'Dia' My Love
Bab 13
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3580

Bacaan






HARI ini, waktu rehat tengah hari lebih panjang. Rus dan Nurul awal-awal lagi telah membeli makanan di restoran dan mahu makan di pantri sahaja. Waktu tengah hari begini memang ramai pelanggan lelaki memenuhi restoran.

Selepas makan, mereka akan menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran pula. Itu yang menyebabkan Rus dan Nurul ambil keputusan makan di pejabat. Selain sukar mendapat tempat duduk, tentu sahaja berasa segan dan tidak selesa. Orang lelaki ini, pantang kalau ada orang perempuan di hadapan mata. Ada sahaja perkara yang mahu mereka lakukan demi menarik perhatian kaum hawa.

Selesai makan, Nurul melepak di kubikel Rus. Amy tiada bersama. Setiap pagi Jumaat, gadis itu selalu ada mesyuarat di luar. Kadang-kadang dia akan makan di restoran berhampiran pejabat klien. Tetapi semenjak ada pujaan hati, dia sanggup menahan lapar dan makan di restoran biasa yang dia kunjungi.

Baru sahaja Rus duduk menyandar sambil memejamkan mata, suara Amy sudah kedengaran. Rus tersenyum memandang wajahnya yang kemerah-merahan.

“Hai korang!” Amy yang baru balik terus menerpa ke meja Rus.

“Kau ni apa hal? Cuba bernafas dengan tenang dulu baru buka mulut,” tegur Nurul.

“Sungguh aku tak sangka, korang pun mesti terkejut,” sambung Amy kemudian menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan.

“Apa dia?” Rus juga jadi tidak sabar apabila Amy berkata begitu.

“Pasal jejaka misteri aku tu la…”

“Hmm… cerita apa pulak kali ini?” tanya Nurul.

“Aku ternampak dia pergi solat Jumaat kat masjid depan tu,” beritahu Amy.

“La… nak bagi tahu itu aje ke?” keluh Nurul. Dia ingatkan ada cerita yang lebih sensasi.

“Entah apa-apa la si Amy ni! Dah hari ni hari Jumaat, mestilah dia solat Jumaat kat masjid,” sampuk Rus.

“Korang ni otak lembap betul. Sekarang dah terjawablah kenapa aku hanya terjumpa dia setiap hari Jumaat aje,” jelas Amy.

“Ooo… macam tu,” balas Nurul.

“Lagi satu, confirm dia calon suami yang soleh. Sekarang ni bukan senang nak jumpa lelaki yang menjaga solatnya,” beritahu Amy lagi.

“Beruntunglah siapa yang dapat dia...” ujar Rus.

“Akulah yang beruntung tu!” Cepat sahaja Amy menyambung ayat Rus.

“Hmm… kali ini apa lagi yang kau tahu pasal dia?” tanya Nurul pula.

“Lepas ni, aku dah tahu nak cari siapa kalau nak selidik pasal dia,” beritahu Amy sambil tersengih. Wajah yang sedikit berpeluh dia lap dengan tisu.

“Kau kena berjumpa dengan siapa pulak?” Nurul bertanya lagi.

“Rupanya selama ni dia baik dengan tauke restoran, si mamak tu,” jelas Amy.

“Kalau macam tu, senanglah kerja kau lepas ni,” sampuk Rus pula.

“Memang senang banyak! Balik rumah nanti, aku cuma perlu senaraikan apa saja informasi yang aku nak tahu pasal dia. Mamak akan tolong aku dapatkan jawapannya.”

“Kau ni betul-betul serius ke, Amy?” tanya Nurul yang melihat kesungguhan Amy sejak dari pertama kali terjumpa lelaki misteri itu.

“Percintaan perlu diusahakan, barulah ia mudah mekar dan asyik untuk dinikmati,” tutur Amy dengan senyuman.

“Amboi kau! Dah jadi minah jiwang pulak,” usik Rus. Tidak menyangka Amy akan berbicara begitu.

“Bila dah bercinta nanti, ada langkah lain pulak perlu aku buat,” tambah Amy.

“Langkah apa pulak ni, Amy? Aku yang bercinta dengan kekasih hati tak pakai langkah-langkah pun. Main redah aje!” gurau Nurul pula.

“Kena ikut tip jugak, baru boleh berjaya. Kalau nak bercinta tak boleh terbiar begitu aje. Kena disirami dengan kasih sayang. Kalau tak dibaja dengan kemesraan, layulah dia,” jelas Amy yang mahu berkongsi tip.

Menggeleng Rus mendengar tip daripada Amy. Tetapi, boleh juga dia guna selepas berkahwin nanti.

“Kau tak takut ke kalau akhirnya kau gagal memikat jejaka idaman kau tu?” tanya Nurul.

“Apa maksud kau?”

“Kadang-kadang kita rasa kita sudah bersedia untuk bercinta, tapi hakikatnya masih belum bersedia. Kita jugak belum tentu mampu untuk menghadapi kekecewaan yang mungkin akan terjadi.” Panjang lebar pula Nurul menjawab pertanyaan Amy.

“Aku dari awal dah siap sedia untuk bercinta. Apa aje dugaan yang datang tetap akan aku tempuh. Kalau perlu berebut dengan orang lain, aku okey aje. Barulah mencabar!” jawab Amy dengan yakin.

“Nampaknya kau serius sungguh dengan lelaki tu,” sampuk Rus.

“Dia adalah jejaka idaman aku sebab memenuhi segala kriteria yang aku nak. Serius, aku akan berusaha untuk dapatkannya,” ujar Amy.

“Tengok kawan kita ni, Rus. Kalah dengan kita yang dah ada calon untuk kahwin!” perli Nurul.

“Tulah, nasib kita tak berebut dengan dia,” balas Rus.

“Korang jaga ajelah bakal suami korang tu. Aku punya jangan nak kacau,” pesan Amy.

“Yalah Cik Amy. Kau punya, kau punya aje. Memang kita orang tak boleh nak kongsi!” balas Rus.

“Okeylah, aku nak ke tempat aku,” ujar Amy dan terus beredar.


SELEPAS Amy dan Nurul beredar menuju ke kubikel masing-masing, Rus membelek telefonnya. Tiba-tiba iaberdering pula.

Private number, siapa pulak?’ Dia teragak-agak sama ada mahu menjawabnya atau tidak.

Akhirnya Rus jawab juga panggilan itu, mana tahu andai ia panggilan penting.

“Ya, nak cakap dengan siapa?” Rus bertanya dengan tenang.

“Hai, awak sihat?”

Mendengar suaranya, Rus sudah boleh agak ia panggilan daripada siapa. Mimpi apa pula lelaki itu menelefonnya? Dia mula berdebar-debar.

“Rus?”

“Ya, saya sihat,” jawab Rus sambil menahan debaran di dada. Entah kenapa, mendengar suaranya sahaja sudah buat dia jadi tidak keruan. Mujur tidak bersemuka.

“Awak suka manisan?”

“Sukalah jugak.” Acuh tak acuh sahaja Rus menjawab. Padahal dia memang suka juga makan sesuatu yang manis, namun dalam jumlah yang terhad.

“Okey, nanti ada orang akan hantar kat ofis awak.”

“Hah?” Rus seakan tidak percaya mendengarnya. Ingatkan lelaki itu sekadar bertanya.

“Tiga minit lagi turun kat receptionist. Okay, bye.

Talian terus terputus.

Dalam kurang percaya, tidak berapa lama kemudian Rus turun juga ke tingkat bawah. Dari jauh, Kak Zai yang bertugas di kaunter penyambut tetamu sudah tersenyum-senyum memandangnya.

“Macam tau-tau aje ada hadiah untuk Rus,” usiknya Kak Zai.

“Ada hadiah untuk saya ke? Siapa yang hantar kak?” Sengaja Rus pura-pura bertanya.

Kelihatan tiga kotak heksagon berlainan saiz diikat bersama dengan reben berhampiran telefon. Rus sudah dapat mengenal pasti manisan apa yang dihadiahkan kepadanya. Memang hadiah yang dibeli dari luar negara! Adakah lelaki itu baru balik dari Turki? Rus tertanya sendiri.

“Rus tak tahu ke?” Kak Zai bertanya balik. Dia berasa hairan pula apabila Rus tidak tahu pengirimnya.

Rus terpaksa menggeleng untuk mengelakkan pertanyaan lain yang mungkin Kak Zai tanya. Nanti dia juga yang susah hendak menjawabnya.

“Katanya, manisan ni dari kayangan,” gurau Kak Zai pula sambil tersenyum simpul.

“Akak ni…” jeling Rus.

“Tak adalah! Akak masuk aje, hadiah ni dah ada kat sini. Nasib ada nama penerimanya. Kalau tak, kita pakat makan ramai-ramai,” jelas Kak Zai.

“Akak memang! Suka usik saya,” balas Rus sambil membuka reben yang mengikat tiga kotak manisan itu. Rus terus membelek kotak yang paling kecil.

“Sebenarnya siapa yang hadiahkan kat Rus?” Kak Zai tetap mahu tahu juga.

“Saya pun tak pasti kak, tak tulis nama pun. Orang nak bagi, saya ambik aje. Kenyang perut, suka hati!” Bersahaja Rus menceriakan suasana.

Kak Zai ketawa berdekah-dekah mendengar gurauan Rus.

“Ni untuk akak.” Rus menghulurkan kotak manisan yang bersaiz sederhana kepada Kak Zai.

“Terima kasih, Rus. Dapat jugak akak dan anak-anak merasa manisan dari luar negara ni. Nak ke sana memang tak mampu,” ucap Kak Zai dengan terharu.

“Alah, Turkish Delight aje pun. Bukanlah istimewa sangat…” balas Rus. Dia tidaklah begitu teruja dengan pemberian lelaki itu.

“Tentulah istimewa. Bila kita diberikan hadiah, itu tandanya ada kita dalam hati seseorang…” tutur Kak Zai dengan penuh makna.

Terbatuk Rus mendengarnya. Benarkah?



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku