KABUT
Bab 32, Bab 33 & Bab 34
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Ogos 2016
Penilaian Purata:
(11 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3269

Bacaan






BAB 32

HANIF berasa lega selepas pulang dari makan tengah hari bersama Juita dan Borhan. Kelegaan itu seketika sahaja kerana petang itu Dahari mengingatkannya semula tentang laporan eksklusif yang perlu disiapkannya. Setiap lima minit dia akan memeriksa kantung e-mel. E-mel-e-melnya masih tidak dijawab oleh lelaki misteri itu.

Seorang rakan sekerja mengarahkan alat kawalan jauh ke arah televisyen yang tergantung pada dinding. Suara pembaca berita yang kini perlahan kini kuat. Isi penting laporan berita itu ialah :

- Salah satu mayat di dalam kes bot pancung karam itu ialah Dahlan Bin Mansur.

- Dahlan adalah suspek utama di dalam kes penculikan dan pembunuhan Ustaz Latif.

- Kes penculikan dan pembunuhan Ustaz Latif dianggap selesai.

Telefon di meja Hanif berbunyi. Dahari baru mengarahkannya menyiapkan laporan eksklusif itu hari ini juga. Dia ke tandas. Tekaknya meloya. Terjeluak dan muntah di singki. Silapnya juga kerana lancang mulut memberitahu Dahari bahawa laporan eksklusif itu tinggal sedikit sahaja lagi untuk disiapkan. Sekarang kelancangan mulutnya itu memakan diri.

Dia kembali ke meja kerja. Bertekad akan menyiapkan juga laporan eksklusif tersebut. Akan menganalisis sendiri maklumat-maklumat biasa yang ada di tangannya itu. Ketika dia baru menaip perenggan pertama laporan maklumat biasa yang akan disensasikannya itu, satu e-mel masuk ke dalam kantung e-melnya.

E-mel itu daripada ‘A’, lelaki misteri itu! Dikepilkan bersamanya ialah dokumen-dokumen sulit penyelewengan dan pengkhianatan Ustaz Latif serta video perbualan Ustaz Latif dengan pembunuh semasa diseksa yang membawa kepada kematiannya. Video itu bertajuk ‘Rakaman Saat-Saat Kematian YB Ustaz Latif!’ diiringi petikan piano.

Hanif segera menyiapkan laporan eksklusif tentang kes penculikan dan pembunuhan Ustaz Latif. Selepas sejam setengah, laporan itu pun sampai ke meja Dahari.

“Ustaz Latif terima habuan setiap bulan daripada Lion?” tanya Dahari, memandang tajam muka Hanif.

“Ya bos. Penyiasatan ke atas kedua-dua kongsi gelap itulah yang membawa mereka kepada Dahlan. Motif Dahlan membunuh Ustaz Latif adalah kerana dendam,” jawab Hanif, yakin.

“Mengikut laporan kau ni, Dahlan dijadikan kambing hitam di atas kehilangan berpuluh ribu ringgit peruntukan parlimen Ustaz Latif. Ustaz Latif sendiri yang menyonglap duit tersebut,” kata Dahari.

“Betul bos,” jawab Hanif.

“Jangan main-main. Ini kes orang politik. Nanti kena saman bankrup syarikat ini,” kata Dahari.

Hanif yang sudah bersiap sedia dengan reaksi Dahari meletakkan beberapa helaian kertas di atas meja Dahari.

“Bukti?” tanya Dahari.

“Ya, bos. Salinan transaksi perpindahan di antara akaun bank syarikat milik Lion ke akaun bank Ustaz Latif. Dan juga salinan penyata akaun bank yang menyimpan duit yang disonglap Ustaz Latif daripada peruntukan parlimen tu,” jawab Hanif.

Dahari meneliti bukti-bukti itu. Bibirnya tersenyum lebar.

“Tahniah Hanif. Kau memang wartawan jenayah terbaik. Aku akan cadangkan nama kau untuk menggantikan tempat aku.”

Mata Hanif segar. Memang itulah yang diidam-idamkannya. Rupa-rupanya khabar angin bahawa Dahari akan menggantikan ketua editor surat khabar itu adalah benar. Ketua editor sekarang akan bersara sebulan sahaja lagi.

Laporan eksklusif Hanif tentang Kes Pembunuhan Ustaz Latif yang dibuat dalam tiga siri itu melariskan Berita Malaysia untuk tiga hari berturut-turut. Keluarga Ustaz Latif mahu menyaman Berita Malaysia dan Hanif tetapi menarik balik tindakan mereka itu setelah Berita Malaysia dan Hanif mengemukakan bukti-bukti tentang penyelewengan dan pengkhianatan Ustaz Latif.

Hanif dijulang dan dinobatkan sebagai wartawan jenayah terbaik tahunan sekali lagi.

BAB 33

BAHAGIAN 2

Dua tahun berlalu...

KONDOMINIUM itu meriah. Sebuah parti kecil sedang berlangsung. Semua tetamu sedang menjamu selera. Spageti bolognaise dan salad caesar sudah tinggal sedikit di dalam mangkuk besar. Jus epal yang sudah diisi semula tadi kini tinggal separuh.

Juita bangun dari kerusi. Semua perbualan terhenti. Setiap mata memberikan tumpuan kepadanya.

“Terima kasih,” ucap Juita.

“Pertama sekali, terima kasih kerana memenuhi jemputan. Dipaksa atau rela.”

Semua jemputan ketawa mendengar kata-kata Juita itu. Termasuk tuan rumah bersama, Hanif. Fatin paling besar ketawanya. Dia memang dipaksa Juita untuk menghadiri parti itu. Terpujuk dengan rayu Juita dan terpaksa meninggalkan kerjanya yang masih bertimbun di pejabat.

“Kedua, terima kasih kerana suka dengan menu yang tak seberapa ini. Aku masak semua ini,” sambung Juita lagi.

Semua jemputan ketawa juga.

“Betul ke Hanif?” tanya Adli.

Hanif mengiakan.

“Spageti Bolognaise ni rasa macam dari Secret Recipe aje,” usik Adli.

“Helo... aku buat semua inilah,” balas Juita, bercekak pinggang.

“Betullah Adli. Juita buat semua. Aku tolong tengok saja,” sokong Hanif.

Adli tersenyum. Puas mengusik.

“Memang sedap. Untung kau Hanif, dapat awek macam ini. Cun melecun. Pandai masak pulak tu.”

Hanif dan Juita saling tersenyum.

“Adli, sudah. Jangan puji aku lebih-lebih,” balas Juita.

“Ketiga, terima kasih kerana sudi meraikan buah hati aku ni.” Juita menyambung ucapan sambil tangannya kepada Hanif.

Semua tetamu mengucapkan tahniah kepada Hanif.

“Buat Hanif, buah hati I, tahniah di atas perlantikan sebagai editor meja politik Berita Malaysia,” ucap Juita.

Semua tetamu bertepuk tangan.

“Terima kasih, buah hati I yang manis,” jawab Hanif.

Semua tetamu tersenyum. Gembira melihat bahagia kedua-dua kawan mereka itu.

Juita mengambil sesuatu dari tas tangan. Sebuah kotak berwarna hitam dan beriben emas diserahkan kepada Hanif. Hanif membuka kotak hadiah itu. Mulutnya terlopong bila mendapati hadiah itu adalah sebatang pen Parker yang diidam-idamkannya. Kemudian seorang demi seorang rakan mereka turut memberikan hadiah.

Setelah selesai makan, mereka pun bersurai dari meja makan. Berkelompok-kelompok di ruang tamu dan balkoni. Hanif mengintai-ngintai di mana kedudukan Juita. Dia melihat jam di tangan. Berasa sekarang masa yang paling sesuai untuk melaksanakan rancangannya.

Hanif meminta diri. Dia meninggalkan ruang tamu. Bergerak senyap ke balkoni lalu melutut di hadapan Juita. Juita terkejut besar. Begitu juga Fatin dan dua orang lagi rakan perempuan Juita yang sedang berbual tadi. Kemudian, ketiga-tiga mereka tersenyum meleret memandang Juita.

“Juita...” kata Hanif, memulakan bicara.

Fatin mencuit lengan Juita. Juita yang tergamam tersedar.

“Ya... ya saya,” jawabnya dengan gagap. Matanya masih bertaut pada mata Hanif.

“Juita, sudikah you menjadi suri hidup I selagi ada bulan dan bintang?” tanya Hanif sambil menghulurkankan cincin berlian yang baru diambilnya dari dalam poket seluar. Pandangan beningnya bertaut pada mata terharu Juita.

Juita tergamam lagi. Air matanya perlahan-lahan bertakung. Jawapannya terkulum di dalam mulut. Terluncur juga bila Fatin mencuit lengannya sekali lagi.

“Ya,” balas Juita. Air matanya mengalir membasahi pipi.

Hanif menghembus nafas lega. Air matanya juga bertakung. Perlahan mengalir sebelum diseka dari membasahi pipi.

“I berjanji akan menjaga you sepenuh hati, selagi nyawa dikandung badan.”

Fatin, Adli dan lain-lain yang menyaksikan lamaran Hanif itu bertepuk tangan. Masing-masing mengucapkan tahniah kepada pasangan sejoli itu.

BAB 34

INSPEKTOR Rahmat mengucapkan salam kepada jururawat yang bertugas. Jururawat perempuan itu menjawab salamnya. Kemudian, Inspektor Rahmat masuk ke dalam bilik di mana ASP Zaini ditempatkan di dalam wad ICU itu. Jururawat di hujung katil itu meneruskan tugasnya merekodkan data-data yang terpampang pada alat sokongan di dalam sebuah buku rekod pesakit yang besar dan tebal.

“Lambat tuan datang hari ini,” kata jururawat bernama Hanis itu.

Dia dan semua jururawat yang bertugas di wad ini sangat mengenali Inspektor Rahmat. Ini kerana Inspektor Rahmat melawat ASP Zaini hampir setiap hari.

“Banyak kerja hari ini,” jawab Inspektor Rahmat lalu tersenyum.

“Macam mana keadaan tuan hari ini?”

“Tak banyak berubah,” jawab Hanis.

Inspektor Rahmat mengangguk sambil mengeluh pendek. Memang begitulah keadaan ASP Zaini sejak koma dua tahun lalu. Badannya kaku tidak bergerak walau sekutik. Melihat keadaan ASP Zaini yang kaku begitu, Inspektor Rahmat cepat berasa bersalah. Kalaulah dia dapat mengesan Dahlan lebih awal dalam rakaman sistem kamera litar tertutup itu dan tidak pula tergopoh gapah menaiki tangga ketika pengunjung-pengunjung bertempiaran menuruni tangga, tentu ASP Zaini tidak mengalami kecelakaan.

Kes penculikan dan pembunuhan Ustaz Latif sudah ditutup dua tahun lalu. Kes itu dianggap selesai selepas penemuan mayat Dahlan dalam kalangan mangsa yang terkorban dalam kejadian bot pancung karam itu.

Walaupun Dahlan sudah tiada, dia masih berasa marah terhadap penjenayah itu. Bila dia berasa marah, selalunya rentetan peristiwa yang berlaku di kedai DVD cetak rompak itu senang tertayang di fikirannya. Dia ingat-ingat lupa apa yang berlaku di situ. Ingatannya sering berubah-ubah.

Kini dia terkenangkan apa yang berlaku ketika dia hendak naik ke tingkat atas kedai DVD itu. Dirempuh oleh seseorang sehingga jatuh tergolek ke lantai tingkat bawah. Ketika dia cuba bangun dan mendongak, dia dilanggar sekali lagi dan kemudian pengsan. Ketika mendongak, dia sempat mendapati dirinya dilanggar oleh lelaki yang sama merempuhnya di tangga. Dia rasa itu bukan kebetulan.

Dia cuba membina semula imej lelaki yang merempuhnya melalui ingatan yang berubah-ubah itu. Tidak banyak yang didapatinya. Melainkan lelaki itu juga bertopeng jerebu. Imej lelaki itu pun kadangkala dipercayainya wujud dan kadangkala dianggapnya sebagai ilusi sahaja. Jika ingatannya yang pecah-pecah itu benar, siapa lelaki itu? Adakah Dahlan ada teman penjenayah?

Hal itu didiamkan. Tidak diberitahu kepada ASP Isa kerana dia sendiri tidak pasti adakah ia realiti atau ilusinya. Lalu membiarkan sahaja kes penculikan dan pembunuhan Ustaz Latif itu ditutup.

Inspektor Rahmat mengeluh berat. Menggosok-gosok tapak tangannya pada muka.

Ketika matanya terbuka semula dia ternampak jari telunjuk kanan ASP Zaini bergerak. Inspektor Rahmat terkejut. Terlopong sesaat. Benarkah apa yang baru dilihatnya tadi atau ia sekadar ilusi?

Inspektor Rahmat terus memfokuskan matanya pada jari telunjuk ASP Zaini itu. Jari telunjuk itu kaku sahaja. Tetap kaku walaupun sudah lima minit berlalu. Dia mengeluh dalam. Hanis yang masih melakukan tugasnya di hujung katil mendengar keluhannya lalu bertanya kenapa. Ketika matanya baru meninggalkan jari telunjuk ASP Zaini, ekor matanya mengesan jari telunjuk itu bergerak lagi. Dia pantas mengembalikan pandangannya pada jari telunjuk itu.

“Kenapa tuan?” tanya Hanis lalu bangun dari kerusi.

Inspektor Rahmat mengangkat tangannya dan menggamit, sedang matanya masih pada jari telunjuk ASP Zaini.

Hanis sudah berdiri di sisi Inspektor Rahmat. Sama melihat jari telunjuk ASP Zaini.

Dua minit berlalu.

“Kenapa tuan?” tanya Hanis melihat eajah Inspektor Rahmat.

Sebaik Hanis bertanya, jari telunjuk ASP Zaini bergerak lagi.

“Kau nampak?” tanya Inspektor Rahmat.

“Nampak apa?” tanya Hanis.

“Itu,” kata Inspektor Rahmat dengan jari telunjuknya menunjuk ke arah jari telunjuk ASP Zaini.

Hanis melihat jari telunjuk ASP Zaini yang bergerak-gerak pantas itu. Dia segera berlari ke kaunter wad ICU itu. Memberitahu perkembangan terbaharu ASP Zaini itu kepada jururawat senior. Doktor yang bertanggungjawab ke atas kes ASP Zaini dihubungi.

Inspektor Rahmat mengucapkan syukur. Itu perkembangan positif yang amat ditunggu-tunggunya sepanjang dua tahun itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku