Pabila Dia Bertukar Dear
Bab 33
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2766

Bacaan






HARI Isnin, Rus mula masuk kerja setelah bercuti panjang. Belum pun pukul 8.30 pagi, dia sudah tiba. Staf pertama yang ingin ditemui tentulah Kak Ina. Dia tahu setiausaha bosnya itu selalu datang awal dan terus memulakan tugas.

Rus perlu beritahu wanita itu perkara sebenar yang menimpanya. Semenjak cuti kahwin, sememangnya dia tidak berkesempatan menghubunginya. Tentu sahaja wanita itu berasa pelik apabila dia terus bercuti tanpa mengedarkan kad kahwinnya.

“Rus!” Sebaik perasan kehadiran Rus di pejabat, Kak Ina terus menyeru namanya dengan reaksi terkejut bercampur gembira.

Rus pula terpaksa melemparkan senyuman yang menyimpan berbagai-bagai makna. Senyum kerana berasa segan, senyum kerana serba salah dan rasa sangat bersalah juga!

“Selamat pengantin baru Puan Rus Ashiya,” ucap Kak Ina apabila Rus berdiri di sebelahnya. Tangan gadis itu dia salam kemudian menepuk-nepuk bahunya. Senyuman tidak lekang di bibirnya kerana turut menumpang kegembiraan.

“Terima kasih, Kak Ina,” balas Rus dengan rasa amat segan.

“Ni apa cerita? Terlupa bagi kad kahwin atau tak nak jemput kawan-kawan datang kenduri?” Kak Ina tidak menunggu lama untuk bertanya lanjut. Hatinya meronta-ronta hendak tahu.

“Kalau dua-dua pun betul, Kak Ina marah tak?” Rus bertanya sambil kecilkan matanya.

“Mahunya tak marah? Kecik hati akak bila Rus buat macam tu, tau! Dahlah staf lain asyik bertanya ke mana Rus menghilang,” ujar Kak Ina dengan serius. Marah sangatlah kononnya.

“Habis tu Kak Ina jawab apa?” tanya Rus. Mujur juga staf yang lain masih belum masuk.

“Kononnya Rus ada kursus la. Tanya Nurul dan Amy, dua-dua suruh tunggu dan tanya Rus aje.”

“Alhamdulillah… Kak Ina dan kawan-kawan saya memang baik dan sporting!” Rus berasa lega sekali mendengarnya.

“Apa terjadi sebenarnya? Jari tu nampaknya ada kesan inai walaupun dah pudar.”

“Ni rahsia tau, jangan beritahu staf lain.”

“Ya, akak faham. Ceritalah cepat, tak sabar akak nak tahu,” desak Kak Ina.

“Saya tak jadi kahwin dengan tunang saya. Sebab tu jugak tak edarkan kad jemputan…”

“Habis tu, Rus kahwin dengan siapa?” cantas Kak Ina dengan wajah terkejut.

“Dengan siapa lagi? Dengan anak buah bos la!” jawab Rus.

“Maksud Rus, Isaac ke?” tanya Kak Ina, kemudian menutup mulutnya.

Rus mengangguk.

“Alhamdulillah… Nurul cuma beritahu akak Rus jadi kahwin, tapi tak cakap nama pengantin lelakinya,” ucap Kak Ina lantas memeluk erat tubuh Rus.

Rus benar-benar pelik dengan reaksi yang Kak Ina tunjukkan.

“Kenapa Kak Ina gembira sangat?” Rus segera bertanya selepas wanita itu merungkai pelukan.

“Akak memang dari awal lagi nak padankan Rus dengan anak buah bos tu. Bila Rus cakap dah bertunang, rasa kecewa jugak la.”

“Kisahnya… tapi saya risau sebab tak cakap dan jemput kawan-kawan,” luah Rus.

“Dah, tak payah risau sangat. Staf kat sini bukannya suka bawa mulut mengata orang. Nanti pandai-pandailah Rus beritahu kawan-kawan yang lain. Kenduri belah lelaki, belum lagi, kan? Yang itu, Rus jangan tak jemput pulak!” Kak Ina mengingatkan.

“Mana Kak Ina tahu kenduri belah lelaki tak buat lagi?” Rus semakin tertanya-tanya.

“Kalau ada kenduri, mesti bos kita tu pun cuti sama. Anak buah dia kut?” jawab Kak Ina.

“Hmm… betul jugak. Okeylah, saya ke tempat saya dulu.” Rus meminta diri.

“Dipersilakan Puan Rus,” usik Kak Ina.


SEWAKTU rehat tengah hari, Rus berehat di pejabat sahaja dan tidak keluar makan. Bermacam-macam daging haiwan ada dalam perutnya sejak di kampung lagi. Daging kambing, lembu dan ayam telah mengumpul lemak dan kolesterol dalam badan.

Tiba-tiba dia teringin hendak makan sesuatu yang manis dan cair dalam mulut. Tetapi malas pula mahu keluar pada tengah hari buta begini. Hendak mengharapkan kawan-kawan tolong belikan, terasa segan pula. Kedai bukannya jauh dari pejabatnya.

Tiba-tiba telefonnya berdering. Rus segera menjawabnya sebaik menyedari Isaac yang menghubunginya.

“Kenapa dia call?” Dia bertanya perlahan.

“Rus suka cheese cake?” tanya Isaac pula.

“La… sebab nak tanya tu aje?” Rus ingatkan ada hal mustahak yang ingin suaminya pesan.

“Suka ke tak?” ulang Isaac.

“Sukalah jugak."

“Okey, nanti ada orang akan hantar kat ofis Rus,” beritahu Isaac.

“Dia tahu ke alamat ofis saya?”

“Rus ni... takkanlah saya tak tahu ofis isteri sendiri?”

“Ops, lupa la pulak! Okay, bye,” ucap Rus. Baru teringat Isaac juga pernah hadiahkan dia manisan dan hantar ke pejabatnya.

“Macam tu aje? Bilalah saya dapat dengar perkataan tu, ya?” tanya Isaac seakan berbisik.

“Perkataan apa?” Rus bertanya perlahan, pura-pura tidak faham.

There’s a million different ways to say I love you kalau Rus segan nak ucapkan kat saya,” ucap Isaac agar Rus mengerti betapa dia amat berharap semoga isterinya mengucapkan kata-kata indah buat dirinya.

“Hmm… take care,” ucap Rus, pendek.

“Aduhai… yalah, you too,” balas Isaac sedikit hampa. Begitu pun hatinya terubat jua walaupun ucapan itu tidak seindah mana. Dapat mendengar suara isterinya pun sudah menghilangkan kerinduan di hati.

Rus memandang lama skrin telefonnya. Tiba-tiba hatinya berbunga bahagia. Cheese cake memang kegemarannya, sudah agak lama juga dia tidak menikmatinya. Suaminya bagai tahu-tahu pula apa kesukaannya.

Tidak berapa lama kemudian, seseorang telah datang ke meja Rus. Bungkusan kotak empat segi sudah sampai. Secepat ini? Mungkinkah Isaac berada di sekitar pejabatnya? Rus tertanya sendiri.

Rus gembira tak terkata, chesse cake dari Secret Recipe dipandang lagi. Rezeki dia dan kawan-kawan!

Tidak berapa lama kemudian, telefonnya berdering lagi. Panggilan daripada Isaac.

“Cepatnya kek tu sampai?” tanya Rus.

“Dah putera kayangan yang pesan, memang kek tu akan terbang terus ke meja Rus,” beritahu Isaac. Kedengaran ceria sekali suaranya.

“Ooo… ada apa-apa lagi?” tanya Rus. Dia pun tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Apatah lagi kek kesukaannya sudah ada di hadapan mata.

“Lepas maghrib nanti, saya datang ambil Rus kat rumah. Kita makan kat tempat yang istimewa,” beritahu Isaac.

“Rasanya lebih baik dia ambil saya kat Petronas aje. Saya letak kereta kat sana, lepas tu naik kereta dia.” Rus memberikan cadangannya. Malam tadi, penat otak dia berfikir supaya suaminya tidak perlu datang ke rumah sewa.

“Kenapa nak macam tu pulak?”

“Tak manis la kalau jiran tetangga nampak ada lelaki hantar saya balik lewat malam. Kalau saya sendiri yang balik lewat, tak adalah dia orang mengata.” Rus memberikan alasannya.

“Saya kan suami Rus?” ujar Isaac. Suaranya seperti tidak suka sahaja dengan cadangan isterinya.

“Dia orang bukannya tahu…” balas Rus pula.

“Okeylah kalau Rus dah cakap macam tu.” Akhirnya Isaac bersetuju juga.

“Dia nak ajak saya makan kat mana?” Sudah alang-alang Isaac beritahu, Rus mahu tahu juga tempat istimewa yang dimaksudkan.

“Mana boleh beritahu sekarang?”

“Hmm… tapi tak naklah lewat sangat baliknya,” ujar Rus. Walaupun mereka sudah sah jadi suami isteri, perlu juga menjaga tatasusila dan pandangan masyarakat sekeliling.

“Kan senang kalau kita duduk hotel aje?” keluh Isaac.

Sorry ya, saya nak sambung buat kerja.” Rus segera mahu mengelak dari terus berbual dengan suaminya.

See you then,” ucap Isaac.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku