Izz Qhuzairy. Renungannya tidak tajam seperti tadi. Sebaliknya wajah Mohaini kelihatan sedih. Adakah dia sudah menyesal kerana melakukan pembunuhan itu?

“Pesanan pertama, kedua, kelima dan ketujuh... Selama lima tahun saya jadi menantu dia, saya yang jadi orang gaji! Setiap kali balik kampung, saya yang kena buat semuanya. Memasak, mengemas, membasuh. Semua saya buat sorang-sorang. Suami saya hanya tahu duduk goyang kaki hisap rokok bawah rumah ataupun membuta sepanjang hari. Langsung tak tolong saya. Begitu juga dengan biras dan adik-adik ipar. Semua serahkan bulat-bulat pada saya uruskan rumah tu sorang-sorang!” Wajah Mohaini merah padam. Nada suaranya tinggi.

Izz Qhuzairy tidak mahu menyampuk kerana dia dapat merasakan Mohaini ingin terus berbicara. Lalu dia biarkan.

“Pesanan ketiga, anak-anak semua saya yang uruskan termasuk sekali anak saudara. Saya bukan bibik mereka. Tapi ada mereka kisah?” Suara Mohaini mula bergetar. Matanya bulat mrenung muka Izz Qhuzairy seolah-olah sedang melemparkan kemarahan kepada lelaki itu.

“Pesanan keempat, bukan wang mak mentua saya yang habis. Tapi duit gaji saya! Penat-penat saya bekerja, orang lain yang seronok habiskan. Tiap-tiap kali balik raya, sayalah yang kena sediakan semuanya. Bahan-bahan mentah untuk masak, kuih raya, langsir raya, baju raya... hinggakan duit raya pun saya kena bagi. Keluarga suami hanya tau tadah tangan saja!” Mohaini mengetap gigi menahan perasaan marah yang mahu membuak-buak.

“Pesanan keenam... saya dah tak boleh nak rasa kecik hati lagilah. Hati saya dah lama mati. Dah lama tak rasa apa-apa perasaan. Setiap kali saya mengadu pada suami, dia marah saya balik. Tuduh saya berkira. Katanya, balik kampung dia bukan hari-hari. Jadi apa salahnya saya berkorban lebih untuk keluarga dia! Mak ayah dan adik-beradik saya pun tak pernah buat saya macam ni!” Kali ini air mata Mohaini mula menitis satu-persatu.

“Pesanan terakhir, bukan saya yang tak reti jaga aurat. Tapi biras saya tu melampau sangat. Anggap suami saya ni macam adik-beradik dia. Lepas laku saja. Bergurau tanpa batas sampai main selak-selak kain. Isteri mana yang sanggup tengok? Mentua pun tak tegur. Abang ipar pun buat-buat tak nampak. Langsung tak tahu dosa!” Mohaini sudah tersengguk-sengguk bahu menangis. Suaranya semakin kuat hingga dia meraung-raung sambil menghentak-hentakkan tangan ke atas meja.

Anggota polis wanita yang turut berada di bilik itu sudah mahu ‘mententeramkan’ Mohaini. Tetapi dihalang oleh Izz Qhuzairy.

“Puan... bawa bertenang.” Dia cuba memujuk. Tetapi diam-diam dia turut berjaga-jaga. Nampak sahaja wajah Mohaini polos. Wanita ini pada bila-bila masa boleh sahaja bertukar ganas. “Saya perlu tahu bagaimana puan lakukannya?” Izz Qhuzairy mengaju soalan apabila dia lihat Mohaini semakin dapat bertenang. Mujur mereka tidak perlu menggunakan kekasaran untuk menenangkan wanita ini.

“Tak susah. Senang saja.” Tiba-tiba Mohaini tergelak pendek. Tangisannya terhenti. Hanya ada sisa air mata di wajah. Air mukanya kembali pekat dengan keazaman. Dia merenung jauh seolah-olah mengingati kejadian hari itu. “Saya bubuh ubat tidur dalam makanan... dalam air. Pagi tu sebelum mereka nak ke masjid, mereka makan dan minum sungguh-sungguh. Macam setahun tak makan. Bila satu persatu rebah, saya mulakan pengajaran saya. Anak-anak semua saya heret masuk ke dalam bilik. Ikat mereka dan kunci pintu.” Mohaini terhenti seketika, mengambil nafas sebelum menyambung.

“Pertama sekali saya tikam mak dan bapa mentua dengan pisau. Tikam mereka kat perut bertubi-tubi. Tapi hati saya tak puas. Saya hempaskan telefon rumah ke kepala mereka. Hampir setiap hari mak mentua telefon suami tanyakan hal kami. Penyibuk sangat hingga semua benda nak tahu!” Nada suara Mohaini berat dengan perasaan dendam. Seolah-olah dia berasa puas melakukan kekejaman itu. Segala beban yang ditanggungnya, terlepas dengan pembunuhan.

“Kedua, saya heret perempuan tak guna tu ke bilik dia. Ikat kaki dan tangan dia pada katil. Kemudian saya ambil penyapu dan sula dia. Gatal sangat... merenyam pada adik ipar sendiri. Terhegeh-hegeh nakkan perhatian. Langsung tak tahu nak jaga hati saya. Dah ada suami pun masih nak menggoda suami orang!” Wajah Mohaini kelihatan puas. Seolah-olah terbalas rasa sakit hati yang ditanggungnya selama ini.

“Ketiga, adik ipar saya, Nur. Muda-muda lagi mulut dah macam puaka. Ikut sedap dia saja nak suruh-suruh kita itu ini. Tak padan dengan umur mentah, tapi mulut macam orang tua. Padan dengan muka dia saya sumbat dengan air sabun. Celopar sangat! Lepas beri pengajaran pada Nur, saya ajar pula tiga orang abang dia... Abidin, Fairuz, Kahar. Bidin yang tak tahu jaga bini. Biarkan saja bini dia buat sesuka hati termasuk menggatal dengan adik dia sendiri. Fairuz dengan Kahar... langsung tak tahu bersyukur. Ada saja yang tak kena dengan pemberian saya. Sudahlah dia yang meminta. Kita memberi dengan rela. Tapi ada saja yang kurang. Mulut sama puaka dengan adik perempuan mereka tu!” Masih ada lagi sisa-sisa kemarahan yang tidak dapat dilepaskan terhadap ipar-iparnya walaupun dia telah memberikan pengajaran abadi.

Mohaini menarik nafas dalam-dalam. Dia bersandar pada kerusi. Pandangan matanya masih tidak terfokus kepada mana-mana objek secara spesifik walaupun dia seperti memandang ke arah dinding. “Akhir sekali... suami saya. Suka sangat merokok tak henti-henti. Bila minta belanja dapur, selalu tak cukup. Tapi beli rokok berkarton-karton, banyak pulak duit dia. Rasakan bila saya nyalakan semua rokok dan sumbat padat-padan dalam mulut dia. Itu pun lambat sangat ajalnya. Tikam dengan spanar baru dia diam.” Setitik pun air mata Mohaini tidak menitis. Dia kelihatan pasrah dan redha. “Lepas saya bunuh semua orang, barulah saya dapat menikmati hidangan raya dengan aman damai. Rasa puas sangat hati...” Mohaini kembali bersandar pada kerusi. Mukanya dihadapkan semula ke lantai di kaki.

Izz turut bersandar pada kerusi. Dia menoleh seketika ke arah cermin. Sudah pasti kesemua yang mendengar pengakuan Mohaini sedang berperang dengan pelbagai perasaan. Mohaini tidak gila. Dia lakukan kesemua jenayah itu dalam keadaan waras dan sedar akan akibatnya. Dendam yang sudah lama terhimpun akhirnya meledak dicetuskan oleh satu mesej yang diviralkan di WhatsApp.

Suatu hari di hari raya....

LIKE PAGE THRILLERTHRILL DI FACEBOOK : https://www.facebook.com/thrillerthrill




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku