Setitis Kasih Melenyap Dendam
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 20 Februari 2013
Penilaian Purata:
5633

Bacaan






Sedih dan rindu yang amat sangat, itulah perasaanku ketika ini. Potret di tangan kutatap tanpa jemu. Kenapa orang yang aku sayangi terlalu cepat pergi menghadap Ilahi? Kenapa bukan orang yang kubenci itu? Hatiku menyebal sendiri. Potret di tangan diletakkan di sisi. Telefon yang berbunyi sejak dari tadi aku angkat dengan perasaan malas. Aku menjawab salam yang diberi.

“Ngah, nanti baliklah ke rumah nenek. Abah, mama dan adik akan tunggu Ngah di sana.” Suara lelaki yang kubenci itu menusuk ke gegendang telinga.

“Tengoklah,” jawabku acuh tidak acuh.

“Jangan begitu Ngah. Ngah patut balik ke rumah nenek dan bersama-sama kami urus kenduri kesyukuran sempena majlis berkhatan Aiman. Abah tak mahu Ngah dan Shah menyisihkan diri lagi.”

Aku diam tidak mahu membalas kata-katanya. Memang aku telah berpakat dengan Shah, adikku untuk tidak pulang ke kampung. Aku lebih rela tinggal berdua di rumahku atau lebih tepat rumah arwah ibuku. Hatiku akan tenang jika tidak menatap wajah perempuan itu. Ya, perempuan yang abah suruh kami berempat panggil mama. Tidakkah abah sedar, kami bertiga bencikan perempuan itu kecuali adik bongsuku, Aiman yang ketika itu berusia enam tahun? Disebabkan dia, kami benci abah.

“Ngah, abah berharap sangat Ngah dan Shah pulang ke rumah nenek. Banyak kali dah nenek tanya pasal Ngah dan Shah. Sudahlah Along tak mahu balik lagi ke sini, Ngah dan Shah pun macam nak buang abah saja.” Sayu kedengaran suara abahku.

“Ngah dan Shah tak buang abah, tapi abah yang lupakan kami. Abah tatanglah isteri abah tu dan lupakan kami semua seperti selalu. Kami semua dah mati macam ibu buat abah,” jawabku agak pedas dan kurang ajar.

“Ngah... abah minta maaf jika perkahwinan abah ni buat Ngah, Along dan Shah berjauh hati. Tindakan abah kahwin lain demi kamu semua. Demi anak-anak abah. Tapi tak sangka sebab perkara kecil kamu bertiga sanggup hukum abah hingga begini. Along lari ke London dan tak mahu pulang-pulang. Ngah dan Shah pula asyik melarikan diri dari abah. Tak bolehkah kamu semua maafkan abah dan mama?” Lirih suara abah di pendengaranku.

Tetapi disebabkan hati batu, aku bekukan perasaanku. Tidak mahu mendengar rayuannya.

“Sedikit pada abah tapi sangat besar pada kami. Perempuan tu tak berhak usik apa saja barang di rumah ibu terutama gambar ibu. Bila dia buang gambar ibu, bermakna dia sengaja membakar perasaan kami. Kenapa dia nak ganggu semua harta benda ibu sedangkan dia tak berhak di situ?” Suaraku mulai bergetar menahan marah.

“Siapa kata dia tak berhak? Dia isteri abah, jadi rumah tu pun hak dia juga.” Abah masih mempertahankan perempuan itu.

“Hak? Hak apa? Rumah tu arwah ibu yang beli. Bukan abah yang beli. Jadi dia tak berhak walau seinci pun. Kenapa dia sibuk nak ubah segalanya? Nak tunjuk dia berkuasa? Tak sedar diri menumpang di rumah ibu.” Makin tinggi nada suaraku.

“Ngah! Jaga mulut tu. Abah tak pernah ajar Ngah sebiadap begini. Kenapa Ngah berubah laku? Mana Ngah yang peramah dan taat pada kedua ibu bapa?”

“Anggap saja Ngah tu dah mati. Yang ada hanya jasad saja.”

“Ngah... sampai hati Ngah cakap begitu? Abah tak tahu macam mana nak pujuk Ngah lagi. Tapi abah harap Ngah sudi maafkan abah dan mama. Abah akan tunggu kepulangan Ngah dan Shah. Jika Ngah dan Shah masih ada rasa hormat pada nenek, pulanglah. Pulang untuk nenek walaupun bukan untuk abah,” pujuk abah buat kali terakhir sebelum dia memutuskan talian telefon.

Aku melepaskan sebuah keluhan. Telefon kucampakkan ke tepi dan aku membaringkan tubuhku. Kepala yang sedikit pening, kupicit-picit. Hatiku masih panas. Teringat kembali pertengkaran Along dengan abah setelah tiga bulan abah berkahwin dengan perempuan itu. Ketika itu kami semua berada di rumah arwah ibu. Sebenarnya abahku mempunyai sebuah lagi rumah tetapi dijadikan rumah sewa. Oleh sebab itu dia membawa pulang perempuan itu ke rumah kami.

“Abah, tolong tegur mama. Kami semua tak suka mama usik gambar ibu atau apa saja barang kepunyaan ibu. Tolong sedarkan dia kedudukannya di dalam rumah ni. Dia hanyalah isteri abah tapi bukan ibu kami. Jadi jangan berlagak nak rampas kuasa tu.” Agak keras nada suara Along.

“Jangan kurang ajar, Long! Jaga percakapan bila bercakap dengan abah,” terjegil biji mata abah menatap wajah Along.

Aku, Shah dan Aiman hanya memerhati adegan tersebut. Perempuan itu telah menghilangkan diri di bilik setelah ‘puas’ membuang potret ibu yang sekian lama tergantung di ruang tamu. Kenapa hanya potret ibu yang diturunkan? Kenapa tidak gambar-gambar kami sekali? Pandai sungguh perempuan itu menyelongkar dan membuang barangan ibu ketika kami tiada di rumah. Along, aku dan Shah melawat pusara ibu ketika itu manakala Aiman keluar bermain di rumah jiran. Hanya tinggal perempuan itu dan abah. Kenapa abah tidak melarang? Adakah kasih abah pada ibu turut terkubur bersama-sama jasad ibu?

“Bukan Along sengaja nak kurang ajar tapi mama yang buat Along jadi kurang ajar. Abah sebagai suami hanya membiarkan saja. Tak bolehkah abah larang mama? Kenapa gambar ibu, mama buang?”

“Mama bukan buang, dia hanya turunkan. Nanti bila gambar mama siap, abah akan letakkan di situ. Ibu dah tiada, jadi elok kita simpan saja gambarnya.”

Penerangan abah menambah sakitnya hati kami.

“Kenapa perlu turunkan? Kalau dibiarkan bukan mendatangkan kudis. Kalau nak diletakkan sangat gambar mama, letak sajalah. Tapi gambar ibu jangan sentuh. Kami tak suka ada orang luar memandai di dalam rumah ni.” Mata Along mulai berkaca-kaca. Bila-bila masa saja air jernih yang bermain di tubir matanya akan gugur.

Along agak rapat dengan arwah ibu dan dia sering menolong ibu melakukan kerja-kerja rumah walaupun dia lelaki. Aku satu-satunya anak perempuan keluarga kami juga rapat dengan ibu. Malah aku mengambil alih tugas memasak sewaktu ibu terlantar sakit. Kanser payu dara yang dihidapi ibu telah merebak dengan cepat dan tidak lama selepas itu ibu meninggal dunia.

“Siapa yang Along kata orang luar tu? Itu mama kamu semua. Sama taraf dengan arwah ibu kamu. Ingat, abah tak mahu sesiapa lagi menimbulkan masalah pada mama. Terima dia sebagaimana dia menerima kamu semua. Mama tu baik orangnya dan kamu semua beruntung dapat pengganti ibu kamu.”

“Bukan pengganti untuk kami. Tapi pengganti untuk abah, supaya memuaskan nafsu abah. Maklumlah ibu dah lama sakit. Tak sampai tiga bulan ibu meninggal, abah segera cari ganti. Abah memang pentingkan nafsu dari perasaan anak-anak.” Keras tutur kata Along. Along benar-benar kecewa dengan sikap bapa.

“Along! Jangan kurang ajar dengan abah,” kata abah sambil tangannya tinggi di angkat seolah-olah hendak menampar wajah Along. Seketika kemudian tangan digenggam dan diturunkan. Abah cuba menahan sabar.

“Tamparlah! Itu yang abah nak buatkan?” Along memandang tepat ke wajah abah.

“Jangan cabar, Along. Along sebagai anak yang paling tua sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik tetapi abah kecewa, Along gagal bertindak begitu.” Tegang wajah abah.

“Along pun kecewa. Kecewa sangat-sangat dengan abah. Tak mengapalah jika abah rasa arwah ibu tak penting lagi pada abah. Biarlah Along gantung gambar ibu di bilik Along.”

“Tak perlu buat begitu sebab mama dah buangkan gambar tu dalam tong sampah pagi tadi. Mama buang sebab bingkai gambar tu jatuh dan pecah. Gambar tu pula terkoyak. Tadi, lori sampah dah ambil.” Tiba-tiba mama mencelah, membuatkan kami semua berdiri dan memandang tepat ke arahnya.

Along yang sedia marah, terus menerkam ke arah mama. Ingin diajar sedikit perempuan yang membuat hidup kami yang sedia kacau menjadi bilau. Abah segera menghalang dan tanpa sedar telah menolak tubuh Along. Along jatuh terduduk. Aku segera mendapatkan Along dan membantunya bangun. Makin menyirap darah kami melihat wajah bersahaja perempuan itu. Jika tiada abah, pasti lembik perempuan itu kami kerjakan.

“Along jangan buat begitu pada mama. Jika Along berkasar juga, abah tak teragak-agak laporkan pada polis,” gertak abah.

Along tersenyum sinis.

“Terima kasih abah. Hari ni kami semua dah lihat hati abah yang sebenarnya. Selepas ni, abah buatlah apa saja ikut kehendak abah. Kami takkan halang atau campur tangan lagi.” Sebaik selesai menuturkan kata-kata itu, Along mencapai kunci motorsikalnya dan keluar dari rumah meninggalkan abah yang masih termangu-mangu.

Aku meraup muka. Kenangan itu mendera perasaanku. Telah lima tahun Along membawa diri di perantauan selepas pergaduhan tersebut. Along telah berkahwin setelah tiga tahun berada di sana tanpa memberitahu abahku. Kami hanya mengetahui berita perkahwinannya melalui Shah yang sering dihubunginya. Shah dan Along agak rapat, mungkin kerana mereka sama-sama anak lelaki. Lima tahun Along tidak pulang ke tanahair. Lima tahun juga aku dan Shah membawa diri. Jika abah ke rumah nenek di kampung, kami berdua akan berada di rumah arwah ibu di Bandar. Seboleh mungkin kami mengelak untuk bertemu perempuan itu.

Shah masih bersekolah di tingkatan enam atas manakala aku telah pun bekerja di salah sebuah syarikat swasta di Bandar. Abah telah membawa mama dan Aiman berpindah setelah rumah yang disewakannya itu dikosongkan, empat tahun yang lalu. Jarang sekali mama menjejakkan kakinya ke rumah kami lagi. Mungkin tahu kami tidak suka dia berada di situ. Hati kami masih tercalar dengan perbuatannya. Walau berkali-kali dia meminta maaf, tetapi hati kami tetap degil dan enggan memaafkannya. Abah pun jarang berjumpa dengan kami tetapi kerap menghubungi kami melalui telefon.

“Ngah!” panggil Shah sambil mengetuk pintu bilikku.

Aku yang tersedar dari lamunan panjang, bangun untuk mendapatkannya. Setelah pintu bilik di buka, Shah mengajakku ke ruang tamu.

“Ada apa? Ngah nak rehatlah. Mengantuk.” Aku beralasan sedangkan mataku tidak mahu terpejam sejak tadi.

“Marilah ke depan. Ada seseorang nak jumpa Ngah.”

“Siapa?” tanya aku kehairanan. Tak mungkin Hamzah bakal tunangku. Dia dah pun pulang ke kampungnya di Johor.

“Ada la. Orang yang pasti Ngah rindukan,” jawab Shah sambil tersenyum manis.

Berkerut dahiku memikirkannya tetapi kaki tetap juga melangkah menuju ke ruang hadapan. Mulutku terlopong melihat susuk tubuh di hadapanku.

Ya, Allah! Benarkah apa yang aku lihat ini? Hati aku melonjak riang dan tanpa sedar, aku terus memeluk erat tubuh lelaki di hadapanku. Air mataku begitu murah mengalir saat itu. Shah hanya tersengih dan begitu juga perempuan di sebelahnya. Perempuan? Siapa perempuan itu? Pelukan kuleraikan dan mataku tertumpu kepada perempuan yang berdiri di sebelah Shah. Berjubah dan bertudung hitam. Kelihatan anggun tersenyum kepadaku.

“Ini Amni, isteri abang,” terang Along dengan senyum di bibir.

Aku segera menyalaminya dan kemudian tubuh itu kurangkul erat. Aku dapat merasakan perutnya sedikit membusung ke hadapan. Mataku di halakan ke perutnya.

“Berapa bulan?”

“Dah masuk lima bulan,” jawabnya dengan sopan.

“Kak Long akan bersalin di sini?” tanyaku teruja.

“Ya dan kami bercadang tinggal terus di sini. Kak Long dah habis belajar. Along pun dah dapat tawaran kerja di sini dengan syarikat yang sama,” jelas Along sambil memeluk bahu isterinya.

“Baguslah! Nanti dapatlah Along jadi wakil Ngah masa rombongan Hamzah masuk meminang.”

Aku tersenyum lebar membayangkannya. Tak perlu lagi otakku bersusah payah memikirkan siapa yang patut berbincang mengenai majlis pertunanganku. Aku tidak suka jika abah yang membincangkannya. Jika abah datang, bermakna mama pun akan datang. Suatu hal yang hendak aku elakkan.

Along hanya mengangguk sambil tersenyum. Aku turut tersenyum.

“Ngah, kita balik ke rumah nenek.”

Kata-kata Along membunuh senyumanku.

“Perempuan tu ada di sana.” Aku berkata dengan malas.

“Along tahu. Along rasa elok kita pulang ke sana dan tolong abah urus majlis berkhatan Aiman.”

“Along dah lupa apa yang perempuan tu buat pada kita?” tanyaku beremosi semula.

“Along tak lupa tapi Along cuba memaafkannya. Ngah dan Shah pun patut buat begitu. Dah lima tahun kita abaikan perasaan abah. Kita zalimi abah dan juga diri kita sendiri dengan membenci sesuatu yang tak harus dibenci,” lembut tutur kata Along.

Mata Along yang bening kutatap penuh hairan. Along telah berubah? Tapi kenapa?

“Kenapa Long? Mudah sangat Long nak maafkannya sedangkan dulu Long yang beria-ia membencinya.”

“Jika kita mampu memberi maaf bermakna kita telah meninggikan martabat diri kita. Kenapa perlu kita membenci dan berdendam sedangkan itu tak akan ke mana. Tengoklah keadaan kita. Lima tahun Along berada di perantauan dan cuba lupakan abah. Along membelakangkan abah dalam semua urusan. Tapi apa yang Along dapat? Hanya rasa bersalah dan terus bersalah. Nasib baik Along dapat isteri yang baik dan banyak menasihatkan Along tentang tanggungjawab Along terhadap abah. Tak jemu dia nasihatkan Along walaupun pernah Along marah-marah pada dia. Mungkin berkat doa dan kesungguhannya, hati Along mulai berubah. Along cuba melihat dari sudut pandangan abah. Along letakkan diri Along sebagai diri abah. Along bayangkan perasaannya selama ini. Bila Amni mengandung, baru Along dapat perasaan tu. Perasaan seorang ayah terhadap anaknya.”

Aku hanya diam memerhatikan Along yang menggenggam tangan isterinya. Mungkin benar apa yang Along kata. Along kulihat banyak berubah dan mungkin juga perubahannya sedikit sebanyak disebabkan oleh isteri dan anaknya.

“Mungkin Ngah dan Shah tak faham sebab tak merasainya sendiri. Tapi percayalah Ngah, Ngah sendiri akan rasai hidup berkeluarga setelah berkahwin dengan Hamzah. Ketika itu Ngah akan faham perasaan seorang ibu atau seorang ayah. Kasih sayang yang tulus dan ikhlas tak pernah padam buat anak-anak. Cuma kadangkala situasi yang berlaku menyebabkan kasih sayang tu terlindung di mata kita. Tapi ia tetap ada malah tak pernah berubah pun,” Along terus berhujah.

Aku memikirkan kata-kata Along. Sukar untuk kumenerimanya. Hatiku masih menolak keras untuk memberi maaf kepada abah dan mama. Aku pandang wajah Shah. Shah juga hanya diam membisu. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

“Kak Long tentu dah penat. Pergilah berehat di bilik. Ngah nak solat Asar dulu,” kataku sambil bangun menuju bilikku.

Tidak mahu berlama-lama lagi di situ kerana aku tahu emosiku masih tidak stabil dan sedang bergolak hebat ketika itu. Aku perlu menenangkan diri. Perlu!

................................................................

Esok, majlis berkhatan Aiman akan diadakan di rumah nenek. Terasa rumah yang kudiami amat kosong dan sepi. Along dan isterinya telah bertolak ke rumah nenek sejak semalam. Tinggal aku dan Shah di rumah ketika ini. Perasaan sayu dan pilu menyelubungi hatiku. Shah, kulihat sedang asyik menonton rancangan di televisyen.

“Shah, perlukah kita mengalah?” tanyaku sambil melabuhkan punggung di sofa bersebelahan Shah.

Shah menoleh untuk melihat wajahku. Ada kerutan di dahinya. Mungkin pelik memikirkan pertanyaanku.

“Ngah nak balik ke?” tanya Shah tanpa mahu menjawab soalanku.

“Entah! Tapi hati Ngah rasa tak sedap saja. Macam ada sesuatu yang tak kena.” Aku berterus terang.

“Perasaan Ngah saja tu. Tadi Along dah telefon beritahu semua yang ada di sana sihat-sihat belaka. Tapi nenek asyik tanya pasal kita.”

“Ngah rindukan keluarga kita yang dulu. Dulu kalau ada kenduri, kita akan buat persiapan bersama-sama. Kita akan kemas rumah, tukar langsir, mop lantai dan sediakan makanan. Ibu pandai buat kuih dan tak menang tangan Ngah tolong buatkannya. Ngah ingat lagi, ibu suka buat kuih cara sebab abah sukakan kuih tu. Ngah pun suka rasa kuih tu. Lemak, tidak terlalu manis dan cukup garing. Pendek kata, cukup sempurna.” Aku tersenyum membayangkannya.

“Shah suka kuih maamur yang ibu buat. Inti dia lain dari yang dijual di kedai. Inti kacang yang dimasak dengan susu dan gula kemudian digentel, memang istimewa. Saiz dia pun besar dan sangat sedap. Macam terasa-rasa kesedapannya di tekak Shah.”

Kami sama-sama tersenyum. Aku mencapai balang kuih maamur yang kubuat mengikut resepi arwah ibu. Balang kuhulur kepada Shah. Shah mengambil kuih itu dan memasukkan ke dalam mulut. Terpejam matanya untuk menghayati rasa kuih maamur.

“Ngah, kenapa rasa kuih Ngah tak pernah sama macam yang ibu buat?” tanya Shah setelah selamat kuih itu melalui tekaknya.

Aku hanya diam mendengar komen Shah. Memang tidak akan sama kerana air tangan ibu dan air tangan aku tidak mungkin akan sama. Ibu membuatnya dengan rasa kasih sayang dan keikhlasan seorang ibu. Hati aku pula penuh rasa benci dan dendam, jika ada kasih pun tak mungkin sama dengan kasih ibu. Walau berkali-kali aku cuba membuat kuih maamur atau kuih-muih seperti yang ibu buat, aku tetap gagal menemui rasa seperti yang dibuat ibu.

‘Ibu, Ngah rindukan ibu. Rindu sangat-sangat,’ bisik hatiku.

Dalam diam menitis air mataku. Cepat-cepat aku seka sebelum terlihat oleh Shah. Tidak mahu dilihat lemah di hadapannya.

Kami terus menonton tanpa kata. Riuh rendah suara kanak-kanak bermain di luar, tidak aku hiraukan. Malah tayangan gambar yang aku tonton terasa kosong. Aku gagal memahami apa yang kutonton walaupun ketika itu hero pujaanku, Aaron Aziz yang melakonkannya. Adakah hari mingguku akan menjadi bosan seperti selalu? Aku sering memerap di rumah, menonton rancangan yang disiarkan di televisyen daripada berkunjung ke rumah kawan-kawan. Malah aku jarang mahu keluar berdua dengan Hamzah dengan alasan, kami tidak mempunyai apa-apa ikatan. Nasib baik, Hamzah menerima alasanku dan tidak terlalu mendesakku.

Aku mengajak Shah mengunjungi pusara ibu tengah hari itu. Tanpa banyak soal, Shah bersetuju. Mungkin kerana dia juga merindui ibu sepertiku. Kami duduk di tepi pusara, membacakan surah Yassin untuk ibu. Setelah selesai, air mawar dan bunga-bungaan kami tabur di atas pusara ibu.

‘Ibu, Ngah minta ampun dan maaf. Ngah gagal menjadi kakak yang baik buat adik-adik Ngah. Ngah masih tak dapat maafkan abah dan perempuan tu. Hati Ngah masih sakit. Sakit dengan perbuatan perempuan tu. Dia buat abah lupakan ibu dan kami. Dulu abah kata abah tetap sayang ibu walaupun dia berkahwin dengan perempuan tu. Tapi kenapa Ngah tak nampak lagi kasih abah pada ibu? Abah lebihkan perempuan tu dalam segala hal. Pusara ibu pun, abah dah tak kunjungi lagi. Semua abah buat untuk jaga hati perempuan tu. Ngah tahu perempuan tu cemburukan ibu sebab ibu lebih cantik dari dia. Kulit ibu putih gebu sedangkan dia berkulit gelap. Sebab cemburu, dia pecahkan gambar ibu dan buang gambar ibu dalam tong sampah. Perbuatan yang sangat biadap dan tidak boleh dimaafkan,’ bisik hatiku dengan rasa marah yang masih bersisa.

“Ngah! Jom kita balik.” Shah mencuit lenganku.

Aku cuma menganggukkan kepala dan mengikut langkahnya keluar dari kawasan itu. Tiba-tiba aku terdengar bunyi telefon bimbitku. Aku melihat sekilas dan menekan butang jawab setelah kulihat nama yang tertera. Aku menjawab salam yang diberi.

“Ngah balik segera. Abah kemalangan dan sedang koma,” suara Along yang cemas kedengaran di hujung talian.

Aku terkejut. Seolah jantungku terhenti berdegup. Air mata merembes laju. Tidak percaya dengan apa yang kudengar.

“Kenapa Ngah?” tanya Shah dengan risau.

Aku menghulurkan telefon kepada Shah kerana aku tidak mampu lagi mendengar apa yang bakal Along beritahu. Berkerut-kerut dahi Shah mendengar kata-kata Along. Air mataku mengalir makin laju. Terbayang wajah abah yang redup di ruang mata. Terngiang-ngiang suara abah merayuku pulang. Teganya hatiku membiarkan seorang abah merayu-rayu anak sendiri. Aku seolah-olah tidak berhati perut. Berterusan menyeksa perasaan abah.

Hatiku berdoa agar aku diberi kesempatan oleh Allah untuk memohon maaf dari abah. Aku berdosa dan dosa itu hanya boleh dihapuskan dengan meminta maaf pada empunya badan. Adakah aku akan berkesempatan berbuat begitu? Kekesalan mulai menimpa hati. Jika aku mengikut nasihat Along dan membuang segala egoku, mungkin kini aku sedang berada bersama-sama abah. Memohon kemaafannya. Sempatkah lagi aku berbuat begitu?

Shah menyerahkan kembali telefon kepadaku. Dia mengambil kunci kereta di tanganku dan mengarahkan aku agar masuk ke kereta. Aku hanya menurut dengan lemah. Shah memandu pulang ke rumah dan mengarahkan aku bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Tanpa bantahan, aku hanya menurut suruhan Shah. Shah, aku lihat lebih tenang daripada diriku sendiri. Tiada air mata yang mengalir di pipinya sedangkan aku telah karam dalam tangisan penyesalan.

“Ngah, bawa bertenang. Doakan agar abah selamat dan akan sedar ketika kita pulang.”

“Nak bertenang macam mana? Jika apa-apa terjadi pada abah, kita menanggung dosa yang amat besar. Dosa menderhakai bapa dan ibu tiri. Shah tak rasakah semua tu? Atau Shah memang tak ada perasaan?” Marahku dengan sikapnya yang kurasa tidak peka dengan keadaan.

“Habis tu, Ngah nak suruh Shah buat apa? Nak menjerit, hempuk kepala atau nak menangis hingga bengkak mata? Semua tu tak guna Ngah. Tak guna! Yang patut kita buat sekarang, doakan keselamatan abah. Jika Ngah sayangkan abah, berhenti berfikir yang bukan-bukan dan tolong doakan untuk abah.” Tegas sekali suara Shah.

Aku terdiam. Tidak pernah Shah bersuara seperti itu kepadaku sebelum ini. Tangannya pantas mengambil beg di tanganku dan membawanya ke kereta. Aku hanya mengikut dan masuk ke tempat pemandu.

“Ngah duduk sebelah. Biar Shah yang pandu. Ngah tak sesuai memandu dalam emosi yang tak stabil.”

Sekali lagi aku hanya akur dengan suruhannya. Shah memandu dengan berhati-hati. Kami tiba di kampung setelah dua jam memandu. Kami terus ke hospital di mana abah di tempatkan. Kakiku rasa amat berat untuk melangkah. Terasa setiap langkah membawa beban dosa yang maha berat. Menyedari langkahku yang lambat, Shah segera memegang tanganku dan mempercepatkan langkahnya. Aku terpaksa membuka langkah bagi menyaingi langkah Shah.

Apabila tiba di hadapan wad ICU, kami tidak dibenarkan masuk. Ramai yang berkumpul di situ. Aku mendekati mereka dan menyalami seorang demi seorang. Langkahku terhenti di hadapan mama. Teragak-agak untuk kumenghulurkan tangan kepadanya. Hatiku masih berbelah bagi. Tiba-tiba mama memelukku dengan tangisannya. Aku hanya berdiri kaku.

“Ngah, maafkan mama. Mama sedar mama dah lakukan kesalahan yang besar pada Ngah dan semua anak abah. Mama tak seharusnya cemburu pada arwah ibu Ngah. Sebab cemburu, mama bertindak bodoh. Mama dah terima pengajarannya. Mama gagal dapat kasih sayang yang sepatutnya mama dapat. Tapi mama tak salahkan kamu semua. Kamu berhak marah atas apa yang mama buat. Mama dah maafkan kamu semua. Mama harap, Ngah dan Shah maafkanlah abah. Abah sangat sayangkan ibu Ngah hingga kerap kali memanggil mama dengan nama ibu Ngah. Cinta dia pada ibu Ngah tak pernah padam. Abah tak salah dalam soal ni. Apa yang abah buat sekadar menjaga hati mama agar tidak terasa tersisih dalam keluarganya. Abah terlalu baik, Ngah.”

Betulkah apa yang aku dengar? Mama menyesal dan meminta maaf. Betulkah cinta abah masih utuh pada ibu? Tidakkah terhapus cinta itu dengan kehadiran mama? Air mataku makin lebat mengalir. Aku dapat merasakan tangan mama menyeka alirannya.

“Mama, maafkan Ngah.” Aku tunduk menyalami tangannya.

Mama tersenyum dan sekali lagi tubuhku dirangkulnya. Aku cuba tersenyum tetapi terasa hambar senyumanku itu. Rangkulan di badanku dilepaskan. Shah turut meminta maaf kepada mama. Tubuh Shah turut dipeluk oleh mama. Dalam sedih aku terasa gembira. Seolah keluarga kami bersatu semula. Mataku terarah ke pintu wad. Hatiku masih rawan memikirkan nasib abah yang masih tidak sedarkan diri.

“Ngah, kalau Ngah nak masuk dengan Shah dah boleh. Tadi doktor dah izinkan,” kata-kata Along membuatkan aku segera melangkah ke pintu wad.

Shah mengekori langkahku duduk bersebelahan abah yang terlantar di katil. Aku meraih tangan abah lalu kucium. Air mataku menitis lagi.

“Abah, Ngah datang dengan Shah. Tolonglah sedar abah supaya kami berpeluang untuk meminta maaf pada abah. Kami sedar yang kami berdosa pada abah. Tanpa keampunan abah, hidup kami tak aman. Selama ini hati Ngah dibutakan dengan rasa marah dan dendam. Ngah gagal memahami hati abah. Ngah tuduh abah dah lupakan ibu sedangkan cinta abah pada ibu tetap teguh. Mama dah beritahu tadi, yang tindakan abah hanya sekadar menjaga hati mama. Adakah abah tak cintakan mama? Adakah hanya rasa tanggungjawab menyebabkan abah bertahan dengan semua ni? Kami membenci abah, tapi abah masih tetap sayangkan kami. Ngah menyesal abah. Bangunlah abah... bangunlah.”

Shah yang berada di sisiku turut memegang tangan abah. Air matanya turut laju membasahi pipi.

***

JIKA ANDA INGIN TAHU PENGAKHIRAN CERITA INI, DAPATKAN ANTALOGI CERPEN ILHAM YANG BAKAL TERBIT TIDAK LAMA LAGI. NANTIKAN KEMUNCULANNYA DI PBAKL 2013 DI PWTC.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku