CABARAN KISAH SERAM MISTIK
08 - DARAH BERSIMBAH DI RIMBA KEM MOTIVASI
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 September 2016
CABARAN KISAH SERAM MISTIK memuatkan karya-karya yang diinspirasikan daripada kisah-kisah benar berkaitan dengan alam ghaib, alam jin, paranormal dan mistik.
Penilaian Purata:
(15 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
890

Bacaan






DARAH BERSIMBAH DI RIMBA KEM MOTIVASI

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

Kem motivasi. Di tengah-tengah hutan rimba, di kaki pergunungan. Malam itu, cengkerik pun tidak berani berbunyi. Dari bawah cahaya bulan, kelihatan seorang budak lelaki mengunyah jantung salah seorang mangsanya. Apabila diperhatikan betul-betul, di sekeliling budak lelaki itu, penuh dengan mayat budak-budak dan orang dewasa. Lelaki dan perempuan. Kematian mereka dalam pelbagai bentuk. Budak itu menyapu darah merah dari dahi hingga ke dagunya. Tiba-tiba dia terdengar bunyi ranting patah tidak jauh dari situ. Kelihatan seorang lelaki berusia sekitar 25 tahun, fasilitator kem tersebut. Mata lelaki itu terbeliak melihat budak lelaki itu. Budak lelaki itu menjerit sekuat-kuatnya sebelum berlari seperti gorila dan menerkam ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu kecut perut melihat serangan yang tidak dijangka itu. Sebelum sempat dia menjerit, kepalanya dipulas hingga berbunyi tulang tengkuknya.

“Jangan ada saksi...” Bisikan suara Saka Tok Long jelas kedengaran. Darah dan air liur saling mengalir keluar dari mulut Sqall. Matanya merenung ke arah mayat tersebut, tidak berperasaan.

-o-

Tahun baru menjelma. Hari pertama persekolahan tahun ini tidak semeriah dulu. Bilangan pelajar tingkatan satu tidak ramai. Kisah pembunuhan beramai-ramai di kem motivasi masih lagi menghantui guru-guru dan pelajar-pelajar yang tidak pergi ke kem tersebut. Tragedi tersebut menggemparkan negara.

“Kau tahu tak, budak yang terselamat dari kem hari tu pun dah masuk sekolah ni,” seorang pelajar memulakan perbualan.

“Budak mana?” Rakan pelajar tersebut terpinga-pinga.

“Takkan kau tak ingat, budak tu. Dia kan budak yang balik dari kem sebelum kejadian tu.” Pelajar yang memulakan bicara tadi menjuihkan mulutnya ke arah Haiqal yang berada agak jauh dari situ.

“Mana kau tau? Kan semua orang dekat kem tu dah mati?” Sekali lagi rakan pelajar tersebut terpinga-pinga.

“Aku dengar orang cakap. Budak tu pelik tau, baik kau jauhkan diri daripada dia.” Bersungguh-sungguh pelajar tersebut menyakinkan rakannya.

Begitulah nasib Haiqal. Begitu cepat dia menjadi buah mulut pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Di sekolah, Haiqal terkenal sebagai seorang budak yang pendiam. Dia tidak mahu berbual dengan sesiapa pun. Pun begitu, rupa paras Haiqal yang kacak tetap menjadi tarikan di kalangan pelajar-pelajar perempuan.

-o-

“Semua pelajar diminta mengisi borang kokurikulum ini. Pilih satu badan beruniform, satu kelab dan satu permainan atau sukan. Untuk badan beruniform, boleh ikut badan beruniform yang semasa di sekolah rendah dulu. Untuk kelab dan sukan permainan, sila pilih ikut bidang yang diminati.” Cikgu Faridah, guru kelas Tingkatan Satu Budi terus memberi panduan dan tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar tersebut. Hari tersebut adalah hari ketiga persekolahan.

Haiqal yang duduk di belakang sekali terus mendiamkan diri. Dingin. Dia meneliti borang kokurikulum di mejanya dengan rasa bosan. Gerak-geri Haiqal itu dalam diam-diam diperhatikan oleh Khatijah yang kebetulan duduk di meja yang paling dekat dengannya.

Khatijah membuka zip kotak penselnya yang diperbuat daripada kain. Terdapat perkataan ‘DUPLI-KATE’ disulam pada kotak penselnya. Dia merenung kertas putih tersebut sambil memusing-musingkan penselnya. Jari-jemarinya sungguh cekap. Haiqal memerhati saja gelagat Khatijah itu dengan ekor matanya, pura-pura tidak kisah.

“Awak... awak dah isi ke belum borang tu. Kejap lagi cikgu nak ambil balik, tau.” Khatijah memberanikan diri bersuara.

Haiqal buat endah tak endah sahaja. Dia pun mengisi borang tersebut dengan cepat dan kemudian menyerahkan kepada Khatijah. Khatijah tersenyum. Dalam hatinya dia bersorak. Dengan pantas dia menghafal nama setiap badan beruniform, kelab dan permainan yang disertai oleh Haiqal. Dia meniru setiap apa yang ditulis oleh Haiqal ke ruang kosong borang kokurikulum miliknya.

Tiba di bahagian permainan, Khatijah mencebik. Bola sepak. Tidak ada bola sepak untuk pelajar wanita di sekolah itu. Khatijah menulis sesuatu di borangnya. Dia membaca apa yang ditulisnya berulang kali.

‘Ini pasti jadi.’ Khatijah tersenyum.

-o-

Petang itu satu kemalangan jiwa berlaku di simpang tidak jauh di depan sekolah. Kata orang ada pergaduhan berlaku di depan sekolah. Budak yang mahu dipukul berlari ke tengah jalan raya dan dilanggar kereta. Suspek adalah bekas pelajar yang dibuang sekolah yang berdendam dengan pelajar tersebut. Darah mengalir dengan banyaknya di atas jalan. Haiqal yang melihat kejadian itu tersenyum pahit. Saka Tok Long ketawa berdekah-dekah.

-o-

Malam itu. Kelihatan satu lembaga berbadan besar seperti gorila, berwarna hitam kelabu menjilat-jilat bekas darah di atas jalan raya, tempat berlakunya kemalangan siang tadi. Nampaknya, lebih banyak kemalangan jalan raya akan berlaku di atas jalan raya itu.

“Luwe getih...” ujar lembaga tersebut, perlahan-lahan.

LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV(sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015:Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015:Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku