Pabila Dia Bertukar Dear
Bab 18
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Penilaian Purata:
(16 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2715

Bacaan






“ASTAGHFIRULLAHALAZIM… mana mak nak letak muka ni, Huzaif?!” Tangan Che Jamaliah menumbuk-numbuk dada dan bahu anaknya. Rasa marah dan sedih bercampur-baur, menaikkan darahnya.

“Ampunkan Zaif mak, ampunkan Zaif,” pohon Huzaif berkali-kali.

“Kenapalah sampai hati buat mak macam ni? Tak sayangkan mak ke?”

Kemarahan Che Jamaliah pada anaknya bagai tidak dapat dibendung. Anak yang diharapkan dapat menggembirakan hatinya telah mengecewakannya. Sekali lagi dia berhadapan masalah yang hampir serupa. Dahulu anak sulungnya buat hal, kini Huzaif pula.

“Dahlah tu! Perkara dah jadi, kita terpaksa terima. Dia orang dah ada anak pun,” pujuk Tuan Malik, abang kepada Che Jamaliah.

“Apa aku nak cakap dengan keluarga Rus? Majlis dah tak lama lagi. Macam-macam persiapan dah dibuat.”

Ketika ini, Che Jamaliah terasa sakit dadanya. Berkali-kali dia mengurut dadanya yang kian sesak. Pernafasannya juga tidak menentu, mujur dia masih boleh mengawalnya.

“Nak buat macam mana? Dah tak ada jodoh Huzaif dengan Rus,” pujuk Tuan Malik lagi.

Dia juga turut kesal dengan berita yang baru diketahui. Bertambah bimbang memikirkan Haji Rosman adalah sahabat baik arwah adik iparnya. Perkara ini boleh sahaja mengundang kemarahan pihak perempuan.

“Abang cakap senanglah! Ada abang fikir apa perasaan Rus dan keluarga dia?”

“Apa lagi yang boleh kita buat? Nak tak nak kita kena ke sana dan bincang baik-baik,” ujar Tuan Malik. Itu sahaja pun caranya untuk selesaikan masalah ini.

“Aku nak Rus jugak jadi menantu aku!” tegas Che Jamaliah.

“Mak… Zaif tak cintakan dia. Zaif sedar Zaif dah buat salah pada mak, tapi Zaif tak sanggup nak tipu diri sendiri. Hati ini hanya untuk Sarah,” rayu Huzaif. Dia amat berharap emaknya mengerti perasaan hatinya.

“Kenapalah Zaif belakangkan keluarga? Kalau dari awal berterus terang dengan mak, tak ada la jadi macam ni,” keluh Che Jamaliah dengan rasa amat kesal.

“Ampunkan Zaif mak…” rayu Huzaif lagi sambil meraih tangan emaknya.

Sarah yang ada bersama turut kecut perut. Sedih dan kasihan melihat situasi yang sedang suaminya hadapi. Hendak menolongnya, tidak tahu apa yang patut dilakukan. Dari awal lagi suaminya sudah beritahu kemungkinan yang akan menimpa mereka. Huzaif nasihatkan dia supaya bersabar sahaja dan jangan berkata apa-apa.

“Malu mak dengan keluarga Rus. Dulu mak yang beria-ia nak bermenantukan dia, sekarang pihak kita pulak yang buat hal,” luah Che Jamaliah dengan sedih. Dia juga sudah menitiskan air mata.

“Abang Shah…” panggil Huzaif. Pada saat ini, hanya abangnya yang diharapkan untuk membantu.

“Mak, boleh Shah cakap sesuatu?” Abang sulung Huzaif yang sejak tadi diam sahaja mula ada keberanian untuk bersuara.

“Hmm…” sahut Che Jamaliah, acuh tak acuh.

“Kalau mak tak kisah, Shah sanggup kahwin dengan Rus,” beritahunya dengan tenang.

Che Jamaliah terkejut saat anaknya beritahu keinginannya memperisterikan Rus. Dia segera memandang Shah dengan berbagai rasa. Dalam sekelip mata TUHAN telah menghantar penyelamat maruah mereka.

“Betul apa yang mak dengar tu, Shah?” tanya Che Jamaliah dengan perasaan berdebar-debar.

“Shah sanggup ambil Rus jadi isteri Shah. Bukan sebab terpaksa, tapi kehendak hati Shah sendiri,” tuturnya dengan yakin.

Che Jamaliah berasa amat bersyukur dengan penjelasan Shah. Dia segera memeluknya. Tidak menyangka langsung kali ini Shah pula yang jadi penyelamat mereka. Lupa terus fasal kekecewaan yang pernah anak itu palitkan pada keluarga mereka.

“Shah betul-betul serius ke?” tanya Tuan Malik pula.

Dia juga bagai tidak percaya mendengarnya. Dia tidak mahu pisang berbuah berkali-kali. Dia sudah letih menyelesaikan masalah yang sering anak-anak saudaranya timbulkan.

Shah mengangguk.

“Berkahwin ni bukan untuk sebulan dua, Shah. Mak tak nak Shah sia-siakan hidup Rus,” tutur Che Jamaliah.

“Shah serius dan betul-betul nak kahwin dengan dia, mak,” ucap Shah sungguh-sungguh.

“Janji dengan Mak yang Shah akan jaga Rus dan bahagiakan dia,” pinta Che Jamaliah.

“Insya-ALLAH mak. Shah sendiri akan berjumpa keluarga Rus dan bincang pasal hal ni,” janjinya.

Sejak dalam perjalanan balik tadi, dia sudah fikir semasak-masaknya. Rus adalah pilihan yang tepat untuk dirinya. Rus juga adalah gadis yang dia inginkan untuk mengisi kekosongan di ruang hatinya yang sepi.

“Rasanya tak elok pulak kalau Shah pergi sendiri. Uncle dan mak kamu akan ikut sekali,” usul Tuan Malik.

“Betul kata abang tu. Bila kita nak pergi?” tanya Che Jamaliah. Rasa sedih dan kecewa sebelum ini terus hilang.

“Secepat mungkin,” ujar Tuan Malik.

“Kalau macam tu, nanti mak telefon Hajah Kalsum pasal kedatangan keluarga kita. Lusa, boleh Shah?” tanya Che Jamaliah.

“Bila-bila pun Shah okey mak,” jawab Shah dengan perasaan lega.

“Kalau macam tu, mak akan beritahu mereka kita nak datang petang Rabu ni,” putus Che Jamaliah.

Lagi cepat masalah ini dapat diselesaikan, lebih baik. Che Jamaliah tidak risaukan perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk majlis perkahwinan ini. Dia lebih risaukan Rus dan keluarganya. Pihak yang salah tetap pihak dirinya. Selagi boleh diselamatkan, memang perlu disegerakan.

Che Jamaliah menoleh memandang Huzaif, kemudian isterinya pula.

“Mak tak nak dukung cucu mak?” Tiba-tiba Huzaif memecah kesunyian.

“ALLAHUAKBAR…” Baru Che Jamaliah tersedar yang sejak tadi menantu dan cucunya itu sudah dipinggirkan. Bagai tidak sedar kehadiran mereka berdua.

“Maafkan mak, Huzaif, Sarah…” ucap Che Jamaliah sambil mengambil cucunya dari dukungan Sarah.

Wajah cucu sulungnya dicium berkali-kali. Kemarahan pada anaknya turut lenyap dalam sekelip mata. Begitulah hati mana-mana ibu, sentiasa murah dengan kasih sayang dan kemaafan. Betapa teruk hati dikecewakan anak-anak, kasih pada mereka tidak pernah luput. Tidak kira anak sendiri mahupun anak tiri, kasihnya tidak pernah berbelah-bahagi.

Saat ini, Shah juga boleh tersenyum lega. Andai sebelum ini pengkhabaran daripada Huzaif membuat dirinya terpaksa memikirkan jalan penyelesaiannya. Tapi kini, masalah adiknya sudah menjadi rahmat besar buat dirinya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku