MARGASATWA
BAB 15
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Februari 2013
Tiga orang penuntut sebuah universiti tempatan hilang di Hutan Tasik Kenyir. Mereka dipercayai telah diserang binatang buas. Anehnya, mayat-mayat mereka tidak ditemui. Malah, pihak renjer hutan tidak dapat mengesahkan binatang apa yang menyerang pelajar-pelajar itu. Nasib mangsa serangan masih tidak terjawab. Apakah misteri binatang pemangsa itu?
Penilaian Purata:
(14 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6312

Bacaan






Tasik Kenyir, Terengganu

Tahun 2012


EZUAN semakin tidak berdaya, dia yang terikat di tangan dibiarkan tergantung di tengah-tengah gua. Ikatan dari akar rotan dan kayu yang kuat pada batu-batu yang berceracak membuatkan Ezuan tidak mampu melepaskan dirinya. Kejadian batuan yang berceracak ke bawah sebenarnya terhasil dari titisan-titisan air dari dalam gua batu kapur ini. Hanya titis-titis air dari dalam gua batu kapur itu sahaja yang membantu Ezuan untuk meneruskan hayat yang masih ada. Nyawanya masih lagi liat untuk melangkah pergi, benarlah kata orang-orang terdahulu. Berpantang maut sebelum ajal. Jangka hayat Ezuan masih lagi panjang.

Ezuan terhidu bau hamis semakin menghampirinya. Ezuan tahu binatang Margas kini berada berhampiran dengannya. Bau mayat juga menusuk-nusuk ke rongga hidungnya, Ezuan membuka matanya perlahan-lahan. Dalam kekaburan dan suasana kelam di dalam gua, Ezuan terlihat sesusuk tubuh tinggi lampai dan kurus sedang mengheret sesuatu.

Suara garau Margas membuatkan Ezuan dihambat ketakutan. Takut kalau nyawanya dihabiskan pada hari ini juga. Ezuan cuba mematikan dirinya agar Margas tidak perasan yang dia masih lagi bernyawa. Margas menghampiri Ezuan, dia menghempaskan sekujur tubuh kaku ke lantai gua dengan kuat, kemudian dia menghidu-hidu tubuh Ezuan. Jarinya yang runcing yang berkuku tajam memegang-megang wajah Ezuan, air liurnya menitis-nitis dan meleleh-leleh hingga ke dagunya yang panjang dan berjanggut itu.

Di dalam hati, Ezuan terus berdoa agar ALLAH sentiasa melindunginya dari kejahatan dan kesakitan. Dia gentar tatkala terasa tangan Margas bermain-main wajahnya. Doa Ezuan bagaikan didengari oleh ALLAH. Margas tidak mengapa-apakan Ezuan, binatang itu mengambil mayat manusia yang dihempas ke lantai gua dan menggantungnya bersebelahan dengan Ezuan dengan menggunakan akar-akar pokok yang berselirat. Kemudian Margas berlalu perlahan-lahan meninggalkan Ezuan dan sekujur tubuh yang tidak bernyawa yang baru digantungnya.

Apabila Margas sudah tidak kelihatan, Ezuan membuka matanya perlahan-lahan. Dia menoleh ke arah mayat manusia yang tergantung disebelahnya. Ezuan langsung tidak mengenali siapakah yang menjadi mangsa terbaru Margas. Wajah mayat itu kelihatan pucat dan di bahagian belakang kepalanya seperti ada satu koyakan yang besar. Ezuan bersimpati dengan apa yang telah terjadi kepada mayat tersebut.

“Mungkin mangsa ini adalah seorang pemancing, ya ALLAH Engkau rahmatilah rohnya. Tempatkanlah manusia malang ini di kalangan orang-orang yang Engkau kasihi.” Ezuan berdoa perlahan-lahan air matanya bergenang.

Dia tahu selepas ini giliran dia pula yang akan kehilangan nyawa.

Mayat yang tergantung itu sebenarnya mayat Shuib, rakan kepada Lokman. Margas sempat melarikan mayat Shuib tatkala dia tercerdera akibat terkena api sewaktu bergelut dengan Lokman. Kini bertambahlah angka korban binatang berhati Iblis kepada tiga orang. Hanya Ezuan sahaja yang masih hidup.

Margas perlahan-lahan merebahkan dirinya di satu sudut di dalam gua. Wajahnya masih lagi ada kesan terbakar, sesekali dia menjilat-jilat belakang tangannya sehingga basah kemudian dia menyapu pada mukanya yang tercedera. Itu adalah cara dia merawat lukanya. Setelah selesai merawat lukanya, Margas merayap ke dinding gua, dengan kekuatan tangan dan kakinya, mudah bagi Margas untuk mendaki dinding gua yang curam dan licin itu.

Margas kini tergantung dengan berpeluk tubuh, kepalanya terbalik ke bawah dan kakinya mencengkam kuat ke langit gua. Langsung tidak ubah seperti seekor kelawar yang sedang tidur. Tidak lama kemudian terdengar satu dengkuran yang garau dan kasar. Margas lena seketika, dan apabila malam menjelma, binatang misteri ini akan terjaga lagi.



Kampung Telaga

Tahun 1712


RUMAH Penghulu Jantan dipenuhi oleh orang kampung, termasuk jugalah Tamar. Wajah Tamar berseri-seri pada hari ini. Hari ini adalah hari bahagia buat Tamar dan Melur, mereka berdua diikat pada tali pertunangan dan hanya beberapa langkah sahaja lagi untuk diijab qabulkan. Jaluk dan Ajak hanya memandang dari jauh sahaja hari bahagia Tamar dan Melur. Betapa terbakarnya hati Jaluk apabila melihat senyuman kegembiraan Tamar di sisi Penghulu Jantan.

“Jaluk, bersabar Jaluk. Belum sampai lagi masanya untuk kita bertindak. Ingat rancangan kita. Melur hanya bertunang, belum lagi kahwin. Sabar Jaluk.”

“Aku tahu, aku masih mampu menahan amarah aku. Kalau tidak, mereka semua akan ku amuk. Aku bunuh satu persatu!” Jaluk membentak keras, parang tajamnya dilibas ke arah pepohon kecil melepaskan rasa marah yang tersisa.

“Mari kita pergi!” arah Jaluk, dan Ajak hanya terangguk-angguk akur.

Penghulu Jantan dan Tamar tidak habis-habis menerima ucapan tahniah dari orang-orang Kampung Telaga. Sementara itu, Melur masih lagi berada di dalam biliknya. Dia ditemani ibu dan saudara-maranya. Kegembiraan jelas terpancar di wajahnya, cincin emas berkilauan di jari manisnya. Melur hanya tertunduk malu apabila disapa oleh rakan-rakan seusia dengannya.

“Tahniah Melur, bertuah kau dapat Tamar yang tampan dan perkasa.” Usik Melati.

“Ha’ah... kau tau, Tamar memang diminati oleh ramai gadis-gadis di kampung kita. Tetapi hatinya sudah terpaut pada kau Melur.” Cerita Mawar pula.

“Kau berdua ni ada-ada sahajalah.” Melur bertambah malu. Wajahnya yang putih berseri menjadi kemerah-merahan.

“Semoga bahagia hendaknya.” Ucap Melati. Melati dan Mawar bergilir-gilir memeluk Melur.

Sementara itu Penghulu Jantan dan Tamar masih berada di halaman rumah melayan tetamu yang datang. “Tuk, terima kasih kerana sanggup berhabis untuk saya.” Ucap Tamar.

“Berhabis? Tuk tidak buat apa-apa pun lagi.” Ujar Penghulu Jantan seraya tersenyum.

“Tuk sudah lupa? Bukankah Tuk yang belikan cincin emas untuk hari pertunangan saya dan Melur.” Terang Tamar.

“Ah... itu tidak menjadi keutamaan. Apa yang penting, kamu berdua sudah selamat diikat dan akhir bulan kamu berdua kahwin.” Putus Penghulu Jantan dengan bersahaja.

“Terima kasih Tuk,” Tamar bersalam dan mencium tangan Penghulu Jantan.

“Lepas ini jangan panggil Tuk lagi, Tamar panggil sahaja bapak ya...” kata Penghulu Jantan.

“Er... baik Tuk.” Teragak-agak Tamar.

“Tamar... bukan Tuk, tapi bapak.” Penghulu Jantan sengaja menekan sedikit suaranya dan berpura-pura marah.

“Er... ya bapak.” Tamar tersengih-sengih bagaikan kerang busuk sahaja.

Di sebalik jendela, Melur mengintai. Dia begitu merindui Tamar walaupun baru sebentar tadi mereka bertentangan mata. Tamar dapat merasakan dirinya diperhatikan, tetapi dibiarkan sahaja kerana dia tahu orang yang memerhatikannya adalah tunangnya sendiri.


SEPEKAN sudah berlalu, hari ini Tamar mahu ke hutan mencari rotan dan buluh untuk dibuat lukah dan bubu. Melur sempat datang ke pondok Tamar dengan membawa bungkusan makanan agar Tamar tidak kelaparan apabila berada di dalam hutan nanti.

“Abang jangan pergi lama-lama sangat, Melur bimbang.” Wajah Melur murung, dia bagaikan akan kehilangan Tamar, walaupun Tamar hanya pergi ke hutan selama sehari sahaja.

“Alahai sayang, Abang bukannya lama sangat di dalam hutan sana. Sebelum senja, Abang akan pulang.” Tamar berkata sambil memegang bungkusan makanannya.

“Hati Melur rasa kurang enak, Abang... Abang batalkan rancangan Abang ke hutan. Melur risau...”

“Melur, jangan difikirkan perkara yang tidak elok. Berbanyakkan selawat ke atas Nabi, Insya-ALLAH semuanya akan tenang kembali. Kadang-kadang perasaan yang datang hanyalah mainan semata-mata. Melur pulanglah dahulu, bila pulang dari hutan nanti Abang akan singgah ke rumah Melur.” Tamar memujuk tunangnya.

“Abang janji?”

“Ya, Abang berjanji. Apabila keluar dari hutan, Abang akan singgah ke rumah Melur.” Ujar Tamar sekali lagi.

“Abang, pakailah cincin perak milik Melur ini. Sebagai peneman abang,” Melur menarik cincinnya dari jari manisnya kemudian disarungkan ke jari anak Tamar.

“Terima kasih cintaku,” ucap Tamar.

“Kalau begitu, Melur pulang dahulu.” Melur bersalam dan mencium tangan Tamar. Tanpa disedari air mata Melur menitis membasahi tangan Tamar.

Tamar terkesima seketika. Apabila Melur mendongak, Tamar menyeka air mata tunangnya itu dengan perlahan. Tersentuh hatinya tatkala melihat rembesan air mata yang mengalir di pipi Melur. Perlahan-lahan Tamar mencium dahi Melur tanda sayangnya yang tidak terhingga. Melur makin diamuk rasa pilu.

“Sudahlah, jangan menangis. Kirim salam pada bapak dan ibu ya...”

Melur mengangguk perlahan, kemudian dia berlalu dengan perlahan-lahan meninggalkan Tamar. Tamar pula mula dihambat rasa resah, dia hairan kenapa dia tidak merasai apa yang Melur rasakan.

Apabila semakin jauh, Tamar melihat Melur menoleh ke arahnya. Tamar cuba mengukirkan senyuman agar hati tunangnya tidak terus dijentik dengan perasaan yang kurang enak. Melur membalas senyuman Tamar dengan lambaian tangan dan segarit senyuman yang hambar, kemudian dia menyambung langkahnya kembali.


JALUK dan Ajak kini sedang menikmati makan pagi di warung yang biasa mereka singgah. Kelibat Juragas tidak kelihatan, hanya Darus sahaja yang ada bersama. Juragas masih tercedera dan kakinya belum lagi sembuh dengan sepenuhnya.

“Hari ini aku belanja, kau makanlah apa sahaja yang kau mahu.” Ajak dengan bangga berkata.

“Wah, banyak duit kau Ajak.” Tegur Darus. Jaluk sekadar tersenyum sahaja. Dia tahu dari mana Ajak mendapat duit.

“Bapak saudara aku baru kirim dari Pahang. Kau makanlah apa sahaja yang kau mahu.” Ajak berbohong.

“Kalau orang sudah mahu belanja, apa tunggu lagi. Tapi setahu aku, bapak saudara kau orang Kelantan.” Darus tertawa dan diikuti Ajak dan Jaluk.

Riuh seketika di dalam warung dengan suara dari ketiga-tiga pemuda jati Kampung Telaga itu. Sedang asyik mereka menikmati santapan mereka, tiba-tiba Pak Andak pemilik warung berkenaan menegur seseorang yang sedang berjalan di luar warungnya.

“Ke hutankah? Tidak mahu singgah dahulu?” Pak Andak menyapa Tamar yang sedang berjalan melewati warungnya.

“Oh Pak Andak, maaflah saya mahu segera ke hutan. Esok sahajalah saya singgah di warung pak Andak ya...” Tamar berlalu seraya menghadiahkan senyuman kepada pemilik warung tersebut.

“Jaluk, kau dengar atau tidak?” Ajak bertanya.

“Ya, aku dengar.” Jawab Jaluk.

“Kita tunggu apa lagi? Ini adalah masa yang sesuai untuk kita membalas apa yang sudah dilakukan oleh dia.” Darus menabur hasutan kepada Jaluk.

“Aku mahu membalas apa yang telah dia lakukan terhadap aku dan adik aku, Juragas.” Darus menderam, diramas-ramasnya kuih di dalam tangannya sehingga hancur.

“Bersabar Darus, bukan di sini tempatnya kita buat kecoh. Dia tidak akan ke mana-mana, hutan itu rumah aku.” Jaluk menyeringai.

Darus dan Ajak tertawa sinis, mereka berdua juga seperti tidak sabar untuk berhitung dengan Tamar. Terutama sekali Darus, kekalahan tempoh hari membuatkan api dendamnya semakin membara.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | SINOPSIS | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku