'Dia' My Love
Bab 14
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Dimaklumkan 'DIA' MY LOVE telah siap cetak. Berminat boleh PM ke Facebook Zan Zarida. Tawaran Istimewa : Anda akan dapat satu novel percuma iaitu Alahai Mat Salih sebagai cenderahati.
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4495

Bacaan






RUS melepaskan lelah di ruang tamu pejabat. Tadi dia ada lawatan dan pemeriksaan di tapak pembinaan. Pada waktu rehat, dia suka juga melepak di sini. Perabot dan hiasan dalamannya cantik dan kemas walaupun ringkas sahaja.

Rus tersenyum lebar sebaik terpandang Amy yang menuju ke arahnya. Hampir setiap hari ada sahaja cerita terbaharu daripada gadis itu. Kalau tidak pasal projek atau mesyuarat, pasti tentang jejaka idaman hatinya.

“Wei, pagi tadi aku terjumpa abang jaguar!” beritahu Amy sambil mengambil tempat di sebelah Rus.

“Siapa? Hari tu, jejaka misteri. Sekarang, dah abang jaguar pulak? Harimau mana yang sesat kat hutan batu ni?”

“Maksud aku, jejaka misteri tulah!” ujar Amy sambil menepuk lengan Rus.

“La… apasal kau panggil dia abang jaguar pulak? Macam-macamlah kau ni.”

“Dah perangai dia sebiji macam harimau bintang Parsi, kenalah bagi dia gelaran macam tu!” jawab Amy bersahaja.

“Huh! Harimau bintang Parsi konon!” perli Rus. Sampai ke hari ini, dia masih belum berkesempatan bertemu jejaka idaman Amy.

“Kalau kucing Parsi punyalah comel, inikan pulak harimau bintang Parsi. Memang terlebih segak dan gagah perkasa!” puji Amy.

“Suka hati kaulah, Amy,” balas Rus.

“Kau tau tak? Harimau bintang atau jaguar ni biasanya hidup sendirian. Ia selalu mengelak berjumpa dengan harimau bintang yang lain. Samalah macam jejaka misteri tu.” Amy memberikan alasannya. Dia pantang kalau ada yang mempertikaikan apa yang dia sebut.

“Amboi! Ni mesti kau dah sekodeng dia, kan?” duga Rus.

Amy tertawa manja mendengar perkataan sekodeng itu. “Setakat ni, aku selalu nampak lelaki tu sendirian. Keluar makan ke restoran pun tiada yang menemani. Memang lone ranger dan ada peluanglah untuk aku mengurat dia.”

Lone ranger?” ulang Rus.

“Apa yang penting, dia lain daripada yang lain!” puji Amy lagi.

“Hmm.. itu yang buat kau tertarik, ya?”

“Bukan tertarik aje, tertawan, tergoda dan bermacam lagilah!” ujar Amy dan kemudian tertawa lagi.

Rus turut tertawa. “Kau ni macam tak ada kerja lain!”

Tak sangka sungguh Rus dengan Amy ini. Bila sudah suka, bukan main dia pasang spy nak intip lelaki itu. Kerja apa, di mana dan macam-macam lagi.

“Jodoh tu memang TUHAN yang tentukan, tapi kena usahalah. Ia bukan jatuh tergolek terus kat depan pintu.” Amy memberikan hujahnya.

“Okey. Tidur malam ni mesti kau terbayang-bayang, kan?” usik Rus.

“Uish, tak payah tunggu malam, Sekarang ni pun wajah dia dah terbayang-bayang di ruangan mataku!” beritahu Amy sambil berlagak seperti lelaki itu benar-benar berada di hadapannya.

Handsome sangat ke dia tu?” Terbakar juga hati Rus apabila Amy galak bercerita fasalnya.

“Gila tak handsome? Kan aku dah pernah cakap, dia sepuluh kali lebih segak dari Dr. Mike yang jadi viral tu!”

“Amboi! Kalau macam tu, aku pun nak berjumpa dengan dia jugaklah,” gurau Rus.

“Percayalah cakap aku! Kalau kau tak terpikat, sah mata kau tu dah juling.”

“Hish kau ni!” marah Rus.

Dalam cuba mengawal diri, Rus turut terjebak sama. Apatah lagi dari awal dia tidak cintakan tunangnya. Dapat kenal harimau bintang seronok juga. Tapi tidaklah sampai mahu berebut dengan Amy. Sekadar suka sahajalah.

“Masa macam sekarang nilah aku kena mencari,” sambung Amy lagi.

“Buatlah apa yang patut dan apa yang kau suka. Aku akan sokong kau,” balas Rus.

“Mencari jodoh ni ibarat mencari parking jugak,” ujar Amy sambil melemparkan pandangan pada petak parkir di hadapan pejabat mereka. Tengah hari begini, jangan harap ada yang kosong.

“Kau ni… ada-ada aje!”

“Betul apa?” Beria-ia Amy mempertahankan hujahnya.

“Apa yang betulnya?” soal Rus.

“Kadang-kadang nampak macam kosong. Dah dekat, rupanya ada kereta Mini Cooper kat situ. Kena pusing dua tiga kali…” ujarnya.

Rus tersenyum mendengarnya. Dalam diam dia sudah nampak dan mengakui apa yang sahabatnya sebutkan. Samalah seperti dirinya. Nampak seperti tiada teman lelaki, tetapi sudah ada yang punya. Cuma menunggu hari untuk disatukan.

“Kadang-kadang pulak, terlepas sebab kereta depan dah ambil. Sebab tu jugak kita kena cepat bertindak kalau dah dapat rasa orang itu macam jodoh kita.”

“Macam mana nak tahu orang tu memang jodoh kita?” tanya Rus sekadar menambah pengetahuan yang cetek tentang hal itu.

“Hish kau ni… takkan kau tak tahu?”

“Betul aku tak tahu,” akui Rus.

“Kalau jantung kau tu berdegup semacam, memang sahlah aura kau dan dia dah bertemu,” terang Amy.

“Aura pulak?”

“Susah betullah bercakap dengan kau ni. Ke… kau sengaja pura-pura tak faham?” Geram pula rasa hati Amy dengan gelagat Rus.

“Apa yang aku tahu, jodoh ni bukan datang sendirian. Dia pasti datang bersama cinta,” ujar Rus. Dia tersenyum sendiri mengingatkan bicara abahnya.

“Amboi, yang itu kau terlebih pandai pulak!”

“Sajalah nak pujuk diri sendiri. Tapi tulah, ia hanya sekadar ayat yang indah untuk diucap. Masalah hubungan aku dan Huzaif tetap tak berubah,” balas Rus dengan sedikit rasa hampa.

“Kau sepatutnya dari awal berfikiran positif. Kalau kau fokus pada masalah, kau akan dapat lagi banyak masalah. When you focus on possibilities, you have more opportunities,” ucap Amy. Sekejap dalam bahasa Melayu, sekejap dalam bahasa Inggeris pula.

“Betul jugak dengan apa yang kau cakap tu.”

“Ni saja nak melawak. Kalau nak kahwin dengan hantaran tinggi, kahwinlah dengan pemain bola sepak. Bukan setakat hantaran tinggi, hantaran jauh, dekat, lintang, lambung, semua boleh!” gurau Amy.

“Aku tak adalah nak hantaran tinggi. Dapat yang sayangkan diri aku ni, dah cukup. Rupa tak lawa pun tak jadi hal, janji manis dipandang.”

“Aku setuju dengan kau. Zaman nenek kita dulu, orang sebenar lagi cantik dari gambar. Zaman sekarang, gambar lagi cantik dari tuannya! So, jangan percaya sangat dengan wajah lawa ni, banyak yang plastik. Tapi abang jaguar aku tu, kes lain. Dia lelaki maskulin,” terang Amy.

“Ni nak tanya, kau dah cairlah dengan abang jaguar tu?” Tiba-tiba Rus kembali semula pada cerita asal Amy.

“Kalau kau yang berjumpa dia, rasanya bukan hati kau aje yang cair, tengkorak pun cair sama!” ujar Amy dan ketawa berdekah-dekah. Mentang-mentang tiada orang lain di situ.

“Maknanya hujung tahun ni bolehlah kita sanding sekali, ya?” tanya Rus yang turut tertawa.

“Insya-ALLAH… abang jaguar sudah keluar dari gurun mencari pasangannya. Moga dengan akulah dia tersangkut!”

“Aamiin…” ucap Rus yang turut menumpang gembira.

Sebenarnya Rus pun pelik dengan Amy ni. Entah bagaimana boleh jatuh cinta dengan lelaki yang dia tak pernah bertegur sapa. Namun, dirinya lagilah terlebih pelik. Dia pun jatuh suka pada lelaki itu walau sekadar mendengar cerita.

Tetapi Rus tidak pernah tunjuk yang dirinya berminat dengan lelaki yang Amy gilakan itu. Alah, saja dia suka-suka. Tak adalah sampai mahu potong jalan kawan. Rus pun sedar siapa dirinya. Ha-hal begini memang tidak boleh dibuat main.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku