CABARAN KISAH SERAM MISTIK
02 - SAKA TOK LONG
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 September 2016
CABARAN KISAH SERAM MISTIK memuatkan karya-karya yang diinspirasikan daripada kisah-kisah benar berkaitan dengan alam ghaib, alam jin, paranormal dan mistik.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
920

Bacaan






SIAPA TOK LONG? – PEWARISAN SAKA

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

Suatu ketika dahulu, ada seorang nenek tua tinggal di sebuah rumah usang. Papan rumahnya sudah buruk, barangkali ada yang sudah reput dan atap zinknya pula sudah berkarat. Usia nenek tua mungkin sudah mencecah 100 tahun. Ada yang bertanya, apakah tidak ada satu pun usaha untuk memindahkan nenek tua itu ke rumah orang-orang tua?

Nenek tua ini tidak suka sesiapa pun datang mengunjunginya. Sesiapa yang mahu datang menjenguknya, pasti dihalaunya. Wartawan tidak terkecuali. Pegawai Kebajikan Masyarakat juga tidak terkecuali. Ada yang pernah dibaling dengan senduk besi dan periuk besi. Nenek tua itu cukup bijak tidak membaling piring kaca atau barangan tembikar. Jika pecah, siapa mahu ganti?

Ada seorang sukarelawan yang suka melakukan kerja-kerja kebajikan. Sarimah namanya. Usianya sekitar 40 tahun, dan dia memiliki seorang anak lelaki, usianya sekitar dua belas tahun. Sarimah berketurunan Melayu tetapi dia telah lama tinggal di Kanada. Selepas kematian suaminya, dia dan anak lelakinya, Haiqal, berhijrah ke Malaysia. Suaminya memiliki harta pusaka berupa sebuah rumah banglo di Malaysia dan di situlah kini Sarimah menetap.

Suatu hari Sarimah mendengar tentang kisah nenek tua ini. Dia menawarkan diri untuk cuba mendekati nenek tua itu. Entah kenapa nenek tua ini dengan mudah menyukai Sarimah. Dengan mudah, nenek tua itu ditempatkan di rumah orang-orang tua. Ini adalah satu keajaiban. Asal-usul nenek tua itu sedang cuba disiasat. Pihak Kebajikan Masyarakat masih sedang cuba mengesan waris-waris nenek tua tersebut.

Pada suatu malam, langit gelap dan rumput hijau di laman rumah orang-orang tua itu mula menadah titisan hujan yang berat. Sesekali guruh berkumandang dan kilat sambar-menyambar. Nenek tua tidak senang duduk. Dia menjerit-jerit memanggil nama Sarimah. Staf-staf di rumah orang-orang tua memujuknya tetapi dia tidak mahu berhenti menjerit. Sarimah terpaksa dipanggil. Sarimah tergesa-gesa datang menemui nenek tua itu pada malam itu juga. Apabila ternampak sahaja Sarimah, nenek tua pun menangis sambil duduk mencangkung.

“Kenapa Tok Long menangis ni? Ini Sarimah dah datang ni. Tok Long jangan menangis lagi, ya?” Sarimah memeluk nenek tua yang dipanggil Tok Long itu.

“Tok Long nak balik rumah Tok Long. Tok Long tak boleh tinggal di sini lama-lama.” Tok Long menangis teresak-esak seperti anak kecil. Air mata dan hingus membanjiri kedutan pada mulutnya. Mata Tok Long yang berkatarak, merah berair.

“Kenapa Tok Long nak balik rumah lama? Tok Long rindu rumah lama, ya?” Sarimah cuba memancing rahsia.

“Tok Long kena balik...” Tok Long tersedu-sedan. Kedua-dua belah tangannya yang sudah berkedut seribu, disilangkan, masing-masing memegang bahu kiri dan bahu kanan.

“Tapi sana sunyi, tak ada kawan. Sini, Tok Long ada ramai kawan boleh teman Tok Long. Ada ramai yang boleh jaga Tok Long...” Sarimah dengan sedaya-upaya cuba memujuk Tok Long.

“Tok Long tak mahu kacau orang-orang di sini... Tok Long kena balik.” Nampak gayanya, Tok Long sudah bertegas tak mahu tinggal di rumah orang-orang tua.

Sarimah memandang staf-staf yang ada tidak jauh di situ. Sarimah memandang lama-lama ke arah seorang lelaki, berkaca mata, berjambang dan berbadan agak gempal. Encik Akmal, dialah pengurus di rumah kebajikan itu. Lelaki berusia lewat 40-an itu mengangguk.

“Baiklah Tok Long. Esok Sarimah bawa Tok Long balik tengok-tengok rumah. Tapi sekejap saja tau.” Sarimah memegang bahu dan belakang Tok Long. Diusapnya belakang Tok Long beberapa kali, selembut dan sesopan-sopannya.

Tok Long diam. Tok Long tidak menangis lagi. Diam tidak bermaksud bersetuju.

-o-

Pagi itu Tok Long sudah siap berpakaian serba kelabu berbunga-bunga hijau, dan berselendang batik warna kelabu seperti yang biasa dipakai oleh wanita-wanita tua di kampung-kampung. Tok Long tersengih apabila melihat Sarimah datang mendekatinya. Kelihatan gigi-giginya yang sudah kuning di sebalik bibirnya yang sudah kering. Tok Long pun berjalan terbongkok-bongkok ke arah Sarimah, tangannya memegang lengan Sarimah. Sarimah perlahan-lahan memapah Tok Long masuk ke van kuning cair. Pada pintu van itu tertulis perkataan ‘Rumah Orang-Orang Tua’ dengan huruf-huruf besar berwarna hitam. Encik Akmal sendiri yang memandu van tersebut.

-o-

“Assalamualaikum..” Itulah perkataan pertama yang diucapkan Tok Long apabila menyelak pintu rumahnya.

Sarimah mengekori dari belakang. Encik Akmal pula sekadar berdiri memerhatikan keadaan sekeliling rumah Tok Long. Daun-daun kering yang gugur kelihatan di mana-mana di sekitar rumah tersebut.

“Tok Long nak buat air. Sarimah duduklah dulu.” Tok Long tersengih-sengih memandang Sarimah, sebelum perlahan-lahan menapak, menuruni anak tangga menuju ke dapur.

“Tak apa, Tok Long. Sekejap lagi kita nak balik dah.” Sarimah tidak pasti sama ada masih ada bekalan makanan atau minuman di rumah Tok Long yang sudah beberapa hari ditinggalkan itu.

Tok Long diam. Kelibatnya tidak kelihatan lagi. Melihat kesungguhan nenek lanjut usia itu untuk membuat air, Sarimah pun pergi ke dapur. Sunyi saja suasana di dalam rumah itu.

“Tok Long?” Sarimah mundar-mandir di dapur rumah usang itu. Gelap. Cuma sedikit cahaya yang dapat menerjah dari ruang atap yang bocor ke ruang dapur itu. Debu-debu halus jelas kelihatan menari-nari mengikut jalur pancaran cahaya hingga ke lantai. Masih tidak ada kelihatan kelibat Tok Long.

Salmah menjenguk ke bilik air. Kosong. Salmah menjenguk ke belakang rumah. Juga lengang. Tok Long sudah hilang!

“Encik Akmal! Encik Akmal! Tok Long hilang!” Sarimah bergegas mendapatkan pengurus rumah orang tua-tua itu.

“Eh, hilang apanya? Tu, dia dah ada duduk di belakang van, tu... Sarimah.” Berkerut dahi Encik Akmal melihat betapa menggelabahnya wanita cantik dengan solekan nipis pada wajahnya itu.

Tok Long tersengih-sengih dari dalam van. Matanya terbeliak besar seolah-olah mengejek Sarimah. Ibu tunggal itu diam tidak berkata apa-apa lagi. Perangai orang berusia kadangkala sukar dijangka. Mereka adakalanya berkelakuan seperti anak kecil. Sarimah tersenyum sendiri melihat gelagat Tok Long. Sarimah pun duduk di kerusi belakang di dalam van bersama-sama nenek tua itu.

Encik Akmal menghidupkan enjin. Sarimah memandang ke rumah usang itu buat kali terakhir. Van bergerak perlahan-lahan meninggalkan laman rumah Tok Long. Tok Long yang sedang duduk di kerusi belakang van masih lagi tersenyum meleret dengan matanya memandang liar ke cermin pandang belakang van. Encik Akmal terasa bulu roma di lengannya dan tengkuknya meremang secara tiba-tiba.

“Sarimah!!! Sarimah!!!” sayup-sayup kedengaran suara mirip suara Tok Long dari rumah usang itu. Suara itu kedengaran sayu. Menyedihkan. Seolah-olah sedang meratap. Sarimah cepat-cepat menjenguk ke luar, tetapi tidak ada apa-apa yang mencurigakan. Sarimah memandang ke arah Tok Long. Tok Long diam. Matanya memandang liar ke depan van.

-o-

Malam itu, Sarimah baru hendak melelapkan mata. Telefonnya tiba-tiba berdering lagi. Tangan Sarimah teraba-raba mencari telefon pintarnya di atas meja kecil di sebelah katilnya.

“Sarimah, datang sekarang! Tok Long mengamuk!” Kecut jantung Sarimah apabila mendengar suara Encik Akmal yang tercungap-cungap mencuri nafas di corong suara telefonnya.

-o-

Cuma Sarimah yang boleh memujuk Tok Long. Cuma Sarimah yang memahami isi hati Tok Long. Cuma Sarimah yang perlu ada apabila Tok Long menimbulkan masalah. Begitulah pendapat staf-staf di rumah orang tua-tua itu.

Namun kali ini, mereka silap. Biarpun Sarimah sudah muncul di depan mata Tok Long, nenek tua itu masih tetap mengganas.

“Tok Long... Sarimah ni. Tok Long jangan buat macam ini, Tok Long. Sarimah takut.”

Tok Long ketawa mengekeh-ngekeh. Suaranya garau. Matanya merenung tepat ke arah Sarimah. Bebola matanya seolah-olah tertonjol keluar.

Sebaik-baik sahaja anak mata Sarimah bertentangan mata dengan Tok Long, Sarimah terus rebah. Pengsan!

-o-

Sarimah mendapati dirinya berada di bilik rawatan kecemasan di rumah orang tua-tua itu semasa dia sedar. Dia tidak pasti sudah berapa lama dia tidak sedarkan diri. Kepalanya masih pening-pening, badannya masih lemah. Tidak ada sesiapa pun yang menjaganya ketika dia pengsan.

Bunyi angin kuat menderu-deru dari luar. Gelap. Tidak hujan. Aneh.

Sarimah cuba bangkit biarpun badannya terasa berat, urat-uratnya bagai dicucuk dengan jarum. Kepala lututnya pula terasa kebas, sejuk dan lemah. Menggigil badan Sarimah apabila tapak kakinya menyentuh lantai marmar. Kedinginan lantai itu pantas menyerap sampai ke sumsum tulang-tulangnya. Sarimah menguatkan hasrat, mengumpul segala kudrat yang ada untuk berdiri dan berjalan.

Rumah orang-orang tua itu kelihatan gelap tanpa sebarang lampu yang terbuka. Sarimah cuba mencapai suis lampu di dinding. Dipetiknya suis tersebut tetapi lampu tetap tidak menyala. Sarimah bercadang mahu keluar dari rumah orang tua-tua itu. Dia berjalan perlahan-lahan ke ruang penyambut tetamu. Dinding, lantai, siling dan segala-galanya seolah-olah sedang berputar-putar. Sekali-sekala Sarimah hilang keseimbangan badan dan nyaris-nyaris terjatuh tetapi pantas tangannya menongkat ke dinding.

Sampai sahaja di ruang penyambut tetamu, Sarimah mendapati pintu bangunan sedang terbuka. Sarimah dapat melihat dengan jelas, kabus menyebar berkepul-kepul dari luar dilanda angin yang menderu-deru. Masih tidak ada seorang pun ditemuinya.

“Sarimah, kenapa tinggalkan Tok Long?” Gema suara Tok Long kedengaran berselang-seli dengan bunyi angin yang menderu-deru.

“Eh?” Sarimah cuba menghampiri pintu. Tiba-tiba, kedua-dua daun pintu kuat menghempas sesama sendiri, saling merapat dan tertutup, mengurung Sarimah yang berada di dalam rumah orang-orang tua itu.

“Sarimah tak dengar kata Tok Long...” Suara Tok Long berbisik dan bergema dalam kegelapan ruang di dalam rumah itu.

Sarimah kebingungan. Mabuk. Sarimah tidak mampu berfikir dengan waras.

“Tok Long dah cakap dah...” Suara Tok Long bergema lagi.

Sarimah rebah lagi. Sejuk. Seluruh badannya kebas.

“Tok Long nak balik... Tok Long tak nak datang sini lagi...”

Sarimah rasa ada sesuatu menyerkup kepalanya. Pandangan bertambah gelap. Sarimah tidak nampak apa-apa lagi. Udara terasa panas dan menyukarkan pernafasan. Sarimah ingin menjerit meminta tolong tetapi dia tidak mampu.

“Aaaaaaaaaaaahhhhhhh!!!!! Lepaskan aku!!!!! Lepaskan aku!!!” Sarimah memerah segala tenaga yang ada untuk menjerit.

Sarimah meronta-ronta. Malangnya lembaga yang menyerkup mukanya dengan kain hitam itu tidak mahu berbelas kasihan. Sarimah menjerit-jerit, meraung dan menangis. Dia tidak tahu siapa yang memperlakukan begitu kepada dirinya. Mungkinkah rumah orang tua-tua itu sedang dirompak? Kenapa pula ada orang sanggup datang merompak rumah orang-orang tua? Bukannya ada duit berjuta-juta di situ, melainkan sejumlah duit yang didermakan oleh orang-orang yang bermurah hati.

Tiba-tiba Sarimah terdengar seperti ada beberapa suara membacakan surah Al-Fatihah. Kemudian kedengaran pula bacaan ayat-ayat Kursi. Diikuti dengan surah Al-Hasyr. Ha mim. Sarimah terasa ada orang menepuk di bahagian belakang badannya, tepat di bahagian belakang belikatnya. Kedengaran sebutan-sebutan berbahasa Arab, seperti doa dibacakan.

Entah kenapa tiba-tiba Sarimah terasa lega. Ada sesuatu bergerak-gerak, menyusut, mengalir dan menjalar di serata badannya. Semakin lama terasa semakin lega. Tidak ada lagi benda yang menyerkup wajahnya. Kehangatan mula terasa di liang-liang roma. Sesekali badannya disapa angin yang nyaman. Badan Sarimah terasa lesu dan lemah.

“Sarimah... Sarimah dengar apa yang saya katakan ini? Jika dengar cuba angguk, ya?” Suara seorang lelaki. Lembut nadanya.

“Bagaimana, Ustaz?” Itu seperti suara Encik Akmal.

“Bagi dia minum air ni.”

Sarimah terasa ada seseorang menyuakan segelas air. Kebetulan Sarimah terasa haus, terasa kering dan perit tekaknya kerana terjerit-jerit tadi. Sarimah minum saja air tersebut. Air mineral dari gelas itu terasa dingin meratai dinding kerongkongnya, kesegarannya menyerap ke esofagusnya terus ke dalam perut. Sarimah tiba-tiba terasa mual dan ingin muntah.

“Biarkan dia muntah...” Suara lelaki itu lagi. Lembut.

Sarimah muntah semahu-mahunya. Perutnya terasa seperti ditekan-tekan. Kemudian barulah dia terasa lega. Nafasnya tercungap-cungap. Seksanya, cuma Tuhan sahaja yang tahu.

Bacaan Yasin, terus kedengaran dibacakan. Salmah cuba mahu terlelap, tetapi setiap kali juga dia akan mendengar suara orang-orang tertentu terus cuba berhubung dengannya.

-o-

Sarimah masih terkejut dengan berita yang baru didengarinya. Sarimah bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Butiran-butiran pada kertas yang dilihatnya jelas menunjukkan bahawa Tok Long, nenek tua berusia lanjut itu adalah moyang kepada Haiqal, anak lelakinya!


LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015:Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015: Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku