Sebiji Gula-gula Getah
Genre: Travelog
Kategori: Fans Fiction
Paparan sejak 27 Julai 2016
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)
973

Bacaan






Sebiji gula-gula getah

Kanak-kanak perempuan itu berlari-lari anak mendekati kami yang ketika itu sedang mencari kedai makan di Bandar Irbid, Jordan. Kanak-kanak itu bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki mengikuti jejak kami selama beberapa langkah bermula dari hadapan pintu masuk Hotel Sedrah. Walaupun telah ditolak pelawaan mereka untuk membeli gula-gula getah, mereka tetap mengekori kami. Di hadapan kami, terdapat segerombolan lagi kanak-kanak yang menjual pelbagai jenis barangan seperti gula-gula, tisu dan lain-lain. Mereka juga mendekati dan mengekori kami.

Terasa merimaskan tapi masih memaniskan wajah di hadapan mereka. Aku melayani mereka sedikit mereka dengan Bahasa Arab yang kurang fasih. Terdetik di hati, “Dari mana datangnya kanak-kanak ini? Di mana ibu bapa mereka?” Namun, persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran. Tiada siapa yang tahu jawapannya. Aku ke sini bersama lima lagi rakan yang terdiri daripada seorang kakitangan dan seorang sukarelawan Islamic Relief Malaysia (IRM) serta tiga petugas sebuah stesen televisyen di Malaysia; Bro Pipi, Kak Ju, Kak Lin, Syabab dan Syafiq dalam satu Misi Kemanusiaan. Tujuan kami ke sini ialah untuk memantau projek-projek Islamic Relief (IR) yang dijalankan di sana berkenaan pelarian-pelarian Syria dan Palestin disamping melakukan penggambaran untuk paparan program stesen televisyen tersebut.

Angin dingin mengiringi perjalanan kami dari hotel ke tengah Bandar Irbid tersebut. Walaupun sudah mengenakan pakaian tebal, tetap juga angin memasuki ruang-ruang yang terhidang untuk menyejukkan badan kami. Difahamkan ketika itu, peralihan musim sedang berlaku dari musim sejuk kepada musim panas. Di sepanjang jalan, aku dapat melihat dan sempat mengkaji tentang budaya dan kegiatan masyarakat Jordan. Apa yang dapat dirumuskan ketika itu, kebanyakan kaum lelaki suka melepak di tepi jalan sambil menghisap rokok. Manakala tidak banyak kaum perempuan yang kelihatan.

Setibanya kami di tengah bandar, dengan izin Allah kami terserempak dengan pelajar-pelajar perempuan dari Malaysia yang menyambung pelajaran di Universiti Yarmouk. Urusan kami menjadi mudah. Mereka membawa kami ke pengurup wang yang biasa mereka gunakan. Mereka juga membantu kami untuk membeli kad SIM Orange untuk memudahkan komunikasi sepanjang dua minggu di Jordan. Mereka juga memberitahu kami bahawa ada kedai makan milik rakyat Malaysia dalam bangunan 12 Cafe. Ramai pelajar-pelajar Malaysia yang makan di situ untuk melepaskan kerinduan terhadap masakan Malaysia. Tidak dilupakan, mereka juga menunjukkan kedai-kedai untuk membeli cenderahati buat kenangan sanak saudara serta teman-teman di Malaysia.

Timbul idea dari Bro Pipi untuk mencari seorang penterjemah dari kalangan pelajar-pelajar untuk membantu kami sepanjang misi di sana. Lantas, hasrat itu diutarakan kepada salah seorang pelajar tersebut. Ahamdulillah, mereka dapat mencari dan perkenalkan kepada kami keesokan harinya. Hakim, seorang pelajar jurusan Syariah akan bersama-sama kami untuk tujuan tersebut.

Berbalik kepada cerita kanak-kanak perempuan dan gula-gula getah, persoalan yang berlegar di fikiran terus disampaikan kepada pelajar-pelajar yang ditemui tadi. Apakah jawapannya? Kata mereka, kanak-kanak yang berkeliaran di jalan-jalan dan merayap di tepi-tepi bangunan itu adalah kanak-kanak pelarian Syria yang mencari rezeki untuk mengalas perut. Bukan untuk diri mereka tetapi untuk keluarga mereka. Selagi mereka tidak dapat wang pada hari itu, selagi itulah mereka tidak berani pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi. Lalu, di mana bapa mereka yang sepatutnya menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk mencari nafkah? Di mana ibu mereka yang seharusnya membelai dan memberi kasih sayang di rumah? Rupa-rupanya ibu bapa mereka tidak dapat bekerja kerana mereka adalah pemegangkad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang tidak membenarkan mana-mana ahli untuk bekerja. Jika mereka tertangkap, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa negara mereka menumpang. Lalu kepada anak-anaklah tempat mereka bergantung. Jika ada rezeki, adalah makanan mereka. Jika tiada, terpaksalah mereka menahan lapar. Hanya Allah Maha Mendengar segala rintihan mereka.

Timbul rasa kasihan kepada mereka atas ujian yang diberikan. Terasa bersalah kerana rimas dengan kehadiran mereka di sepanjang jalan. Dalam dunia riang kanak-kanak seperti mereka, tidak pernah terlintas di fikiran untuk hidup sebegitu. Yang diimpikan hanyalah hidup bahagia bersama keluarga. Boleh ke sekolah, boleh bermain-main, boleh berjalan-jalan, boleh membeli-belah dan boleh jalankan pelbagai lagi aktiviti.

Fikiranku segera melayang ke negara bumi Anbiya itu. Gerakan kebangkitan rakyat di Syria berlaku serentak dengan aktiviti demonstrasi semenjak 15 Mac 2011 dimana telah mencetuskan konflik yang memuncak dan menyebabkan seluruh Syria menjadi lumpuh. Keganasan di bandar-bandar utama Syria hingga kini masih belum berkurangan.Isu di Syria yang memasuki tahun kelima ini merupakan krisis kemanusiaan yang paling buruk pada abad ke-21. Kira-kira 12.2 juta orang yang terperangkap di dalam Syria kini memerlukan bantuan kemanusiaan. Hampir separuh daripada jumlah tersebut merupakan kanak-kanak yang tidak berupaya. Lebih daripada empat ribu buah sekolah telah musnah manakala sistem kesihatan di negara ini telah lumpuh sama sekali. Bekalan air dan makanan dipotong dan disekat menyebabkan harga barangan keperluan melambung tinggi dan menyukarkan lagi bantuan kemanusiaan untuk memasuki Syria.

IR telah memberi respon terhadap isu Syria sejak tahun 2011 di sempadan Syria bagi membuat penilaian dan menghulurkan bantuan. Pada tahun 2012 pula, IR membuka pejabat operasi di dalam Syria bagi mengagihkan bantuan kecemasan kepada rakyat Syria yang memerlukan. Setakat ini, IR telah membantu 3 juta rakyat Syria di mana lebih 2.2 juta daripadanya merupakan penduduk di Aleppo, Idlib, Madaya dan Homs manakala selebihnya merupakan pelarian Syria yang berada di Iraq, Jordan, Lebanon dan lain-lain.

Sejak krisis di Syria berlaku, IR telah memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan perubatan, bantuan pek makanan dan baucar World Food Programme (WFP), tempat perlindungan dan bayaran sewa rumah, air dan sanitasi, barang keperluan – barangan bayi, pakaian, selimut, alat pemanas, bantuan sokongan pendidikan dan kelangsungan kehidupan serta bantuan psikososial terutamnya kepada kanak-kanak.

Apa yang aku lihat dan rasai sendiri di Jordan membuatkan aku lebih bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja kemanusiaan bagi membantu lebih ramai lagi insan-insan yang diuji seperti mereka. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai IRM, boleh layari laman sesawangwww.islamic-relief.org.my atau hubungi +603-8926 3434.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku