Pabila Dia Bertukar Dear
Bab 7
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4662

Bacaan






RUS leka membelek pokok bongsai berhampiran kolam renang. Tag nama di batang pokok tertulis Wrightia religiosa variegated. Nama bukan main canggih, tapi orang biasa panggil pokok melati batik saja pun. Ia selalu ditanam sebagai tanaman tumpuan di sesuatu kawasan.

Tadi, selepas habis mesyuarat di pejabat klien, Kak Ina whatsapp dan suruh dia terus ke Micasa Hotel di Jalan Tun Razak. Sebenarnya Tuan Malik ada janjitemu dengan seorang klien, tetapi dia ada hal lain pula. Sudah alang-alang Rus berada berdekatan, bosnya mahu dia singgah di situ.

Kak Ina ada beritahu yang klien akan berada di sana dalam pukul 11.00 pagi. Setiausaha bosnya itu hanya memberi nama sahaja, tetapi tidak disertakan dengan nombor telefonnya. Kalau klien lambat, Kak Ina suruh tunggu sahaja sehingga dia tiba. Klien sendiri akan menghubungi Rus dan mencarinya di sana.

Rus mengerling lagi jam tangannya, kini sudah menghampiri 11.30. Dia mengeluh kerana orang itu masih belum menghubunginya. ‘Kerek sangat ke klien tu sampai aku tak boleh hubungi dia dan terpaksa jadi penunggu?’ Dia tertanya sendiri.

Ketika Rus asyik dengan keindahan landskap yang menyamankan, kedengaran seperti seseorang menyapanya. Begitu pun dia buat tidak tahu sahaja. Mana mungkin ada orang yang mengenalinya. Ketika ini, yang ada di sekitar kolam renang hanyalah beberapa minah salih bersama anak-anak mereka. Dia tidak nampak langsung muka orang Melayu.

“Hai, tak sangka jumpa awak kat sini…” tegur suara itu lagi.

Kali ini Rus hampir pengsan kerana suara itu betul-betul hampir dengan dirinya. Lebih tepat, orang itu berbicara di tepi telinganya. Nasib baik pakai tudung. Kalau tidak, gugur cuping telinga dia!

Rus menoleh dan memandang wajah yang menegurnya. Sungguh, ketika ini dia amat terkejut dan tidak percaya gerangan yang berdiri di sisinya. Dia segera menutup mulut yang ternganga.

“Saya tersalah cakap ke?” sambung lelaki itu sebaik melihat reaksi Rus.

Tiba-tiba Rus tidak tahu hendak respons bagaimana. Dia cuba mententeramkan dirinya. Rasa seperti baru lepas berlari seratus meter dengan pantas. Tercungap dan sesak nafas!

“Awak buat apa kat sini?” Lelaki itu masih ramah seperti pertemuan tempoh hari.

“Saya ada janjitemu dengan klien,” terang Rus perlahan.

Dia masih cuba mengawal debaran di dada. Banyak-banyak tempat di Kuala Lumpur, di sini pula mereka berjumpa semula. Kenapalah tidak berjumpa di kayangan sahaja? Sempat juga Rus mengomel dalam hati.

“Dah jumpa ke belum?”

“Tak, bayang dia pun saya tak nampak. Itu yang saya tak suka janji Melayu ni,” kompelin Rus.

“Orang tu yang datang lambat, kenapa bangsa pulak dipersalahkan?”

Rus terdiam. Pedas sekali bicara lelaki itu, tidak padan dengan orangnya. Kenapalah dia tersilap cakap?

“Bukan itu maksud saya...” Rus cepat-cepat betulkan keadaan.

“Tak apa, saya faham. Memang ramai yang selalu berkata kononnya on the way, tapi sebenarnya tak bertolak lagi pun.” Lelaki itu tersenyum.

“Tulah, kalau terlewat sikit atau terperangkap dalam kesesakan, beritahulah. Ni, buat saya tertunggu-tunggu pulak,” bebel Rus lagi.

“Sian awak…”

“Pasal sweater awak tu, saya minta maaf banyak-banyak.Hari tu saya terlupa nak pulangkan,” pohon Rus sebaik teringat harta karun itu.

“Tak apa. Sweater aje pun, bukannya hati…” ucap mat salih. Tetapi perkataan ‘hati’ itu, tidak kedengaran. Ia hanya terucap dalam sanubari!

“Awak sebut apa tadi?” tanya Rus yang perasan seperti lelaki itu mahu mengucapkan sesuatu.

“Tak ada apa-apa, lupakan aje. Memandangkan klien yang awak nak jumpa tu tak sampai-sampai, jom saya belanja awak minum.”

“Hmm…” Rus berkira-kira sendiri sama ada hendak menerima atau menolak.

“Jangan risau. Kalau dia dah sampai, mesti dia akan callawak.”

“Okeylah, saya pun dah haus.” Akhirnya Rus bersetuju dengan pelawaan lelaki itu.

Mereka beriringan menuju ke restoran. Tanpa Rus duga, mat salih membantunya menarik kerusi ketika dia mahu duduk. Terpaksalah dia berlagak selamba.

“Terima kasih,” ucap Rus dalam segan. Pertama kali dalam sejarah hidupnya seorang lelaki bersikap gentleman terhadapnya.

Tidak berapa lama kemudian, seorang pelayan datang bersama buku menu.

“Awak nak makan?”

“Tak apalah, saya nak minum aje. Ice lemon tea, please,” beritahu Rus.

“Saya nak fresh orange,” beritahu mat salih.

Rus terpaksa melemparkan pandangan ke arah kolam renang. Takkan asyik bertatapan dan menghadap putera kayangan sahaja?

“Eh, janganlah senyap. Saya suka berbual dengan awak,” tegur mat salih selepas pelayan restoran beredar.

“Macam mana nak pulangkan sweater awak tu?” tanya Rus. Sebolehnya dia tidak mahu menyimpan barang milik lelaki itu.

“Sweater tu jugak yang awak ingat! Tak payah pulangkan, saya hadiahkan aje kat awak.”

“Janganlah buat saya berasa segan. Dahlah hari tu saya kantoi dengan awak,” balas Rus.

Mata mat salih masih tidak beralih dari menatap wajah Rus. Dia sedar yang gadis di hadapannya ini berasa kurang selesa. Bertambah tidak keruan apabila dirinya sengaja merenung lama-lama wajahnya.

Ketika pelayan sampai dan berdiri berhampiran meja mereka, tiba-tiba sahaja Rus berpaling ke kiri. Tanpa sengaja, tangannya tersinggung dulang yang ada air minuman. Gelas tergolek dan ice lemon tea tumpah ke atas blaus Rus. Seluar dia turut basah.

“Maafkan saya, maafkan saya…” pohon pelayan dengan rasa amat bersalah. Dia segera menghulurkan tisu kepada Rus.

“Tak apa,” jawab Rus sambil mengelap blausnya.

Apabila beberapa tisu yang digunakan masih tidak mencukupi, mat salih menghulurkan sapu tangannya kepada gadis itu.

Rus terus ambil dan mengelap seluarnya pula.

Beberapa ketika kemudian, Rus pandang mat salih yang sememangnya sedari tadi asyik merenungnya. “Kenapa?” Hatinya sudah mula cuak dengan situasi ini.

“Awak sebenarnya nak marah, kan? Tapi sebab saya ada, awak simpan marah awak tu,” usik mat salih sebaik pelayan berlalu.

“Tak adalah! Saya tahu dia bukannya sengaja. Lagipun salah saya jugak,” nafi Rus sambil menghulurkan sapu tangan tadi kepada mat salih.

Mat salih sambut dan letak di sebelah telefon pintarnya, kemudian dia tersenyum-senyum sambil menggeleng.

Rus sudah tunjuk muka geram. Perasaan hatinya kuat mengatakan yang lelaki itu mengutuknya dalam hati.

“Awak ni selalu gabra bila berhadapan dengan lelaki, ya?” duga mat salih.

Soalan spontan daripada lelaki itu buat Rus terkejut. Tidak tenteram jiwa dibuatnya. “Apa maksud awak?”

“Saya yakin awak tak pernah bercinta dan berdating. Ya, kan?” Sekali lagi mat salih menduga.

Rus menjeling tajam. “Apa kena-mengena dengan bercinta pulak?” Dia memang kaget dengan pertanyaan lelaki itu.

“Rasanya insiden tadi selalu ada dalam scene drama kat TV. Agaknya apa heroin tu buat bila hero telah menolongnya?” tanya mat salih, selebihnya memang mahu mengusik Rus!

Wajah Rus terus merona merah. “Astaghfirullahalazim… sorry…”ucapnya.

Ketika ini memang Rus berasa amat segan. Tanpa membuang masa, dia terus ambil semula sapu tangan tadi lalu dia letak dalam beg tangannya. Walaupun ia sedikit lembap, terpaksa juga dia sumbat agar tiada lagi usikan daripada lelaki itu.

Mat salih tertawa melihat gelagat Rus.

Aduhai, tidak pernah Rus berasa semalu hari ini. ‘Kenapalah aku bodoh sangat? Aku patut basuh dulu, gosok dan baru pulangkan balik kat dia!’ Rus berbicara sendiri.

“Janganlah terasa hati, saya takkan gelakkan awak lagi. Tapi saya memang suka tengok awak.” Mat salih bersuara setelah diam seketika.

“Dah, tak payah cakap pasal tu lagi.” Semakin lama Rus bersama lelaki ini, lagi tidak tentu arah jadinya.

“Kita ni asyik berbual aje. Sejak dari pertemuan pertama lagi saya tak tahu nama awak.” Pandai sahaja mat salih menyusun ayat.

“Panggil saya, Rus.”

“Rose, bunga mawar tu?”

“Bukan R.O.S.E. Ejaan nama saya R.U.S. Bunyinya serupa, tapi ejaannya lain sikit. Awak pulak?”

Belum sempat mat salih beritahu namanya, telefon pintarnya berdering.

“Ya, tuan,” ucapnya.

Sorry. Saya ada hal penting, tak dapat jumpa awak. Dah jumpa staf saya?”

“Belum, tuan. Jangan bimbang, nanti saya berikan dokumen tu pada dia.”

“Okey, jumpa you lain kali.”

Okay bye…”

Panggilan diputuskan, kemudian mat salih meletakkan kembali telefon pintarnya di atas meja. “Sorry, ada panggilan pulak.”

“Awak datang sini sebab nak jumpa orang jugak ke?” tanya Rus.

“Hmm…” Mat salih berdeham kemudian tersenyum-senyum.

“Ke… awaklah klien yang saya patut jumpa tu?” tanya Rus. Ini yang buat dia tidak senang duduk.

“Awak patut berjumpa dengan siapa?” Mat salih bertanya balik.

“Entahlah, yang saya ingat Isaac aje,” beritahunya.

“Sayalah tu…” ujar mat salih dan terus tertawa.

Rus pula, rasa nak buat lompat kijang dan terus menghilang dalam hutan batu!





Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku