'Dia' My Love
Bab 26
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Ogos 2016
Dimaklumkan 'DIA' MY LOVE telah siap cetak. Berminat boleh PM ke Facebook Zan Zarida. Tawaran Istimewa : Anda akan dapat satu novel percuma iaitu Alahai Mat Salih sebagai cenderahati.
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2466

Bacaan






SELESAI makan malam, Rus mahu segera mengemas dapur dan mencuci pinggan mangkuk. Dalam sibuk berkemas, tiba-tiba sahaja ada seseorang berdiri di sebelahnya. Bau haruman yang dipakai menusuk hidungnya. Tahulah Rus siapa gerangannya.

Isaac yang masih berbaju Melayu dan berkain pelekat tersengih. “Tak siap lagi?” soalnya.

“Awak pergilah berehat, sikit aje lagi ni.” Rus meneruskan kerjanya.

“Sian awak,” ucap Isaac yang bersimpati dengan isterinya.

Hari ini, mereka berdua tidak merasa jadi raja sehari, sebaliknya hanya sekerat hari! Selepas majlis kenduri, cuma dapat berehat sekejap sahaja. Selepas solat asar, Rus mula membantu saudara-mara berkemas di dapur.

Isaac pula membantu mengemas kerusi meja dan mencuci kawah dan periuk yang besar gajah. Sudahlah besar, berat pula. Tertonggeng-tonggeng dia mencucinya. Memang mat salih kena dera sungguh!

“Ini memang kerja saya pun. Kat rumah awak nanti, saya akan buat jugak,” tutur Rus.

“Rumah kita.” Isaac terus betulkan.

“Yalah,” balas Rus, pendek.

Isaac kembali ke bilik. Hendak berbual-bual dengan ahli keluarga isterinya, dia tidak nampak sesiapa pun di ruang tamu. Sudahnya dia berbaring di atas katil. Seketika dia memejamkan mata. Macam mana pun dia akan berusaha mencuri hati isterinya. Kedinginan Rus tidak mematah semangatnya untuk meraih cintanya.

Tidak berapa lama kemudian, Rus masuk ke bilik. Dia menutup pintu perlahan-lahan sebaik menyedari Isaac sudah lena. Lama matanya melirik pada lelaki yang telah bergelar suaminya. Ketika ini, tidak tahu apa yang bermukim di hati.

Sejauh mana dia cuba hendak lari, jodohnya datang juga. Dahulu dia mengelak ditunangkan, tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia rasa bersyukur apabila tidak jadi berkahwin dengan Huzaif. Ingatkan boleh bersuka ria, namun terpaksa menerima Isaac sebagai suami walau dirinya masih belum bersedia.

Isaac yang pura-pura terlena, sesekali membuka mata memerhati Rus yang kini duduk termenung di sofa.

Spontan Rus berpaling memandang ke arah Isaac. Darahnya berderau. Lelaki itu sedang merenungnya? Bukankah tadi dia sudah tidur? Rus mula gelisah apabila Isaac bangun dari pembaringan.

“Kenapa tak tidur lagi?” tegur Isaac lalu duduk rapat di sebelah isterinya.

Rus beranjak sedikit agar tidak terlalu rapat dengan suaminya.

“Rus masih terkejut sebab tiba-tiba sahaja saya muncul dan jadi suami Rus, kan?” duga Isaac.

Rus berdeham perlahan. Mahunya dia tidak terkejut? Sesiapa pun pasti mengalami perasaan yang sama dengannya.

“Ada sesiapa bercerita pasal saya pada Rus?”

Rus menggeleng perlahan.

“Nak tahu?”

Rus angguk.

“Isteri saya hanya pandai angguk dan geleng aje ke?”

Rus mengeluh kemudian mencebik, tanda tidak suka dengan usikan itu.

“Rasanya lain kali ajelah saya cerita. Sekarang ni saya nak berehat. Jom!” ajak Isaac.

Rus tidak berganjak dan pura-pura tidak mendengarnya.

Isaac capai tangan Rus lalu digenggam erat. “Percayalah, saya sayangkan Rus dan tiada wanita lain selain awak,” ucap Isaac.

“Kenapa awak nak beritahu semua tu? Saya tak tanya apa-apa pun.”

“Saya beritahu sebab nak awak tahu rahsia di hati saya,” jawab Isaac.

Rus senyap dan wajah Isaac dipandang sekilas.

“Saya tak mampu nak baca hati awak, tapi saya yakin apa yang ada dalam hati saya. Saya benar-benar sayangkan awak, Rus…” luah Isaac untuk sekian kalinya.

Tiba-tiba Rus berasa sebak. Tidak semena-mena ada air mata yang mahu menitis. Isaac terus membawanya ke dalam pelukan. Dia pantang andai melihat orang yang disayangi bersedih. Selepas beberapa ketika, Isaac merungkai pelukan.

“Kenapa awak nangis?” tanya Isaac sambil menatap wajah isterinya.

Rus diam sahaja, namun sedikit teresak.

“Rus?” Nama isterinya diseru.

“Saya tak layak untuk awak…”

“Janganlah cakap macam tu. Kita telah ditakdirkan untuk bersama,” pujuk Isaac.

Ini yang dia tidak suka dengar. Mula-mula dia merasakan Rus tidak sukakan perkahwinan ini. Sekarang gadis itu merasakan dirinya tidak layak pula. Susah sungguh Isaac mahu memahami isterinya.

“Awak tak patut jadi suami saya,” tutur Rus yang masih bersedih. Sama ada Huzaif atau lelaki lain, dirinya belum benar-benar bersedia untuk menjadi seorang isteri. Itulah masalah yang mengganggu fikirannya selain risaukan fasal tanggapan Amy tentang dirinya.

“Rus kena terima apa yang berlaku. Saya ikhlas ambil Rus sebagai isteri saya,” jelas Isaac.

Seketika Rus menarik nafas panjang. “Saya minta maaf, saya memang susah nak beri hati saya pada awak.” Rus berkata dengan nada penuh rasa bersalah.

“Kenapa?” Isaac berasa terkilan mendengarnya.

Rus menggeleng sambil mengesat air matanya.

“Percayalah pada saya. Rasa cinta terhadap awak sudah tertanam sejak pertama kali saya jumpa awak.”

Aduhai, kali ini Rus sudah tidak boleh tahan. Bicara Isaac memang meruntun jiwa. Air matanya seakan tidak mahu berhenti. Pada masa yang sama ada perasaan halus mengepung seluruh jiwanya.

“Rus, tolong bagi peluang kat saya,” ucap Isaac sungguh-sungguh.

“Saya tak boleh nak janji apa-apa kat awak,” balas Rus. Bicara Isaac tidak mampu mengusir resah di hatinya. Dia tetap berasa curiga dan ragu-ragu dengan perasaan sendiri.

“Saya pun tak nak Rus janji macam-macam kat saya. Sentiasa di samping saya sebagai isteri, itu sudah cukup bagi saya,” balas Isaac.

“Maaf sekali lagi. Saya tak pasti saya akan jadi isteri yang baik untuk awak.”

“Janganlah cakap macam tu. Apa yang penting, saya nak Rus yakin yang saya sayang dan cintakan Rus. Saya dah buktikan dengan mengahwini awak,” tutur Isaac.

Rus hilang bicara. Apa yang Isaac jelaskan menunjukkan tiada perempuan lain di hatinya. Tiba-tiba wajah Amy kembali menyapa. Tidak dapat dia bayangkan andai gadis itu tahu lelaki pujaannya telah menjadi miliknya.

Rus benar-benar risau. Dalam diri Amy ada satu semangat yang sukar untuk diduga. Apatah lagi apabila dia sudah mengambil keputusan memilih seorang lelaki yang dipuja. Amy pasti melakukan apa sahaja demi mencapai keinginannya. Diri Rus pula terperangkap dalam kemelut ini.

“Rus, senyumlah! Saya tak nak tengok awak bersedih pada hari kita sepatutnya gembira.”

Seketika mereka saling berpandangan. Isaac mengukir senyuman lebar dan mengharapkan Rus membalasnya dengan senyuman manis.

“Tak payahlah asyik senyum!” tegur Rus yang mula berasa segan.

“Senyuman adalah pengubat jiwa yang gundah. Saya senyum kerana saya rasa sangat gembira. Juga sebab selesa dengan status saya sebagai suami awak.”

Akhirnya Rus tersenyum juga. Dari pandangan mata saja, dia dapat rasakan lelaki itu tidak berpura-pura.

“Nak sayang, boleh?” tanya Isaac tiba-tiba.

“Apa awak cakap? Tak dengar…” tanya Rus yang memang sedang mamai!

“Tiba-tiba teringin bekejaran dan beriadah petang-petang sambil main layang-layang, tentu best, kan?” Isaac pusing bicara, takkan nak ulang balik ayat tadi?

“Main layang-layang? Awak dah besarlah!”

“Saya memang bukan budak kecik, tapi saya teringin nak ada budak kecik…”

Rus naik seram mendengarnya. ‘Habis kau Rus!’ bisik hatinya.

“Kalau boleh, saya nak hidup bahagia dan sentosa dengan awak,” tutur Isaac.

‘Sentosa?’ Rus rasa hendak tergelak mendengarnya, tetapi segera ditahan. Dia faham apa yang ingin Isaac sampaikan. Namun, yang terbayang di mindanya adalah taman perumahan dan bukannya suasana aman-damai!

“Awak gelakkan saya, ya?”

“Mana ada!” Cepat sahaja Rus menafikannya.

“Tengok muka awak pun saya tahu, awak mengutuk saya dalam diam,” tuduh Isaac.

“Okeylah saya minta maaf. Tak ada niat pun nak kutuk awak, cuma apa yang awak cakap tu kelakar.”

“Apa yang kelakar? Saya serius nak bahagiakan awak.”

“Sebenarnya perkataan sentosa tu yang kelakar,” beritahu Rus.

“Tak boleh ke guna perkataan sentosa tu?”

“Eh, bukan! Boleh aje nak guna, tapi jarang digunakan ketika menggambarkan impian sesebuah perkahwinan.”

“Habis tu, nak guna perkataan apa?”

“Bahagia tu pun dah cukup, semua orang faham.”

“Hmm… nak buat apa ya, sekarang ni?” tanya Isaac pula.

“Kalau awak mengantuk, tidurlah,” saran Rus.

“Ni malam pertama kita. Tak mat salih la kalau tidur sekarang. Pukul sebelas pun belum!” ujar Isaac kemudian tersenyum nakal.

Rus mengetap bibir menahan debaran di dada.Perkataan malam pertama membuat Rus berasa galau. Dia cuba berlagak biasa.

“Termenung pulak!” tegur Isaac.

“Takkan awak tak berasa penat langsung?” tanya Rus.

So, tak ada harapanlah?” usik Isaac pula.

“Harapan apa?” Rus semakin pelik dengan pertanyaan lelaki di sebelahnya ini.

“Inilah masanya kita sambung berborak, bercerita dan merapatkan hubungan.”

“Boleh tak kalau awak bertimbang rasa sikit dengan saya? Sungguh, saya rasa penat sangat,” ujar Rus menagih simpati.

“Awak kata awak penat, tapi awak tak berehat dan tidur pun,” balas Isaac pula.

“Saya nak tidur la ni. Kalau awak tak mengantuk, pergilah berborak dengan abah. Abah pun selalu lambat tidur. Kata nak jadi menantu mithali…”

“Okey. Nak buat macam mana, kan? Kalau isteri dah halau,” keluh Isaac.

“Awak… tolonglah! Saya bukannya halau awak.”

“Kalau macam tu, jom kita berbaring dan berehat,” ajak Isaac. Dia sedar isterinya itu penat dengan berbagai perkara. Dirinya pun sama dan perlukan rehat yang panjang.

Rus masih tidak membalas apa-apa.

“Jangan risau, saya hanya nak tidur sebelah isteri saya. Tak ada apa-apa penambahan pada perkataan itu.”

Rus terus menjeling tajam. Tidak suka dengan gurauan suaminya.

“Berdosa tau kalau tak patuh arahan suami.” Isaac mengingatkan sambil menghulurkan tangannya.

Rus serba salah. Dia boleh sahaja bangun sendiri, tak perlu lelaki itu membantu. Atau suaminya nak suruh dia salam tangannya?

“Ni… nak saya kendong ke katil ke? Saya okey aje.”

Tanpa memandang Isaac, Rus bingkas bangun dan menuju ke katil. Sebaik berbaring, cepat-cepat dia tarik selimut menutupi tubuhnya hingga ke leher. Dia sudah dihambat rasa malu terhadap Isaac.

Isaac tertawa melihat gelagat isterinya. Sebelum berbaring, dia menutup lampu bilik.

Perlahan-lahan cahaya lampu dari ruang tamu menerobos masuk. Isaac memandang wajah Rus dalam suram malam. Isterinya itu masih berjaga. Begitu pun Rus terus pejam mata sebaik matanya bertemu mata Isaac yang sedari tadi memerhatinya.

Sungguh, Isaac tidak betah malam berlalu dalam kesepian. Dia sengaja mahu berbaring rapat dengan Rus. Sebaliknya, Rus tolak kuat tubuh Isaac, tetapi lelaki ini masih mahu mendekati. Akhirnya Isaac akur apabila Rus menjelingnya tanda tidak suka.

“Rus… sekarang kita dah kahwin pun. Saya nak jadi suami terbaik untuk awak sebab saya yakin awak akan jadi isteri terbaik untuk saya,” tutur Isaac.

“Yalah, saya terima awak sebab awak terima saya seadanya...” Rus cuba untuk tersenyum. Mata hanya memandang Isaac sesaat sahaja. Segan dia hendak pandang lama-lama.

Isaac tersenyum lagi. Senyuman yang bisa sahaja mencairkan hati Rus yang sejuk beku. Sedar-sedar, sudah tenggelam dengan kemesraan yang Isaac pamerkan.

Sesekali Isaac julingkan anak mata ke atas, menghalau resah di kalbu. Dia menghela nafas kemudian menyorot wajah manis isterinya. Tidak berapa lama kemudian, dia telah hanyut dibuai mimpi kerana terlalu penat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku