'Dia' My Love
Bab 4
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Dimaklumkan 'DIA' MY LOVE telah siap cetak. Berminat boleh PM ke Facebook Zan Zarida. Tawaran Istimewa : Anda akan dapat satu novel percuma iaitu Alahai Mat Salih sebagai cenderahati.
Penilaian Purata:
(20 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6788

Bacaan






JAM 11.25 pagi, tren ETS telah sampai ke destinasi yang dituju. Rus sengaja berlengah-lengah kerana tiada keperluan untuk segera keluar dari koc. Biarlah penumpang lain yang mendahuluinya. Lagipun dia malas hendak bersesak di eskalator. Mat salih yang duduk di sebelahnya juga sudah beredar dan hilang dari pandangan.

Menyedari dirinya adalah penumpang terakhir yang masih belum keluar dari koc, Rus segera bangun. Sekali lagi, dengan susah payah dia menarik dan menurunkan beg pakaiannya dari rak bagasi. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menuju ke eskalator.

Tiba di tingkat atas, dari jauh dia sudah nampak wajah ceria Amy yang menunggunya sambil tersenyum-senyum. Pasti sahaja ada yang bermain di fikirannya.

“Mana mat salih yang duduk kat sebelah kau tu?” tanya Amy sebaik Rus menghampirinya.

Beria-ia gadis itu hendak tahu. Sejak tadi matanya melilau memerhati penumpang-penumpang yang baru tiba, namun tidak nampak pula kelibat mat salih. Kalau tidak, dapat juga dia berkenalan dengannya.

“Jangan jadi jakun, boleh tak?” usik Rus sambil menahan ketawa.

“Pontianak punya kawan! Aku ni Pan Asia tau, bukan pancake! Setakat Sofia Jane atau Sophia Loren tu, aku lagi cun!” marah Amy.

“La… gurau sikit pun nak ambik hati?” balas Rus sambil tersenyum melihat gelagat rakan serumahnya itu. Kalau sehari tidak bertekak dengannya, memang tidak sah.

“Wei, ceritalah pasal dia,” rayu Amy. Dia memang terkilan apabila pagi tadi Rus hanya bercerita separuh jalan sahaja.

“Jomlah kita duduk kat KFC dulu. Aku pun dah lapar ni. Dalam tren tadi tak lalu nak makan.”

“Amboi, tak lalu makan konon! Ni mesti kenyang tengok mat salih handsome tu,” perli Amy.

“Kau jangan nak mengarut, ya? Kat celah mana pulak aku nak letak si Huzaif tu?” balas Rus pula. Pandai sahaja sahabatnya itu reka cerita.

“Aik, sejak bila kau begitu setia dengan tunang kau tu? Bukan ke kau tak cintakan dia?” Amy buat muka pelik. Takkanlah selepas bercuti balik kampung, hati minah seorang ini berubah pula?

“Bakal suami aku tu…” ujar Rus.

Sejenak dia mengimbas kembali photo yang pernah abahnya tunjukkan kepadanya. Huzaif kategori lelaki yang segak juga, cuma dia berkulit hitam manis dan ketinggiannya tidaklah sampai enam kaki.

“Sudahlah! Kau tak pernah pun teringatkan dia, kan? Entah-entah tunang kau tu tengah berbahagia dengan awek Rusia yang lebih cantik daripada gadis Eropah.” Amy mencebik. Bagi dirinya, orang lelaki bukan boleh dipercayai seratus peratus.

“Tak baik buruk sangka dengan orang,” ucap Rus sekadar berbahasa. Padahal, dia amat berharap perkara itulah yang sebenarnya terjadi.

“Aku tak fahamlah dengan kau ni. Kita ni berhak memilih yang terbaik untuk diri sendiri. Bukan ikut aje cakap orang lain.” Amy memberikan hujahnya.

Wajah Rus dipandang sayu. Bukan dia tidak tahu yang sahabatnya itu terpaksa bertunang tanpa kerelaan hatinya. Dia memang bersimpati dengan gadis itu, namun hanya mampu mendengar keluhan dan rasa tidak puas hatinya. Hendak membantu, sekadar memberi nasihat dan kata perangsang sahajalah.

“Aku cuma tak nak jadi anak derhaka.” Jawapan yang sering diberikan bagi mengubati hati sendiri. Hakikatnya, cukup pahit untuk Rus telan.

“Yalah, bertunang aje dulu, kan? Belum tentu berkahwin dengan dia.”

“Hmm…” Rus mengeyakan. Berat mata memandang, berat lagi bahunya yang terpaksa memikul. Apabila melibatkan hati dan perasaan, lagi terasa bebanannya.

“Aku berharap sangat semoga tunang kau tu berjumpa gadis idaman dia kat sana. Lepas tu, bolehlah kau bebas memilih siapa yang berkenan di hati.”

“Teruk kan, aku ni?” keluh Rus.

Matanya leka memerhati pengunjung yang berada di situ. Berbilang bangsa dan berbagai peringkat usia. Pelancong asing turut kelihatan. Tiba-tiba dia teringatkan mat salih yang satu koc dengannya. Lelaki itu awal-awal lagi dia tidak tahu ke mana arahnya.

“Tak ada la teruk, cuma kau tu yang kurang tegas,” komen Amy.

Dalam diam, Rus mengakui kata-kata sahabatnya. Di hadapan orang tuanya, dia terpaksa mengikut kata dan bersetuju sahaja dengan apa yang telah diaturkan buat dirinya. Hakikatnya dia sentiasa mengharapkan orang di sebelah sana memutuskan pertunangan.

“Kau tunggu kejap, aku nak pesan makanan,” pesan Amy seraya menuju ke kaunter KFC.

Rus sambung memerhati pengunjung yang kian membanjiri KL Sentral. Bermacam gaya dan ragam warga kota. Ada yang mengejar masa, ada pula yang menunggu masa. Dirinya juga yang asyik menanti dan mengharapkan takdir menyebelahi dirinya.

Kerana menjaga hati, dia terpaksa berdiam diri. Jangan harap hendak bersuara sikit, nanti tidak pasal-pasal dosa bertambah. Sukarnya hendak menjadi anak yang patuh, bertambah parah pengorbanan yang diberi belum tentu menjamin kebahagiaan.

“Kau ni… sekejap aje aku tinggalkan, dah termenung!” tegur Amy sambil meletakkan hidangan di atas meja. Dua snack plate untuk mereka berdua.

“Nak buat apa lagi kalau bukan berangan?” ujar Rus kemudian mengukir senyuman sekadar memaniskan wajah yang kian serabut.

“Ni, sambung balik cerita mat salih yang kau jumpa tu,” pinta Amy.

“Tak ada benda nak cerita pun.” Rus beralasan. Makanan yang terhidang lebih menyelerakan dari cerita tentang lelaki yang entah siapa-siapa. Namanya pun Rus tidak sempat hendak bertanya.

“Mustahil tak ada benda? Lebih dua jam kau duduk sebelah dia, takkan tak ada apa yang berlaku?” Amy tidak percaya dengan alasan yang Rus berikan.

“Maaf ya, kita orang buat hal masing-masing. Tak kuasa aku nak menyibuk pasal mat salih tu,” jawab Rus.

“Jangan tipulah!”

“Suka hati kaulah sama ada nak percaya atau tak.”

“Ni mesti ada apa-apa, kan?” duga Amy lagi.

“Dah, tak payah nak buat spekulasi. Aku lapar dan nak makan!”

“Janganlah nak berahsia dengan aku, nanti terseksa jiwa dan raga. Siapa yang susah? Kau jugak…”

“Kau ni, ada-ada aje!” Geram betul Rus dengan sahabatnya itu. Selagi tidak puas hati, selagi itu dia akan mendesak.

“Kita berhak untuk bahagia Rus,” ucap Amy sambil menjamah hidangan yang bisa sahaja mengenyangkan perut. Pada masa yang sama turut menambah berat badan dan kolesterol!

“Bahagia itu subjektif. Ada yang rasa bahagia apabila dapat membuat orang lain gembira,” tutur Rus. Benarkah apa yang diucapkan? Padahal, diri sendiri terseksa jiwa semata-mata mahu gembirakan hati orang lain.

“Betullah, tapi diri sendiri yang kena terlebih dahulu rasa bahagia tu!” tungkas Amy.

“Itu pendapat kau. Lain orang, lain pulak pandangannya,” balas Rus pula.

“Tak kisahlah. Bagi aku, nak jugak tengok kau bahagia di samping insan yang benar-benar kau cinta. Paling penting, dia jugak sayangkan kau seperti kau sayangkan dia,” tutur Amy.

“Kalau kau nak, aku lagilah teringin. Tapi nak buat macam mana, kan? Aku sudah terikat dan dah tak boleh memilih,” keluh Rus. Hendak menyesal pun sudah tidak berguna. Terpaksalah dia teruskan sahaja.

“Kau aje yang tak nak memilih dan buat keputusan sendiri. Patutnya awal-awal lagi kau menolak!” ujar Amy.

“Kau cakap, senanglah. Cuba kalau kau berada di tempat aku, pasti sama aje keputusan yang bakal kau ambil.”

“Takkan sama sebab aku dah tak ada mak bapak. Aku sendiri yang akan tentukan haluan hidup aku,” jawab Amy, kemudian menghirup air minumannya.

“Kau memang beruntung…” ujar Rus perlahan.

“Ada untung dan ada ruginya jugak. Terpulang bagaimana kita hendak menghadapinya.”

“Tiba-tiba aku rasa malas nak window shopping. Kita terus balik rumah ajelah,” usul Rus yang sudah kepenatan.

“Boleh aje. Sampai rumah nanti, kau kena cerita pasal mat salih tu kat aku!” Amy mengingatkan.

“Yalah, yalah! Nanti aku cerita dari A sampai Z.” Akhirnya Rus beralah. Dia akan cerita apa yang patut sahaja. Mana yang perlu disembunyikan, terpaksa dirahsiakan juga. Tak nyonyalah kalau cerita semuanya sampai tak ada rahsia langsung.

“Hmm… cantik pulak sweater yang kau pakai. Tapi tulah, nampak besar sikit.”

Kata pujian Amy buat darah Rus berderau. ‘Astaghfirullahalazim… macam mana boleh terlupa?’

“Kau ni dah kenapa? Apasal wajah kau pucat semacam?” tanya Amy sedikit cemas.

“Tak ada apa-apalah.” Rus segera berlagak tenang.

“Betul ni?”

“Ya, jangan risau. Lainlah kalau aku jatuh pengsan.” Rus ketawa kecil bagi menutup resah di kalbu.

“Ke… kau dah jatuh cinta?” tembak Amy. Mana tahu, kali ini memang mengena sasaran.

“Jangan mengarut boleh tak?” Rus sudah gabra apabila asyik kena asak.

“Macam siapalah agaknya putera kayangan tu, ya?” usik Amy lagi.

“Jomlah kita balik!” Rus sudah bangun. Kalau masih melayan kerenah sahabatnya, semakin sesak dan serabut fikirannya.

“Titah dijunjung Tuan Puteri Rus Ashiya Rosman…”

Rus tersenyum juga dengan usikan itu.

“Manis…” puji Amy sejujurnya.

Rus terpempan buat seketika. Perkataan yang sama, namun diucap oleh dua insan yang berlainan. Kebetulan yang amat mencuit hatinya!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku