'Dia' My Love
Bab 5
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Penilaian Purata:
(18 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5289

Bacaan






SETELAH membersihkan diri dan siap berpakaian, Isaac terus berbaring di katil. Seketika dia turut bergolek-golek dengan perasaan yang amat gembira. ‘Putera kayangan?’ Dia mengulangi gelaran istimewa buat dirinya. Terasa diri benar-benar bagai anak raja pula meskipun tidak pasti kenapa dirinya digelar begitu.

Dia juga tersenyum sendiri mengingatkan wajah manis gadis yang bisa sahaja membuat dia terkenang-kenang. Reaksi spontannya sebaik menyedari dirinya boleh berbahasa Melayu memercik suatu rasa yang sukar diungkap dengan kata-kata. Dalam hati dia mengharapkan ada lagi pertemuan seumpamanya.

Tadi, mujur dia sengaja tergesa-gesa keluar dari koc dan pura-pura terlupa meminta kembali sweater miliknya. Ketika beredar, dia langsung tidak memandang gadis itu. Walaupun hati bagai ditarik-tarik mahu merenungnya, namun dia biarkan saat itu berlalu. Andai berlama, takut si gadis terperasan pula dan rosak pelan yang telah dirancang. Sebaik teringatkan sweater warna biru muda itu, sekali lagi senyuman terukir di bibirnya. Milik dialah sangat!

Sehari sebelumnya, punyalah dia bersusah payah pergi ke Ipoh Parade semata-mata mahu mencari sehelai sweater. Sanggup naik teksi dan keluar pada tengah hari buta. Keluar masuk kedai, jangan dikira. Dia memang mahu memastikan sweater itu adalah yang paling sesuai dan selesa dipakai. Akhirnya dia terjumpa juga sweater yang bersesuaian dengan gadis itu.

Kerja yang sepatutnya dia selesaikan pada hari itu terpaksa ditangguhkan sebab takut terlupa pula. Semuanya atas saranan insan tersayang untuk diberikan kepada gadis idaman. Ternyata apa yang dia lakukan amat berbaloi. Peliknya, tidakkah gadis itu perasan yang sweater itu langsung tidak muat untuk lelaki berbadan besar sepertinya?

Persoalan itu akhirnya dia ketepikan. Mungkin sahaja apabila sudah kantoi dan gabra, gadis itu tidak terfikir langsung perkara itu. Isaac amat berharap penampilan pertamanya di hadapan gadis itu membibitkan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Dia tidak kisah langsung dirinya jadi bahan kutukan gara-gara memakai tali pinggang keselamatan. Padahal, perkara itu sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh mana-mana lelaki macho sepertinya.

Apa yang penting dia mahu gadis itu teringatkan dirinya sampai bila-bila. Selepas itu, dia akan merancang strategi lain untuk menarik perhatiannya. Walaupun gadis itu tidak memperkenalkan dirinya dan tidak menunjuk minat, dia tidak kisah. Paling mustahak, hatinya telah berbunga bahagia apabila digelar putera raja dari kayangan. Kembang satu bandar raya hatinya kerana pujian itu!

Kini, dia bertambah yakin yang gadis itulah hatinya inginkan. Sungguh, apa yang berlaku adalah takdir yang menemukan semula pada perkara yang dia tidak mahu ambil pusing suatu ketika dahulu. Tiba-tiba, dia berasa menyesal pula kerana pernah terburu-buru membuat keputusan tanpa berfikir panjang.

Ketika itu dirinya terbuai dengan perasaan sendiri dan janji manis daripada insan yang tidak berlaku jujur. Dirinya selalu tersilap langkah dan tersalah membuat pilihan dan percaturan hidup. Semuanya gara-gara terlalu mengikut kata hati. Akhirnya dia ditinggalkan dan dibelenggu kekecewaan kerana gagal dalam percintaan.

Telefon di atas meja dia capai. Seseorang perlu dia hubungi segera. Sesuatu yang baik tidak elok bertangguh, nanti menyesal pada kemudian hari.

“Ya, ada apa call adik?”

Cepat sahaja panggilan telefon buat adik tersayang mendapat balasan.

Next plan…” beritahunya dengan ceria. Dia tidak mahu membuang masa.

“Wow, macam tak sabar aje?” usik adiknya sambil ketawa di hujung talian.

“Takkan tak kenal dengan abang sendiri? Adik lebih tahu apa nak buat, kan?” balasnya.

Dia memang tidak mahu tunggu lama-lama. Walau nanti akan berhadapan dengan berbagai-bagai rintangan, dia sanggup mengharunginya. Gadis itu adalah masa hadapannya dan amat berharap impiannya akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

“Serahkan aje pada adik abang ni. Tapi jangan lupa ganjarannya andai berjaya nanti,” ucap adiknya dengan penuh makna.

Rupanya si adik tidak mahu buat kerja percuma! Terpaksalah dia berkompromi.

“Tentulah abang ingat. Nak apa?” Isaac tidak kisah langsung walau apa jua permintaan adiknya. Andai dia buat kerja sorang-sorang, takut gigit jari. Dia juga yang akan berputih mata.

“Tak banyak. Kereta sebiji, boleh?” tanya adiknya kemudian tertawa.

Sudah alang-alang abangnya membuat tawaran, baik dia pulun cukup-cukup. Bukan senang hendak dapat hadiah lumayan daripada abang kesayangan.

“Kereta aje, pemandu tak nak sekali?” Isaac juga mahu bergurau.

“Kalau dapat dengan pemandunya, alhamdulillah. Senang banyak hidup adik.”

“Okey. Abang serah semuanya kat adik tau. Abang nak pantau dari jauh aje,” beritahu Isaac dengan ceria.

“Tak payahlah jauh-jauh, nanti asyik merindu pulak,” usik adiknya lagi.

“Tak apa. Tak dapat tengok orangnya, dapat tahu perkembangannya pun dah cukup.”

“Insya-ALLAH… pelan adik akan berjaya. Perlahan-lahan pasti dia akan masuk perangkap dan tertambat.” Adiknya begitu yakin sekali dengan pelan yang telah dirancang. Dia juga ada pelan kontigensi andai pelan yang awal kurang berjaya.

“Tak naklah perlahan-lahan, abang nak cepat. Abang dahlah tengah kejar masa ni.”

“Perancangan yang bagus perlu ada strategi yang mantap. Dia tak boleh tahu langsung. Adik kena fikir jalannya supaya dapat lorongkan ke arah abang,” beritahu adiknya yang mahu memastikan misi kali ini berjaya.

“Tak kisahlah! Apa yang penting, akhirnya abang dapat dia jugak,” balas Isaac.

“Abang tak payah fikir banyak. Abang cuma perlu bersedia untuk berjumpa dengan orang yang lebih mencabar. Itu pun belum tentu boleh berjaya,” usul adiknya pula, merujuk kepada keluarga gadis itu.

“Janganlah punahkan semangat abang. Abang tengah berkobar-kobar ni.”

“Adik cuma ingatkan aje, bukan patahkan semangat abang.”

“Kalau ada apa-apa, jangan lupa beritahu abang.” Dia turut memberikan pesanan.

“Insya-ALLAH abang kusayang...”

“Terima kasih adik yang sangat-sangat abang sayang,” ucapnya dengan girang.

“Okey,” balas adiknya.

Isaac tersenyum lagi. Mengingatkan lirikan mata gadis itu membuat hatinya bergetar. Ditambah dengan wajah manisnya, memang malam ini dia tidak akan lena. Pasti wajah gadis itu yang akan menghiasi mimpinya. Walau sering nampak serius, namun bersahaja mengenakan dirinya dalam diam.

Dia cukup suka melihat reaksi gadis itu ketika kantoi dan malu-malu dengannya. Kononnya pura-pura tidak peduli, tetapi kerap juga mencuri pandang. ‘Tunggu! Nanti giliran putera kayangan pulak curi pandang dan rembat sekali hati awak! bisiknya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku