'Dia' My Love
Bab 10
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Penilaian Purata:
(20 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3809

Bacaan






CUTI Hari Kemerdekaan, Rus cuma duduk di rumah. Amy balik kampung, sementara Nurul pula keluar berdating dengan kekasih hatinya. Tinggallah dia terkontang-kanting seorang diri. Sekejap pandang dinding, kemudian beralih pandang siling pula.

Akhirnya Rus tergelak sendiri apabila teringatkan mat salih yang pandai-pandai sahaja mengatanya tidak pernah bercinta dan berdating. Dia akui yang dirinya memang tidak pernah bercinta. Tidak berkesempatan hendak menyulam cinta sebenarnya!

Dia pun tidak faham kenapa Huzaif bersetuju jadi tunangnya tanpa kenal dan berkasih. Paling pelik, diri sendiri hanya pernah tengok gambar tunangnya sahaja. Berbual di telefon atau berjumpa dengannya pun tidak pernah. Nampaknya dia akan mengakhiri zaman bujangnya seperti zaman nenek moyang jugalah. Jangan dia dan Huzaif tua sebelum waktunya, sudah!

Kadang-kadang terdetik juga kekesalan di hati Rus.Ketika dia sudah jadi tunangan orang, ada sahaja yang menggugat hati dan perasaannya. Kenapalah baru sekarang dirinya dipertemukan dengan putera kayangan dan mengenali jejaka lain?

Sebenarnya, dia pun seperti gadis normal yang lain. Hendak juga bercinta dan dicintai. Bukannya mengharapkan takdir yang datang sahaja.Walaupun sahabatnya sekadar bercerita, hati Rus turut terusik. Mahu juga tahu gerangan orangnya, apa keistimewaannya sampai Amy boleh angau. Begitu pun, seperti biasa dia tidak akan tunjuk apa yang dirasa di hadapan Amy.

Apabila berbicara fasal cinta, kasihan juga dengan diri sendiri. Dia teringin juga merasai seronoknya jatuh cinta dengan lelaki yang diminati. Setelah bertunang, tentu sahaja dia tidak berpeluang merasai semua itu. Hendak memupuk rasa cinta dan paksa diri jatuh cinta pada tunang sendiri pun terasa sukar.

Tiba-tiba Rus teringatkan Che Jamaliah pula. Pada masa yang sama, telefonnya turut berdering. Dadanya berdebar-debar sebaik nama bakal mak mentua yang terpamer di skrin. Wanita itu macam tahu-tahu sahaja Rus sedang teringatkan dirinya!

“Assalamualaikum auntie…”

“Waalaikumussalam. Rus sihat?” Che Jamaliah suka sekali dapat berbual dengan bakal menantu.

“Alhamdulillah. Auntie macam mana?” Terpaksalah Rus beramah mesra.

“Bertambah sihat dan gembira. Tak sabar rasanya nak tunggu hari bahagia Rus dan Huzaif,” tuturnya dengan riang.

Aduhai… ini yang buat Rus tidak terkata mendengarnya. Andai mereka berhadapan, memang dirinya akan dipeluk mesra.

“Rus?” panggil Che Jamaliah apabila gadis itu tiba-tiba senyap pula.

“Ya auntie.” Rus yang teralit segera menyahut.

“Auntie sebenarnya baru balik dari Istanbul. Bercuti dan melancong dengan kawan-kawan,” beritahu Che Jamaliah lagi.

“Seronoknya…” ucap Rus dengan ceria.

“Memang seronok. Kalau Rus ada sama, lagi seronok.” Suara Che Jamaliah kedengaran ceria. Tentu sahaja menggembirakan dirinya apabila dapat bercuti di luar negara.

“Tak apa, lain kali kita boleh bercuti sama-sama,” balas Rus sekadar mengambil hati bakal mak mentuanya.

“Auntie ada beli hadiah untuk Rus, cenderahati dari Istanbul,” beritahu wanita itu lagi.

“Auntie ni… buat susah-susah aje.”

“Kalau untuk Rus, tak ada benda yang susah. Raya Haji ni, balik kampung tak?”

“Insya-ALLAH balik.”

“Alhamdulillah… lusa auntie nak jumpa mak Rus dan hantar hadiah tu sekali kat rumah.”

“Terima kasih banyak-banyak auntie…” Tiba-tiba Rus berasa terharu dengan kebaikan wanita itu. Dirinya pula jarang mahu membeli apa-apa untuknya.

“Okeylah Rus, lain kali kita sembang lagi,” ucap Che Jamaliah yang mahu memohon diri.

“Yalah,” balas Rus.

Seketika Rus termenung. Bakal mak mentuanya memang lemah-lembut dan penyayang orangnya. Kalau melancong ke mana-mana, mesti belikan bermacam-macam hadiah buat dirinya.

Rus berasa serba salah juga dengan Che Jamaliah. Sayangnya wanita itu pada dirinya bagai anak sendiri. Apabila ada kelapangan, wanita itu juga selalu bertanya khabar. Hati yang keras pun boleh jadi cair apabila bakal mak mentua melayannya dengan baik.

Hendak harap anak dia, memang jauh panggang dari api. Tidak dapat Rus bayangkan bagaimana bentuk perkahwinan yang akan dia lalui. Semakin dia fikir, buat dirinya risau pula. Berkahwin sekali seumur hidup, mahu jugalah membina rumah tangga bahagia. Namun, andai masa bertunang ini tidak berpeluang kenal lebih rapat, bagaimana mereka hendak serasi apabila berkahwin kelak?

Che Jamaliah beria-ia hendak Rus jadi menantu, anaknya bagai tidak kisah langsung. Ini yang membimbangkannya. Tarikh perkahwinan mereka hanya tinggal beberapa bulan sahaja. Mengingatkan tanggal 12 November, buat dia kecut perut.

Tiba-tiba Rus teringatkan mat salih pula. Dia perlu mencari alasan bagaimana mahu meminta nombor Isaac daripada Kak Ina. Dia perlu fikirkan alasan yang logik dan kukuh agar wanita itu tidak mengesyaki sesuatu. Namun, susah juga kerana lelaki itu tiada kena-mengena dengan sebarang projek di bawah seliaannya.

Setakat tolong ambil dokumen daripadanya, apalah sangat? Tentu sahaja pada pandangan Kak Ina tiada keperluan Rus tahu nombornya. Nanti tidak pasal-pasal boleh terpecah rahsia pula.

Harapan terakhirnya semoga lelaki itu menghubunginya. Isaac pasti masih menyimpan nombor telefonnya walau lelaki itu tidak membuat panggilan ketika mahu berjumpa di Micasa Hotel. Akhirnya, tidak sampai beberapa minit, Rus terlena di ruang tamu.


SUASANA di restoran mewah ini senyap sahaja, padahal bukannya tiada pelanggan lain. Diri Rus pula penat menahan rasa segan apabila asyik jadi tatapan. Ini kali pertama dia keluar berdating dengan seorang lelaki.

“Hmm… awak pernah jaga seseorang?” Lelaki di hadapannya itu berdeham sebelum memulakan perbualan.

Soalannya kedengaran begitu pelik di telinga Rus. Lama wajahnya dia pandang, cuba meneka kenapa lelaki itu hendak tahu. Kalau berdating, bukankah tentang perasaan dan masa hadapan yang sering dibualkan?

“Pernah tak?” ulang lelaki itu lagi. Matanya memandang tepat ke wajah Rus.

“Pernah, masa adik saya sakit. Lagipun sejak dulu saya memang jaga diri sendiri.”

I see…” Lelaki itu mengangguk beberapa kali.

“Tapi, sekarang ni saya nak orang lain pulak tolong jaga saya. Kenapa awak tanya?”

“Tak ada apa. Baik awak lupakan aje.”

“Pulak?” Rus bertambah pelik dengannya.

“Anggap aje ia soalan bodoh dari seorang lelaki yang kurang bijak!” Lelaki itu mahu berlawak pula. Senyuman turut terukir di bibirnya.

“Ke… awak ada maksud lain?” tanya Rus yang tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan.

“Kalau ada, macam mana?”

“Apa dia?” Pantas Rus bertanya.

“Betul awak nak tahu?”

“Ya, awak cakap ajelah!” suruh Rus yang sudah tidak sabar hendak tahu. Ada ketikanya dia berasa geram juga dengan lelaki itu. Sengaja mahu menduga dirinya yang tidak gemar berteka-teki.

“Kalau diizinkan, saya nak jaga awak...” tutur lelaki itu. Matanya redup merenung wajah gadis idamannya.

Rus yang terkejut mengerut kening. Rasanya dia tidak salah mendengar. Secara tidak langsung lelaki ini seperti ingin melamar dirinya.

“Boleh?”

“Tak apalah, saya boleh jaga diri sendiri.” Rus yang terperangkap dengan soalan sendiri terpaksa memberikan jawapan selamat.

“Tadi, kan awak kata nak ada orang lain yang jaga awak?”

Rus terus tunduk. Pada masa yang sama tercari-cari jawapan balas yang paling sesuai.

“Izinkan saya jaga awak. Saya pun amat berharap agar awak sudi jaga saya,” pinta lelaki itu lirih.

Tiba-tiba Rus berasa amat tersentuh dengan permintaannya. Aduhai hati, tolong jangan goyang dan tergugat dengan kata-katanya. Dia berbicara sendiri.

Sepi buat beberapa ketika. Masing-masing bagai hilang suara hendak meneruskan perbualan.

“Rus?” Tiba-tiba namanya diseru beberapa kali.

“Okey…” Akhirnya jawapan itu yang keluar dari mulut Rus.

“Apa yang okey?”

Rus terus terpinga-pinga. Kenapa tiba-tiba sahaja suara perempuan yang dia dengar?

“Rus, kau okey ke?” Nurul mengulangi pertanyaannya.

“Astaghfirullahalazim… kau ke?” Wajah Nurul dipandang, namun pandangan matanya masih berbalam-balam.

“Kau ni menggigau pasal apa? Takkan pasal putera kayangan kut?” duga Nurul kemudian tersenyum.

Rus ketuk kepala sendiri. Haish! Macam mana boleh termimpikan orang itu?

“Dah masuk ke alam nyata ke belum?” usik Nurul.

Dia baru sahaja mahu menuju ke bilik setelah berdating dengan kekasih hati. Tiba-tiba dia terdengar suara Rus, tetapi nampak gadis itu seperti tidur dan bukannya bercakap di telefon.

“Ada apa sebenarnya?” Rus segera melencong, tidak mahu kantoi dengan sahabatnya itu.

“Malam ni nak ajak kau makan kat luar.”

“Bukan hari ni giliran aku masak ke?” tanya Rus.

“Hari ni aku baik hati nak belanja kau. Lepas maghrib nanti, kita terus keluar. Kau jangan lambat pulak.” Nurul mengingatkan.

“Yalah,” jawab Rus kemudian menggosok-gosok matanya. Sebaik terpandang jam dinding menghampiri pukul 7.00 malam, dia segera bangun menuju ke biliknya. Sudah senja rupanya, patutlah dia boleh menggigau!






Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku