'Dia' My Love
Bab 15
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Dimaklumkan 'DIA' MY LOVE telah siap cetak. Berminat boleh PM ke Facebook Zan Zarida. Tawaran Istimewa : Anda akan dapat satu novel percuma iaitu Alahai Mat Salih sebagai cenderahati.
Penilaian Purata:
(18 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4656

Bacaan






CUTI raya haji, Rus balik beraya di kampung. Sejak awal pagi lagi emak dan abahnya pergi kenduri sahabat baik mereka. Dia tidak mahu ikut sebab mahu melepak di rumah. Setelah bersarapan, dia berehat dan berbaring di ruang tamu sambil menonton televisyen.

Ketika Rus leka membaca majalah, kedengaran suara budak-budak di pintu pagar. Musim raya ini, mesti ada sahaja tetamu kecil yang tidak dikenali bertandang. Apatah lagi jatuh pada cuti sekolah pula.

“Assalamualaikum… abang, kami datang nak beraya! Boleh tak?” Salah seorang daripada tetamu kecil bertanya pada lelaki yang sedang mencuci kereta.

“Tak boleh,” jawab lelaki itu dengan wajah serius, sampai salam pun tidak berjawab.

Rus pasang telinga di balik pintu. Setahunya, lelaki itu suka dengan budak-budak. Tempoh hari, mudah sahaja dia beramah mesra dengan anak buahnya. Tidak kekok pun diajak bergurau senda, berlainan sungguh dengan hari ini.

“Alah… kami nak duit raya aje, bukannya nak makan. Boleh la kami masuk!” rayu budak yang berbadan besar sedikit.

“Korang tak faham ke? Tak nampak orang tengah sibuk?” balasnya sambil bercekak pinggang.

“Boleh la…” Serentak budak-budak itu merayu.

“Mem besar tengah mengamuk, dia dah pesan jangan kasi sesiapa masuk. Abang ni drebar aje!”

Rus terpaksa menahan ketawa. Jawapan paling win lelaki itu kasi!

“Takkanlah abang yang handsome ni kerja drebar aje? Tak cayalah!” Tetamu kecil masih tidak putus harapan. Tangan masih di pintu pagar, siap goncang lagi.

“Dah, pergi balik! Roboh pulak pintu pagar tu nanti.” Lelaki itu masih tunjuk garang. Matanya membulat memandang tiga orang budak kecik yang entah datang dari mana.

“Tak baik abang marah-marah. Kami datang nak beraya. Tapi kan, abang ni mat salih ke Melayu?” tanya budak yang berbaju Melayu warna kuning pula.

“Orang putih!”

“Patut la handsome…” Pandai sungguh bebudak itu mengambil hati.

Rus yang kasihan melihat tetamu kecil, akhirnya menunjukkan diri.

Dear abang drebar, tolong bukak pintu pagar tu! Mem besar dah tak marah,” pinta Rus sambil melemparkan senyuman paling manis.

Lelaki itu tercengang.

“Bukak la, mem besar dah bagi,” suruh budak-budak itu.

Lelaki itu beralih memandang tetamu kecil. “Korang kata tak nak makan, kan?” soalnya.

“Haah! Kami nak duit raya aje.” Laju sahaja tetamu kecil menjawab.

Abang drebar segera mengambil sampul duit raya yang ada dalam laci dashboard. “Nah duit raya, lepas ni main jauh-jauh,” suruhnya.

“Terima kasih abang,” ucap mereka bertiga dengan gembira.

“Abang, betul ke kita orang dapat RM30 sorang?” tanya salah seorang daripada mereka.

Budak-budak, dapat sahaja terus buka sampulnya. Dapat pula RM30, mahunya tidak teruja dan terkejut? Ketika hari raya puasa pun tidak ada yang beri lebih dari RM10.

“Hmm… betullah tu.”

“Kayanya abang drebar. Kalau jumpa mem besar mesti dapat lagi banyak,” sampuk yang lagi seorang pula.

“Dah, jangan tamak! Pergi main jauh-jauh, nanti angin mem besar datang balik, susah abang.”

“Terima kasih abang,” ucap mereka dan berlalu dengan hati riang.

“Kenapa tak kasi budak-budak tu masuk? Tetamu datang bawak rezeki tau!” tegur Rus yang kini berdiri di muka pintu.

“Ya ke? Alah, ruginya...” Abang drebar pura-pura buat muka terkilan.

“Sian dia orang berpeluh-peluh,” sambung Rus lagi.

“Rasanya kalau saya yang datang pada Rus, bawak rezeki jugak, kan?” Abang drebar pamer senyuman meleret.

“Kalau dia yang datang, memang bawak bala!” balas Rus dan cepat-cepat masuk ke dalam rumah.

Abang drebar pantas mengejar Rus. Sekali sauk, mudah sahaja tubuh Rus dia angkat dan terus berada di bahunya.

“Dia… lepaslah! Nanti saya jatuh,” suruh Rus yang terkejut dengan tindakan lelaki itu.

Abang drebar buat tidak dengar sahaja rayuan Rus.

“Dia!” jerit Rus sambil memejam matanya. Bertambah kalut apabila dengan selamba sahaja dirinya dibawa naik ke tingkat atas.

Masuk sahaja dalam bilik, abang drebar guna kaki untuk tutup pintu bilik. Tubuh Rus dia baringkan atas katil.

“Dia ni, saja tau!” marah Rus sambil mengurut dada. Tadi dia rasa macam melayang nyawa bila badannya berayun. Di tangga tadi, dia terpaksa paut leher lelaki itu kuat-kuat agar tidak terjatuh.

Abang drebar hanya tertawa, kemudian turut berbaring di sebelah Rus.

Rus pula terus membalikkan tubuh membelakanginya.

“Tak baik awak buat macam tu kat saya. Mana tau, ada rezeki kita…”

“Dia cakap pasal apa ni?” tanya Rus. Saat ini dia telah berkalih dan memandang wajahnya.

“Takkan Rus yang bijak pandai ni tak faham pulak? Rezeki tu bukan duit aje, kan?”

Rus pura-pura tidak peduli, kemudian dia bingkas bangun dari pembaringan. Baru dia bercadang membawa diri, sekali lagi dirinya dipeluk. Perlahan-lahan abang drebar membalikkan badan Rus agar menghadapnya.

Rus tunduk sambil menahan debaran di dada.

I miss you. Rus tak rindukan abang drebar ke?” soalnya sambil merenggangkan pelukan. Matanya masih menatap wajah Rus yang serba salah.

“Rindulah jugak,” balas Rus yang turut berasa segan ketika menuturkannya.

Sebaik mendengar pengakuan Rus, tanpa membuang masa, tubuh kecil molek itu terus dicepung.

“Abang!” Sekali lagi Rus terjerit, mujur dia masih muda dan tiada penyakit jantung.

“Kalau hari-hari Rus panggil macam tu, kan bagus?”

Tiba-tiba Rus tersedar yang dia terpanggil dengan panggilan abang.

“Beberapa hari ni, Rus asyik buat tak kisah aje kat saya,” keluh abang drebar.

“Okey, saya salah. Tapi, tolonglah jangan buat saya terperanjat dan terkejut-terkejut!”

“Sedih tau bila isteri sendiri tak nak bercakap dengan saya.”

“Kan dah minta maaf?”

“Minta maaf aje tak cukup! Saya nak macam-macam.”

“Ya la, apa dia?” Rus bertanya perlahan.

“Sini,” panggil abang drebar agar Rus rapat dengannya.

“Beritahu aje la. Cakap perlahan pun saya masih boleh dengar,” ujar Rus sambil memejam matanya.

Abang drebar tetap membisikkan sesuatu di telinga Rus. “Dengar tak apa yang saya cakap?”

“Ya, saya dengar…” jawab Rus.

So?”

“Dia yang saya kenal, kan seorang yang penyabar? Kejap lagi saya nak masak. Karang dia jugak yang lapar.” Rus tersenyum melihat wajah monyok lelaki itu.

“Lepas zuhur nanti boleh aje makan kat luar.”

Rus bangun dari katil, tetapi abang drebar lagi pantas menghalang.

“Lepaslah!” rayu Rus.

No!”

“Saya kata lepas, lepaslah!”

No!” tegas abang drebar lagi.

“Lepaslah!” jerit Rus sambil meronta-ronta sekuat tenaga.

“Rus, kenapa ni?” tanya Hajah Kalsum yang baru pulang ke rumah. Cemas dia melihat keadaan Rus. Tangannya terpaksa memegang kuat tangan anaknya yang asyik menepis ke kiri dan kanan.

“Rus!” Kali ini suara Hajah Kalsum bertambah kuat.

Rus tersentak dan terus kaku. Wajah emaknya dia tatap tanpa berkelip.

“Rus mimpi apa siang-siang hari ni?”

Rus menggeleng lemah.

“Ni dah solat zuhur ke belum?’ tanya Hajah Kalsum lagi.

Rus terus pandang jam di dinding. “Belum…”

“Dah nak kahwin pun menggigau siang-siang hari!” tegur Hajah Kalsum, kemudian berlalu ke dapur.

Rus berasa amat malu dengan emaknya. ‘Aduhai… macam manalah aku boleh menggigau pasal dia?’ keluhnya.

Paling merisaukan Rus, ini kali kedua dia termimpikan lelaki itu. Malah, boleh siap terkahwin lagi. Memang tak boleh jadi. Entah-entah pada sweater dan sapu tangan itu ada benda yang dicalitnya!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku