Pabila Dia Bertukar Dear
Bab 8
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3119

Bacaan






DALAM perjalanan balik, Rus singgah makan tengah hari di restoran kesukaannya sebelum masuk semula ke pejabat. Walaupun seleranya sudah lama hilang, dia terpaksa juga mengisi perut bagi membekalkan tenaga untuk terus berfikir dan bekerja.

Pada masa yang sama, dia masih teringatkan insiden di Micasa Hotel. Berbagai perasaan masih berbekas di kalbunya. Terkejut dan malu sudah semestinya. Walaupun dia ada keinginan untuk berjumpa dengan mat salih lagi, tetapi bukan dengan cara begitu. Entah apa lelaki itu sangka fasal dirinya.

Sudahlah sebelum ini dirinya dicop sebagai seorang yang skeptikal, kali ini pasti sahaja istilah cemerkap dan kalut menjadi miliknya! Paling mengganggu fikirannya adalah tentang khazanah milik lelaki itu. Bagaimana dia hendak pulangkan?

Nama putera kayangan Rus sudah maklum. Malangnya dia berasa segan hendak meminta nombor telefonnya gara-gara insiden air tertumpah. Sebagai gadis Melayu, dia tetap mahu menjaga tatasusila dan tidak mahu berlebih. Nanti lelaki itu ingat lain pula.


DARI jauh Kak Ina sudah menyedari kehadiran Rus yang hendak berjumpa dengannya. Dia sudah lama menanti kepulangan gadis itu ke pejabat. Di samping mahukan dokumen yang Isaac berikan, dia turut ada perkara lain yang hendak disampaikan.

“Hai Rus, baru balik?” tegur Kak Ina ketika Rus menghampiri mejanya.

“Yup, saya baru aje sampai. Ni dokumen yang klien tu kasi.” Rus menghulurkan dokumen yang agak tebal kepada Kak Ina.

“Terima kasih. Hmm… macam mana orangnya?” Kak Ina sengaja mahu menduga.

“Macam mana apa?” Pelik pula rasa hati Rus dengan pertanyaan setiausaha bosnya.

“Siapa lagi?”

“Ooo… klien tu, ya?” Rus pura-pura bertanya.

“Apa pendapat Rus tentang dia?”

“Okey la, tapi kenapa Kak Ina nak tahu sangat?” Sesuatu sudah terdetik di hati Rus.

“Saja la. Bos kata dia seorang pemuda yang baik dan masih belum berpunya,” beritahu Kak Ina sambil tersenyum-senyum.

“Apa yang bos beritahu lagi?” Sudah alang-alang Kak Ina mahu bercerita, Rus mengambil kesempatan itu untuk bertanya lanjut.

“Mr. Isaac Newton tu sedang mencari permaisuri hatinya. Menurut bos kita, sudah agak lama jugaklah dia mencari. Dari Negeri Indera Kayangan sampai Negeri Di Bawah Bayu, tapi tak ketemu jugak,” beritahu Kak Ina kemudian tertawa geli hati dengan bicara sendiri.

“Kelakarlah Kak Ina ni!” balas Rus.

Dalam hati tersenyum sendiri. Indera Kayangan dan putera kayangan, bukankah seperti ada kena-mengena? Tetapi, kenapa dia berasa seperti Kak Ina mahu memberitahunya sesuatu?

“Jodoh ni kita tak tahu, Rus. Datangnya dia, memang tak berjemput. Tiba-tiba aje dah ada kat sebelah kita,” tutur Kak Ina. Memulakan mukadimah perkara yang hendak dia sampaikan.

Tersenyum Rus mendengarnya. “Dulu Kak Ina macam mana, ya? Kahwin dengan pilihan hati atau keluarga yang aturkan?”

“Mestilah cari sendiri! Tak mainlah suruh mak bapak tolong.”

“Tulah, beruntung Kak Ina. Dapat pulak suami yang baik dan dikurniakan anak yang comel-comel,” puji Rus dengan ikhlas.

Dia masih ingat lagi ketika pertama kali mengunjungi wanita itu di rumahnya. Ketika itu, Kak Ina masih di dapur dan suaminya yang menyambut kedatangan Rus. Abang Halim memang seorang yang peramah dan pandai melayan anak-anaknya.

“Alhamdulillah. Sebenarnya apa sahaja yang kita nak, kena mintak dengan ALLAH. Setiap hari berdoa sungguh-sungguh, tapi jangan lupa berusaha untuk mencapainya,” nasihat Kak Ina.

“Insya-ALLAH…” ucap Rus.

“Satu lagi, jodoh tu bukanlah tentang siapa dia, tapi bagaimana kita…” beritahu Kak Ina lagi. Ayat yang dituturkan semakin cantik dan bermakna.

“Ulang balik kak, saya tak berapa faham.” Rus terkebil-kebil.

“Nak tahu jodoh kita tu bagaimana, kena tengok diri sendiri. Kalau kita baik, insya-ALLAH kita akan dapat yang baik jugak,” terang Kak Ina.

“Ooo… macam tu.”

“Tadi, Isaac sampai lambat ke?” Kak Ina ingin tahu fasal pertemuan Isaac dengan Rus pula.

“Haah. Dah la lambat, bukannya dia nak telefon saya. Kesian kat saya, tercongok sorang-sorang kat Micasa Hotel tu,” adu Rus, tidak berpuas hati. Mujur dia menunggu di tempat yang agak selesa.

“Nak buat macam mana, kan? Dah dia tak kasi Kak Ina bagi nombor telefon dia kat Rus,” beritahu Kak Ina. Dia pun berasa pelik juga. Entah kenapa pemuda itu tidak mahu Rus tahu nombor telefonnya.

“Tak nak saya marahlah tu. Klien kan selalu aje betul!” omel Rus, seolah-olah berasa geram sangat.

“Ha… ha… ha. Dia bukan klien kitalah!” beritahu Kak Ina sambil ketawa.

“Habis tu, dia siapa kak? Kak Ina jangan buat saya saspens pulak.” Rus terkejut dengan apa yang baru wanita itu beritahu.

“Isaac tu ada sangkut-paut jugak dengan bos kita,” jelas Kak Ina.

“Tapi, kenapa dia bahasakan bos kita sebagai tuan?” tanya Rus. Dia masih ingat lagi perbualan Isaac dengan seseorang di telefon. Cuma dia tidak menyangka orang itu adalah Tuan Malik.

“Ketika waktu pejabat, kenalah profesional. Lebih-lebih lagi depan gadis macam Rus ni.”

Dalam hati, Rus sudah berasa lain. “Kak Ina macam dah biasa aje dengan Isaac ni. Dah lama kenal ke?” Rus bertanya lagi.

“Adalah tiga empat kali bercakap kat telefon, tapi tak pernah pulak dia datang ke pejabat ni. Tu yang tak tahu Isaac ni macam mana orangnya. Kalau berdasarkan nama, memang kategori handsomelah, kan?”

“Boleh tahanlah,” ucap Rus.

“Boleh tahan aje? Ke… tak boleh tahan kalau lain kali berjumpa lagi?” usik Kak Ina.

“Kak Ina ni… ke situ pulak!” Rus tersipu. Wanita ini seperti dapat membaca fikirannya.

“Takkan nak in situ aje? Sekali-sekala kita perlu berfikiran jauh sikit. Jangan asyik nak bekerja. Hati dan perasaan ni kena bagi pendedahan jugak dengan dunia luar.” Panjang lebar Kak Ina memberi nasihat.

“Apa yang Kak Ina melalut ni? In situ? Tak faham saya!” Rus semakin tertanya-tanya.

“Kak Ina nak ingatkan aje. Kerja-kerja jugak, ada masanya perlu fikir masa depan dan impian berkeluarga. Takkan selamanya Rus nak hidup sendiri, kan?”

“Sebenarnya saya dah bertunang kak. Hujung tahun ni, berubahlah status saya.” Rus berterus terang sahaja apabila Kak Ina telah memberi gambaran tujuannya.

“Ya ke, Rus? Macam mana Kak Ina boleh tak tahu?” Kedengaran suaranya sedikit hampa.

“Saya dah bertunang sebelum masuk kerja kat sini kak,” jelas Rus.

“Kisahnya. Alahai, ingatkan nak padankan Rus dengan orang tu.”

“Eh Kak Ina ni, nak padankan saya dengan siapa pulak?” tanya Rus. Dadanya berdebar-debar menanti jawapan daripada Kak Ina.

“Tak apalah. Rus pun dah bertunang, tak baik potong jalan orang!” Kak Ina berdalih.

“Okeylah kak, saya nak sambung buat kerja,” ujar Rus yang mahu segera menyambung tugas.

“Okey,” balas Kak Ina. Matanya memerhati langkah Rus hingga hilang dari pandangan. Nampaknya hajat seseorang bakal tidak kesampaian.

Sampai di kubikelnya, Rus melepaskan keluhan berat sebaik terlihat dokumen yang bertimbun di atas meja. Ketika mengeluarkan telefonnya dari beg tangan, terpandang pula sapu tangan milik mat salih.

Sekali lagi dia mengeluh. Hendak membasuh dan menjemurnya pasti perlu sembunyi-sembunyi. Andai Nurul atau Amy ternampak, masak dia terpaksa terangkan mana datangnya sapu tangan milik orang lelaki itu. Aduhai…



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku