Temujanji
Bab 1: Menunggu
Genre: Lucu
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 22 September 2016
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)
987

Bacaan






Hari ini hari Sabtu. Aku merancang untuk keluar ke pasar bersama tunangku yang cantik jelita, Arima Maraya. Aku akan menemani tunangku itu membeli ikan dan daging kambing untuk dibawa balik ke rumah ibunya yakni bakal ibu mertuaku. Kerana aku bakal menantu mithali, aku sudah pun menyediakan pelbagai hadiah untuk diberikan kepada ibu bapa, adik-beradik, datuk, nenek, anak-anak buah, dan sanak saudara Arima Maraya. Aku juga akan menjadi drebar Arima Maraya sepanjang perjalanannya ke kampung.

Sebelum keluar ke pasar, aku menyikat rambutku dan menyapu gel rambut jenama The Body Shop yang merupakan hadiah daripada tunangku. Aku sememangnya tidak suka memakai gel rambut namun memandangkan aku akan keluar bersama Arima Maraya, terpaksalah aku pakai. Jika tidak, perang dunia ketiga akan meletus. Walaupun aku pernah berperang bersama-sama tentera dari Afghanistan sewaktu perang Soviet-Afghan pada tahun 1987, aku tidak yakin dapat memenangi perang Arima Maraya-Hafiz.

Selepas memakai gel rambut jenama The Body Shop itu, aku menyapu pula krim BB jenama Etude House ke mukaku. Kamu semua silap jika menyangka ia pemberian daripada Arima Maraya. Krim BB berwarna putih ini bukannya hadiah daripada Arima Maraya yang bermata bundar, tetapi hadiah daripada bekas kekasihku yang sudah pun menjadi mak orang, Judy T. Aku tidak tahu nama penuh bapanya, yang aku tahu, ia bermula dengan huruf T.

Krim BB pemberian Judy T aku ratakan serata-ratanya di muka. Lama aku menatap wajah di cermin. Hmmm….aku makin kacak dari hari ke hari. Semakin lama wajahku semakin sama dengan George Clooney. Lantas aku menanggalkan baju T yang kupakai. Abdomen 8 packs milikku mampu mengundang cemburu lelaki-lelaki di luar sana. Aku tidak terkejut jika ada lelaki yang mahu menyimbah asid ke abdomenku akibat cemburu yang melampau. Aku juga tidak akan terkejut jika ada perempuan yang mahu menoreh wajahku. Sememangnya wajahku yang putih bersinar-sinar ini menjadi topik hangat gadis-gadis, makcik-makcik, dan nenek-nenek yang bekerja di tempat yang sama denganku. Aku pernah ditawarkan menjadi duta produk pemutih namun aku menolaknya kerana ianya satu strategi pemasaran yang berlandaskan penipuan. Aku memang putih sejak azali lagi, bukan kerana produk-produk pemutih yang mahu mengaut keuntungan daripada perempuan-perempuan di luar sana. Bermoral kan, aku?

Aku menyarungkan baju T kembali lalu bergerak keluar dari bilik. Sementara menunggu Arima Maraya menjemputku, aku duduk di ruang tamu. Tidak lama kemudian Andrei, beruang grizzly hitam yang aku selamatkan di pergunungan Caucasus beberapa tahun lalu, datang kepadaku. Tangannya memegang dulang yang berisi secawan coklat panas dan biskut Hap Seng.

Jari-jemari panjang dan halusku mengambil coklat panas dan biskut Hap Seng daripada Andrei.

“Terima kasih Andrei,” ucapku.

“Sama-sama.” Andrei membalas lalu memberi tabik hormat. Aku menabiknya kembali. Baru sahaja Andrei mahu kembali ke dapur, aku memanggilnya.

“Andrei, lain kali pakai apron. Barulah nampak segak.” Aku menyarankan.

Andrei membuat thumbs up lalu menjawab, “Baik, pak!” Dia kemudian kembali ke dapur. Barangkali hendak membasuh pinggan-pinggan yang aku tinggalkan lepas makan semalam. Memang bagus Andrei ni. Bertuah aku memiliki seekor beruang yang patuh, rajin, dan taat seperti Andrei. Aku bercadang untuk menjadikan Andrei pengapitku semasa persandinganku dengan Arima Maraya bulan depan. Selepas itu, aku akan memujuk Arima Maraya untuk menjadi ibu angkat Andrei memandangkan dalam sijil lahir Andrei tertulis namaku sebagai bapa.

Aku mencicip coklat panas hasil tangan Andrei. Mataku kemudian melirik pada jam di dinding. Sudah pukul 9 pagi. Arima Maraya lewat untuk kali yang ke 44. Sepatutnya dia mengambilku pada pukul 8.30 pagi. Inilah yang dinamakan janji Melayu. Oleh kerana aku anak kacukan Melayu, Slavic, Kazakh, dan Tajik, aku langsung tidak memiliki sifat munafik ini.

Penat menunggu, aku mengubah posisi dengan berbaring di atas sofa. Tidak lama selepas itu, Sergey, melompat ke atas badanku.

“Oh Sergey, kau semakin berat,” ujarku pada harimau Siberia putih itu. Sergey menjilat-jilat wajahku, mahu bermanja. Namun berat Sergey mampu mematahkan tulang-temulangku. Aku segera duduk lalu mencampak Sergey ke luar rumah.

“Argggghhhh!!!!”

Aku terdengar jeritan Arima Maraya. Ternyata tunangku itu sudah sampai. Aku bangun lalu mengemaskan diri. Di luar aku dengar Arima Maraya memaki “Harimau albino tak guna!”

Aku mahu memberitahunya agar tidak marah pada Sergey. Walaupun kelihatan gagah, harimau Siberia putih itu mudah terasa. Rasa sedih tidak bagus untuk harimau. Ia bisa membuat harimau mengalami kemurungan yang teruk, lebih-lebih lagi aku bercadang untuk menjual Sergey pada sarkas di bandar sebelah tahun depan.

Dengan keluhan yang berat, aku melangkah ke luar rumah. Arima Maraya yang awet muda dan menawan kalbu sedang berdiri sambil bercekak pinggang.

You lambat!” ujarnya. “I dah tunggu kat luar ni 1 minit!”

Wajah marah Arima Maraya nampak sungguh mempesona. Wajah inilah yang membuat aku jatuh hati kepadanya 3 minggu yang lalu.

“Maaflah darling. I pakai gel rambut tadi,” ujarku dengan jari telunjuk ke arah rambut.

“Hmph!” Arima Maraya masih tidak puas hati.

“Biar I drive ya. Mana kunci you?”

Arima Maraya melontar kunci keretanya ke arahku. Namun angin yang tiba-tiba bertiupan menerbangkan kunci itu ke belakang. Aku segera mengambil raket badminton yang kusimpan di celah-celah pokok bunga ros lalu menyambut kunci itu sebelum ia jatuh ke atas lantai menggunakan raket badminton. Dengan rasa riak, aku menayangkan kunci itu kepada Arima Maraya. Matanya bersinar-sinar menatapku.

I tak tahu pun yang you simpan raket badminton di celah-celah pokok bunga ros. You memang hebat, Hafiz.” Dia memuji.

“Alah, tak adalah hebat mana. I tahu benda ni akan terjadi. Jadi I letak raket badminton di setiap tempat di perkarangan rumah I. Kalau you korek pasir jerlus kat hujung pokok durian tu, you akan jumpa 12 batang raket badminton dengan satu peti harta karun tertanam di dalamnya.” Aku memberitahu.

Sepantas kilat, Arima Maraya hilang dari depan mataku.

Kemudian, aku mendengar suara teriakan Arima Maraya. Aku segera berlari ke arah suaranya.

Arima Maraya sedang disedut masuk ke dalam pasir jerlus. Tangannya terkapai-kapai cuba mendapatkan pertolongan.

“Tolong I Hafiz!” Arima Maraya menjerit.

Aku mengeluarkan telefon pintar lalu membuka aplikasi Instagram. Telefon pintar kuarahkan pada Arima Maraya yang mulutnya kini sudah dipenuhi pasir. Kemudian aku menangkap gambarnya lalu mengupload gambar tersebut bersama kapsyen “Gadis sahut cabaran pasir jerlus. Apakah kesudahan gadis ini?”

Baru 2 saat aku upload gambar tersebut, aku mendapat lebih 50000 like. Rata-rata komen yang diberikan menulis perkataan ‘Mati’.

Aku duduk bercangkung lalu cuba membalas satu-persatu komen dengan ucapan “Terima kasih”.

“Tak guna kau Hafiz! Kau tak tolong aku! Kau tak akan bahagia, Hafiz! Tak akan bahagia……” Arima Maraya menyumpahku sebelum badannya hilang ditelan pasir jerlus.

Aku mencebik.

Walaupun aku seorang yang liberal, aku juga seorang yang superstitious. Malam ni aku akan pergi berjumpa dukun Tok Kadir untuk menghilangkan sumpahan Arima Maraya kepadaku.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku