'Dia' My Love
Bab 11
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Dimaklumkan 'DIA' MY LOVE telah siap cetak. Berminat boleh PM ke Facebook Zan Zarida. Tawaran Istimewa : Anda akan dapat satu novel percuma iaitu Alahai Mat Salih sebagai cenderahati.
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4407

Bacaan






LANGKAH diatur menuju ke pejabat Tuan Malik. Rus berdebar-debar apabila pagi-pagi begini bos nombor dua mahu berjumpa dengannya. Ini pertama kali dia dipanggil Tuan Malik sejak berpindah ke ibu pejabat. Sebelum ini, bosnya itu bertugas di cawangan utara.

“Laju aje, nak ke mana tu, Rus?” tegur Kak Ina.

“Tuan Malik panggil,” beritahu Rus sambil tersenyum.

Good luck, dear!” ucap Kak Ina sambil ibu jari tunjuk tanda bagus.

“Tuan Malik ni, garang ke kak?” soal Rus inginkan kepastian.

Selalunya Mr. Yip yang akan memberi tugasan kepadanya. Mr. Yip dan Tuan Malik merupakan rakan kongsi yang menubuhkan firma arkitek ini. Masing-masing ada projek sendiri dan juga pengurus yang menguruskannya.

“Tak payah nak tanya. Jumpa nanti, Rus tahulah.” Kak Ina sengaja mahu berteka-teki.

“Saya rasa berdebar ni. Takut dia suruh buat kerja yang saya tak reti.” Rus menyatakan kerisauannya.

“Rus, jangan sesekali kata tak reti. Angguk aje apa yang bos suruh. Kalau tak tahu, lepas tu cepat-cepat rujuk dengan staf senior,” nasihat Kak Ina yang sudah berbelas tahun bekerja di situ.

“Yalah. Saya pergi dulu, kak.” Rus segera menuju ke pejabat Tuan Malik.

Tiba di tingkat dua, kelihatan pintu bilik bosnya terbuka luas.

“Assalamualaikum...” ucap Rus, menegur Tuan Malik yang serius membaca dan menyemak dokumen.

“Waalaikumussalam…” jawab Tuan Malik kemudian memandang Rus yang tercegat di muka pintu biliknya. “Masuk,” sambungnya.

Rus segera masuk lalu duduk di kerusi di hadapan meja bosnya. Dia sudah bersedia dengan buku nota dan pen di tangan.

“Saya panggil ni sebab nak awak handle projek kat UIA. Projek tu dah nak siap sebenarnya, tapi ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan.” Tuan Malik memulakan mukadimah tugasan yang akan diberikan kepada gadis itu.

“Boleh bos,” jawab Rus, bersemangat.

“Petang ni kita pergi ke sana jumpa kontraktor. Sebelum tu, saya nak awak semak minit mesyuarat yang lepas. Senaraikan kerja-kerja yang masih outstanding dan semak jugak tuntutan kontraktor untuk bayaran projek ni.” Panjang sekali arahan Tuan Malik.

Rus mengangguk, tanda faham apa yang patut dilakukan.

“Okey, itu saja. Tunggu saya di lobi pukul empat nanti.”

Rus bangun dan terus minta diri.

“Hmm… macam mana adik manis?” tanya Kak Ina ketika Rus melintasi mejanya.

“Tak sangka hari ini saya akan berdating dengan Tuan Malik kat Gombak,” gurau Rus. Dia berasa lega kerana tiada apa yang perlu dirisaukan. Sebelum ini, dia tengok Tuan Malik sering serius dan jarang tersenyum.

“Ni mesti pasal projek kat UIA, kan?” duga Kak Ina.

“Haah.”

“Fail projek UIA ada kat kabinet kanan sekali. Buka aje kabinet, Rus akan nampak fail tu kat rak atas. No kodnya UF 302,” beritahu Kak Ina.

Rus terkebil-kebil. Kak Ina dan bilik fail yang menyimpan beratus dokumen dipandang silih berganti.

“Kenapa Rus, ada benda yang tak kena ke?” Kak Ina bertanya sebaik melihat perubahan pada wajah gadis itu.

“Kak Ina macam tau-tau aje apa saya nak. Lepas tu siap boleh hafal nombor fail dan kedudukannya sekali. Saya pulak, tetap bergantung pada buku log untuk mencari fail projek tertentu.”

“Akak dah biasa. Tiap-tiap hari menghadap benda yang sama,” ujar Kak Ina.

Thanks Kak Ina.” Memang Rus tidak sangka sungguh. Patutlah wanita itu merupakan orang penting syarikat ini.


PETANGNYA, ketika perjumpaan dengan Encik Syafik, Rus lebih banyak mendengar dan mencatatkan isu perbincangan serta tindakan yang perlu diambil.

Dari pemeriksaan dan tinjauan yang dilakukan, kerja-kerja pembaikan landskap kejur sudah hampir siap. Pada perjumpaan yang akan datang, Rus sendiri akan ke UIA untuk memastikan kerja-kerja tersebut siap sepenuhnya.

Tadi, sewaktu pergi ke UIA, Rus satu kereta dengan bosnya. Selesai perjumpaan, Tuan Malik mahu menumpang kereta Encik Syafik untuk kembali semula ke pejabat. Rus pula dia arahkan agar terus pulang ke rumah.

Rus memang sudah keletihan. Perjumpaan tadi berlangsung sambil melawat dan memeriksa kerja-kerja di site. Itu yang buat Rus mudah berasa penat sebab kawasan pemeriksaan agak luas juga.


TIBA di rumah, Nurul dan Amy sudah siap mandi dan melepak di hadapan televisyen. Rus melepaskan lelah di sofa.

“Lambat balik, Rus?” tanya Nurul.

“Biasalah kalau dah ada kerja kat luar,” beritahu Rus kemudian memandang Amy pula.

Sejak tadi, senyuman tidak pernah lekang di bibir gadis itu. Rus jadi tertanya-tanya pula. Selalunya minah seorang ini tidak begini. Lainlah kalau menonton cerita menarik dan lucu di kaca televisyen.

“Kau ni apahal, asyik senyum dan sengih aje?” Akhirnya Rus terpaksa menegur.

“Ada la…”

“Betul tu, dari tadi senyum memanjang,” sampuk Nurul pula. Dia juga perasan gelagat Amy yang terlebih gedik.

“Tadi aku terjumpa lelaki tu lagi,” beritahu Amy dengan wajah ceria. Berseri-seri, kalah Sri Dewi Malam!

“Lelaki misteri tu ke?” tanya Rus.

“Siapa lagi? Dia aje pun jejaka idaman yang selalu aku jumpa seminggu sekali.”

“Lupa pulak yang hari ni hari Jumaat. Patutlah kau asyik senyum memanjang,” ujar Nurul pula.

“Pelik, kan? Hari-hari lain kenapa lelaki tu tak muncul, ya?” tutur Amy sambil menggaru dagunya.

“Kau dah selidik ke belum?” Rus sekadar bertanya. Dia juga sering tumpang sekaki dengan cerita lelaki idaman Amy itu. Sudah beberapa kali juga sahabatnya itu bercerita fasalnya. Dalam tidak mahu dengar, terpaksa juga dia tadah telinga.

“Tentulah aku selidik. Nak jadikan calon tu…” Amy tersenyum lebar.

“Amboi, belum apa-apa dah nak jadikan calon?” Tiba-tiba Rus mahu mengusik pula.

“Kau asyik sibuk tanya jejaka idaman aku aje. Putera kayangan kau pulak, apa cerita?” soal Amy, geram. Sampai ke hari ini, Rus masih berhutang cerita dengan dia. Sentiasa sahaja gadis itu beralasan.

“Dah putera kayangan, balik ke negeri kayangan dialah!” Pantas sahaja Rus memberi jawapan selamat.

“Selalunya, dia orang ni mesti tinggalkan sesuatu, jangan nak sembunyi kat kita orang pulak,” ujar Amy.

“Memang ada pun…” Rus sudah tersenyum-senyum. Susah betul dia hendak melayan Amy yang macam tahu-tahu sahaja apa yang dia alami.

“Apa dia, apa dia?” Serentak Amy dan Nurul bertanya. Tidak sabar mereka hendak tahu.

“Kenangan…” jawab Rus kemudian ketawa berdekah-dekah. Seronok dapat kenakan rakan serumahnya.

“Aku hempuk jugalah kau ni!” marah Amy.

“Setiap pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan. Ada rezeki dapatlah berjumpa semula,” sambung Rus setelah reda tawanya.

“Kau tu yang lembap. Patutnya bertukar-tukar kad nama. Ni, jangankan nombor telefon, nama pun tak tahu!” perli Amy.

“Tak ada keperluan pun untuk aku buat semua tu. Kau dah lupa ke yang aku ni tunang Huzaif?” balas Rus. Namun, dalam hatinya berbicara lain pula.

Sekilas dia memandang jarinya yang kosong. Cincin tunangnya hanya dipakai ketika balik kampung sahaja. Alangkah bagusnya andai tunangnya itu tidak wujud dalam alam maya ini?

“Tapi kan, aku memang tak percaya dengan kau. Mustahil kau tak tahu apa-apa langsung pasal mat salih tu.” Amy masih mahu mengorek cerita.

“Jujurnya, kalau terjumpa sekali lagi, aku pun tak boleh nak cam,” jawab Rus dengan wajah selamba. Rahsia di hati biarlah tidak dikongsi dengan sesiapa.

“Wei, kau ingat kita orang ni budak sekolah tadika ke? Pandailah kau nak kelentong!” marah Amy.

“Betul tu! Setiap orang ada identiti dan wajah masing-masing walaupun rambut dia orang sama warna,” tekan Nurul pula.

Dia juga tidak berpuas hati dengan alasan Rus. Memang penipu gedanglah sampai tidak boleh mengecam lelaki itu. Bukannya setiap hari berjumpa mat salih dalam tren.

“Ni mesti kau ada sembunyikan apa-apa, kan?” Amy masih dengan sifat curiganya.

“Hish, tak adalah!” Pantas sahaja Rus menyangkalnya.

“Tak ada, tak ada! Nanti diam-diam, lelaki tu dah bersemayam kat hati kau tu,” ujar Nurul pula.

“Kat hati aku ni tak ada sofa yang cantik untuk dia. Dah putera kayangan, mesti dia nak kerusi yang empuk.”

“Tapi tetap ada ruang kosong untuk dia, kan?” duga Amy lagi.

“Kau ni… tak habis-habis nak serkap jarang!”

“Aku bukan serkap jarang, aku cakap apa yang betul. Setakat hati kau tu, bukan susah aku nak baca. Petik jari aje aku dah tahu sama ada kau tengah berduka atau gembira,” balas Amy dengan gaya-gayanya sekali.

“Kau, kalau berhujah memang berdegar melontar bicara. Padahal cakap aje pandai! Bila ditimpa masalah, terpaksa kawan-kawan jugak yang tolong,” perli Rus pula.

“Kalau ada masalah, aku memang selalu cakap kat orang lain sebab tak suka pendam sendiri. Sekurang-kurangnya hati aku jadi lega walau kawan-kawan tak dapat nak bantu sangat,” balasnya.

“Okeylah, aku nak mandi dulu,” beritahu Rus lalu bangun.

“Kalau dah nak mengelak, pandai aje kau lari, ya?” perli Amy yang faham sangat perangai gadis itu.

Rus hanya tersenyum. Memang patut pun dia melarikan andai isu putera kayangan yang mahu mereka korek. Rahsia Kerajaan Langkasuka tu!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku