'Dia' My Love
Bab 22
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Dimaklumkan 'DIA' MY LOVE telah siap cetak. Berminat boleh PM ke Facebook Zan Zarida. Tawaran Istimewa : Anda akan dapat satu novel percuma iaitu Alahai Mat Salih sebagai cenderahati.
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4210

Bacaan






ESOK, 12hb November, majlis akad nikah akan berlangsung pada jam 11.00 pagi. Sesungguhnya Rus tidak sanggup memalukan ahli keluarga dan pentingkan diri sendiri. Dia tidak sampai hati melihat emak dan abahnya bersedih hanya kerana dia mengecewakan harapan mereka.

Dalam keterpaksaan, Rus perlu menerima perkahwinannya dengan seseorang yang tidak pernah dia kenali. Saat ini dia bersedih bukan sebab tidak jadi berkahwin, tetapi terpaksa kahwin! Padahal, setiap bakal pengantin pasti sahaja sedang bergembira menyambut hari berbahagia mereka.

Istimewa sangatkah lelaki yang bernama Shah itu? Rus sendiri tertanya-tanya dan berasa pelik dengan penerimaan keluarganya terhadap lelaki itu. Emak dan abahnya menerimanya sebagai bakal menantu dengan mudah sekali. Entah ilmu apa yang lelaki itu pakai sampai keluarganya masih rasional dan tidak marah dengan apa yang terjadi.

Penat termenung, akhirnya Rus terpaksa menghubungi seseorang. Selagi dia pendam sendiri, semakin sakit kepalanya. Seseorang perlu mendengar rintihan hatinya agar dia tidak terus bersedih. Ketika ini, hanya Nurul yang boleh dia harapkan.

“Aku harap kau akan fikir masak-masak sebelum buat keputusan. Ini tentang masa depan kau.” Nurul memberikan kata nasihatnya.

“Sekarang ni aku memang buntu. Otak aku macam tak boleh nak berfikir,” adu Rus.

“Kalau perkahwinan belum terjadi, kau masih boleh buat pilihan Rus,” tutur Nurul.

Apabila sahabatnya mengadu dan minta pendapatnya, dia memberikan pandangan yang jujur dari hatinya. Kebahagiaan Rus, kegembiraan dirinya juga. Andai sahabatnya itu berduka, dia juga akan turut bersedih.

“Esok aku akan jadi isteri Shah. Pilihan tetap bukan di tangan aku,” luah Rus dengan sedih.

“Dari dulu sampai sekarang, itu jugak masalah kau. Kau terlalu lemah dan tak tegas!” tempelak Nurul walau berasa kasihan dengan sahabatnya itu. Rus terlalu menjaga hati dan perasaan orang lain.

“Aku dah tak boleh buat apa-apa,” balas Rus dengan sedih. Semalam dia menangis sampai kering air mata. Sebolehnya hari ini dia tidak mahu mengulangnya lagi.

“Memang susahlah kalau kau terlalu menjaga perasaan orang lain,” tegur Nurul.

Sepi seketika.

“Habis tu, sekarang ni kau buat apa?” tanya Nurul.

“Menangis ajelah!” Dalam bersedih, Rus berlawak pula.

“Aduhai… menangislah Rus selagi ada air mata. Aku hanya boleh beri simpati aje kat kau,” pujuk Nurul.

“Nurul, esok kau datang awal temankan aku, ya? Aku perlukan kau,” pinta Rus dengan sayu.

“Amy tak datang ke?” Nurul bertambah kasihan mendengar permintaan Rus.

“Dia awal-awal lagi memang tak dapat datang. Kalau tak, aku pun nak dia ada kat majlis aku.”

“Maknanya kau akan kahwin jugaklah dengan Shah tu?” tanya Nurul.

“Terpaksalah aku akur dengan permintaan mak dan abah aku. Aku pun tak sampai hati nak tengok wajah sedih abah aku,” beritahu Rus.

“Aduhai… bagaimana pulak dengan hati dan perasaan kau? Berkahwin ni bukan untuk sebulan dua, Rus,” tutur Nurul.

Sekali lagi Nurul mengingatkan sahabatnya itu. Dia juga tidak senang hati sebaik gadis itu beritahu majlis perkahwinannya tetap diteruskan juga.

“Lalui ajelah. Kalau akhirnya aku tak boleh terima dia, aku akan bincang dengan dia untuk berpisah,” beritahu Rus. Ketika ini hanya itu sahaja jalan penyelesaian yang dia nampak andai perkahwinannya dengan Shah menemui kegagalan.

“Berkahwin bukan untuk bercerai, Rus. Kalau boleh sekali seumur hidup,” nasihat Nurul lagi.

“Aku tahu…”

“Dah tu, buat apa nak fikir pasal cerai? Berdosa tau. Macam main-main dengan hukum TUHAN. Kau kena jugak berusaha untuk pertahankan perkahwinan kau.”

“Harap-harap betullah seperti yang abah aku cakap…” tutur Rus, sayu dan lemah.

“Abah kau cakap apa?”

“Jodoh yang baik akan datang bersama cinta...”

“Abah kau cakap macam tu? Macam tak percaya pulak aku mendengarnya.” Nurul tertawa kecil.

“Itu ajelah ayat yang buat hati aku terpujuk.”

“Hmm… anggaplah apa yang terjadi sebagai takdir terbaik untuk kau.” Nurul terus memujuk sahabatnya yang dalam keresahan.

“Aku akan cuba untuk terima semua ni.”

“Siapa tahu, kau kehilangan Huzaif, tapi ALLAH gantikan dengan lelaki lain yang lebih baik.” Nurul memberikan kata-kata semangat supaya sahabatnya itu kekal positif dan bersangka baik.

“Sekarang ni aku memang berserah sepenuhnya pada ALLAH. Betullah macam yang kau cakap, DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk aku.”

“Macam tulah dan jangan risau sangat. ALLAH sebaik-baik perancang, kita ni hanya hamba yang serba kurang. Semoga kau tabah,” nasihat Nurul.

“Terima kasih Nurul,” ucap Rus dengan sebak. Air mata yang menitis segera dia sapu.

“Jangan risau, esok aku akan sampai awal kat rumah kau. Assalamualaikum,” ucap Nurul mengakhiri perbualan.

“Waalaikumussalam,” balas Rus.

‘MENANGISLAH, agar esok mampu menghiburkan. TUHAN jadikan kita dengan kelemahan dan kelebihan supaya menyedari bahawa dengan berdoa dan berusaha, DIA akan jadikan segalanya indah pada waktunya.’

Kata-kata mutiara itu Rus ulang baca untuk memujuk hatinya. Dirinya memang tidak boleh mengubah sesuatu yang di luar kawalan. Sebaliknya, dia patut mengubah diri sendiri agar menerima apa sahaja yang ditakdirkan untuknya.

Mulai saat ini dia perlu menyiapkan dirinya untuk menjadi seorang isteri. Dia perlu yakinkan diri, andai keadaan hati bersedia, jodoh datang pada masa yang terbaik dan dengan orang yang baik.

Walaupun pada mulanya dia tertekan, tetapi setelah meluahkan resah di hati pada Nurul, dia berasa sedikit lega. Dia perlu banyak berdoa supaya hatinya tetap tenang dengan segala ujian. Apa pun dugaan selepas ini, dia perlu hadapi. Menangis dan meratap nasib diri tidak akan menyelesaikan masalah.


PADA dinihari, hujan turun dengan lebatnya. Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi ketika Rus tersedar dari lena. Walaupun berasa dingin, dia tetap bangun kerana mahu menunaikan solat tahajud.

Kedengaran deruan hujan lebat menghentam atap rumah membelah sunyi. Rus suka sekali suasana begini, dingin dan mendamaikan hatinya. Sukar digambarkan perasaannya ketika ini. Dalam sedih dia tetap bersyukur kerana ALLAH kejutkan dirinya pada saat orang lain lena dibuai mimpi. Ketika inilah waktu yang bagus untuk bersolat sunat, mengadu dan berdoa ke hadrat ILAHI.

Perjalanan hidupnya masih panjang dan jauh nun di sana. Walau bagaimana bentuk perkahwinan yang bakal dilalui, dia perlu tabah. Tidak kisah apa yang akan berlaku, kena tempuh juga. Perkahwinan adalah satu proses yang perlu diusahakan dan bukannya tunggu dan lihat sahaja.

‘Dah Rus, jangan sedih-sedih! Lepas ni kurangkan lihat kesilapan orang lain, fokus pada kelemahan diri dan baiki. Kesianlah kat abah. Abah nak kau jadi anak dan isteri yang solehah.’ Rus mengingatkan dirinya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku